Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari oleh Hafiz Firdaus Abdullah |
Bab C: Syubhat dalam pegangan (i’tiqad) terakhir Abu al-Hasan al-Asya‘aridan asal usul kitab al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah |
|
PENILAIAN SEMULA NO: 32
Kitab al-Ibanah mendakwa golongan al-Mu’tazilah berpendapat Allah berada di setiap tempat dan ini bertentangan dengan Ijma’.
Disebut dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 55:
Selain itu, kata-kata Imam Abu Hassan al-Asya‘ari yang disandarkan kepada Mu’tazilah menimbulkan sedikit kontroversi. Contohnya, imam Asya‘ari mendakwa bahawa Mu’tazilah mengatakan “Tuhan itu berada pada setiap tempat”. Dakwaan ini boleh kita pertikaikan. Pertikaian ini sah dari sudut ilmiyah kerana selepas kita meneliti kitab-kitab mu‘tabar Mu’tazilah, kita tidak mendapati kata-kata ini wujud dalam pegangan mereka. Bahkan semua kumpulan mazhab telah bersepakat dengan mengatakan “Tuhan itu tidak diliputi dengan tempat dan tidak terkesan dengan peredaran masa”. Pernyataan ini adalah satu ijma’. Sekiranya Mu’tazilah mengatakan sedemikian nescaya Ijma’ tidak berlaku. Sebabnya, ketentuan Ijma’ itu adalah harus disepakati semua umat Islam walaupun berlainan mazhab. Justeru itu, jika Ijma’ itu berlaku bermakna dakwaan Asya‘ari terhadap Mu’tazilah adalah tidak benar.
Penilaian semula: Pertikaian di atas adalah tidak sah dari sudut ilmiah kerana tiga sebab:
Pertama: Tidak diketahui setakat mana penyusun Salafiyah Wahabiyah telah membuat kajian untuk membuat rumusan bahawa fahaman “Tuhan itu berada pada setiap tempat” tidak wujud dalam kitab-kitab muktabar Mazhab al-Mu’tazilah.
Bagi penulis adalah memadai dengan merujuk kepada keterangan Abu al-Hasan al-Asya‘ari kerana beliau adalah antara orang yang paling mengenali Mazhab al-Mu’tazilah sama ada secara keseluruhan atau pembahagian-pembahagiannya. Ini adalah kerana al-Asya‘ari sebelum ini telah mengikuti fahaman al-Mu’tazilah dan telah berguru dengan salah seorang tokohnya: Muhammad bin Abd al-Wahab al-Juba’i selama lebih kurang 40 tahun.
Fahaman Mazhab al-Mu’tazilah bahawa “Allah berada di semua tempat” disebut oleh al-Asya‘ari dalam al-Ibanah, Bab al-Istiwa’ ‘ala al-‘Arasy. Fahaman ini kemudiannya dijelaskan secara lebih terperinci oleh al-Asya‘ari dalam kitabnya Maqalat al-Islamiyyin wa Ikhtilaf al-Musollin. Dalam perbahasan khas tentang Mazhab al-Mu’tazilah, al-Asya‘ari menerangkan bahawa:[1]
القول في المكان: اختلفت المعتزلة في ذلك, فقال قائلون: البارئ بكل مكان بمعنى أنه مدبر لكل مكان, وأن تدبيره في كل مكان, والقئلون بهذا القول جمهور المعتزلة أبو الهذيل و والجعفران و الإسكافى و محمد بن عبد الوهاب الجبأى.
Pendapat tentang tempat (bagi Allah): Para al-Mu’tazilah berbeza pendapat tentang hal ini, sebahagian mereka berkata Allah berada pada setiap tempat dengan maksud Dia mentadbir (urusan alam dan makhluk) di setiap tempat sehingga pentadbiran-Nya juga berada di setiap tempat. Pendapat ini dikemukakan oleh jumhur tokoh al-Mu’tazilah seperti Abu al-Huzail (Muhammad Huzail al-‘Allaf) dan al-Ja’far yang dua (Ja’far bin Harb bin Maisarah & Ja’far Mubashshir) dan al-Iskafi (Abu Ja’far Muhammad bin Abdullah al-Iskafi) dan Muhammad bin Abd al-Wahab al-Juba’i.
Seterusnya al-Asya‘ari menerangkan bahawa sebahagian lain tokoh al-Mu’tazilah berpendapat Allah tidak bertempat.
Dari keterangan al-Asya‘ari jelas bahawa sebahagian besar tokoh al-Mu’tazilah berpendapat Allah berada pada setiap tempat manakala sebahagian yang lain menafikan bahawa Allah bertempat.
Kedua: Ijma’: “Tuhan itu tidak diliputi dengan tempat dan tidak terkesan dengan peredaran masa” asalnya disebut oleh ‘Abd al-Qadir al-Baghdadi (429H) di dalam kitabnya al-Farq baina al-Firaq, ms. 333 (Bab ke 3 daripada Bab Usul yang disepakati atasnya oleh Ahl al-Sunnah). Perlu diketahui bahawa:
Ketiga: Dakwaan: “……ketentuan Ijma’ itu adalah harus disepakati semua umat Islam walaupun berlainan mazhab” adalah tidak benar. Apabila dikatakan ijma’ , ia adalah apa yang disepakti oleh Ahl al-Haq yang berdiri di atas asas-asas al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Mereka inilah yang dikenali sebagai Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Ijma’ tidak mengambil kira semua mazhab kerana sama-sama kita ketahui bahawa terdapat banyak mazhab yang salah dan terkeluar daripada Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah.
Tiga penjelasan di atas membatalkan pertikaian penyusun Salafiyah Wahabiyah dalam bab ini dan sekaligus membuktikan betapa rendahnya ukuran ilmiah yang beliau gunakan dalam sesuatu penilaian. [1] Maqalat al-Islamiyyin wa Ikhtilaf al-Musollin (tahqiq: Muhammad Muhyi al-Din ‘Abd al-Hamid; Maktabah al-‘Asriyyah, Beirut 1999), jld. 1, ms. 236-237. Edisi yang sama juga telah diterjemahkan atas judul Prinsip-prinsip Dasar Aliran Theologi Islam (terj: Nasir Yusuf & Karsidi Diningrat; Pustaka Setia, Bandung 1998), jld. 1, ms. 221. [2] Lihat al-Farq baina al-Firaq, ms. 313 dan seterusnya (Bab pada menjelaskan kategori Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah dan mereka terbahagi kepada 8 kategori). [3] Lihat bahagian awal al-Farq baina al-Firaq. [4] Lihat al-Farq baina al-Firaq, ms. 184.
|
| BAB C : KANDUNGAN |