Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'

73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari

oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

Bab D: SYUBHAT DALAM KAEDAH IBN TAIMIYYAH TERHADAP NAS-NAS AL-SIFAT

 

PENILAIAN SEMULA NO: 54

 

Dakwaan percanggahan Ibn Taimiyyah dengan al-Baijuri.

 

Dinukil dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 73 kata-kata Ibrahim bin Muhammad al-Baijuri (1277H) dalam kitabnya Tuhfat al-Murid:

 

“Maka jelaslah daripada huraian kami, bahawa aliran al-salaf dan al-khalaf telah bersepakat untuk mentakwilkan secara terperinci.  Iaitu memindahkan erti nas yang seolah-olah menunjukkan sesuatu yang mustahil bagi Allah S.W.T. Namun bagitu, mereka berselisih pendapat selepas itu sama ada untuk menerangkan makna maksudnya ataupun tidak, dan apabila terdapat di dalam al-Qur’an ataupun al-Sunnah sesuatu yang mengatakan seolah-olah Tuhan itu ada di suatu tempat atau berjisim atau berupa gambaran atau beranggota, maka Ahl al-Haq dan lain-lain selain Mujassimah dan Musyabbihah telah bersepakat untuk mentakwilkan yang demikian itu kerana wajib menjauhkan sifat Allah S.W.T. daripada apa yang difahamkan mengikut erti nas yang zahir .”

 

Penilaian semula:

Di atas adalah nukilan yang merupakan fitnah ke atas al-Baijuri. Ia adalah nukilan secara berpisah-pisah yang dicantumkan menjadi satu perenggan. Sila rujuk kepada kitab Tuhfat al-Murid Syarah Jauharah al-Tauhid pada ms. 104, Bab: Mazhab al-Salaf dan al-Khalaf tentang al-Mutasyabih dan mengelak dari yang zahir.

 

Pada awalnya al-Baijuri berkata:

 

وقوله: (ورم تنزيها) أي واقصد تنزيها له تعلى عما لا يليق به مع تفويض علم المعنى المراد, فظهر مما قررناه اتفاق السلف والخلف على التأويل الإجمالي, لأنهم يصرفون النص الموهم عن ظاهره المحال عليه تعلى, لكنهم اختلفوا بعد ذلك في تعيين المراد من ذلك النص وعدم التعيين.

 

Dan perkataannya (untuk mensucikan-Nya)[1], ia adalah tindakan untuk mensucikan-Nya (Allah) Ta’ala atas apa yang tidak layak bagi-Nya dengan menyerahkan ilmu, maksud dan kehendak (kepada Allah). Ini adalah kerana telah sepakat generasi al-Salaf dan al-Khalaf untuk mentakwilkan secara ijmali (umum, ringkas) akan zahir daripada penetapan (nas-nas al-Sifat) itu. Iaitu mereka mengalih pengertian nas yang secara zahirnya tidak mungkin lagi mustahil terhadap (Allah) Ta’ala. Walaubagaimanapun mereka berselisih sesudah itu sama ada untuk memperincikan maksud nas-nas tersebut atau tidak memperincikannya.

 

Apakah yang dimaksudkan oleh al-Baijuri dengan al-Takwil al-Ijmali yang dilakukan oleh generasi al-Salaf dan al-Khalaf ?

 

Seterusnya berkata al-Baijuri:

 

والحاصل أنه إذا ورد في القرآن أو السنة ما يشعر بإثبات الجهة أو الجسمية أو الصورة أو الجوارح, اتفق أهل الحق وغيرهم ما عدا المجسمة والمشبهة على تأويل ذلك لوجوب تنزيهه تعلى عما دل ما ذكر بحسب ظاهره.

Kesimpulannya jika terdapat dalam al-Qur’an atau al-Sunnah sesuatu yang seolah-olah menetapkan tempat atau jisim atau gambaran atau anggota (bagi Allah), telah bersepakat Ahl al-Haq dan lain-lain selain golongan al-Mujassimah dan al-Musyabbihah untuk mentakwilkannya kerana wajib mensucikan (Allah) Ta’ala daripada apa yang disebut secara zahir.

 

Sekali lagi, al-Takwil yang bagaimanakah yang dimaksudkan oleh al-Baijuri yang dilakukan oleh Ahl al-Haq ?

Jawapannya akan ditemui dalam penjelasan seterusnya oleh al-Baijuri di mana beliau telah mengemukakan beberapa nas-nas al-Sifat seperti Fauqa (Di atas), Istiwa’, Maji’ (Datang), Nuzul (Turun), Gambaran, Wajah, Tangan dan Jari. Bagi setiap sifat-sifat ini al-Baijuri akan menukil dua kaedah:

 

[1] Kaedah generasi al-Salaf yang hanya berkata:

“Kami tidak memiliki ilmu tentangnya” ( لا نعلمها ).

 

[2] Kaedah generasi al-Khalaf yang mentakwilkannya kepada beberapa erti tertentu.

 

Apabila generasi al-Salaf berkata“Kami tidak memiliki ilmu tentangnya”, yang dimaksudkan adalah ilmu tentang kaifiat, yakni bentuk, ciri-ciri dan tatacara sesuatu sifat tersebut. Mustahil untuk menganggap generasi al-Salaf tidak memiliki ilmu tentang makna dan tujuan sesuatu nas-al-Sifat yang dikhabarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sehingga menjadilah ia sesuatu yang sia-sia. Di sini tidak wujud percanggahan antara al-Baijuri dan Ibn Taimiyyah. Yang wujud hanyalah perbezaan pilihan di mana al-Baijuri memilih dua kaedah manakala Ibn Taimiyyah memilih satu kaedah, iaitu apa yang dipegangi oleh generasi al-Salaf.

 

 


[1]               Iaitu kata-kata al-Laqqani sepertimana yang telah dinukil dalam PENILAIAN NO: 51.

 

BAB D : KANDUNGAN