|
Catatan-Catatan Ilmiah Ke Atas Buku Makna Sebenar Bid’ah:
Beberapa Semakan Teliti Ke Atas
Satu Penjelasan (Yang Didakwa) Rapi.
26 Feb 2010: Haram Atau Makruh?......Jauhilah Ia!
Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melarang kita dari melakukan sesuatu perkara, sebahagian orang ada yang bertanya tentang hukumnya, apakah larangan itu bermaksud haram atau makruh? Sebenarnya haram atau makruh kurang penting, yang penting ialah menjauhi perkara yang dilarang itu. Jika dirujuk kepada tunjuk ajar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, baginda bukan sahaja menyuruh kita tidak melaksanakan perkara yang baginda larang tetapi menyuruh kita menjauhinya, iaitu menutup semua pintu-pintu kebarangkalian yang akan mengarah kita kepada melakukan perkara yang dilarang. Kita tidak diminta membezakan sama ada yang dilarang itu hukumnya haram atau makruh. Tunjuk ajar yang dimaksudkan ialah hadis berikut, di mana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوهُ وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَافْعَلُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
فَإِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ وَاخْتِلاَفُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ.
Apa yang aku larang kalian darinya maka jauhilah ia dan apa yang aku perintahkan dengannya maka lakukanlah ia sedaya mampu kalian. Ini kerana sesungguhnya kebinasaan orang-orang sebelum kalian tidak lain kerana mereka banyak mempersoal dan menyelisihi terhadap Nabi-Nabi mereka.[1]
Perhatikan juga bahawa kandungan hadis di atas tidak terbatas kepada menjauhi perkara yang dilarang, ia juga menerangkan kerenah umat-umat terdahulu yang banyak mempersoal apa yang dilarang dan diperintah oleh Nabi mereka. Maksud mempersoal di sini bukan menyoal untuk mengetahui dan memahami kerana ia sesuatu yang terpuji, tetapi untuk mempermain atau menentangnya. Selain itu mereka bukan saja tidak mentaati apa yang dilarang dan diperintah, sebaliknya menyelisihinya dengan alasan itu dan ini. Disebabkan dua sikap yang buruk inilah (mempersoal dan menyelisihi) umat-umat terdahulu dibinasakan. Justeru pengajaran penting dari hadis ini ialah, jauhilah apa yang dilarang dan laksanakan semampu mungkin apa yang diperintah. Jangan bertanya melainkan untuk memahaminya dan taatilah larangan serta perintah itu tanpa menyelisihinya. Seterusnya marilah kita menjenguk beberapa hadis yang berbentuk larangan. Fokus diberikan kepada tiga larangan ketika di kubur, iaitu:
Tiga larangan ini menjadi fokus kerana ia telah disoal dan diselisihi oleh pengarang MSBSPR dalam bukunya, bab keempat. Marilah sama-sama kita menjenguk hadis-hadis terbabit dan seterusnya membuat beberapa catatan ke atas apa yang disoal dan diselisihi oleh pengarang MSBSPR.
Larangan Solat Di Kubur. Kita dilarang dari mendirikan solat di kubur berdasarkan hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
اجْعَلُوا فِي بُيُوتِكُمْ مِنْ صَلاَتِكُمْ وَلاَ تَتَّخِذُوهَا قُبُورًا.
Laksanakanlah dalam rumah kalian sebahagian dari solat-solat kalian dan jangan kalian jadikannya kuburan.[2]
Hadis ini dipersoal dan diperselisihkan oleh pengarang MSBSPR sebagai berikut:
Pertama: Anas bin Malik radhiallahu ‘anh pernah solat di perkuburan lalu ditegur oleh ‘Umar al-Khaththab radhiallahu ‘anh. Anas meneruskan solatnya, menunjukkan solat di perkuburan tidak batal. Jika solat itu batal, tentulah Anas memberhentikan solat tersebut dan mengulangi semula. [MSBSPR 141-142]
Catatan: Anas bin Malik radhiallahu ‘anh solat di perkuburan kerana beliau tidak tahu itu adalah kawasan kubur. Apabila ‘Umar bin al-Khaththab radhiallahu ‘anh menegur beliau: “Qabr! Qabr! (Kubur! Kubur!)”, Anas mendengarnya sebagai “Qamr! (Bulan!). Seterusnya Anas sendiri menerangkan: “Sebahagian orang yang berada dekatku mengatakan bahawa yang dimaksudkan ‘Umar adalah perkuburan, maka aku pun berpindah darinya.”[3] Riwayat ini dikemukakan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya Fath al-Bari, kitab rujukan sama yang digunakan oleh pengarang MSBSPR ketika menyoal dan menyelisihi hadis larangan solat di kubur. Akan tetapi nampaknya dia mendiamkan riwayat ini, satu sikap yang tidak ilmiah lagi menjauhi kejujuran. Ada pun persoalan sah atau tidak solat di perkuburan, maka ia seperti berikut:
Kedua: al-Bukhari rahimahullah meletakkan bab hadis “Laksanakanlah dalam rumah kalian sebahagian dari solat-solat kalian dan jangan kalian jadikannya kuburan” sebagai “Dibenci (makruh) solat di perkuburan”. Pengarang MSBSPR 143 memandang lemah pemberian bab dan istinbat[4] hukum makruh oleh al-Bukhari. Dia berkata: Istinbat ini tidak jelas, sekalipun berdasarkan lafaz hadith ada kemungkinan untuk difahami begitu. Malah istinbat dengan kefahaman yang lain lebih utama kerana lebih mudah tergambar dalam fikiran.
Seterusnya pengarang mengemukakan kefahaman dari tokoh-tokoh yang lain, semuanya dia nukil dari kitab Fath al-Bari.
Catatan: Memang para ulama’ rahimahullah memiliki beberapa kefahaman berbeza terhadap hadis “Laksanakanlah dalam rumah kalian sebahagian dari solat-solat kalian dan jangan kalian jadikannya kuburan”. Penjelasan terbaik ialah apa yang dikemukakan oleh al-Turbasyti (التوربشتي) rahimahullah, bahawa hadis ini mencakupi empat maksud:
Di antara empat maksud di atas, yang dicenderungi oleh sebahagian ahli hadis dan tokoh al-Salaf al-Shalih ialah maksud yang pertama. Atas sebab inilah al-Bukhari rahimahullah meletakkan bab bagi hadis terbabit sebagai “Dibenci (makruh) solat di perkuburan”. Selain itu, bezakan bahawa di sisi al-Salaf al-Shalih hukum “makruh” bererti sesuatu perbuatan jahat atau buruk yang dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ia adalah satu larangan di mana pembuatnya dihukum berdosa kerana melanggar perintah larangan Allah dan Rasul-Nya. Dalilnya ialah firman Allah:
Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar. Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah dia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya dia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak). Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri) dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya. Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak). Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang. Tiap-tiap satu perintah-larangan itu, (menyalahinya) adalah kejahatan yang dibenci (makruh) di sisi Tuhanmu. [al-Isra’ 17:31-38]
Perhatikan ayat-ayat di atas. Sama-sama kita ketahui bahawa membunuh anak kecil, berzina, membunuh orang lain dan memakan harta anak yatim adalah larangan yang membawa kepada hukum haram. Bersikap jujur lagi adil dalam urusniaga adalah satu kewajipan sehingga sesiapa yang menyalahinya bererti melakukan suatu larangan yang haram hukumnya. Allah juga melarang dari mengikuti sesuatu tanpa mengetahui bukti dan hujahnya, serta dari bersikap sombong. Namun di sebalik perintah larangan itu, Allah Subhanahu wa Ta'ala menyatakan sesiapa yang menyalahinya bererti telah melakukan satu kejahatan yang Dia benci (makruh). Mustahil melanggar perintah larangan Allah umpama membunuh, berzina, memakan harta anak yatim, menipu dalam berniaga adalah satu kejahatan yang tidak menghasilkan dosa kepada pelakunya. Maka berdasarkan ayat inilah di sisi para ulama’ al-Salaf al-Shalih istilah “makruh” bererti larangan, di mana pelakunya akan mendapat dosa jika sengaja melakukannya. Bahkan “makruh” dan “haram” adalah dua perkataan berbeza tetapi memiliki maksud hukum yang sama. Hanya para ulama’ al-Salaf al-Shalih kadangkala lebih cenderung kepada perkataan “makruh” dari “haram” atas sifat tawadhu’ dan berhati-hati dalam mengistinbatkan hukum, mengingatkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya. [al-Nahl 16:116]
Antara ulama’ al-Salaf al-Shalih yang kerap menggunakan perkataan “makruh” dengan pergertian larangan ialah Muhammad bin Idris al-Syafi’e rahimahullah dalam kitabnya al-Umm, ulama’ rujukan kita di Malaysia yang bermazhab al-Syafi’e. Ini berbeza dengan pengertian di sisi ulama’ terkemudian yang menyatakan “makruh” ialah sesuatu yang ditegah namun pembuatnya tidak berdosa. Meninggalkan perkara makruh adalah terpuji sementara melakukan perkara makruh tidak tercela. Atas pengertian yang amat ringan inilah, banyak berlaku pelanggaran perintah larangan hukum-hukum Islam kerana umat tidak memandang ia sebagai satu kesalahan yang memberatkan buku rekod di bahu kirinya. Ada juga ulama’ terkemudian yang membahagikan hukum makruh kepada:
Keliru antara makruh yang bererti haram, makruh yang menghampiri haram dan makruh yang menghampiri mubah? Langkah mudah ialah jauhkan apa yang dilarang oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Kembali kepada asal perbincangan, apabila al-Bukhari rahimahullah memberi bab “Dibenci (makruh) solat di perkuburan”, ia bermaksud larangan solat di perkuburan. Orang yang sengaja solat di perkuburan padahal dia mengetahui hukumnya, maka dia bersalah sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini. Sebelum berpindah ke catatan seterusnya, ingin dibawa perhatian para pembaca yang dikasihi sekalian berkenaan pendapat al-Turbasyti bahawa hadis “Laksanakanlah dalam rumah kalian sebahagian dari solat-solat kalian dan jangan kalian jadikannya kuburan” mencakupi empat maksud telah disebut oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari, pada jilid dan mukasurat yang sama yang dirujuk oleh pengarang MSBSPR ketika cuba membawa maksud-maksud lain untuk hadis terbabit. Pengarang MSBSPR mendiamkan hal ini dan hanya mengemukakan maksud yang keempat.
Ketiga: Para sahabat radhiallahu ‘anhum pernah solat di perkuburan Baqi’, yakni ke atas jenazah A’isyah dan Umm Salamah. [MSBSPR 145]
Catatan: Solat yang dilaksanakan oleh para sahabat di perkuburan merupakan solat jenazah dan ia memang dibolehkan kerana turut dilaksanakan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pada zaman baginda. Salah satu darinya diterangkan oleh Abu Hurairah radhiallahu ‘anh:
أَنَّ أَسْوَدَ رَجُلاً أَوْ امْرَأَةً كَانَ يَكُونُ فِي الْمَسْجِدِ يَقُمُّ الْمَسْجِدَ فَمَاتَ
وَلَمْ يَعْلَمْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَوْتِهِ.
فَذَكَرَهُ ذَاتَ يَوْمٍ فَقَالَ: مَا فَعَلَ ذَلِكَ الإِنْسَانُ؟
قَالُوا: مَاتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: أَفَلاَ آذَنْتُمُونِي؟
فَقَالُوا: إِنَّهُ كَانَ كَذَا وَكَذَا قِصَّتُهُ. قَالَ: فَحَقَرُوا شَأْنَهُ.
قَالَ: فَدُلُّونِي عَلَى قَبْرِهِ. فَأَتَى قَبْرَهُ فَصَلَّى عَلَيْهِ.
Bahawasanya seorang lelaki atau wanita (berkulit) hitam yang biasa membersihkan masjid meninggal dunia dan kematiannya tidak diketahui oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Pada satu hari baginda mengingati beliau lantas bertanya: “Apakah yang sedang dilakukan oleh orang itu?” Para sahabat menjawab: “Beliau telah meninggal dunia wahai Rasulullah.” Rasulullah bertanya: “Mengapa kalian tidak memberitahu aku?” Mereka menjawab: “Sesungguhnya kisah beliau adalah sekian-sekian…”. (Abu Hurairah) berkata: “Maka mereka merendah-rendahkan perihal beliau.” Rasulullah berkata: “Tunjukkan aku kuburnya.” Maka Rasulullah mendatangi kubur beliau dan bersolat di atasnya.”[6]
Meskipun begitu, terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama’ rahimahumullah berkenaan hukum melaksanakan solat jenazah di perkuburan. Perbezaan ini dapat dirumus menjadi empat pendapat:
Setelah mengemuka dan menganalisa keempat-empat pendapat di atas, Abu Malik Kamal bin al-Sayyid Salim hafizahullah menjelaskan: Dalil-dalil yang menyebutkan solat (jenazah) di atas kubur adalah dalil-dalil yang sahih yang tidak boleh ditolak. Adapun jenazah yang belum disolatkan, maka perkara ini sudah sangat jelas, iaitu tetap disyari’atkan untuk mensolatkannya selama orang-orang mengetahui bahawa jenazah itu belum ada seorangpun yang mensolatkannya. Adapun jika jenazah itu telah disolatkan, maka kesnya seperti kisah lelaki atau wanita (berkulit) hitam dalam hadis yang lalu. Sebagaimana dimaklumi, mayat tidak dikuburkan pada masa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tanpa disolatkan terlebih dahulu (bererti boleh solat jenazah di perkuburan sekalipun jenazah sudah disolatkan sebelum dikebumikan). Adapun dalil-dalil yang melarang solat di atas kubur atau solat menghadap kubur, maka hal itu ditujukan untuk solat-solat selain solat jenazah tanpa diragukan lagi. Ini kerana orang yang melarangnya ialah orang yang melaksanakannya di atas kubur (yakni Rasulullah melarangnya tetapi baginda pula yang melaksanakannya). Itu ucapan baginda dan ini perbuatan baginda, kedua-duanya tidak saling bertentangan (bererti baginda secara umum melarang solat di perkuburan kecuali solat jenazah). Dakwaan bahawa ada kekhususan bagi Nabi shallallahu 'alaihi wasallam (bahawa hanya baginda yang boleh solat di perkuburan), maka ini tidak dapat diterima kerana ia menyalahi prinsip dan tidak boleh ditetapkan melainkan dengan dalil (sementara dalil itu tidak ada). ……Pendapat yang benar ialah boleh mensolatkan (jenazah) di atas kubur bagi sesiapa yang belum sempat mensolatkan jenazah itu (sebelum ia dikebumikan), apatah lagi jika jenazah itu adalah seseorang yang shalih lagi mulia.[7]
Sikap pengarang MSBSPR yang mengemukakan riwayat para sahabat solat jenazah di perkuburan bagi menyoal dan menyelisihi hadis larangan solat di perkuburan menunjukkan bahawa:
Harapnya dua perkara di atas bukan sesuatu yang disengajakan oleh pengarang MSBSPR.
Keempat: Terdapat hadis yang menerangkan keutamaan yang dianugerahkan kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, iaitu hadis:
أُعْطِيتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ مِنْ الأَنْبِيَاءِ قَبْلِي:
نُصِرْتُ بِالرُّعْبِ مَسِيرَةَ شَهْرٍ
وَجُعِلَتْ لِي الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا وَأَيُّمَا رَجُلٍ مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلاَةُ فَلْيُصَلِّ
وَأُحِلَّتْ لِي الْغَنَائِمُ
وَكَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ خَاصَّةً وَبُعِثْتُ إِلَى النَّاسِ كَافَّةً
وَأُعْطِيتُ الشَّفَاعَةَ.
Diberikan kepada aku lima perkara yang belum pernah diberikan kepada seorang jua dari para Nabi sebelumku:
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah diberi keutamaan bahawa bumi ini seluruhnya boleh dijadikan tempat solat atau masjid. Maka sesuatu keutamaan Rasulullah tidak boleh dibatal, dibatas atau dikecualikan. [MSBSPR 144-151]
Catatan: Diakui wujud perbezaan pendapat di kalangan para ulama’ rahimahullah sama ada nas-nas yang menerangkan keutamaan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dapat menerima pembatalan, pembatasan atau pengecualian. Pendapat yang benar adalah nas-nas itu tidak boleh dibatalkan oleh nas yang lain namun boleh dibatas atau dikecualikan dengan syarat yang membatas dan mengecualikannya ialah Allah dan/atau Rasulullah. Dalam kes ini, terdapat sebuah hadis lain di mana Rasulullah bersabda:
الأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلاَّ الْحَمَّامَ وَالْمَقْبَرَةَ.
Bumi seluruhnya ialah tempat solat (masjid) kecuali tempat permandian dan perkuburan.[9]
Terdapat perbezaan pendapat sama ada hadis ini bertaraf maushul (bersambung kepada Rasulullah) atau mursal (terputus pada peringkat sahabat),[10] namun yang benar ialah yang pertama (maushul).[11] Oleh itu, seluruh bumi ini menjadi masjid yang membolehkan kita solat di atasnya kecuali tempat permandian dan perkuburan.[12] Pengecualian ini tidak mengurangi keutamaan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kerana ia bertujuan menjaga kemuliaan umat baginda agar tidak solat di tempat orang ramai membuka aurat dan tidak solat di tempat yang memungkinkan umatnya tersasar dalam aqidah. Kemuliaan yang dimiliki oleh umat Islam sekaligus mencerminkan keutamaan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 4348MS (Kitab al-Fadhail, Bab menghormati Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan meninggalkan banyak bertanya…) [2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 432 (Kitab al-Solat, Bab dibenci solat di perkuburan). [3] Rujuk Fath al-Bari, jld. 2, ms. 89 syarah kepada hadis no: 427-428. [4] Istinbat bererti mengeluarkan hukum wajib, sunat, mubah, makruh dan haram dari sesuatu dalil. [5] Diringkaskan dari Fath al-Bari, jld. 2, ms. 96. [6] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1337 (Kitab al-Janaiz, Bab solat di atas perkuburan selepas dikebumikan). [7] Shahih Fiqh al-Sunnah wa Adillatuh wa Taudih Mazahib al-Aimmah (edisi terjemahan oleh Abu Ihsan al-Atsari atas judul Shahih Fiqih Sunnah; Pustaka at-Tazkia, Jakarta, 2006), jld. 2, ms. 415-416 secara berpisah dengan beberapa suntingan bahasa dan penjelasan tambahan dalam kurungan. [8] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 438 (Kitab al-Janaiz, Bab sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam: “Dijadikan untukku bumi ini sebagai masjid dan untuk bersuci). [9] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abi Daud, hadis no: 492 (Kitab al-Solat, Bab berkenaan tempat yang tidak dibolehkan solat). [10] Sebagaimana jelas Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari, jld. 2, ms. 95. [11] Rujuk penjelasan Salim bin ‘Ied al-Hilali dalam Mausu’ah al-Manahi al-Syar’iyyah fi Shahih al-Sunnah al-Nabawiyyah (edisi terjemahan oleh Abu Ihsan al-Atsari atas judul Ensiklopedi Larangan Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah; Pustaka Imam asy-Syafi’i, Bogor, 2005), jld. 1, ms. 447. Rujukan ini seterusnya akan diringkaskan sebagai Ensiklopedi Larangan sahaja. [12] Termasuk yang dilarang ialah tempat penambatan unta berdasarkan larangan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
صَلُّوا فِي مَرَابِضِ الْغَنَمِ وَلاَ تُصَلُّوا فِي أَعْطَانِ الإِبِلِ فَإِنَّهَا خُلِقَتْ مِنْ الشَّيَاطِينِ. Bersolatlah dalam kandang kambing tetapi janganlah bersolat di tempat penambatan unta kerana sesungguhnya ia dicipta dari syaitan-syaitan. [Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no: 630 (Kitab al-Masajid…, Bab solat di tempat menambat unta dan kandang kambing)]
|