Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU'Salafiyah Wahabiyah'73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari oleh Hafiz Firdaus Abdullah |
Bab C: Syubhat dalam pegangan (i’tiqad) terakhir Abu al-Hasan al-Asya‘aridan asal usul kitab al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah |
|
PENILAIAN SEMULA NO: 29 Salinan kata-kata daripada Abu al-Hasan al-Asya‘ari tidak memiliki sanad.
Disebut dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 54:
Salinan daripada kata-kata Abu Hasan al-Asya‘ari yang dijelaskan oleh al-Hafiz Ibn ‘Asakir di dalam kitabnya “Tabyin Kazb al-Muftari” tidak bersambung sanadnya.
Penilaian semula: Jika yang dimaksudkan adalah salinan kitab al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah maka yang benar bukan tidak bersambung sanadnya tetapi adalah tanpa sanad.[1] Walaubagaimanapun hal ini tidak membawa apa-apa mudarat kerana asas-asas hujah dalam kitab al-Ibanah telah diulangi oleh Abu al-Hasan al-Asya‘ari dengan lebih terperinci dalam sebuah kitabnya yang lain yang berjudul Maqalat al-Islamiin wa Ikhtilaf al-Musollin sepertimana yang akan dikemukakan di akhir Bab C ini.
Adapun tindakan Ibn ‘Asakir (571H)[2] yang tidak menyebut sanad kitab, maka ini adalah kerana kitab al-Ibanah di zaman beliau merupakan kitab yang sangat dikenali ramai. Seandainya kitab al-Ibanah adalah sesuatu yang diragui, pasti Ibn ‘Asakir akan menyebut sanadnya yang bersambung secara lengkap kepada Abu al-Hasan al-Asya‘ari..
Lebih dari itu, tujuan Ibn ‘Asakir menulis kitab Tabyin Kazbu al-Muftari fi Ma Nusiba ila Imam Abu al-Hasan al-Asya‘ari adalah dalam rangka menjawab tuduhan serta fitnah yang dilontarkan oleh seseorang “al-Ahwazi” terhadap Abu al-Hasan al-Asya‘ari. Pasti sahaja untuk menjawab tuduhan serta fitnah ini, langkah pertama adalah membuktikan kesahihan kitab al-Ibanah yang menjadi dasar perbahasan, melainkan al-Ibanah itu sendiri pada asalnya adalah sebuah kitab yang masyhur lagi diiktiraf sehingga tidak memerlukan apa-apa pembuktian lagi.
[1] Lihat Tabyin Kazbu al-Muftari fi Ma Nusiba ila Imam Abu al-Hasan al-Asya‘ari, ms. 152. [2] Beliau ialah Ali bin al-Hasan bin Hibatullah al-Damsyiqi, seorang ahli hadis dan ahli sejarah yang terkenal, khasnya melalui kitabnya yang amat besar: Tarikh al-Damsq al-Kubra setebal 75 jilid. Lahir pada tahun 499H dan meninggal dunia pada tahun 571H.
|
| BAB C : KANDUNGAN |