Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari oleh Hafiz Firdaus Abdullah |
Bab D: SYUBHAT DALAM KAEDAH IBN TAIMIYYAH TERHADAP NAS-NAS AL-SIFAT |
|
PENILAIAN SEMULA NO: 53
Dakwaan percanggahan Ibn Taimiyyah dengan al-Qurtubi.
Al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya Jamii li Ahkam al-Qur’an, jld. 2, ms. 12, tafsir terhadap ayat:
Maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat yang mutasyabihat untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari takwilnya [‘Ali Imran 3:07] telah menukil kata-kata gurunya seperti berikut:
قال شيخنا أبو العباس رحمة الله عليه: متبعو المتشابه لا يخلو أن يتبعوه ويجمعوه طلبا للتشكيك في القرآن وإضلال العوام، كما فعلته الزنادقة والقرامطة الطاعنون في القرآن؛ أو طلبا لاعتقاد ظواهر المتشابه، كما فعلته المجسمة الذين جمعوا ما في الكتاب والسنة مما ظاهره الجسمية حتى اعتقدوا أن البارئ تعالى جسم مجسم وصورة مصورة ذات وجه وعين ويد وجنب ورجل وأصبع، تعالى الله عن ذلك.
Kata-kata di atas telah digunakan oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah sebagai seolah-olah mengkritik dan menyanggahi kaedah pemahaman Ibn Taimiyyah terhadap nas-nas al-Sifat. Kata-kata di atas telah beliau terjemahkan sebagai berikut (Salafiyah Wahabiyah ms. 72):
“orang-orang yang mengikut mutasyabih itu hanyalah untuk mencari syak wasangka dan menyesatkan orang awam. Hal ini jelas sebagaimana yang telah dilakukan oleh golongan Zindik dan syiah al-Karamithah yang dicela di dalam al-Qur'an[1]. Mereka menuntut untuk berpegang kepada zahir mutasyabih sebagaimana yang telah dilakukan oleh golongan al-Mujassimah. Mereka telah mengumpul nas-nas al-Qur'an dan al-Sunnah secara zahir jismiyah sahaja. Sehingga mereka percaya bahawa Allah S.W.T. itu adalah objek yang berjisim, yang tergambar, mempunyai zat, wajah, mata, tangan, lambung, kaki dan jari. Maha Suci Allah daripada semua ini.”
Penilaian semula: Kata-kata guru al-Qurtubi di atas sebenarnya ditujukan kepada orang-orang yang suka bermain dengan ayat-ayat al-Mutasyabihats dan menafsirkan nas-nas al-Sifat yang tergolong dalamnya secara zahir istilah, makna dan kaifiat sehingga mereka yang menyerupakan sifat-sifat Allah dengan makhluk-Nya. Mereka ini dikenali sebagai golongan Musyabbihah. Ia juga ditujukan kepada golongan al-Mujassimah, iaitu mereka yang berpendapat Allah berjisim sebagaimana lain-lain makhluk-Nya.
Kedua-dua golongan ini dan pendapat mereka tidaklah mewakili pendapat Ibn Taimiyyah. Sepertimana yang telah diterangkan sebelum ini Ibn Taimiyyah menerima sifat-sifat Allah tanpa menyerupakannya dengan mana-mana makhluk kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:
Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia [maksud surah al-Syura 42:11]
Lebih dari itu Ibn Taimiyyah berkata kesamaan istilah dan makna tidaklah bererti kesamaan kaifiat. Oleh itu apabila beliau menetapkan sifat Wajah, Mata, Tangan dan sebagainya terhadap Allah Ta’ala sebagaimana yang ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, ia hanyalah bererti kesamaan istilah dan makna dan bukannya kesamaan sifat dengan lain-lain makhluk Allah yang berjisim.
Sebelum ini dalam PENILAIAN SEMULA NO: 2 telahpun dikemukakan kata-kata Ishaq bin Ibrahim sebagaimana yang dinukil oleh al-Tirmizi, bahawa tasybih (penyerupaan) hanyalah apabila seseorang itu berkata sifat Allah adalah seperti sifat makhluk-Nya. Jika seseorang itu menyebut sifat Allah tanpa menyerupakannya dan dia mengetahui bahawa sifat tersebut tidak sama dengan mana-mana makhluk, maka orang tersebut tidak digelar sebagai seorang al-Musyabbihah.
Berikut dinukil semula kata-kata tersebut supaya para pembaca tidak terikut sama dengan permainan penyusun Salafiyah Wahabiyah: Dan berkata Ishaq bin Ibrahim: “Sesungguhnya yang dianggap “tasybih” (penyerupaan dengan makhluk) hanyalah apabila seseorang berkata Tangan sepertimana tangan (makhluk) atau seumpama tangan (makhluk), Pendengaran sepertimana pendengaran (makhluk) atau seumpama pendengaran (makhluk). Justeru apabila seseorang berkata Pendengaran sepertimana pendengaran (makhluk) atau seumpama pendengaran (makhluk) maka barulah ia dianggap sebagai penyerupaan.
Namun apabila seseorang berkata sebagaimana firman Allah Ta’ala di dalam kitab-Nya (al-Qur’an): Tangan dan Pendengaran dan Penglihatan tanpa dikatakan bagaimana (bentuknya) dan tidak dikatakan seumpama pendengaran (makhluk) dan tidak juga dikatakan sepertimana pendengaran (makhluk) maka ini tidak dianggap sebagai penyerupaan. Malah ia adalah sepertimana firman Allah Ta’ala di dalam kitab-Nya (al-Qur’an): Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
[1] Terjemahan yang tepat: mencela al-Qur’an, merujuk kepada tindakan golongan Zindik dan Syi‘ah Karamithah yang tidak mengikuti al-Qur’an bahkan menyelisihinya. Inilah yang dimaksudkan sebagai mencela al-Qur’an.
|
| BAB D : KANDUNGAN |