Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'

73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari

oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

Bab D: SYUBHAT DALAM KAEDAH IBN TAIMIYYAH TERHADAP NAS-NAS AL-SIFAT

PENILAIAN SEMULA NO: 56

 

Dakwaan percanggahan Ibn Taimiyyah dengan al-Razi.

 

Penyusun Salafiyah Wahabiyah ms. 74-75 telah mengemukakan pendapat Fakh al-Din al-Razi (606H)[1] dalam kitabnya Asas al-Taqdis (tahqiq Ahmad Hajazi; Dar al-Jail, Beirut 1993) yang telah menghujahkan beberapa contoh nas-nas al-Sifat yang menurut beliau tidak boleh diterima sebegitu sahaja melainkan wajib ditakwilkan kepada maksud yang lain. Antara contoh yang beliau kemukakan ialah ayat-ayat al-Qur’an tentang sifat Mata bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala.

 

Contoh pertama, Firman Allah:

Yaitu: Letakkanlah dia (Musa) di dalam peti, kemudian lemparkanlah ia ke sungai (Nil), maka pasti sungai itu membawanya ke tepi, supaya diambil oleh musuh-Ku (Fir‘aun) dan musuhnya. Dan Aku telah melimpahkan kepadamu kasih sayang yang datang dari-Ku; dan supaya kamu diasuh di atas mata-Ku. [Ta-Ha 20:39]

 

Terhadap ayat …dan supaya kamu diasuh di “atas mata-Ku berkata al-Razi:

 

Dikehendaki oleh ayat ini (secara zahirnya) agar Musa ‘alaihi salam menetap di atas Mata tersebut, menyentuhnya dan (duduk) di atasnya. Yang sedemikian tidak akan diperkatakan oleh orang-orang yang berakal.[2]

 

Contoh kedua, Firman Allah:

Dan buatlah bahtera itu dengan Mata kami dan petunjuk wahyu Kami, dan janganlah kamu bicarakan dengan Aku tentang orang yang zalim itu; sesungguhnya mereka itu akan ditenggelamkan. [Hud 11:37]

 

Terhadap ayat Dan buatlah bahtera itu “dengan Mata kami” … berkata al-Razi:

 

Dikehendaki oleh ayat ini (secara zahirnya) agar diperbuat bahtera tersebut dengan Mata.[3]

 

Dua ayat ini serta maksud zahirnya sebagaimana yang diungkap oleh al-Razi menunjukkkan bahawa ia perlu ditakwil.

 

Berkata al-Razi seterusnya:

 

فثبت: أنه لا بد من المصير إلى التأويل, وذلك هو أن تحمل هذه الألفاظ على شدة العناية والحراسة. والوجه في حسن هذا

 

المجاز: أن من عظمت عنايته بشيء, وميله إليه, ورغبته فيه, كان كثير النظر إليه. فجعل لفظ العين – التي هي آلة لذلك النظر – كناية عن شدة العناية.

 

Maka kesimpulannya untuk memahami ayat di atas memerlukan kepada al-Takwil iaitu membaca lafaz tersebut dengan makna “benar-benar memerhatikan dan menjaga.”

 

Kebaikan majaz ini dilihat apabila menganggap sesuatu perkara itu sebagai besar maka ia memerlukan perhatian dan kecenderungan serta kesukaan kepadanya sehingga memerlukan perhatian yang banyak. Maka dijadikan lafaz al-‘Ain (yang pada asalnya adalah) alat untuk melihat (kepada maksud) sebagai kinayah tentang sikap keprihatinan.[4]

 

Penilaian semula:

Punca masalah di atas adalah apabila seseorang itu menganggap mata Tuhan sepertimana mata makhluk, di mana ia adalah satu objek yang boleh diduduk di atasnya atau digunakan untuk sesuatu perbuatan. Padahal telahpun dijelaskan sebelum ini bahawa sesuatu nas al-Sifat itu hanya diterima dan difahami sekadar makna yang dibawa oleh lafaznya manakala bentuk dan ciri-cirinya (kaifiat) tidaklah seumpama dengan mana-mana makhluk dalam apa jua bentuk sekalipun. Ini adalah kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala menerangkan sifat-sifat-Nya adalah untuk dikenali tujuannya dan bukannya untuk dibahas bagaimana dan seperti apa bentuknya. Justeru tidak boleh menganggap mata Tuhan adalah satu bebola berjisim sebagaimana mata makhluk sehingga boleh diduduk di atasnya. Sesiapa yang menganggap demikian maka dia telah melakukan kesilapan yang sangat besar.[5]

 

Oleh itu mudah difahami bahawa yang dimaksudkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla dalam kedua-dua ayat di atas adalah di bawah pemerhatian dan pengawasan-Nya. Bererti Nabi Musa diasuh dan Nabi Nuh membina bahtera di bawah pemerhatian dan pengawasan Allah ‘Azza wa Jalla. Kedua-dua kefahaman ini dapat dicapai tanpa perlu mentakwilkan sifat

 

Mata dalam kedua-dua ayat di atas. Ia adalah satu tafsiran yang tidak memerlukan kepada apa-apa takwilan.

 

Inilah kaedah generasi al-Salaf dalam memahami kedua-dua ayat di atas. Mereka tidak mentakwilkan sifat Mata dalam kedua-dua ayat tersebut. Mereka memberi tumpuan maksud dan tujuan sesuatu nas al-Sifat dikhabarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan bukannya ciri-ciri dan bentuk (kaifiat) sifat tersebut di sisi Allah.

 

Jika generasi al-Salaf, yakni Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, para sahabat, tabi‘in sehinggalah ke para imam mazhab yang empat radiallahu ‘anhum, telah mentakwilkannya dengan takwil pengalihan lafaz, pasti ia akan sampai kepada pengetahuan kita. Bahkan Hasan al-Saqqaf sendiri akan mengemukakannya sebagai salah satu hujah bahawa generasi al-Salaf telah melakukan takwil pengalihan lafaz ke atas salah satu sifat Allah. Namun al-Saqqaf tidak mampu melakukan sedemikian kerana sememangnya generasi al-Salaf tidak pernah melakukannya.

 

 


[1]               Beliau ialah Muhammad bin ‘Umar bin Husain, Fakr al-Din al-Razi, terkenal dengan kitab tafsirnya: Mafatih al-Ghaib dan usul fiqhnya: al-Mahsul fi ‘Ilm Usul al-Fiqh. Beliau adalah seorang tokoh Mazhab Shafi‘i yang sangat banyak berkarya, sama ada hasil tulisan sendiri atau mensyarah tulisan tokoh sebelumnya. Meninggal dunia pada tahun 606H.

[2]               Asas al-Taqdis, ms. 137 (Bab ke 14 tentang al-‘Ain).

[3]               Ibid, ms. 137.

[4]               Ibid, ms. 137.

[5]               Di sinilah letaknya bahaya ilmu kalam ke atas umat Islam. Sila lihat kajian Sulaiman bin Saleh dalam bab ilmu kalam ini dalam bukunya: Mauqifu al-Mutakallimin min Istidlal bi nusus al-Kitab wa al-Sunnah (Dar al-‘Asomiyah, Riyadh 1996).

 

BAB D : KANDUNGAN