|
Catatan-Catatan Ilmiah Ke Atas Buku Makna Sebenar Bid’ah:
Beberapa Semakan Teliti Ke Atas
Satu Penjelasan (Yang Didakwa) Rapi.
2 Mac 2010: Kemuliaan Masjid, Tetapi…
Masjid merupakan binaan atau bangunan yang mulia di dalam Islam. Di dalamnya umat Islam berhimpun untuk solat, membaca al-Qur’an, berzikir, berselawat, berdoa dan beriktikaf. Ia juga menjadi pusat pengajian ilmu, pertemuan dan perbincangan lelaki dan wanita, muslim mahupun belum muslim. Adapun pendapat yang melarang wanita haidh dan orang belum Islam memasuki masjid, maka ia adalah pendapat yang lemah sebagaimana yang telah saya jelaskan dalam penulisan yang lain.[1] Pada waktu yang sama, terdapat satu larangan penting bagi masjid yang kurang mendapat perhatian umat Islam, iaitu masjid dan kubur tidak boleh bersama dalam satu lokasi. Tidak boleh membina masjid di kawasan perkuburan dan tidak boleh mengebumikan seseorang di dalam masjid, yakni menjadikan masjid sebagai kubur. Sebabnya jelas. Islam ingin memelihara aqidah umatnya. Apabila masjid dan kubur saling bersamaan, sedikit atau ramai, kini atau kemudian, akan ada umat Islam yang menganggap masjid sedemikian memiliki keberkatan sehingga mereka lazim mendatanginya dan mengabaikan masjid-masjid lain. Bahkan jika ahli kubur ketika masa hidupnya dikenali sebagai seorang ulama’, orang yang shalih dan dihormati umat, kuburnya akan dijadikan sumber pengaruh dalam berdoa memohon hajat atau meminta perlindungan. Cegah sebelum parah, Islam tidak menunggu sehingga aqidah umatnya benar-benar tersasar sebelum ia melarang kesamaan lokasi antara masjid dan kubur. Pencegahan lebih utama dan berkesan, maka Islam sejak awal melarang kesamaan lokasi antara masjid dan kubur tanpa mengambil kira siapa yang menghadiri masjid dan siapa yang dikebumikan di perkuburan itu. Malah jika ia kubur kaum bukan Islam, ia dibongkar dan dialih terlebih dahulu sebelum dibina masjid di atasnya. Anas bin Malik radhiallahu ‘anh menerangkan:
قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ فَنَزَلَ أَعْلَى الْمَدِينَةِ فِي حَيٍّ يُقَالُ لَهُمْ بَنُو عَمْرِو بْنِ عَوْفٍ.
فَأَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيهِمْ أَرْبَعَ عَشْرَةَ لَيْلَةً ثُمَّ أَرْسَلَ إِلَى بَنِي النَّجَّارِفَجَاءُوا مُتَقَلِّدِي السُّيُوفِ.
كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى رَاحِلَتِهِ وَأَبُو بَكْرٍ رِدْفُهُ وَمَلَأُ بَنِي النَّجَّارِحَوْلَهُ
حَتَّى أَلْقَى بِفِنَاءِ أَبِي أَيُّوبَ.
وَكَانَ يُحِبُّ أَنْ يُصَلِّيَ حَيْثُ أَدْرَكَتْهُ الصَّلاَةُ وَيُصَلِّي فِي مَرَابِضِ الْغَنَمِ. وَأَنَّهُ أَمَرَ بِبِنَاءِ الْمَسْجِدِ
فَأَرْسَلَ إِلَى مَلَإٍ مِنْ بَنِي النَّجَّارِ فَقَالَ: يَا بَنِي النَّجَّارِ ثَامِنُونِي بِحَائِطِكُمْ هَذَا.
قَالُوا: لاَ وَاللَّهِ لاَ نَطْلُبُ ثَمَنَهُ إِلاَّ إِلَى اللَّهِ.
فَقَالَ أَنَسٌ: فَكَانَ فِيهِ مَا أَقُولُ لَكُمْ قُبُورُ الْمُشْرِكِينَ وَفِيهِ خَرِبٌ وَفِيهِ نَخْلٌ
فَأَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقُبُورِ الْمُشْرِكِينَ فَنُبِشَتْ ثُمَّ بِالْخَرِبِ فَسُوِّيَتْ وَبِالنَّخْلِ فَقُطِعَ.
فَصَفُّوا النَّخْلَ قِبْلَةَ الْمَسْجِدِ وَجَعَلُوا عِضَادَتَيْهِ الْحِجَارَةَ وَجَعَلُوا يَنْقُلُونَ الصَّخْرَ وَهُمْ يَرْتَجِزُونَ.
وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَعَهُمْ وَهُوَ يَقُولُ: اللَّهُمَّ لاَ خَيْرَ إِلاَّ خَيْرُ الآخِرَهْ
فَاغْفِرْ لِلأَنْصَارِ وَالْمُهَاجِرَهْ.
Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mendatangi Kota Madinah dan singgah di bahagian atas Kota Madinah di suatu permukiman yang disebut oleh mereka sebagai Bani “Amr bin ‘Auf. Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tinggal bersama mereka selama empat belas malam. Kemudian baginda mengirim utusan Bani al-Najjar lalu mereka datang dengan membawa pedang-pedang di dalam sarungnya. Aku seakan-akan melihat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berada di atas tunggangannya dan Abu Bakar membonceng di belakangnya. (Orang-orang) Bani al-Najjar berada di sekeliling baginda sehingga sampai ke perkarangan Bani Ayyub. Baginda menyukai solat di mana jua apabila masuk waktu solat, bahkan baginda pernah solat dalam kandang kambing. Sesungguhnya baginda memerintahkan pembinaan sebuah masjid, lalu baginda mengirim utusan kepada Bani al-Najjar dan bersabda: “Wahai Bani al-Najjar! Tetapkanlah harga bagiku untuk kebun kalian ini.” Mereka menjawab: “Tidak! Demi Allah! Kami tidak meminta harganya melainkan kepada Allah (yakni ganjaran pada Hari Akhirat).” Anas menyambung: Di dalam (kawasan kebun itu) apa yang aku katakan kepada kalian – kubur orang-orang musyrikin, runtuhan bangunan dan pohon kurma. Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan agar kubur orang-orang musyrikin dibongkar, runtuhan bangunan diratakan dan pohon kurma ditebang. Mereka menyusun dan menghadapkan batang-batang pokok kurma itu ke arah masjid (untuk dijadikan dinding masjid) dan mereka menjadikan kedua-dua tiang pintu dibuat dari batu. Mereka memindahkan batu-batu besar sambil berdendang. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam hadir bersama mereka dan baginda berdoa: “Ya Allah! Tidak ada kebaikan melainkan kebaikan Hari Akhirat, maka ampunkanlah bagi kaum Anshar dan Muhajirin.[2]
Larangan masjid dan kubur dalam lokasi yang sama merupakan larangan yang keras sebagaimana yang dapat diperhatikan dalam hadis-hadis berikut:
Pertama: Rasulullah melarang menjadikan kubur sebagai masjid: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
وَإِنَّ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ كَانُوا يَتَّخِذُونَ قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ وَصَالِحِيهِمْ مَسَاجِدَ
أَلاَ فَلاَ تَتَّخِذُوا الْقُبُورَ مَسَاجِدَ إِنِّي أَنْهَاكُمْ عَنْ ذَلِكَ.
Sesungguhnya orang-orang sebelum kalian telah menjadikan kubur para nabi mereka dan orang-orang shalih mereka sebagai masjid. Ingatlah! Jangan menjadikan kubur sebagai masjid. Sesunguhnya aku melarangkan kalian dari melakukan sedemikian.[3]
Kedua: Allah melaknat orang yang menjadikan kubur sebagai masjid:
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ, قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي مَرَضِهِ الَّذِي
لَمْ يَقُمْ مِنْهُ: لَعَنَ اللَّهُ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى اتَّخَذُوا قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ. لَوْلاَ ذَلِكَ أُبْرِزَ قَبْرُهُ
غَيْرَ أَنَّهُ خَشِيَ أَوْ خُشِيَ أَنَّ يُتَّخَذَ مَسْجِدًا.
Daripada A’isyah radhiallahu ‘anha dia berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda ketika sakit yang menyebabkan baginda wafat: “Allah melaknat orang-orang Yahudi dan Nasrani kerana mereka menjadikan kubur-kubur para Nabi mereka sebagai masjid.” (A’isyah menyambung): “Kalaulah bukan kerana yang sedemikian, nescaya makam baginda akan dinampakkan. Namun kerana bimbang ia akan dijadikan masjid (maka ia tidak dinampakkan).”[4]
Ketiga: Seburuk-buruk manusia ialah yang menjadikan kubur sebagai masjid: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
وَاعْلَمُوا أَنَّ شِرَارَ النَّاسِ الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْقُبُورَ مَسَاجِدَ.
Ketahuilah bahawa seburuk-buruk manusia adalah mereka yang menjadikan kubur sebagai masjid.[5]
Keempat: Allah memerangi orang yang menjadikan kubur sebagai masjid: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
قَاتَلَ اللَّهُ الْيَهُودَ اتَّخَذُوا قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ.
Allah memerangi orang-orang Yahudi yang menjadikan kubur-kubur para Nabi mereka sebagai masjid.[6]
Berdasarkan hadis-hadis di atas, dapat difahami bahawa larangan menjadikan kubur dan masjid dalam lokasi yang sama adalah larangan yang amat tegas lagi berat ancamannya. Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala bukan sahaja akan mentaati larangan di atas tetapi menjauhi masjid yang berkesedudukan dengan kubur. Perlu diketahui bahawa apabila disebut masjid, ia melibatkan dua maksud:
وَاعْلَمُوا أَنَّ شِرَارَ النَّاسِ الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْقُبُورَ مَسَاجِدَ.
Ketahuilah bahawa seburuk-buruk manusia adalah mereka yang menjadikan kubur sebagai masjid.[7]
أَنَّ أُمَّ حَبِيبَةَ وَأُمَّ سَلَمَةَ ذَكَرَتَا كَنِيسَةً رَأَيْنَهَا بِالْحَبَشَةِ فِيهَا تَصَاوِيرُ فَذَكَرَتَا لِلنَّبِيِّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: إِنَّ أُولَئِكَ إِذَا كَانَ فِيهِمْ الرَّجُلُ الصَّالِحُ
فَمَاتَ بَنَوْا عَلَى قَبْرِهِ مَسْجِدًا وَصَوَّرُوا فِيهِ تِلْكَ الصُّوَرَ فَأُولَئِكَ شِرَارُ الْخَلْقِ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.
Bahawa Umm Habibah dan Umm Salamah menceritakan tentang gereja yang mereka lihat di Habasyah di mana di dalamnya terdapat gambar-gambar. Mereka berdua menceritakannya kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, maka baginda bersabda: “Sesungguhnya mereka ialah orang-orang yang apabila seseorang lelaki yang shalih di kalangan mereka meninggal dunia, mereka membina di atas kuburnya masjid dan membuat gambar-gambar (lelaki shalih) tersebut di dalamnya. Maka mereka ialah seburuk-buruk makhluk di sisi Allah pada Hari Kiamat.”[8]
Pengarang MSBSPR telah mencuba bersungguh-sungguh untuk mentakwil hadis-hadis di atas, yakni mengalih maksud hadis kepada sesuatu maksud yang lain. Namun takwilan dia lemah sebagaimana yang akan dibukti sejurus selepas ini. Sementara itu diulangi bahawa apabila disebut masjid, ia merangkumi masjid (tempat melaksanakan ibadah) dan/atau bangunan masjid sebagaimana yang dijelaskan dalam dua poin di atas.
Takwilan Pertama: Yang dimaksudkan menjadikan kubur sebagai masjid ialah bersembahyang menghadap ke arahnya. [MSBSPR 157]
Catatan: Jika yang dimaksudkan ialah jangan solat menghadap kubur, maka ia sedia dilarang dalam sebuah hadis lain:
لاَ تَجْلِسُوا عَلَى الْقُبُورِ وَلاَ تُصَلُّوا إِلَيْهَا.
Jangan duduk di atas kubur dan jangan solat kepadanya.[9]
Hadis ini ditujukan kepada orang yang bersolat di dalam masjid atau selain masjid, umpama di atas tanah atau di atas kenderaan, agar tidak bersolat menghadap ke kubur. Adapun hadis-hadis yang melarang menjadikan kubur sebagai masjid, maka larangan itu tidak memiliki kaitan ke arah mana orang yang bersolat di dalam masjid itu. Asalkan bersamaan lokasi antara masjid dan kubur, maka ia dilarang. Mudah kata:
Takwil Kedua: Pengarang MSBSPR 159-160 mengemukakan beberapa riwayat yang menerangkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melarang menjadikan kuburnya sebagai berhala. Salah satu darinya ialah:
اللَّهُمَّ لاَ تَجْعَلْ قَبْرِي وَثَنًا لَعَنَ اللَّهُ قَوْمًا اتَّخَذُوا قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ.
Ya Allah! Janganlah kuburku dijadikan sebagai berhala. Allah melaknat kaum yang menjadikan kubur-kubur para Nabi mereka sebagai masjid.[10]
Lantas dia membuat kesimpulan: Kesemua hadith ini secara jelas menerangkan maksud menjadikan kubur sebagai masjid ialah bersembahyang kepadanya dalam bentuk ibadat dan bersujud kepadanya. Ia bukan bermaksud membina masjid di atasnya. [MSBSPR 160]
Catatan: Menyembah berhala tidak semestinya beribadat dan bersujud menghadapnya tetapi menjadikannya sebagai tuhan yang ditujukan niat ibadat, dipohon hajat, diminta perlindungan dan diharapkan ganjaran. Semua ini boleh dilakukan tanpa menghadap ke arah kubur Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam atau kepada mana-mana kubur para Nabi dan orang shalih. Tidak percaya? Cuba tanya rakan-rakan belum Islam yang memiliki berhala sebagai tuhan. Mereka menyembah berhala itu tanpa semestinya hadir di sisi berhala atau beribadat menghadap berhala. Mereka hanya perlu fokuskan hati dan fikiran kepada berhala itu ketika beribadat dan berdoa. Demikianlah juga, ada orang yang menjadikan kubur Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagai berhala yang disembah sekalipun mereka berada pada lokasi yang jauh. Mereka berdoa memohon hajat dan meminta perlindungan daripada Rasulullah sekalipun berada di bumi Malaysia. Namun sambil berdoa itu, hati dan fikiran mereka terfokus kepada kubur Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Adapun hadis-hadis yang melarang menjadikan kubur sebagai masjid, maka larangan itu tidak memiliki kaitan sama ada penghuni masjid itu menjadikan kubur sebagai berhala atau tidak. Asalkan bersamaan lokasi antara masjid dan kubur, maka ia dilarang. Dalam ertikata lain:
Takwil Ketiga: Pengarang MSBSPR 160-161 menukil kata-kata al-Baidawi rahimahullah: …Adapun mereka yang menjadikan masjid berada bersebelahan dengan kubur orang yang soleh dengan maksud mengharapkan keberkatannya, bukan membesarkannya, dan bukan juga menghadap ke arahnya, maka ia tidak masuk dalam ancaman yang dimaksudkan oleh hadis. Dinukil oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitab Fath al-Bari.[11]
Catatan: Kata-kata al-Baidawi rahimahullah di atas sebahagiannya benar dan sebahagiannya perlu dipertimbangkan. Benar bahawa boleh menjadikan masjid bersebelahan dengan perkuburan kerana hadis-hadis terbabit menyebut “menjadikan kubur sebagai masjid”, bererti mendirikan masjid di atas kubur atau di atas kawasan perkuburan. Jika kawasan perkuburan agak luas dan jelas bahawa masjid duduk dalam kawasan itu atau perkarangan masjid agak luas dan jelas bahawa kubur termasuk dalam perkarangan itu, maka kedua-dua ini dilarang. Justeru hendaklah ada sempadan pemisah yang jelas antara kawasan perkuburan dan perkarangan masjid. Antaranya ialah apa yang diperhatikan pada sebahagian masjid di Malaysia bahawa di sebelahnya ialah perkuburan umat Islam. Maka hendaklah dibina tembok batu bagi memisahkan antara masjid dan kawasan perkuburan agar para pengunjung masjid tidak ada yang terpengaruh dengan perkuburan itu. Adapun anggapan keberkatan dimiliki oleh sekian-sekian ahli kubur, perlu diketahui bahawa al-Barakah ialah salah satu sifat Allah sebagaimana firman-Nya: Maha Berkat (Allah) Tuhan yang di Tangan-Nya terdapat pemerintahan; dan memanglah Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. [al-Mulk 67:01]
Dalam ayat di atas yang lazim dibaca oleh kita semua, Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menyifatkan dirinya sebagai Tabaraka yang bererti “Maha Berkat” atau “Yang memberi keberkatan”. Sifat ini diulangi oleh Allah Tabaraka wa Ta‘ala dalam beberapa ayat lain seperti Ibrahim 14:54, al-Mukminun 23:12-14, al-Furqan 25:01, 10 dan 61, al-Zukhruf 43:85 dan al-Rahman 55:78. al-Barakah yang bererti kebaikan, keutamaan dan nikmat yang berkekalan lagi melimpah-limpah. Semua pengertian di atas yang sinonim dengan maksud al-Barakah yang merupakan milik Allah jua. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Di Tangan Engkaulah (Allah) segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. [‘Ali Imran 3:26] Katakanlah: “Sesungguhnya keutamaan itu adalah di Tangan Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Meliputi pengetahuan-Nya.” [‘Ali Imran 3:73] Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmat-nikmat-Nya yang zahir dan yang batin? [Luqman 31:20]
Tinjuan terhadap ayat-ayat di atas menunjukkan bahawa:
Oleh itu di antara ciri aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah adalah tidak boleh mengambil berkat daripada individu, benda, waktu, tempat dan amalan melainkan berdasarkan dalil yang sahih lagi jelas. Ini kerana keberkatan itu adalah milik Allah dan Allah mengkhususkannya kepada siapa dan apa yang dikehendaki-Nya. Tiada jalan untuk manusia mengetahui kepada siapa dan apa Allah mengkhususkan keberkatan tersebut melainkan melalui petunjuk dalil yang sahih lagi jelas.[12] Demikianlah juga, umat Islam tidak boleh mendakwa kubur si-fulan si-fulan memiliki keberkatan padahal Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak pernah menyatakan sedemikian. Ukuran orang ramai bahawa ahli kubur ketika hidup dahulu merupakan orang yang shalih bukanlah hujah kerana orang itu mungkin shalih dari luarannya (fizikal) tetapi siapa tahu dari dalamannya (hati). Lebih dari itu keshalihan tidak diukur dengan banyaknya amal ibadat tetapi dengan bertepatan atau tidak sesuatu ibadat itu dengan sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang sahih. Atas dasar ini Islam tidak mengajar umatnya untuk “mengambil berkat” dari mana-mana ahli kubur, sebaliknya mendoakan rahmat dan keampunan kepada ahli kubur. Justeru yang tepat ialah boleh seandainya masjid berada bersebelahan dengan kubur dengan syarat ia bukan untuk mengharapkan keberkatan kubur, membesarkannya atau menghadap ke arahnya.
Takwil Keempat: Satu perkara lagi yang perlu kami peringatkan di sini ialah: Jika masjid telah siap dibina, kemudian dikebumikan mayat di dalamnya atau dimasukkan kubur ke dalamnya, maka kes ini tidak termasuk dalam perbincangan tentang membina masjid di atas kubur. [MSBSPR 162]
Catatan: Jika dikaji semula hadis-hadis terbabit, akan ditemui bahawa ia memiliki dwi makna:
Memang, hadis-hadis terbabit secara tersurat menunjukkan makna yang pertama. Akan tetapi jika kita memahami sebab larangan, maka hadis-hadis terbabit secara tersirat juga menunjukkan makna yang kedua. Oleh itu tidak dibezakan sama ada menjadikan kubur sebagai masjid atau menjadikan masjid sebagai kubur, kedua-duanya dilarang. Pendek kata, masjid dan kubur tidak boleh bersama dalam satu lokasi.
Salim bin ‘Ied al-Hilali hafizahullah berkata:
Haram hukumnya mengebumikan jenazah di dalam masjid. Tidak ada beza antara mendirikan masjid di atas kubur dengan memasukkan kubur ke dalam masjid, kedua-duanya haram. Al-Munawi rahimahullah menukil dalam kitabnya Faidh al-Qadir (jld. 5, ms. 274) dari al-Hafiz al-‘Iraqi rahimahullah: “Zahirnya tidak ada beza apabila seseorang membangunkan masjid dengan tujuan dia dikebumikan di dalamnya, dia juga terkena laknat. Haram hukumnya mengebumikan jenazah di dalam masjid. Jika orang yang mewakaf mewasiatkan agar jenazahnya dikebumikan di dalam masjid, tidak boleh melaksanakan wasiat itu kerana bertentangan dengan niatnya mewakafkan bangunan tersebut sebagai masjid.”[13]
Perbezaan hukum terletak kepada pembongkaran kubur atau peruntuhan masjid, yang mana satukah yang didahulukan. Penjelasan Salim bin ‘Ied al-Hilali hafizahullah sekali lagi menjadi rujukan:
Jika sebuah masjid didirikan di atas kubur, maka masjid itu wajib dibongkar (dirobohkan). Jika ada kubur (yang dimasukkan ke) dalam masjid (yang sudah siap dibina), maka kubur itu wajib dibongkar (dikeluarkan). Mana yang terakhir itulah yang dirobohkan atau dikeluarkan. Ibn Qayyim al-Jauziyah rahimahullah berkata dalam Zaad al-Ma’ad (jld. 3, ms. 572): “Berdasarkan hal itu, masjid wajib dibongkar (dirobohkan) apabila dibina di atas kubur. Sebagaimana kubur yang dimasukkan ke dalam masjid (yang sudah siap dibina) wajib dibongkar. Pendapat ini telah disebutkan oleh Imam Ahmad dan selainnya. Tidak boleh bersatu antara masjid dan perkuburan. Jika salah satu ada maka yang lain mesti tiada. Mana yang terakhir, itulah yang dibongkar. Jika didirikan bersamaan, maka tidak boleh dilanjutkan pembinaannya (jika masjid sedang dalam proses pembinaan) dan wakaf masjid tersebut dianggap batal. Jika masjid tetap berdiri (bersamaan kubur) maka tidak boleh solat di dalamnya berdasarkan larangan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan laknat baginda terhadap orang-orang yang menjadikan kubur sebagai masjid atau menyalakan lampu di atasnya. Itulah Dien al-Islam yang Allah turunkan kepada Rasul dan Nabi-Nya Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam meskipun dianggap asing oleh manusia sebagaimana yang anda saksikan.”[14]
Pengarang MSBSPR 162-163 cuba membezakan antara kubur yang dijadikan masjid dan masjid yang dijadikan kubur dengan alasan apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam wafat, sebahagian sahabat radhiallahu ‘anhum mencadangkan agar baginda dikebumikan di sisi mimbar atau di tempat baginda mengimami orang ramai. Kedua-dua tempat ini terletak dalam masjid, bererti para sahabat tidak memandang ia sebagai perbuatan yang salah. Alasan ini dijawab bahawa cadangan para sahabat itu tidak terbukti melalui riwayat yang sahih. Pengarang MSBSPR sendiri ketika mengemukakannya tidak menerangkan darjat atau kekuatan riwayat-riwayat terbabit. Selain itu seandainya ia sahih, terdapat kemungkinan para sahabat terlepas pandang larangan menjadikan kubur dan masjid dalam satu lokasi kerana kesibukan dan kesedihan mereka menerima berita kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apa yang penting, para sahabat radhiallahu ‘anhum pada akhirnya tidak mengebumikan jenazah Rasulullah di sisi mimbar atau di tempat baginda mengimami orang ramai. Mereka mengebumikan baginda dalam rumah A’isyah radhiallahu ‘anha yang ketika itu berada di luar masjid. Pengarang MSBSPR 164-165 juga cuba menjadikan peluasan masjid Nabi shallallahu 'alaihi wasallam di Madinah sehingga meliputi rumah A’isyah dan kubur baginda sebagai alasan. Alasan ini ditolak, bahawa usaha peluasan itu dilakukan kerana kemaslahatan yang tidak dapat dielakkan oleh para pemimpin mahupun ulama’ pada zaman itu. Hal ini disebabkan oleh jumlah umat Islam yang semakin ramai sehingga memerlukan peluasan masjid al-Nabawi dan ini menyebabkan rumah A’isyah yang mengandungi makam Nabi shallallahu 'alaihi wasallam termasuk dalam kawasan masjid.
Takwil Kelima: Ayat berikut seterusnya menjadi alasan pengarang MSBSPR 165:
Maksudnya: … … orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka...(al-Kahf : 21)
Ayat ini…sebagai dalil boleh membangungkan masjid di atas kubur. Dalam ayat ini Allah memperakui dan tidak membantah cadangan mereka untuk membina masjid di atas kubur. [MSBSPR 165]
Catatan: Alasan di atas tertolak kerana ia melibatkan urusan umat sebelum kita. Dalam beberapa catatan yang lalu telah dikemukakan penjelasan ‘Abd al-Karim Zaidan hafizahullah bahawa: Pendapat yang unggul ialah syari’at umat sebelum kita bukan termasuk syari’at kita. Allah berfirman: Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). [al-Maidah 5:48]
Meskipun demikian perbezaan pendapat ini tidak penting kerana tidak memberi kesan perbezaan dalam amal. Tidak ada satu pun hukum di antara hukum-hukum syari’at terdahulu yang dikisahkan Allah atau Rasul-Nya kepada kita kecuali juga tercantum dalam syari’at kita penjelasan yang menunjukkan pembatalannya atau kelangsungannya. Dalil pembatalan atau kelangsungan ini wujud dalam rangkaian nas yang mengisahkan kepada kita hukum syari’at terdahulu itu, atau dalil itu ada di tempat lain di antara nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah.[15]
Catatan Tambahan:
Pertama: Jika dikaji sebahagian aliran Syi‘ah dan Sufi (tasawuf), akan ditemui bahawa mereka memiliki satu kesamaan, iaitu aqidah al-Quburi. Aqidah ini meyakini bahawa perkuburan ialah tempat istimewa untuk beramal ibadah kerana keberkatan imam dan syaikh yang dikebumikan di sana. Justeru para al-Quburiyyin lazimnya:
Agak menghairankan apabila kita dapati pengarang MSBSPR mengupas hukum solat, duduk dan membina masjid di atas kubur. Dia berusaha bersungguh-sungguh untuk membolehkannya. Padahal buku dia pada asalnya membicarakan topik bid’ah dan pembahagian-pembahagiannya sementara keyakinan al-Quburi ialah topik aqidah yang melibatkan tauhid atau syirik. Saya cuba berbaik sangka bahawa pengarang MSBSPR tidak beraqidah al-Quburi sekalipun setakat ini saya belum menemui celah untuk menyokong sangkaan ini.
Kedua: Diakui bahawa terdapat sebahagian ulama’ rahimahumullah yang tidak beraliran Syi‘ah mahupun Sufi yang memberikan kelonggaran terhadap hukum solat, duduk dan masjid di perkuburan. Membaca pendapat-pendapat mereka, saya teringat kepada kritikan seorang ulama’ lain rahimahullah bernama Hamad bin Nashir Alu Mu’ammar. Beliau berkata:
Sungguh sangat menghairankan orang-orang yang mendengar hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam (dalam masalah ini) berkata: “Kami melakukan ini semua kerana mengikuti ulama’-ulama’ besar dan (mereka) tidak mengingkarinya.” Seolah-olah mereka tidak mendengar daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tentang masalah ini. Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh pernah berkata: “Hampir saja diturunkan ke atas kalian batu-batu dari langit. Aku mengatakan bahawa Rasulullah bersabda (sekian-sekian) lalu kalian berkata, Abu Bakar dan ‘Umar berkata (sekian-sekian).” Imam Ahmad berkata: “Aku hairan kepada kaum yang mengetahui sanad dan kesahihan hadis lalu mereka beralih kepada pandangan Sufyan (seorang tokoh zaman awal Islam), padahal Allah berfirman: Oleh itu, hendaklah mereka yang menyelisihi perintahnya (Rasulullah), beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [al-Nur 24:63] Tahukah kamu fitnah apakah itu? Itulah fitnah syirik. Barangkali jika dia menyelisihi sebahagian sabda baginda, maka akan terjadi dalam hatinya suatu penyimpangan yang akan membinasakannya.” Jika ini adalah perkataan Ibn ‘Abbas tentang orang yang menyelisihi sunnah dengan perkataan Abu Bakar dan ‘Umar, dan perkataan Imam Ahmad terhadap orang yang berpendapat seperti fikiran Sufyan, maka bagaimana halnya dengan orang yang menyelisihi sunnah dengan menggunakan pendapat seseorang atau dua orang (yang ketokohannya dalam bidang agama jauh lebih kecil dari Abu Bakar, ‘Umar dan Sufyan)?[16]
[1] Sila rujuk risalah saya Meninjau Semula Hukum Wanita Yang Didatangi Haidh Memasuki Masjid dan 2007 Tahun Melawat Malaysia……Kecuali Masjid? dalam buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah, Buku 6 terbitan Jahabersa, Johor Bahru. [2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnnya, hadis no: 428 (Kitab al-Solat, Bab apakah dibolehkan membongkar kubur kaum musyrikin jahiliyah dan membina masjid di atas tempat itu?) [3] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 532 (Kitab al-Masajid, Bab larangan membina masjid di atas kubur…). [4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1390 (Kitab al-Janaiz, Bab berkenaan kubur Nabi shallallahu 'alaihi wasallam…). [5] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka terhadap Musnad Ahmad, hadis no: 1691 (Musnad al-‘Asyarah al-Mubasysyirin bi al-Jannah, Hadis Abi ‘Ubaidah bin al-Jarh). [6] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 437 (Kitab al-Solat, Bab solat di dalam biara). [7] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka terhadap Musnad Ahmad, hadis no: 1691 (Musnad al-‘Asyarah al-Mubasysyirin bi al-Jannah, Hadis Abi ‘Ubaidah bin al-Jarh). [8] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 427 (Kitab al-Solat, Bab apakah dibolehkan membongkar kubur kaum musyrikin jahiliyah dan membina masjid di atas tempat itu?). [9] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 972 (Kitab al-Janaiz, Bab larangan duduk di atas kubur…). [10] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, hadis no: 7358 (Baki musnad al-Muktsirin, Musnad Abu Hurairah) dan sanadnya dinilai sahih oleh Salim bin ‘Ied al-Hilali dalam Ensiklopedi Larangan, jld. 1, ms. 441. Sementara Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakan menilai sanadnya kuat (sanad qawi) dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad. [11] Rujuk Fath al-Bari, jld. 2, ms. 90. [12] Ciri ini telah saya kemukakan dalam buku Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah (Jahabersa, Johor Bahru), ms. 129. [13] Ensiklopedi Larangan, jld. 1, ms. 441 dengan beberapa suntingan bahasa. [14] Ensiklopedi Larangan, jld. 1, ms. 442 dengan beberapa suntingan bahasa dan penjelasan tambahan dalam kurungan. [15] al-Madkhal, ms. 264-265 dengan beberapa suntingan bahasa dan penjelasan tambahan dalam kurungan. [16] al-Radd ‘ala al-Quburiyyin (edisi terjemahan oleh Abdul Syukur dan Ahmad Rivai atas judul Jawaban Atas Para Pengagung Kubur; Pustaka Azzam, Jakarta, 2003), ms. 133 dengan beberapa suntingan bahasa dan penjelasan tambahan dalam kurungan.
|