Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari oleh Hafiz Firdaus Abdullah |
Bab C: Syubhat dalam pegangan (i’tiqad) terakhir Abu al-Hasan al-Asya‘aridan asal usul kitab al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah |
|
PENILAIAN SEMULA NO: 31
Kitab al-Ibanah menjurus kepada Tajsim.
Disebut dalam Salafiyah Wahabiyah, ms. 55:
Sebaliknya, jika dinilai secara
mendalam kata-kata Abu Hassan al-Asya‘ari ia lebih menjurus
kearah tajsim. Buktinya, jika benar “al-Ibanah”
ini karangan beliau, bagaimanakah beliau boleh mengatakan
“tangan Allah (secara) hakikat”?. Hal ini sekaligus menolak
pengertian makna
Penilaian semula: Kata-kata Abu Hassan al-Asya‘ari dalam kitab al-Ibanah tentang sifat Tangan adalah seperti berikut:[1]
وأن له يدي بلا كيف. Dan sesungguhnya bagi-Nya (Allah) Dua Tangan tanpa kaifiat (tanpa dipersoalkan bagaimana bentuk atau ciri-cirinya).Kemudian Abu Hassan al-Asya‘ari mengemukakan dua ayat berikut sebagai dalil:
Allah berfirman: “Wahai iblis, apakah yang menghalangi kamu sujud kepada yang telah Ku-ciptakan dengan kedua Tangan-Ku.” [Saad 38:75]
Orang-orang Yahudi berkata: “Tangan Allah terbelenggu”, sebenarnya tangan merekalah yang dibelenggu dan merekalah yang dilaknat disebabkan apa yang telah mereka katakan itu. (Tidak demikian), tetapi kedua-dua Tangan Allah terbuka. [al-Maidah 5:64]
Dari kata-kata Abu Hassan al-Asya‘ari tersebut jelas bahawa beliau hanya menetapkan sifat Tangan secara zahir berdasarkan istilah dan makna tanpa membicarakan bentuk atau ciri-ciri Tangan tersebut (kaifiat) melainkan diserahkan kepada Allah ‘Azza wa Jalla.
Jelas Abu Hassan al-Asya‘ari sebenarnya mengamalkan kaedah Ahl al-Sunnah terhadap sifat Tangan dan beliau tidak menjisimkannya (tajsim). Dakwaan penyusun Salafiyah Wahabiyah adalah dusta semata-mata.
Di sini sekali lagi terdapat contoh yang baik tentang fitnah tuduhan tajsim dan al-Mujassimah yang sering dilontarkan oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah ke atas tokoh-tokoh Islam. Jelas bahawa yang tertuduh tidaklah sepertimana yang dituduh.
[1] Lihat al-Ibanah (tahqiq: Basyir M. ‘Uyun; Univ. Islam Madinah, 1413H), ms. 53 (Bab ke-2: Pendapat Ahl al-Haq wa al-Sunnah). Lihat juga ms. 131 bagi perbincangan tentang sifat Tangan. Bagi edisi terjemahan lihat Pokok-pokok Ajaran Dien (terj: Abu Fahmi & Ibnu Marjan; Gema Insani Press, Jakarta 1993), ms. 25 (Bab Penjelasan tentang pernyataan Ahl Haq dan Sunnah). Perlu diingatkan bahawa edisi ini merupakan terjemahan ringkas.
|
| BAB C : KANDUNGAN |