Catatan-Catatan Ilmiah Ke Atas Buku Makna Sebenar Bid’ah:

Beberapa Semakan Teliti Ke Atas Satu Penjelasan (Yang Didakwa) Rapi.
oleh
Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

 

4 Mac 2010:

Bencana Di Malaysia?

 

 

 

Akhir-akhir ini, kita banyak mendengar berita musibah melanda negara-negara lain umpama gempa bumi, angin kencang, banjir dan tanah runtuh. Dua yang terakhir pernah berlaku di negara kita Malaysia sementara dua yang pertama yang kesannya jauh lebih hebat belum berlaku di Malaysia. Alhamdulillah.

Gempa bumi sebenarnya amat hampir dengan kita. Ia kerap kali berlaku di Indonesia khasnya Kepulauan Sumatera yang terletak hanya beberapa renangan dari pantai Barat Semenanjung Malaysia. Sementara angin kencang Typhoon juga amat hampir dengan kita. Ia kerap kali melanda Filiphina yang letaknya tidak jauh dari negeri Sabah.

Alhamdulillah, Allah Subhanahu wa Ta'ala buat masa ini menyelamatkan kita dari bencana alam. Allah belum menguji kita dengan bencana alam yang hebat lagi dahsyat. Namun ini tidak bererti kita boleh menarik nafas lega. Allah mungkin menangguhkan ujian dalam bentuk bencana alam tetapi Allah memberikan kita ujian dalam bentuk bencana ilmu.

 

Apakah maksud saya dengan bencana ilmu?

 

Bencana ilmu ialah apabila ilmu-ilmu sunnah disekat penyampaiannya dan para pendakwahnya ditangkap, dimasukkan ke dalam lokap dan dibicarakan dalam mahkamah semata-mata atas dasar tidak ada tauliah dari jabatan agama negeri. Mereka tidak disekat atau ditangkap kerana menyampaikan ajaran sesat umpama Syi‘ah, Anti Hadis dan Islam Liberal tetapi kerana menyampaikan manhaj agama Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, mengajar tafsir, membacakan hadis dan mensyarahkan kitab-kitab fiqh ulama’ muktabar.

Bencana ilmu ialah apabila buku-buku agama yang mengandungi banyak kesalahan, menyelisihi al-Qur’an dan al-Sunnah serta menentang manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah diusahakan penterjemahannya. Kemudian ia diberi kata aluan oleh mufti-mufti dan tokoh agama tempatan. Padahal jika disemak secara teliti, akan ditemui di dalamnya pelbagai kesalahan dan kepincangan.

Tentu saja ini satu bencana yang besar kepada umat Islam di Malaysia. Kehadiran para mufti dan tokoh agama ialah untuk membimbing umat ke arah Islam yang sebenar berdasarkan manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Nampaknya peranan ini telah mereka khianati.

Mungkin dapat dikatakan bahawa para mufti dan tokoh terbabit hanya memberi kata aluan tanpa membaca buku tersebut. Kemungkinan ini tidak cukup meyakinkan kerana:

  1. Jika dirujuk kepada kulit depan buku MSBSPR, dicetak dengan jelas bahawa buku itu “Disemak oleh” para mufti dan tokoh agama terbabit.

     

  2. Jika benar para mufti dan tokoh agama terbabit tidak membaca buku MSBSPR, mereka sepatutnya tidak memberi apa-apa kata aluan. Memberi kata aluan sebelum membacanya adalah umpama memberi hukum tanpa mendengar soalannya. Saya yakin para mufti dan tokoh agama kita tidak akan melakukan sesuatu yang tidak amanah lagi tidak bertanggungjawab seumpama itu.

Walaubagaimanapun dalam memberikan bencana ini, Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak menutup semua jalan keluar. Allah tetap akan membela agamanya, maka dengan itu Allah tetap akan menyediakan wakil-wakilnya di bumi ini termasuklah Malaysia. Melalui wakil-wakilnya itu ajaran Islam akan disampaikan berdasarkan dalil dan hujah mengikut kefahaman al-Salaf al-Shalih sehingga akhirnya agama ini akan tetap terpelihara ketulenannya. Melalui wakil-wakilnya itu umat Islam akan dapat berpegang dan beramal dengan agama Islam dalam bentuknya yang tulen.

Amat penting, wakil-wakil itu tidak diukur dengan gelaran mufti, tok guru, ulama, al-sheikh, al-hafiz mahupun dengan sekian-sekian sijil dan jumlah guru yang sempat dia duduk di hadapannya. Itu semua hanyalah ukuran duniawi yang mengelabui hakikat sebenar.

Sama-samalah kita berdoa agar Allah menemukan kita dengan ustaz dan ustazah yang menjadi wakil-wakil-Nya itu.