Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari oleh Hafiz Firdaus Abdullah |
Bab C: Syubhat dalam pegangan (i’tiqad) terakhir Abu al-Hasan al-Asya‘aridan asal usul kitab al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah |
|
PENILAIAN SEMULA NO: 39
Dakwaan permusuhan antara al-Hanabilah, al-Mu’tazilah dan al-Hanafiyah.
Disebut dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 57:
Sejarah juga telah membuktikan bahawa memang berlaku permusuhan antara golongan Mujassimah al-Hanabilah dengan Mu’tazilah dan al-Hanafiyah. Imam al-Zahabi menjelaskan sedikit tentang kontroversi ini di dalam kitabnya “Sayr A’lam al-Nubala”, (ms. 85-90, jid. 18).
Penilaian semula: Kenyataan di atas adalah dusta kerana setelah disemak kitab Siyar A’lam al-Nubala, jld. 18, ms. 85-90 yakni edisi yang sama dengan penyusun Salafiyah Wahabiyah, tidak didapati apa-apa penjelasan tentang kontroversi antara al-Hanabilah, al-Mu’tazilah dan al-Hanafiyah seperti yang didakwa. Paling hampir adalah nukilan al-Dzahabi tentang biografi al-Qadhi Abu Ya’la (ms. 89-92) di mana beliau memang terkenal dengan ketegasannya dalam subjek Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat akan tetapi tidak ada kritikan yang boleh dianggap sebagai permusuhan beliau terhadap al-Mu’tazilah dan al-Hanafiyah.
Sekali lagi perhatikan juga bagaimana sebegitu mudah penyusun Salafiyah Wahabiyah menggelar sesebuah golongan dengan gelaran al-Mujassimah padahal beliau tidak mengemukakan apa-apa bukti bahawa golongan tersebut menjisimkan Allah. Sepertimana yang telah dijelaskan sebelum ini, gelaran al-Mujassimah hanya diberikan kepada orang yang mengatakan sifat-sifat Allah adalah seperti sifat makhluk. Tidaklah seseorang itu digelar al-Mujassimah apabila dia hanya menerima sifat Allah dari sudut istilah dan makna tetapi menafikan ciri-ciri, tatacara dan bentuknya (kaifiat) daripada menyamai makhluk, bahkan mereka menyerahkan ciri-ciri dan bentuknya kepada Allah ‘Azza wa Jalla.
|
| BAB C : KANDUNGAN |