Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari oleh Hafiz Firdaus Abdullah |
Bab C: Syubhat dalam pegangan (i’tiqad) terakhir Abu al-Hasan al-Asya‘aridan asal usul kitab al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah |
|
PENILAIAN SEMULA NO: 40
Kesimpulan Bab C: Syubhat dalam pegangan (i’tiqad) terakhir Abu al-Hasan al-Asya‘ari dan asal usul kitab al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah.
Disebut dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 57:
Berkenaan dengan kitab “al-lbanah” ini, ia bukanlah perkara baru bagi kita untuk meneliti, mengkaji dan mengkritik kandungannya secara ilmiyah. Kita perlu membuat satu perubahan di dalam menerima pandangan secara tahkik (kajian) dan tashih (memperbetulkan fakta), dan menolak pendapat secara ilmiyah, insaf dan sedar kedudukannya
Penilaian semula: Telah dilakukan tahqiq dan tashih secara ilmiah, insaf dan sedar. Keputusannya didapati semua hujah-hujah yang dikemukakan oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah untuk meragukan kesahihan kitab al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah adalah batil dan tertolak sepenuhnya tanpa ragu. Maka dengan ini dirasmikan bahawa kitab al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah adalah benar-benar karangan Abu al-Hasan al-Asya‘ari.
Di samping itu ingin penulis senaraikan beberapa tokoh yang hidup di kurun ke 4, 5 dan 6 Hijrah yang telah mengesahkan kitab al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah sebagai karangan Abu al-Hasan al-Asya‘ari. Tokoh-tokoh ini telah disenaraikan oleh ‘Abd al-Malik bin Isa bin Darbas al-Shafi‘i (605H) dalam tulisan kecilnya yang bertajuk al-Risalah.[1]
Tokoh-tokoh tersebut ialah: (1) al-Baihaqi, Abu Bakar Ahmad bin al-Husain. (2) Abu al-‘Abbas al-Tariqi. (3) Abu ‘Uthman al-Sobuni. (4) Abu Ali al-Farisi al-Maqra. (5) Nasir al-Maqdisi. (6) Ibn ‘Asakir. (7) Abu al-Ma‘ali Majli al-Syafi‘e. (8) Abu Muhammad al-Baghdadi.
Selain itu sekalipun kitab al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah bukan merupakan kitab karangan Abu al-Hasan al-Asya‘ari, ia tidaklah menjejaskan pegangan (i’tiqad) beliau yang muktamad dalam hal ‘aqidah. Pegangan beliau boleh juga dilihat dalam kitab-kitabnya yang lain khasnya dalam Maqalat al-Islamiin wa Ikhtilaf al-Musollin.
Dalam Bab Pendapat Ashab al-Hadis dan Ahl al-Sunnah (jld. 1, ms. 345-350)[2] Abu al-Hasan al-Asya‘ari telah menyenaraikan asas-asas ‘aqidah Ahl al-Sunnah, seperti:
Pertama:
وأن الله سبحانه – على عرشه, كما قال: ((الرحمن على العرش استوى)).
Sesungguhnya Allah Beristiwa’ Di Atas ‘Arasy-Nya sebagaimana firman-Nya: al-Rahman (Allah) yang Beristiwa’ Di Atas ‘Arasy [Surah Ta-Ha 20:5].
Kedua:
وأن له يدين بلا كيف, كما قال: ((خلقت بيدي)) وكما قال ((بل يداه مبسوطتان)).
Dan sesungguhnya bagi-Nya (Allah) Dua Tangan tanpa dipersoalkan bagaimana ciri-ciri dan bentuk (kaifiat) Tangan-Nya tersebut sebagaimana firman-Nya: Yang telah Ku-ciptakan dengan kedua Tangan-Ku. [Saad 38:75] dan sebagaimana firman-Nya: Tetapi kedua-dua Tangan Allah terbuka. [al-Maidah 5:64]
Ketiga:
وأن له عينين بلا كيف, كما قال: ((تجري بأعيننا)).
Dan sesungguhnya bagi-Nya (Allah) Dua Mata tanpa dipersoalkan bagaimana ciri-ciri dan bentuk (kaifiat) Mata-Nya tersebut sebagaimana firman-Nya: Yang berlayar dengan pengawasan Mata Kami….[al-Qamar 54:14]
Keempat:
وأن له وجها, كما قال: ((ويبقى وجه ربك ذو الجلال والإكرام))
Dan sesungguhnya bagi-Nya (Allah) Wajah sebagaimana firman-Nya: Dan tetap kekal Wajah Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan. [al-Rahman 55:27]
Setelah menukil asas-asas ‘aqidah Ahl al-Sunnah seperti di atas, Abu al-Hasan al-Asya‘ari berkata:
وأثبتوا السمع والبصر ولم ينفوا ذلك عن الله كما نفته المعتزلة.
Dan mereka (Ahl al-Sunnah) menetapkan Allah bersifat Mendengar dan Melihat dan tidaklah mereka menafikan yang sedemikian daripada Allah sebagaimana yang dinafikan oleh golongan al-Mu’tazilah.
Setelah mengemukakan beberapa lagi asas-asas ‘aqidah Ahl al-Sunnah, Abu al-Hasan al-Asya‘ari akhirnya berkata pada ms. 350 (371 bagi edisi terj.):
فهذه جملة ما يأمرون به, ويستعملو نه, ويرونه. وبكل ما ذكرنا من قولهم تقول, وإليه نذهب, وما توفيقنا إلا بالله وهو حسبنا و نعم الوكيل, وبه نستعين وعليه نتوكل وإليه المصير.
Maka demikianlah, semua ini merupakan apa yang ditetap dan diperintahkan (oleh Ahl al-Sunnah) dan ia diamalkan oleh mereka dan dijadikan pendapat oleh mereka. Dan bagi setiap apa yang kami sebutkan daripada perkataan mereka (Ahl al-Sunnah) (maka) begitulah perkataan kami dan merupakan mazhab kami. Dan tiadalah yang memberi kami taufiq melainkan Allah dan Dia-lah sebaik-baik al-Wakil dan kepada-Nya kami memohon pertolongan dan kepada-Nya kami bertawakkal dan kepada-Nya tempat kembali.
Demikianlah sebenarnya pegangan (i’tiqad) Abu al-Hasan al-Asya‘ari yang beliau tegaskan dengan sejelas-jelasnya. Dengan nukilan ini maka tertutuplah segala syubhat dan tohmahan yang dilontarkan ke atas ‘aqidah terakhir Abu al-Hasan al-Asya‘ari dan kitabnya al-Ibanah fi Usul al-Diyanah. [3] [1] Risalah ini telah dinukil oleh Khalid bin ‘Abd al-Lathief dalam bukunya Minhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah wa Minhaj al-Asya‘ariyah, jld. 1, ms. 32. [2] Dinukil secara berpisah-pisah oleh penulis. Bagi edisi terjemahan lihat Bab ke 19: Doktrin-doktrin Ahl al-Sunnah (jld. 1, ms. 363-373). [3] Selanjutnya dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 58 telah dikemukakan dakwaan bahawa Abu al-Hasan al-Asya‘ari telah melakukan al-Takwil dalam tulisannya: Risalah ila Ahl al-Thar. Memandangkan penyusun Salafiyah Wahabiyah sendiri tidak yakin bahawa risalah ini adalah karya sebenar al-Asya‘ari maka dakwaan ini tidak akan diberi perhatian.
|
| BAB C : KANDUNGAN |