|
Catatan-Catatan Ilmiah Ke Atas Buku Makna Sebenar Bid’ah:
Beberapa Semakan Teliti Ke Atas
Satu Penjelasan (Yang Didakwa) Rapi.
24 Feb 2010: Apabila Kita Menghormati Seseorang…
Apabila kita menghormati seseorang, kita lakukan apa yang akan menyebabkan orang itu rasa dihormati. Ukuran hormat atau tidak terletak pada orang yang ingin kita hormati dan bukan pada diri kita sendiri. Jika kita lakukan mengikut ukuran diri kita sendiri, bererti kita hanya mementingkan ego sendiri. Demikian juga, apabila kita ingin beradab sopan kepada seseorang, kita ukur kesopanan itu berdasarkan ukuran orang yang ingin kita beradab. Jangan ukur mengikut keinginan diri sendiri kerana ia bererti kita hanya ingin beradab kepada ego sendiri. Individu yang paling patut kita hormati dan beradab sopan kepadanya ialah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda adalah manusia yang dicintai oleh Allah sehinggakan Allah mensyaratkan sesiapa yang mencintai-Nya agar membuktikan kecintaan tersebut dengan mengikut sunnah baginda. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: Katakanlah (wahai Muhammad kepada umat Islam): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Ali Imran 3:31]
Bahkan sesiapa yang menyalahi sunnah baginda maka Allah mengancamnya dengan fitnah, sebagaimana firman-Nya: Oleh itu hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [al-Nur 24:63]
Demikian tinggi penghormatan yang Allah Subhanahu wa Ta‘ala wajibkan ke atas kita umat Islam sehingga ke tahap kita dilarang dari memanggil atau menggelar baginda dengan sesuatu yang menjadi kebiasaan di antara manusia. Allah Subhanahu wa Ta‘ala menegaskan dalam ayat yang sama: Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu. [al-Nur 24:63]
Antara panggilan atau gelaran yang biasa di antara manusia ialah memanggil orang yang berkedudukan di atas mereka sebagai “Tuan” atau “Boss”. Gelaran “Sayyidina” merupakan satu gelaran penghormatan yang bererti “Tuan kami” dan ia adalah gelaran yang menjadi kebiasaan di antara manusia. Maka ia adalah gelaran yang sesuai di kalangan orang-orang Islam sebagai tanda saling menghormati, namun ia bukanlah gelaran yang diizinkan kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kerana ia termasuk dalam keumuman larangan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam ayat di atas. Pengarang MSBSPR 91 telah menyelisihi keumuman larangan di atas apabila dia membolehkan gelaran “Sayyidina” dengan hujah: Sebagaimana tidak harus memanggil Nabi s.a.w dengan menyebut namanya tanpa diagungkan, maka begitulah juga tidak harus menyebut namanya tanpa diberikan sifat siyadah (sayyidina) kerana sifat ini termasuk dalam gelaran untuk mengagungkan seperti yang diketahui pada uruf.
Perhatikan cara pendalilan pengarang MSBSPR yang menggunakan uruf sebagai hujah. Mudahnya uruf bermaksud kebiasaan masyarakat padahal Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah melarang penggunaan kebiasaan masyarakat dalam memanggil atau menggelar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu. [al-Nur 24:63]
Mengagungkan Rasulullah serta menghormati dan beradab kepada baginda bukanlah dengan menggunakan gelaran “Sayyidina” tetapi dengan berselawat. Selawat merupakan suatu pengagungan dan penghormatan yang besar kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kerana: Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. [al-Ahzab 33:56]
Inilah sebenarnya pengagungan, penghormatan dan adab terhadap Rasulullah. Malah inilah yang sebenarnya disukai oleh baginda kerana kebaikan selawat akan kembali kepada orang yang berselawat. Apa-apa yang kebaikan yang diperolehi oleh umat pasti disukai oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kerana baginda memang seorang Rasul yang prihatin kepada keadaan umatnya: Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. [al-Taubah 9:128]
Kegembiraan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap amalan berselawat kepada baginda terserlah melalui hadis berikut:
عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ قَالَ: خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاتَّبَعْتُهُ حَتَّى دَخَلَ نَخْلاً
فَسَجَدَ فَأَطَالَ السُّجُودَ حَتَّى خِفْتُ أَوْ خَشِيتُ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ قَدْ تَوَفَّاهُ أَوْ قَبَضَهُ.
قَالَ: فَجِئْتُ أَنْظُرُ فَرَفَعَ رَأْسَهُ فَقَالَ: مَا لَكَ يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ؟ قَالَ: فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لَهُ.
فَقَالَ: إِنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلاَم قَالَ لِي: أَلاَ أُبَشِّرُكَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ لَكَ:
مَنْ صَلَّى عَلَيْكَ صَلَّيْتُ عَلَيْهِ وَمَنْ سَلَّمَ عَلَيْكَ سَلَّمْتُ عَلَيْهِ.
(زاد في رواية): فَسَجَدْتُ لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ شُكْرًا.
Daripada ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf (radhiallahu ‘anh), dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar, lalu aku mengikuti baginda sehingga memasuki kebun kurma. Baginda lalu sujud dan alangkah lama sujud baginda sehingga aku bimbang atau takut seandainya Allah mewafatkan baginda atau mencabut rohnya. (‘Abd al-Rahman bin ‘Auf) meneruskan: Maka aku datang untuk melihat baginda, lalu baginda mengangkat kepalanya dan bertanya: “Kenapa dengan kamu wahai ‘Abd al-Rahman?” (‘Abd al-Rahman bin ‘Auf) berkata, maka aku menyebutkan apa yang berlaku kepada baginda. Maka Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Jibrail ‘alaihissalam berkata kepadaku, “Hendakkah aku gembirakan kamu bahawa sesungguhnya Allah Azza wa Jalla telah berfirman kepada kamu: “Sesiapa yang berselawat ke atas kamu maka Aku berselawat ke atasnya dan sesiapa yang memberi salam ke atas kamu maka aku memberi salam ke atasnya.” (Dalam sebuah riwayat lain ditambah): “Maka aku (Rasulullah) bersujud kepada Allah Azza wa Jalla kerana bersyukur.”[1]
Oleh itu apabila kita ingin mengagungkan, menghormati dan beradab kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, caranya bukanlah dengan memanggil dengan gelaran buatan manusia yang digunakan sesama manusia kerana ia seolah-olah merendahkan baginda. Sebaliknya hendaklah ia dibuktikan dengan berselawat ke atas baginda kerana ia adalah perintah Allah, disukai oleh Rasulullah dan mengembalikan manfaat kepada orang yang berselawat. Cara-cara berselawat sudah diajar oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, maka tidaklah perlu orang-orang selepas baginda menokok tambah sesuatu gelaran di dalam selawat itu (umpama “Sayyidina”) atau membuat-buat selawat tersendiri. Sesiapa yang menokok tambah atau membuat selawat tersendiri, dia sebenarnya mengagungkan, menghormati dan beradab kepada egonya sendiri dan bukan kepada Rasulullah.
Catatan Tambahan: Bahagian kedua dari bab kedua buku MSBSPR memberi tumpuan kepada bid’ah yang berkaitan dengan perkara furu’ (syariat). Saya tidak akan memberi catatan kepada bahagian ini kerana:
[1] Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya (Musnad al-‘Asyarah wa al-Mubasysyarin bi al-Jannah, hadist ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf) dan ia dinilai hasan lighairihi oleh al-Albani dalam Shahih al-Targhib wa al-Tarhib, habis no: 1658.
|