Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'

73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari

oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

Bab D: SYUBHAT DALAM KAEDAH IBN TAIMIYYAH TERHADAP NAS-NAS AL-SIFAT

PENILAIAN SEMULA NO: 51

 

Dakwaan percanggahan Ibn Taimiyyah dengan al-Laqqani.

 

Penyusun Salafiyah Wahabiyah seterusnya mengemukakan pendapat Burhan al-Din Ibrahim bin Hassan al-Laqqani (1041H) sebagai bukti percanggahan dengan kaedah Ibn Taimiyyah dalam memahami nas-nas al-Sifat. Berkata al-Laqqani dalam Jauharah al-Tauhid, ms. 103 sepertimana yang dinukil dan diterjemahkan dalam Salafiyah Wahabiyah, ms. 71:

 

“Setiap nas mutasyabih yang mempunyai kesamaran, maka takwillah atau tafwidkanlah untuk mensucikan-Nya.”

 

Penilaian semula:

al-Laqqani di atas telah memberikan dua kaedah untuk memahami nas-nas al-Sifat, iaitu kaedah al-Takwil dan al-Tafwidh. Akan tetapi tidak berlebihan jika disimpulkan bahawa al-Laqqani sebenarnya mengunggulkan kaedah al-Tafwidh di atas kaedah al-Takwil. Ini adalah berdasarkan keumuman kata-kata beliau dalam kitabnya yang sama, ms. 231:

 

فكل خير في اتباع من سلف وكل شر في ابتداع من خلف.

 

Setiap kebaikan adalah dengan mengikuti al-Salaf dan setiap keburukan adalah perkara baru (yang direka) oleh al-Khalaf.

 

Sedia diketahui bahawa kaedah yang dipegangi oleh generasi al-Salaf ialah kaedah al-Tafwidh.[1] Justeru tidak ada percanggahan antara al-Laqqani dan Ibn Taimiyyah.


 

[1]               Kaedah al-Tafwidh memiliki beberapa maksud, sila lihat penjelasan lanjut tentangnya di PENILAIAN SEMULA NO: 62.

 

BAB D : KANDUNGAN