|
Catatan-Catatan Ilmiah Ke Atas Buku Makna Sebenar Bid’ah:
Beberapa Semakan Teliti Ke Atas
Satu Penjelasan (Yang Didakwa) Rapi.
30 Jan 2010: Kepentingan Ilmu Usul al-Fiqh Kepada Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah
Selain ilmu hadis, seorang yang ingin mengikuti manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah secara tepat perlu juga memiliki ilmu yang membolehkannya memahami dan mengeluarkan hukum yang betul dari hadis-hadis yang disemaknya. Bukan sahaja hadis tetapi dalil-dalil yang lain seperti al-Qur’an, al-Ijma’, al-Qiyas dan sebagainya. Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu Usul al-Fiqh. Ia adalah ilmu yang, sebagaimana jelas Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin rahimahullah: Satu ilmu yang mengkaji dalil-dalil al-fiqh yang umum dan cara mengeluarkan hukum darinya serta keadaan orang yang mengeluarkan hukum tersebut.[1]
Kepentingan ilmu ini telah diterangkan oleh sahabat saya, Fadlan bin Mohd. Uthman hafizahullah sebagai: Sesungguhnya di dalam apa sahaja ilmu, perkara yang amat penting bagi orang yang ingin mempelajarinya ialah mengkaji dasar-dasarnya yang dapat membantu pemahaman ilmu tersebut. Pengajian dasar-dasar sesuatu ilmu akan menjadikan pengkaji itu seorang yang mempunyai tapak yang kuat dalam memahami ilmu itu.[2]
Ilmu Ushul al-Fiqh tidak khusus kepada para mujtahid yang ingin mengeluarkan hukum dan fatwa, sebagaimana yang sering ditakut-takutkan oleh sebahagian agamawan yang mereka sendiri lemah dalam ilmu ini. Akan tetapi ia umum lagi penting bagi setiap pengkaji kerana dengan ilmu ini mereka akan dapat memperoleh kefahaman yang tepat dari sesuatu nas al-Qur’an dan/atau al-Sunnah. Lebih penting, pengetahuan dalam ilmu Usul al-Fiqh dan ilmu-ilmu yang lain seperti ilmu hadis, tafsir dan bahasa Arab, dapat membantu para pengkaji mengesan kehadiran agamawan yang – secara sengaja atau tidak sengaja – mengeluarkan kefahaman dan hukum yang salah dari nas-nas al-Qur’an dan/atau al-Sunnah. Contoh yang terbaik ialah terhadap buku MSBSPR yang sedang kita semak sekarang ini. Semakan masih tertumpu kepada bab pertama buku MSBSPR, akan tetapi telah ditemui dan diterangkan kesilapan yang amat banyak lagi parah dalam bidang Usul al-Fiqh. Salah satu darinya ialah apa yang akan diterangkan dalam perenggan-perenggan berikut, iaitu terhadap bab kecil: “AL-QUR’AN MEMPERAKUI BID’AH YANG BAIK” (MSBSPR 44). Setelah mengemukakan hadis Abu Umamah radhiallahu 'anh yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah memfardhukan kepada kamu puasa Ramadan. Dia tidak memfardhukan kepada kamu beribadat di malam harinya (iaitu bertarawih secara berjamaah). Beribadat di malam hari itu adalah perkara baru yang kamu ada-adakan. Oleh itu hendaklah kamu bertekun dan berterusan mengerjakannya. Ini kerana ada manusia dari kalangan Bani Israel yang telah mencipta satu bid’ah. Lantaran itu Allah mencela mereka apabila mereka meninggalkannya. Allah berfirman:
Pengarang MSBSPR 45 mengulas: Kefahaman yang dipetik oleh Abu Umamah berdasarkan ayat al-Qur’an terbabit adalah sahih (betul). Ini kerana ayat terbabit bukan mencela golongan manusia itu (dari Bani Israel) kerana mereka mengada-adakan hidup kependetaan. Ini kerana mereka mengada-adakan cara hidup kependetaan itu dengan tujuan mendapatkan keredhaan Allah. Tetapi al-Qur’an mencela mereka disebabkan mereka tidak menunaikan dengan sebenar-benarnya cara kependetaan yang mereka ada-adakan. Ini menunjukkan bid’ah yang baik disyari’atkan (diperakukan oleh syarak) seperti yang jelas ketara melalui ayat ini. Ibn Kathir rahimahullah tidak dapat menanggapi maksud ayat terbabit. Lantaran itu beliau mentafsirkan bahawa ayat ini mencela bid’ah secara mutlak, sedangkan tafsiran itu adalah salah.
Catatan: Sebelum kita menyemak dan menjelaskan kesalahan kenyataan pengarang MSBSPR di atas, berikut disalin sepenuhnya ayat 27 surah al-Hadid: Kemudian Kami iringi sesudah mereka Rasul-rasul Kami silih berganti dan Kami iringi lagi dengan Nabi Isa ibni Maryam serta Kami berikan kepadanya Kitab Injil; dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutnya perasaan belas kasihan (sesama sendiri). Dan (perbuatan mereka beribadat secara) "Rahbaniyyah" - merekalah sahaja yang mengada-adakannya; Kami tidak mewajibkannya atas mereka; (mereka berbuat demikian) kerana mencari keredhaan Allah; dalam pada itu mereka tidak menjaga dan memeliharanya menurut yang sewajibnya. Oleh itu orang-orang yang beriman di antara mereka, kami berikan pahalanya, dan (sebaliknya) banyak di antara mereka yang fasik - derhaka. [al-Hadid 57:27]
Pertama: Perhatikan bahawa ayat 27 surah al-Hadid di atas membicarakan tentang kaum terdahulu, iaitu umat Nabi Isa ‘alaihis salam dan pengikut kitab Injil. Memang, kisah-kisah umat terdahulu disampaikan kepada kita untuk diambil iktibar dan pengajaran. Namun jika hendak dijadikan dasar agama atau sumber hukum, maka hendaklah terlebih dahulu ia dilandaskan kepada kaedah Usul al-Fiqh berkenaan “Syari’at Umat Sebelum Kita”. ‘Abd al-Karim Zaidan hafizahullah memiliki penjelasan yang baik berkenaan “Syari’at Umat Sebelum Kita” dan ia dapat diterjemahkan sebagai berikut:
Maksud syari’at umat sebelum kita ialah hukum-hukum yang disyari’atkan Allah untuk umat-umat sebelum kita, dan yang diturunkan-Nya kepada para Nabi dan Rasul-Nya untuk disampaikan kepada umat-umat tersebut. Ulama’ berbeza pendapat mengenai hukum-hukum tersebut, apakah ia mengikat kita (umat Muhammad) dan merupakan sebahagian dari syari’at kita atau tidak? Sebelum disebut pendapat-pendapat mereka, perlu diperjelaskan terlebih dahulu wilayah perbezaan pendapat itu kerana syari’at umat sebelum kita bermacam-macam (jenisnya). Di antaranya ada yang disepakati dan ada pula yang menjadi medan perbezaan pendapat, sehingga perlu disebut jenis-jenisnya dan dijelaskan apa yang diperselisihkan. Pertama: Hukum-hukum (umat sebelum kita) yang tidak disebut dalam al-Qur’an dan Sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Hukum seperti ini tidak merupakan syari’at bagi kita tanpa ada perselisihan di antara ulama’. Kedua: Hukum-hukum (umat sebelum kita) yang dikisahkan al-Qur’an atau al-Sunnah dan wujud dalil dalam syari’at kita bahawa hukum tersebut dibatalkan dari syari’at kita dan ia hanya khusus kepada umat-umat terdahulu. Hukum seperti ini tidak menjadi syari’at bagi kita tanpa ada perselisihan di antara ulama’. Ketiga: Hukum-hukum yang tertera di dalam al-Qur’an atau al-Sunnah dan wujud dalil dari syari’at kita bahawa hukum-hukum tersebut diwajibkan ke atas kita sebagaimana diwajibkan ke atas umat-umat terdahulu. Hukum seperti ini disepakati merupakan syari’at bagi kita dan sumber syari’atnya sama dengan hukum-hukum syari’at kita. Keempat: Hukum-hukum yang disebutkan al-Qur’an atau al-Sunnah tetapi tidak ada dalil dari nas-nas ini bahawa hukum tersebut berlaku bagi kita atau tidak. Seperti firman Allah: Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, mata dibalas dengan mata, hidung dibalas dengan hidung, telinga dibalas dengan telinga, gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). [al-Maidah 5:45]
Apakah syari’at seperti ini dinilai sebagai syari’at bagi kita atau tidak? Inilah masalah yang menjadi perbezaan pendapat di antara ulama’. Sebahagian ulama’ seperti Ahmad bin Hanbal dan selainnya berpendapat bahawa syari’at seperti ini termasuk syari’at bagi kita. Sebahagian yang lain berpendapat bukan termasuk syari’at bagi kita. Masing-masing berhujah dengan apa yang mendukung sudut pandangnya. Pendapat yang unggul ialah syari’at umat sebelum kita bukan termasuk syari’at kita. Allah berfirman: Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syari’at dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). [al-Maidah 5:48]
Meskipun demikian perbezaan pendapat ini tidak penting kerana tidak memberi kesan perbezaan dalam amal. Tidak ada satu pun hukum di antara hukum-hukum syari’at terdahulu yang dikisahkan Allah atau Rasul-Nya kepada kita kecuali juga tercantum dalam syari’at kita penjelasan yang menunjukkan pembatalannya atau kelangsungannya. Dalil pembatalan atau kelangsungan ini wujud dalam rangkaian nas yang mengisahkan kepada kita hukum syari’at terdahulu itu, atau dalil itu ada di tempat lain di antara nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah.[3]
Oleh itu, berdasarkan ilmu Usul al-Fiqh, seandainya benar umat terdahulu membuat bid’ah sebagaimana ayat 27 surah al-Hadid dan Allah mengizinkannya, maka ia adalah syari’at umat terdahulu. Apakah ia juga mengikat bagi kita umat Muhammad? Jawapannya tidak kerana bagi syari’at umat Muhammad, kebolehan membuat bid’ah telah dibatalkan oleh nas:
فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ
وَشَرُّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ.
Maka sesungguhnya sebaik-baik perkataan ialah Kitab Allah (al-Qur’an) sementara sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad. Seburuk-buruk urusan ialah perkara yang baru diada-adakan dan setiap bid’ah adalah sesat.[4]
Kedua: Pengarang MSBSPR memiliki sikap yang tidak baik yang memisahkan dirinya dari ilmu dan keadilan. Ini kerana apabila dia berbeza pendapat dengan tokoh agamawan yang lain, dia hanya mengkritik pendapat tokoh itu tanpa mengemukakan apa hujah atau pendapat tokoh terbabit. Seolah-olah dia bimbang jika dikemukakan, pembaca akan dapat menilai kekuatan hujah dan pendapat tokoh yang dikritiknya itu. Sebelum ini kita telah membaca kritik pengarang MSBSPR ke atas al-Syathibi rahimahullah padahal dia tidak mengemukakan apa hujah dan pendapat al-Syathibi. Kini dia mengkritik Ibn Katsir rahimahullah tanpa mengemukakan apa hujah dan pendapat Ibn Katsir.
Tidak mengapa, berikut dikemukakan pendapat Ibn Katsir:
Firman Allah: “Dan (perbuatan mereka beribadat secara) "Rahbaniyyah" - merekalah sahaja yang mengada-adakannya” bermaksud umat Nasrani mengada-adakan ibadat ini, “Kami tidak mewajibkannya atas mereka” iaitu Kami tidak mensyari’atkannya bagi mereka, sesungguhnya mereka sajalah yang mewajibkannya atas diri mereka. Firman Allah: “kecuali kerana mencari keredhaan Allah”, ada dua pendapat terhadap ayat ini. Pendapat pertama mengatakan bahawa mereka bermaksud dengan yang sedemikian (ibadat secara kependetaan) untuk mendapatkan redha Allah, ini menurut Sa‘id ibn Jubair dan Qatadah. Pendapat lain mengatakan bahawa Kami (Allah) tidak mewajibkan kepada mereka yang sedemikian (ibadat secara kependetaan), sesungguhnya yang Kami wajibkan kepada mereka hanyalah mencari redha Allah (melalui ibadat yang disyari’at melalui Nabi Isa dan Kitab Injil). Firman Allah: “dalam pada itu mereka tidak menjaga dan memeliharanya menurut yang sewajibnya”, iaitu mereka tidak memelihara apa yang mereka wajibkan ke atas diri mereka dengan pemeliharaan yang semestinya. Ini mengandungi celaan terhadap mereka dari dua sudut. Pertama, mereka telah mengada-adakan sesuatu ibadat di dalam agama Allah apa yang tidak diperintahkan oleh Allah. Kedua, mereka tidak mengerjakan apa yang mereka wajibkan ke atas diri mereka sendiri, yang mereka anggap sebagai amal taqarrub yang dapat menghampirkan diri mereka kepada Allah ‘Azza wa Jalla.[5]
Sekian penjelasan Ibn Katsir rahimahullah.
[1] al-Ushul min ‘Ilm al-Ushul (edisi terjemahan oleh Fadlan bin Mohd. Othman atas judul Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul al-Fiqh; Jahabersa, Johor Bahru), ms. 10. [2] Pengenalan Ringkas Kepada Ilmu Ushul al-Fiqh, ms. 6. [3] al-Madkhal, ms. 264-265 dengan beberapa suntingan bahasa dan penjelasan tambahan dalam kurungan. [4] Sahih: Sebahagian dari hadis yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 867 (Kitab al-Jumu’ah, Bab meringankan solat dan khutbah). [5] Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim (edisi lengkap yang ditahqiq dan ditakhrij oleh lima penyemak; Muassasah Qurtubiyah, 2000), jld. 13, ms. 434.
|