Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'

73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari

oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

Bab C: Syubhat dalam pegangan (i’tiqad) terakhir Abu al-Hasan al-Asya‘ari

dan asal usul kitab al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah

 

PENILAIAN SEMULA NO: 38

al-Ibanah mentohmah Abu Hanifah.

 

Disebut dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 57:

 

Isi kandungan “al-Ibanah” mengandungi beberapa tohmahan terhadap golongan yang tidak sependapat dengan mereka.  Tohmahan tersebut lebih ditujukan kepada golongan Mu’tazilah dan Imam Abu Hanifah khususnya dalam masalah “al-Qur’an itu makhluk”.  Bagi menyokong pendapatnya, pengarang kitab “al-Ibanah” mendatangkan sanad yang dusta terhadap Imam Abu Hanifah.  Buatlah pengkajian di sana.

 

Penilaian semula:

Penulis telah membuat kajian sebagaimana syor penyusun Salafiyah Wahabiyah dan mendapati:

  1. Yang wujud bukanlah tohmahan tetapi kritikan. “Tohmah” didefinisikan oleh Kamus Dewan sebagai “tuduhan yang berdasarkan syak wasangka dan melulu.” Sikap Abu al-Hasan al-Asya‘ari terhadap Mazhab al-Mu’tazilah bukanlah sesuatu yang berdasarkan syak wasangka tetapi adalah berdasarkan kebenaran kerana beliau adalah orang yang paling mengenali bid‘ah-bid‘ah yang dilakukan oleh Mazhab al-Mu’tazilah. Ini adalah kerana Abu al-Hasan al-Asya‘ari sebelum menulis kitab al-Ibanah telah mengikuti Mazhab al-Mu’tazilah selama lebih kurang 40 tahun.

  2. Tohmahan dan “sanad yang dusta” yang dimaksudkan ialah kritikan beberapa tokoh terhadap Abu Hanifah yang pada awalnya berpendapat bahawa al-Qur’an adalah makhluk[1] sebagaimana yang dinukil dalam al-Ibanah ms. 105-106 (Bab ke-5: Beberapa riwayat tentang al-Qur’an). Akan tetapi pengarang al-Ibanah seterusnya telah menukil kata-kata Muhammad Abu Yusuf, anak murid kepada Abu Hanifah bahawa beliau (Abu Hanifah) dua bulan kemudian telah menarik balik kembali pendapatnya itu. Seandainya benar pengarang al-Ibanah berniat buruk terhadap Abu Hanifah dan sengaja ingin mendustakan beliau pasti tidak akan dinukil riwayat tentang penarikan kembali Abu Hanifah.


 

[1]               Maksud al-Qur’an adalah makhluk merujuk kepada Kalam sebagai salah satu sifat Allah. Al-Qur’an adalah kalam Allah maka dibicarakan adakah sifat Kalam itu azali bersama Allah atau sesuatu yang baru diciptakan oleh Allah ? Baru dicipta bererti ia adalah makhluk kerana semua yang diciptakan oleh Allah adalah makhluk. Jika dikatakan bahawa Kalam adalah sesuatu yang baru diciptakan bererti Allah pada asalnya tidak memiliki sifat Kalam. Ini mengisyaratkan kelemahan bagi Allah dan hal ini pasti mustahil. Maka yang benar Kalam adalah salah satu sifat Allah yang azali dan ia bukan baru diciptakan. Adapun kaitannya dengan al-Qur’an maka Kalam adalah azali di sisi Allah tetapi baru di sisi manusia.

Untuk kajian lanjut sila lihat buku ‘Abd Allah bin Yusuf al-Juda‘i – al-’Aqidah al-Salafiyyah fi Kalam Rabb al-Bariyyah wa Kasyfu Abatil al-Mubtadi‘ah al-Raddiyyah (Dar Imam Malik, Riyadh 1993).

 

BAB C : KANDUNGAN