Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'

73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari

oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

Bab C: Syubhat dalam pegangan (i’tiqad) terakhir Abu al-Hasan al-Asya‘ari

dan asal usul kitab al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah

  

PENILAIAN SEMULA NO: 30

 

Kandungan al-Ibanah bertentangan dengan apa yang dijelaskan oleh lain-lain tokoh al-Asya‘irah.

 

Disebut dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 55:

 

Apa yang ditulis di dalam kitab “al-Ibanah” sebenarnya bertentangan dengan apa yang dijelaskan oleh tokoh ulama’ al-Asya‘irah. Antara mereka seperti Imam al-Haramain, Imam al-Laqqani, al-Baajuri, al-Ghazali, al-Razi dan lain-lain.

 

Penilaian semula:

Semua tokoh di atas adalah mujtahid yang boleh berijtihad kepada pendapat mereka yang tersendiri. Mereka tidak terikat kepada Abu al-Hasan al-Asya‘ari atau kitabnya al-Ibanah. Oleh itu adalah satu kebiasaan jika mereka berbeza pendapat.

 

Satu contoh perbezaan pendapat yang jelas dalam bab ini ialah apa yang dikemukakan oleh Imam al-Haramain dalam kitabnya al-Irshad ila Qawati’ al-Adilla fi Usul al-I’tiqad[1] di mana beliau telah menulis:[2]

 

Sebahagian daripada guru-guru kami menetapkan bahawa Dua Tangan, Dua Mata dan Wajah adalah sifat-sifat Allah yang sebenar dan ini dibuktikan oleh al-Hadis dan bukan penalaran. Namun bagi kami apa yang benar tangan itu adalah kekuasaan, mata adalah pemerhatian dan wajah adalah kewujudan.

 

Perhatikan bahawa Imam al-Haramain telah menerangkan pegangan guru-gurunya yang menetapkan (ithbat) sesuatu al-Sifat tanpa mentakwilkannya. Namun Imam al-Haramain tetap memilih untuk mentakwilkan al-Sifat kepada erti yang lain. Justeru adalah merupakan satu kelaziman jika seseorang mujtahid itu berbeza pendapat dengan guru mereka.

 

 

[1]               Rujukan penulis ialah edisi yang telah diterjemahkan atas judul A Guide to Conclusive Proofs for the Principles of Belief oleh Paul E. Walker dan disemak oleh Muhammad S. Eissa. Diterbitkan oleh The Centre for Muslim Contribution to Civilization, Qatar & Garnet Publishing, UK 2000.

[2]               Ibid., ms. 86 (Bab Maksud nama-nama Allah yang Maha Agung). Kitab ini mewakili pegangan awal Imam al-Haramain. Beliau akhirnya telah kembali kepada pegangan al-Salaf yang tidak mentakwilkan nas-nas al-Sifat sepertimana yang akan dibahas dalam PENILAIAN SEMULA NO: 47 & 49 nanti, insya-Allah.

 

BAB C : KANDUNGAN