Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari oleh Hafiz Firdaus Abdullah |
Bab D: SYUBHAT DALAM KAEDAH IBN TAIMIYYAH TERHADAP NAS-NAS AL-SIFAT |
|
PENILAIAN SEMULA NO: 58
Dakwaan percanggahan Ibn Taimiyyah dengan al-Suyuti.
Disebut dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 75:
Di dalam kitab “al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an” (ms. 15, jld. 2) yang bermaksud: “Para ulama' telah menjelaskan pendapat mereka bahawa setiap sifat yang mustahil hakikatnya terhadap Allah S.W.T., itu perlu ditafsirkan dengan makna yang wajib dengan sifat-Nya.”
Penilaian semula: Kata-kata al-Suyuti (911H)[1] di atas memang terdapat dalam al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an, jld. 2, ms. 15 (Bab ke 34: Tentang al-Muhkam dan al-Mutasyabih). Al-Suyuti telah memilih kaedah al-Takwil untuk memahami nas-nas al-Sifat, ia adalah ijtihad beliau sebagai seorang yang layak berijtihad.
Sebelum itu al-Suyuti telah menyebut kaedah Ahl al-Sunnah yang menjadi pilihan generasi al-Salaf:[2]
وجمهور أهل السنة منهم السلف وأهل الحديث على الإيمان بها وتفويض معناها المراد منها إلى الله تعالى, ولانفسرها مع تنزيهنا له عن حقيقتها.
Dan jumhur Ahl al-Sunnah di antara mereka termasuklah generasi al-Salaf dan Ahl al-Hadis, mereka beriman kepadanya (nas-nas al-Sifat) dan menyerahkan makna yang dikehendaki daripadanya kepada Allah Ta’ala tanpa menafsirkannya dan di waktu yang sama menyucikan (Allah) dari maksud yang sebenar tentangnya (maksud seperti makhluk).
Selain itu al-Suyuti juga telah menukil kata-kata Ibn al-Solah (643H):[3]
على هذه الطريقة مضى صدر الامة وساداتها, وإياها اختار أئمة الفقهاء وقاداتها, وإليها دعا أئمة الحديث وأعلامه, ولا أحد من المتكلمين من أصحابنا يصدف عنها ويأباها. Atas jalan (kaedah) inilah menjadi pegangan umat generasi awal dan para tokoh mereka dan inilah juga yang menjadi pilihan para imam dan tokoh fiqh (fuqaha) dan kepadanya para imam dan ulama’ hadis mengajak kepadanya dan tidaklah seorang jua daripada para ahli kalam di kalangan sahabat kami yang berpaling atau menolaknya.
Secara terperinci yang dimaksudkan oleh al-Suyuti sebagai: “…… menyerahkan makna yang dikehendaki daripadanya kepada Allah……” adalah kaifiat sesuatu nas al-Sifat. Generasi al-Salaf sedia memahami makna nas al-Sifat dan tujuan Allah mengkhabarkannya kepada para hamba-Nya. Hanya tatacara, ciri-ciri dan bentuk sifat tersebut yang diserahkan kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Jika diambil sahaja zahir kata-kata al-Suyuti bererti generasi al-Salaf adalah satu generasi yang jahil dan sekian banyak ayat-ayat al-Qur’an dan hadis yang mengkhabarkan nas-nas al-Sifat menjadi sia-sia bagi mereka. Ini pasti mustahil dan pasti bukan merupakan maksud sebenar al-Suyuti.
Oleh itu tidak ada percanggahan antara al-Suyuti dan Ibn Taimiyyah kecuali perbezaan kaedah di mana al-Suyuti mencenderungi kaedah al-Takwil manakala Ibn Taimiyyah memilih kaedah Ahl al-Sunnah, satu kaedah yang sedia diiktiraf oleh al-Suyuti.
[1] Beliau ialah ‘Abd al-Rahman bin Abu Bakar ibn Muhammad Jalal al-Din al-Suyuti, lahir di Kaherah pada tahun 849H. Seorang tokoh Mazhab Shafi‘i yang banyak berkarya, antara yang telah diterjemahkan ialah Tafsir Jalalain dalam bidang tafsir al-Qur’an dan al-Jamii-us-Sagheir dalam bidang hadis. Meninggal dunia pada tahun 911H. [2] Al-Itqan, jld. 2, ms. 11. [3] Al-Itqan, jld. 2, ms. 11. Beliau ialah ‘Uthman bin ‘Abd al-Rahman bin ‘Uthman Taqi al-Din bin al-Solah, seorang ahli hadis, fiqh, usul dan bahasa yang masyhur dalam Mazhab Shafi‘i. Antara karya beliau yang terkenal ialah ‘Ulum al-Hadis. Meninggal dunia di Damaskus pada tahun 643H
|
| BAB D : KANDUNGAN |