Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'

73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari

oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

Bab D: SYUBHAT DALAM KAEDAH IBN TAIMIYYAH TERHADAP NAS-NAS AL-SIFAT

 

PENILAIAN SEMULA NO: 50

 

Dakwaan percanggahan Ibn Taimiyyah dengan al-Nawawi.

 

Penyusun Salafiyah Wahabiyah ms. 70-71 seterusnya menukil dan menterjemah kata-kata Muhyiddin al-Nawawi (676H) dalam kitabnya Syarah Sahih Muslim, jld. 2, ms. 299 (Kitab al-Iman, Bab Ma’rifah Thariq al-Ru’yah) sebagai bukti kononnya ia bercanggah dengan kaedah pemahaman Ibn Taimiyyah terhadap nas-nas al-Sifat. Marilah kita mengkaji kata-kata al-Nawawi:

 

اعلم أن لأهل العلم في أحاديث الصفات وآيات الصفات قولين:

أحدهما وهو مذهب معظم السلف أو كلهم أنه لا يتكلم في معناها بل يقولون: يجب علينا أن نؤمن بها ونعتقد لها معنى يليق بجلال الله تعالى وعظمته مع اعتقادنا الجازم أن الله تعالى ليس كمثله شيء، وأنه منزه عن التجسم والانتقال والتحيز في جهة وعن سائر صفات المخلوق، وهذا القول هو مذهب جماعة من المتكلمين واختاره جماعة من محققيهم وهو أسلم.

والقول الثاني: وهو مذهب معظم المتكلمين أنها تتأول على ما يليق بها على حسب مواقعها، وإنما يسوغ تأويلها لمن كان من أهله بأن يكون عارفاً بلسان العرب وقواعد الأصول الفروع ذا رياضة في العلم

Kata-kata al-Nawawi ini telah diterjemahkan oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah:[1]

 

“Ketahuilah, terdapat dua pendapat di kalangan Ahli ilmu berhubung dengan ayat-ayat dan hadith-hadith al-Sifat; salah satu daripadanya ialah pendapat kebanyakan al-Salaf atau kesemua daripada mereka {bahawa sesungguhnya mereka} itu tidak bercakap tentang maknanya.  Bahkan mereka berkata “Kita wajib beriman dan beri’tiqad dengan nas tersebut berdasarkan makna yang layak dengan kemuliaan {Allah Ta’ala} dan kebesaran-Nya  [inilah yang dikatakan al-Tafwid] dengan berpegang bahawa Allah {Ta’ala} tidak menyerupai sesuatu. Sesungguhnya, maha suci Allah daripada tajsim, berpindah, mengambil ruang pada suatu tempat dan maha suci Allah daripada menyerupai sifat-sifat makhluk.  Inilah pendapat yang dipegang oleh sebahagian daripada ulama' al-Mutakallimin (ulama'-ulama' kalam) dan menjadi pilihan oleh sebahagian pengkaji mereka dan pendapat ini aslam (lebih selamat).”

“Pendapat yang kedua pula ialah pendapat kebanyakan daripada al-Mutakallimin.  Mereka mentakwilkan nas-nas tersebut mengikut keadaannya yang tertentu.  Keharusan untuk mentakwil nas adalah khusus bagi mereka yang mengetahui bahasa Arab dan memahami kaedah usul dan cabang berlandaskan ilmu pengetahuan yang mendalam.”

 

Penilaian semula:

Di atas al-Nawawi telah menerangkan dua kaedah yang wujud di sisi Ahl Ilmu untuk memahami nas-nas al-Sifat. Yang pertama adalah kaedah al-Tafwidh manakala yang kedua adalah kaedah al-Takwil. Berkata al-Nawawi bahawa kaedah al-Tafwidh adalah yang lebih selamat berbanding kaedah al-Takwil. Di sini jelas kelihatan isyarat al-Nawawi yang mengunggulkan kaedah al-Tafwidh di atas kaedah al-Takwil. Kaedah al-Tafwidh yang ini merupakan pegangan generasi al-Salaf dan juga Ibn Taimiyyah.[2] Justeru tidak ada percanggahan antara al-Nawawi dan Ibn Taimiyyah.


 

[1]               Yang terletak dalam kurungan: {   } adalah pembetulan atau tambahan terjemahan daripada penulis sendiri manakala dalam kurungan [  ] dan (  ) adalah penjelasan penyusun Salafiyah Wahabiyah.

[2]               Kaedah al-Tafwidh memiliki beberapa maksud, sila lihat penjelasan lanjut tentangnya di PENILAIAN SEMULA NO: 62.

 

BAB D : KANDUNGAN