Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari oleh Hafiz Firdaus Abdullah |
Bab D: SYUBHAT DALAM KAEDAH IBN TAIMIYYAH TERHADAP NAS-NAS AL-SIFAT |
|
PENILAIAN SEMULA NO: 41
Kritikan Ibn Taimiyyah terhadap takwilan al-Tirmizi.
Disebut dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 65:
Di dalam kitabnya “al-Mukhtasar al-Sowai'q al-Mursalah” (ms. 275, jld. 2) Ibn Qayyim mengatakan: وأما تأويل الترمذي وغيره له بالعلم. فقال شيخنا, هو ظاهر الفساد من جنس تأويلات الجهميه Maksudnya: “...Takwilan al-Tirmizi dan selainnya adalah berdasarkan ilmu, Maka Tuan Guru kami (Ibn Taimiyyah) berkata: “Dialah penzahir kerosakan (mutakwil) daripada jenis takwilan Jahmiyah…”[1] Persoalan kita di sini ialah mengapakah Syeikh al-Harrani dan muridnya itu boleh menyifatkan takwilan Imam al-Tirmizi (pemilik sunan) sebagai satu takwilan buruk al-Jahmiyah.
Penilaian semula: Kritikan di atas sebenarnya berpunca daripada hadis berikut, diriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
وَالَّذِي نَفْسُ مُحمَّدٍ بِيَدِهِ لَوْ أَنَّكُمْ دَلَّيْتُمْ رَجُلاً بِحَبْلٍ إِلَى الأَرْضِ السُّفْلَى لَهَبَطَ عَلَى الله. ثُمّ قَرأَ ((هُوَ الأَوَّلُ والآخِرُ والظَّاهِرُ والبَاطِنُ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ)).
Demi yang nyawa Muhammad yang berada di Tangan-Nya, seandainya kamu melepaskan seorang lelaki yang berpaut kepada seutas tali ke bumi yang paling di bawah, nescaya ia turun ke atas Allah. Kemudian baginda membaca ayat: “Dialah Yang Awal dan Yang Akhir, Yang Zhahir dan Yang Batin; dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.” [al-Hadid 57:03][2]
Setelah mengemukakan hadis ini berkata al-Tirmizi:
وفسر بعض أهل العلم هذا الحَديث فقالوا إنما هبط على علم الله وقدرته وسلطانه، وعلم الله وقدرته وسلطانه في كل مكان وهو على العرش كما وصف في كتابه.
Sebahagian ahli ilmu menafsirkan hadis ini, mereka berkata sesungguhnya dia hanyalah turun atas Ilmu Allah dan Kudrat-Nya dan Kekuasaan-Nya kerana Ilmu Allah dan Kudrat-Nya dan Kekuasaan-Nya berada di setiap tempat dan Dia (Allah) Di Atas al-‘Arasy sebagaimana yang dijelaskan dalam kitab-Nya (al-Qur’an).
Penjelasan di atas bukanlah kata-kata al-Tirmizi tetapi adalah nukilan beliau terhadap pendapat sebahagian ahli ilmu. Mereka berpendapat bahawa orang yang berpaut kepada tali tersebut sebenarnya turun atas Ilmu Allah selari dengan ayat ke 3 surah Hadid. Lelaki yang berpaut kepada tali tersebut tidak turun di atas Allah kerana sedia diketahui bahawa Allah berada Di Atas ‘Arasy Di Atas langit dan bukannya di dalam bumi.
Namun kata-kata “Ilmu Allah dan Kudrat-Nya dan Kekuasaan-Nya berada di setiap tempat……” boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang yang tidak faham dan menjadi hujah bagi golongan al-Jahmiyyah yang memegang kepada pendapat bahawa Allah berada di setiap tempat. Maka kerana itulah Ibn Taimiyyah mengkritik pendapat di atas. Kritikan Ibn Taimiyyah bukanlah kerana nukilan al-Tirmizi adalah salah secara keseluruhannya tetapi adalah kerana sebahagian kata-kata yang terkandung di dalamnya yang boleh mengakibatkan kekeliruan dan fitnah bagi segelintir umat, khasnya golongan al-Jahmiyyah. [1] Rujukan seperti di atas, Bab Tentang al-Ma‘iyah (Kebersamaan). Terjemahan yang tepat adalah: “Dan adapun takwilan al-Tirmizi dan lain-lain terhadapnya sebagai “ilmu” , maka berkata Shaikh kami……..” Ini adalah kerana jika dirujuk kepada seluruh perbincangan dari awal, ia adalah tentang takwilan kepada erti ilmu. Jelas di sini bahawa penyusun Salafiyah Wahabiyah tidak membaca kitab Ibn al-Qayyim tetapi hanya menukil dengan terjemahan harfiah dari tulisan al-Saqqaf. Bagi perbincangan selengkapnya sila lihat:
Hujah di atas asalnya dikemukakan oleh Hasan al-Saqqaf dalam Sahih al-‘Aqidah al-Thahawiyyah, ms. 171. [2] Dha‘if: Sebahagian hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan kata beliau: Hadis ini gharib dari sanad ini. Sanadnya dha‘if kerana al-Hasan tidak mendengar daripada Abu Hurairah. Lihat Dha‘if Sunan al-Tirmizi – no: 3298 (Kitab Tafsir, Bab Tafsir surah Hadid).
|
| BAB D : KANDUNGAN |