Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari oleh Hafiz Firdaus Abdullah |
Bab C: Syubhat dalam pegangan (i’tiqad) terakhir Abu al-Hasan al-Asya‘aridan asal usul kitab al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah |
|
PENILAIAN SEMULA NO: 33
Adakah selama 40 tahun al-Asya‘ari tidak mengetahui ajaran gurunya al-Juba’i ?
Disebut dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 55-56 sebagai lanjutan daripada perbahasan fahaman al-Mu’tazilah tentang tempat bagi Allah:
Seterusnya, Imam Asya‘ari sendiri pernah bergurukan kepada Abu Ali Jubai yang berfahaman Mu’tazilah. Apakah setelah beliau belajar lebih 40 tahun, baru beliau mengetahui konsep Mu’tazilah yang berbunyi “Tuhan itu berada pada setiap tempat.” Maka secara jelas, perkataan yang bersifat kecaman daripada Imam al-Asya‘ari tadi (jika benar) merupakan satu tuduhan terhadap golongan Mu’tazilah. Perbuatan seperti ini secara langsung boleh menggugurkan kredibilitinya sebagai seorang Imam ikutan ummah. Mengapa hal seperti ini boleh berlaku kepada seorang yang bergelar al-Imam?.
Penilaian semula: Jika dikaji semula nukilan al-Baghdadi dalam kitabnya al-Farq baina al-Firaq tentang fahaman-fahaman Muhammad bin Abd al-Wahab al-Juba’i akan ditemui beberapa contoh di mana al-Asya‘ari telah berdialog dengan gurunya al-Juba’i dan berbeza pendapat dengannya. Malah adakalanya al-Asya‘ari menolak secara keras pendapat gurunya dalam hal-hal tertentu. Semua ini menunjukkan bahawa al-Asya‘ari bukanlah merupakan seorang murid yang hanya tunduk kepada gurunya tetapi beliau adalah seorang tokoh memiliki prinsip tersendiri dan tidak akan menggadaikannya sekalipun terhadap gurunya.
Oleh itu boleh dianggap bahawa al-Asya‘ari sebenarnya mengetahui fahaman gurunya tentang persoalan “Di manakah Allah ?” dan beliau tidak bersetuju dengannya. Akan tetapi hal ini pada awalnya tidaklah menjadi faktor untuk al-Asya‘ari meninggalkan gurunya. Hanya setelah beberapa ketika setelah dilihat gurunya makin jauh dengan pelbagai fahaman yang aneh barulah al-Asya‘ari meninggalkan gurunya secara total.
Hal ini tidaklah menggugurkan kredibiliti al-Asya‘ari walau sedikit jua. Malah keteguhan al-Asya‘ari dalam berpegang kepada prinsipnya dan keberanian beliau untuk berbeza pendapat sehingga akhirnya meninggalkan gurunya sebenarnya menambah dan meninggikan lagi kredibiliti beliau. Yang menggugurkan kredibiliti seseorang hanyalah apabila dia tahu gurunya salah tetapi dia enggan menegur mahupun meninggalkannya akan tetapi tetap berdampingan atas sikap taksub dan fanatik. |
| BAB C : KANDUNGAN |