Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari oleh Hafiz Firdaus Abdullah |
Bab D: SYUBHAT DALAM KAEDAH IBN TAIMIYYAH TERHADAP NAS-NAS AL-SIFAT |
|
PENILAIAN SEMULA NO: 52
Dakwaan percanggahan Ibn Taimiyyah dengan Ibn al-Jauzi.
Disebut dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 71-72:
Salah seorang sejarahwan yang ulung Hanabilah turut menegah daripada mempraktikkan nas yang zahir. Buktinya di dalam kitab “Daf’u Syubhah al-Tasybih” (m.s. 97-100) beliau menegaskan: ……[1]
Penilaian semula: Jika dikaji keseluruhan buku Daf’u Syubhat al-Tashbih karya Ibn al-Jauzi (597H) tanpa terpengaruh dengan penjelasan notakaki Hasan al-Saqqaf, akan didapati buku ini sebenarnya membahas dan membetulkan kekeliruan sebahagian umat di zaman Ibn al-Jauzi yang ingin mengikuti Mazhab al-Salaf khasnya Mazhab Ahmad bin Hanbal dalam memahami nas-nas al-Sifat.
Akan tetapi mereka (umat di zaman Ibn al-Jauzi) terkeliru antara kaedah Ahl al-Sunnah dan Ahl Zahir sehingga mereka akhirnya memahami nas-nas al-Sifat secara zahir dari sudut istilah, makna dan kaifiat. Kekeliruan ini menyebabkan mereka menganggap Allah memiliki wajah serta anggota tubuh dan bersemayam di atas ‘Arasy dengan Dzat-Nya, yakni duduk sebagaimana makhluk duduk. Inilah yang dibahas dan ditolak oleh Ibn al-Jauzi.[2] Untuk membetulkan kekeliruan ini Ibn al-Jauzi telah menghimpun 60 buah hadis yang masyhur disalahertikan dalam bab ini lalu kemudian beliau:
أحداها: إمرارها على ما جاءت من غير تفسير ولا تأويل, إلا أن تقع ضرورة كقوله ((جاء ربك)) أي جاء أمره وهذا مذهب السلف.
Pertama: Menerimanya sebagaimana ia dikhabarkan tanpa ditafsir maksudnya mahupun ditakwilkan kecuali dalam suasana darurat sebagaimana tentang firman Allah: “Dan telah datang Rabb engkau” [al-Fajr 89:22] (maka ia ditakwilkan ) sebagai datangnya perintah Allah.[4] Inilah Mazhab al-Salaf.
الثانية: التأويل وهو مقام خطر على ما سبق بيانه.
Kedua: Mentakwilkannya, (akan tetapi) ini adalah perbuatan yang merbahaya sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.
Penekanan Ibn al-Jauzi di atas kaedah al-Salaf diulangi beliau dalam sebuah kitabnya yang lain yang masyhur: Talbis Iblis. Di sana Ibn al-Jauzi telah membahas kekeliruan sebahagian umat yang mengikuti belitan Iblis sehingga terpengaruh dengan ilmu kalam dalam subjek Tauhid al-Asma’ wa al Sifat. Setelah membahas dan menerangkan kekeliruan mereka Ibn al-Jauzi merumuskan:[5]
فإن قال قائل قد عبد طريق المقلدين في الأصول وطريق المتكلمين فما الطريق السليم من تلبيس إبليس؟
فالجواب أنه ما كان عليه رسول الله صلى الله عليه وعلى آله وسلم وأصحابه وتابيعهم بإحسان من إثبات الخالق سبحانه وإثبات صفاته على ما وردت به الآيات والأخبار من غير تفسير ولا بحث عما ليس في قوة البشر إرداكه.
Maka apabila ada orang mengatakan: Sungguh engkau telah banyak memperkatakan (mengkritik) ke atas orang-orang yang memperhambakan dirinya kepada jalan (kaedah) ahli taklid dalam ilmu Usul dan kepada jalan (kaedah) para ahli kalam, maka apakah jalan yang selamat untuk menghindari diri daripada belitan Iblis ?
Jawapannya: Sesungguhnya (jalan yang selamat) adalah apa yang berada di atasnya Rasulullah – sallallahu ‘alahi wa ‘ala Alihi wasallam – dan para sahabatnya dan para tabi‘in (generasi al-Salaf) (kerana) merekalah yang terbaik dalam menetapkan wujudnya Allah – Maha Suci Dia – dan menetapkan sifat-sifat-Nya sesuai dengan apa yang disampaikan oleh ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis tanpa menafsirkan atau membahasnya atas apa yang sememangnya tidak mampu untuk dicapai oleh akal manusia tentang maksud yang dikehendaki olehnya.
Dua nukilan di atas dari kitab Daf’u Syubhat al-Tasybih dan Talbis Iblis mewakili pendapat sebenar Ibn al-Jauzi dalam subjek Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat. Jelas kepada kita bahawa tidak ada percanggahan antara pendapat Ibn al-Jauzi dan Ibn Taimiyyah di mana kedua-duanya memilih untuk tidak mentakwilkan nas-nas al-Sifat. [1] Penyusun Salafiyah Wahabiyah seterusnya menukil dan menterjemah kata-kata Ibn al-Jauzi. Sebenarnya nukilan beliau adalah secara berpisah-pisah yang kemudiannya dicantumkan seolah-olah ia adalah satu kenyataan yang lengkap. Tindakan yang tidak berdisiplin ini telah dilakukan beberapa kali oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah sepertimana yang telah dikemukakan sebelum ini. [2] Perhatikan sahaja tajuk buku di mana Ibn al-Jauzi telah menulisnya sebagai Daf’u Syubhat al-Tasybih yang bererti Menolak kekeliruan orang yang menyerupakan (tasybih) Allah dengan makhluk. Ibn al-Jauzi tidak menjudulkan bukunya sebagai Daf’u Syubhat al-Tafwidh. [3] Lihat Daf’u Syubhat al-Tasybih, ms. 224, perbahasan hadis no: 31. Ibn al-Jauzi sebenarnya mengemukakan 3 kaedah, dua yang pertama telah penulis kemukakan di atas manakala yang ketiga tidak penulis kemukakan kerana ia sebenarnya adalah kaedah orang-orang yang keliru dan jahil di mana mereka berinteraksi dengan nas-nas al-Sifat berdasarkan logik dan bukannya ilmu yang sebenar. Kaedah yang ketiga ini telah dibahas dan ditolak oleh Ibn al-Jauzi, lihat ms. 225. [4] Ini adalah dakwaan takwilan Ahmad bin Hanbal sebagaimana yang telah dibahas dalam PENILAIAN SEMULA NO: 22. [5] Talbis Iblis (tahqiq: Aiman Shaleh; Dar al-Hadith, Kaherah 1999), ms. 92 (Bab Belitan Iblis kepada orang-orang yang bertaklid dalam urusan ‘Aqidah, Larangan daripada menceburi Ilmu Kalam). Bagi edisi terjemahan, lihat Belitan Iblis (terj: Syed Ahmad Semait; Pustaka Islamiyah, Singapura 1994), ms. 160-161.
|
| BAB D : KANDUNGAN |