|
Catatan-Catatan Ilmiah Ke Atas Buku Makna Sebenar Bid’ah:
Beberapa Semakan Teliti Ke Atas
Satu Penjelasan (Yang Didakwa) Rapi.
24 Feb 2010: Saya Cemburu Kepada Ibn Taimiyyah!
Iyya! Saya cemburu kepada Ibn Taymiyyah (728H) rahimahullah. Bukan cemburu yang negatif sehingga membenci, mendengki dan memfitnah beliau, tetapi cemburu yang positif sehingga saya menyayangi, mendukong dan membela beliau. Mengapa tidak? Beliau memperoleh pahala demi pahala yang mengalir ke dalam “buku rekod” beliau sehingga ke hari ini sekalipun sudah hampir tujuh abad meninggal dunia. Beliau memperoleh pahala dari ilmunya yang sedia tertuang di dalam sekian banyak kitab-kitabnya. Kitab-kitab beliau pula menjadi bahan rujukan dan kajian sehingga ke hari ini. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ
أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ.
Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariyahnya atau ilmunya yang dimanfaatkan atau anak shalih yang mendoakannya.[1]
Hasil-hasil tulisan beliau bukan saja menjadi bahan rujukan dan kajian, tetapi menjadi sumber petunjuk kepada orang ramai ke arah jalan yang benar, jalan al-Salaf al-Shalih, jalan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Ini sekali lagi menghasilkan pahala non stop kepada beliau sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ لأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا
وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلاَلَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا.
Sesiapa yang menyeru kepada petunjuk maka baginya pahala sepertimana pahala orang-orang yang mengikutinya tanpa dikurangi sedikit jua pahala mereka. Sesiapa yang menyeru kepada kesesatan maka ke atasnya dosa sepertimana dosa orang-orang yang mengikutinya tanpa dikurangi sedikit jua dosa mereka.[2]
Ini tidaklah bererti semua tulisan beliau terlepas dari kesilapan. Tentu saja ada yang ijtihad beliau yang dianggap silap atau lemah oleh tokoh yang lain. Namun kesilapan ini tetap menghasilkan pahala kepada beliau kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah menjanjikan:
إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ.
Apabila seorang hakim itu menghukum lalu dia berijtihad kemudian menepati kebenaran maka baginya dua pahala. Sementara apabila dia menghukum lalu dia berijtihad kemudian silap maka baginya satu pahala.[3]
Ibn Taimiyyah bukan sahaja mendapat pahala dari orang-orang yang mengambil manfaat dari ilmunya, tetapi juga dari orang-orang yang menolak ilmunya. Sepanjang sejarah, sejak dari zaman beliau hidup sehingga ke hari ini, Ibn Taimiyyah tidak pernah ketandusan dari orang-orang yang membenci, mendengki dan memfitnahnya. Orang-orang tersebut menterjemahkan kebencian, kedengkian dan fitnah itu kepada cacian dan tuduhan yang tidak benar ke atas Ibn Taimiyyah. Tanpa mereka sedari, cacian dan tuduhan itu sebenarnya menghasilkan pahala yang mengalir kepada Ibn Taimiyyah. Pahala itu datang dari amalan ibadat para pencaci dan penuduh itu sendiri. Perhatikan hadis berikut:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ؟
قَالُوا: الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لاَ دِرْهَمَ لَهُ وَلاَ مَتَاعَ.
فَقَالَ: إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلاَةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا
وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا.
فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ
أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ.
Daripada Abu Hurairah (radhiallahu ‘anh), bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Tahukah kalian siapa orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: “Bagi kami muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun harta.” Lalu (Rasulullah) menjelaskan: “Sebenarnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah orang yang datang pada Hari Kiamat dengan (membawa pahala) solat, puasa, zakat, akan tetapi (semasa di kehidupan dunia) dia pernah mencaci seseorang, menuduh seseorang (tanpa bukti), memakan harta seseorang, menumpahkan darah seseorang dan memukul seseorang. Maka akan diberikan kepada orang yang dia pernah zalimi itu dari pahala kebaikannya sendiri (pahala solat, puasa zakat) dan begitulah seterusnya kepada orang lain yang dia pernah zalimi itu. Jika telah habis pahala kebaikannya sementara masih berbaki kesalahannya kepada orang-orang yang pernah dia zalimi di dunia dahulu, maka akan diambil dosa kesalahan orang yang dia zalimi itu dan dibebankan ke atasnya, kemudian dia dicampakkan ke dalam neraka.[4]
Maka Ibn Taimiyyah mendapat pahala dari dua penjuru, pertama daripada orang-orang yang menyayanginya dan kedua daripada orang-orang yang membencinya. Siapakah yang tidak cemburu? Antara individu muslim yang turut menuduh Ibn Taimiyyah dengan tuduhan yang tidak benar ialah pengarang MSBSPR. Dalam MSBSPR 52 dia menuduh Ibn Taimiyyah sebagai beraqidah tasybih (menyamakan Allah dengan makhluk) sementara dalam MSBSPR 53-55 dia menuduh Ibn Taimiyyah melakukan bid’ah dalam aqidah, menolak hadis-hadis sahih dan menyalahi ijma’. Para pembaca yang dihormati sekalian boleh melihat sendiri kesalahan tuduhan-tudahan tersebut dalam dua rujukan berikut:
Catatan Tambahan: Hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di atas berkenaan seorang muslim yang muflis perlu kita jadikan sumber iktibar yang penting, paling kurang dari dua sudut:
Adapun bid’ah-bid’ah yang berkaitan dengan aqidah dan aliran-aliran yang berpecah dalam persoalan aqidah, para pembaca sekalian dijemput menelaah kitab Abu al-Hasan al-Asya‘ari (324H) rahimahullah yang berjudul Maqalat al-Islamin wa Ikhtilaf al-Musollin. Beliau telah menerangkan ciri-ciri aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah dan perbezaan aqidah aliran-aliran yang berpecah dari Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Ini adalah rujukan yang jauh lebih sahih dan diyakini berbanding buku MSBSPR.
[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 1631 (Kitab al-Wasiyat, Bab apakah ganjaran yang diperolehi oleh manusia setelah dia meninggal dunia). [2] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2674 (Kitab al-‘Ilm, Bab sesiapa yang membuat sunnah yang baik…). [3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 7352 (Kitab al-I’tishom bi al-Kitab wa al-Sunnah, Bab pahala hakim apabila dia berijtihad lalu betul atau silap). [4] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2581 (Kitab al-Birr wa al-Shilah wa al-Adab, Bab larangan menzalimi).
|