|
Catatan-Catatan Ilmiah Ke Atas Buku Makna Sebenar Bid’ah:
Beberapa Semakan Teliti Ke Atas
Satu Penjelasan (Yang Didakwa) Rapi.
22 Jan 2010: Fitnah Ke Atas Para Sahabat
Sepanjang sejarah, sudah menjadi adat manusia untuk mendengki sesiapa yang banyak berjasa. Lebih banyak jasa yang dilakukan oleh individu atau kumpulan, lebih besar kedengkian yang terhasil. Kedengkian ini seterusnya diterjemah kepada perbuatan fitnah. Tidak ketinggalan dari menjadi mangsa dalam adat yang buruk ini ialah para sahabat radhiallahu 'anhum. Mereka adalah sekumpulan manusia yang telah dipilih oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk mendampingi dan membantu Rasul-Nya, Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam bagi menyampaikan risalah Islam. Atas pilihan ini, mereka telah mengunggulkan Rasulullah dan Islam di atas nyawa, anggota, kaum keluarga, harta benda dan keinginan peribadi mereka. Mereka terus memperjuangkan Islam sekalipun sesudah kewafatan Rasulullah, sekalipun sesudah Allah menurunkan ayat-ayat yang memuji mereka dan menjanjikan syurga untuk mereka. Atas pengorbanan dan perjuangan mereka inilah, Islam sampai ke bumi Maghribi, negara kelahiran pengarang MSBSPR. Atas pengorbanan dan perjuangan mereka inilah, Islam sampai ke bumi Malaysia, negara diusahakan penterjemahan buku MSBSPR. Oleh kerana jasa yang demikian banyak, banyaklah juga fitnah yang ditaburkan ke atas para sahabat. Di antara yang masyhur ialah fitnah golongan Syi‘ah. Mereka memfitnah para sahabat sebagai konon telah menyembunyi dan menafikan perlantikan ‘Ali bin Abi Thalib dan ahli keluarga beliau radhiallahu 'anhum sebagai khalifah atau imam ke atas umat Islam sesudah kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Pelbagai fitnah mereka tabur ke atas para sahabat. Alhamdulillah, para tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah telah menjawab dan mematahkan fitnah ini. Antara lain sila rujuk buku Jawapan Ahl al-Sunnah Kepada Syi‘ah al-Rafidhah Berkenaan Keutamaan Dan Sejarah Para Sahabat oleh ‘Abd Allah ‘Abd al-Qadir al-Taliri yang sudah diterbitkan oleh Jahabersa, Johor Bahru. Kemudian timbul pula fitnah para penyokong bid’ah. Mereka ialah sekumpulan umat Islam yang merasakan tidak cukup dengan agama Islam, seolah-olah ia belum sempurna. Mereka mencipta pelbagai pemikiran dan amalan bid’ah dalam Islam. Kemudian apabila ditanya “Apakah dalil kamu?”, mereka segera mencarinya di sana-sini. Antara yang mereka temui ialah perbuatan para sahabat yang melakukan sekian-sekian amalan, lalu dengan segera mereka membuat fitnah “Perhatikan hadis-hadis berikut…bukankah para sahabat juga membuat bid’ah lalu ia dibolehkan?” Tentu saja ini satu fitnah yang besar di dalam Islam, fitnah yang besar ke atas para sahabat radhiallahu 'anhum. Seandainya benar para sahabat mencukupkan diri mereka dengan amalan-amalan persendirian seperti mana yang digemari oleh para penyokong bid’ah, nescaya Islam akan terkubur beberapa bulan saja selepas kewafatan Rasulullah sehingga menjadilah manusia di bumi ini menyembah batu dan nafsu. Seandainya benar para sahabat gemar mencipta dan menyebarkan bid’ah sebagaimana yang disangka oleh para penyokong bid’ah, nescaya Islam pada hari ini jauh berbeza berbanding Islam seribu empat ratus tahun yang lalu. Bahkan Islam akan diubah berulang-kali menjadi umpama agama ahli kitab yang lain. Di antara yang turut memfitnah para sahabat sebagai pembuat bid’ah ialah pengarang MSBSPR. Dia memfitnah para sahabat dalam dua fasa:
Fasa Pertama: Fasa ini merujuk kepada zaman ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam masih hidup. Pengarang MSBSPR 34-44 telah mengemukakan sejumlah riwayat yang semuanya berkesimpulan kepada tindakan salah seorang sahabat yang mengada-adakan sesuatu amalan baru (bid’ah) lalu tindakan itu diiktiraf dan dipuji oleh Rasulullah. Ini seterusnya dijadikan dalil bahawa para sahabat telah mengada-adakan perkara baru atau “bid’ah” dan bid’ah itu diiktiraf oleh Rasulullah. Salah satu hadis yang dimaksudkan ialah: Rifa‘ah bin Rafi’ al-Zuraqi radhiallahu ‘anh berkata:
كُنَّا يَوْمًا نُصَلِّي وَرَاءَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنْ الرَّكْعَةِ
قَالَ: "سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ".
قَالَ رَجُلٌ وَرَاءَهُ: "رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ".
فَلَمَّا انْصَرَفَ قَالَ: "مَنْ الْمُتَكَلِّمُ؟"
قَالَ: "أَنَا".
قَالَ: "رَأَيْتُ بِضْعَةً وَثَلاَثِينَ مَلَكًا يَبْتَدِرُونَهَا أَيُّهُمْ يَكْتُبُهَا أَوَّلُ".
Kami pada satu hari pernah bersolat di belakang Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Tatkala baginda mengangkat kepalanya daripada rukuk, baginda mengucapkan: “SamiAllahu liman hamidah”. Seorang lelaki di belakangnya berkata: “Rabbana lakal hamdu hamdan katsiran thoyyiban mubarokan fihi”. Tatkala selesai solat baginda bertanya: “Siapa yang berbicara (itu)?” Lelaki itu menjawab: “Saya.” Baginda melanjutkan: “Aku melihat lebih tiga puluh malaikat saling berebutan, siapakah di antara mereka yang akan menulisnya terlebih dahulu.”[1]
Berdasarkan hadis ini, seorang sahabat bernama Rifa‘ah telah mengada-adakan perkara baru atau “bid’ah” dengan mencipta bacaan solat yang tersendiri. “Bid’ah” itu diiktiraf dan dipuji oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Ini menjadi dalil kebolehan melakukan bid’ah dan wujudnya bid’ah yang baik. Setelah mengemukakan salah satu hadis yang seumpama, pengarang MSBSPR 37 menyatakan: Hadith ini menunjukkan dalil harus mengadakan perkara baru dalam ibadat, sama ada ibadat solat lainnya jika ia sejajar dengan dalil-dalil syarak.
Setelah mengemukakan beberapa riwayat yang menerangkan para sahabat mengada-adakan penambahan di atas zikir-zikir yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lalu ia diiktiraf oleh baginda, pengarang MSBSPR 128-129 membuat kesimpulan: Membuat penambahan ke atas lafaz yang ma’thur dalam tasyahhud, talbiah dan zikir-zikir lain yang seumpamanya tidaklah menjadi kesalahan. Ini kerana Nabi s.a.w mendengar penambahan yang dibuat oleh sahabatnya dan baginda memperakuinya. Sebagaimana juga para sahabat besar juga turut membuat penambahan seperti Umar bin al-Khattab dan anaknya Abdullah bin Umar, Abdullah bin Mas’ud dan al-Hasan bin Ali r.a. Keharusan membuat penambahan terhadap lafaz zikir talbiah dan zikir yang seumpamanya merupakan pendapat jumhur ulama, malah ia merupakan ijma’ di kalangan ulama. Ini kerana hukum makruh seperti yang disebutkan oleh Malik dan imam al-Shafie melalui salah satu daripada dua pendapatnya, juga termasuk dalam ertikata harus sebagaimana yang ditetapkan dalam ilmu Usul. Memang benar, tidak ada khilaf bahawa berpegang sekadar yang sabit daripada Nabi s.a.w adalah lebih afdhal dan utama. Namun tidak ada halangan dan kesempitan kepada sesiapa yang mahu mengadakan sendiri zikir atau selawat ke atas Nabi s.a.w dengan cara yang sewajarnya. Orang ini tidak boleh dinamakan pembuat bid’ah sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak yang keterlaluan.
Catatan: Jika dikaji kitab-kitab Ushul al-Fiqh, akan ditemui bahawa sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam terbahagi kepada beberapa kategori:
Tempoh sunnah tarkiyah, qauliyah, fi’liyah, dan taqririyah yang sah untuk dijadikan rujukan syari’at umat Islam ialah dari saat baginda diangkat menjadi Rasul (menerima wahyu pertama) sehinggalah saat baginda menghembuskan nafas yang terakhir (wafat). Adapun hadis Rifa‘ah bin Rafi’ al-Zuraqi radhiallahu ‘anh di atas atau hadis-hadis lain yang seumpama dalam Fasa Pertama, ia duduk dalam kategori sunnah taqririyah. Ini kerana seorang sahabat telah mengada-adakan sesuatu yang kemudiannya diiktiraf oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Akan tetapi – diulangi bahawa – sunnah taqririyah hanya berlaku dalam tempoh dari saat baginda diangkat menjadi Rasul (menerima wahyu pertama) sehinggalah saat baginda menghembuskan nafas yang terakhir (wafat). Sunnah taqririyah tidak wujud selepas kewafatan Rasulullah kerana baginda tidak hadir untuk memberi pengiktirafan atau pengingkaran kepada apa yang dilakukan oleh umat Islam. Perlu diingatkan bahawa di kalangan para sahabat sendiri semasa zaman kehidupan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, bukan semua perkataan atau perbuatan yang mereka ada-adakan diiktiraf oleh baginda. Di antaranya ada yang baginda ingkari dan perbetulkan. Ini berlaku bukan sahaja dalam urusan ibadat tetapi apa-apa urusan agama yang lain, umpama kisah seorang sahabat yang membonceng di belakang Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Tiba-tiba haiwan tunggangan mereka tergelincir lalu dia berkata: “Celakalah syaitan!” Sepintas lalu, kata-kata sahabat itu terasa benar kerana dia menyandarkan kepada syaitan dan mencela syaitan atas sesuatu buruk yang dialaminya. Namun ia tidak diiktiraf oleh Rasulullah. Baginda membetulkannya dengan bersabda:
لاَ تَقُلْ تَعِسَ الشَّيْطَانُ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَعَاظَمَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الْبَيْتِ
وَيَقُولُ بِقُوَّتِي وَلَكِنْ قُلْ بِسْمِ اللَّهِ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَصَاغَرَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الذُّبَابِ.
Janganlah menyebut “Celakalah syaitan!” kerana apabila engkau mengatakannya, syaitan akan membesar sehingga sebesar rumah dan berkata “Demi kekuatanku!” Sebaliknya sebutlah “Bismillah!” kerana apabila engkau mengatakannya syaitan akan mengecil sehingga sekecil lalat.[2]
Justeru pengiktirafan atau pengingkaran, pujian atau pembetulan dalam sunnah taqririyah hanya dapat berlaku ketika Rasulullah masih hidup. Dengan kewafatan baginda, sunnah sudah menjadi satu ketetapan yang sempurna lagi yang terbaik. Lebih penting, apa yang diada-adakan oleh para sahabat radhiallahu 'anhum dan diterima sebagai Sunnah Taqririyah oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak boleh dijadikan hujah bagi mengada-adakan bid’ah dan membahagikan bid’ah kepada yang baik dan buruk. Ini kerana bid’ah hanya diukur terhadap sesuatu yang baru diada-adakan selepas kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Adapun sesuatu urusan agama yang diada-adakan pada zaman Rasulullah dan baginda mengiktirafnya, ia termasuk sunnah, iaitu Sunnah Taqririyah. Justeru sekalipun pengarang MSBSPR menghimpun puluhan hadis-hadis sahih lain[3] yang menerangkan tindakan para sahabat radhiallahu 'anhum mengada-adakan perkara baru dalam urusan agama lalu ia diiktiraf oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, ia bukan hujah kebolehan melakukan bid’ah dan pembahagian bid’ah kepada yang baik dan buruk. Ini kerana semua hadis-hadis itu tidak duduk dalam kategori bid’ah tetapi duduk dalam kategori Sunnah Taqririyah. Diketahui bahawa seorang ulama’ yang amat dihormati, Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah telah mensyarah hadis Rifa‘ah bin Rafi’ al-Zuraqi di atas dengan berkata: Hadith ini dijadikan dalil keharusan mengada-adakan zikir yang tidak ma’thur dalam sembahyang (tidak berasal daripada Nabi s.a.w), jika ianya tidak bercanggah dengan zikir yang ma’thur. [Fath al-Bari (2/335); MSBSPR 42]
Syarahan beliau ini telah dikomentar oleh seorang ulama’ lain yang turut dihormati, ‘Abdul Aziz bin ‘Abdullah bin Baz rahimahullah: Perkataan ini diperlu diperhatikan. Seandainya beliau (al-Hafiz Ibn Hajar) mengaitkan penjelasannya ke zaman Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, tentu ia benar kerana sesungguhnya pada zaman itu tidak diiktiraf apa-apa kebatilan (kerana apa jua yang dibuat oleh para sahabat akan disemak oleh baginda). Berbeza keadaannya setelah kewafatan Nabi, kerana sesungguhnya wahyu sudah terputus manakala syari‘at Islam telah disempurnakan oleh Allah, segala puji bagi Allah. Maka tidak boleh menambah sesuatu dalam ibadat apa yang tidak dikehendaki oleh syara’. Wallahu ‘Alam.[4]
Adapun kenyataan MSBSPR: “Keharusan membuat penambahan terhadap lafaz zikir talbiah dan zikir yang seumpamanya merupakan pendapat jumhur ulama, malah ia merupakan ijma’ di kalangan ulama”, maka sekali lagi pengarang MSBSPR telah menyatakan ijma’ tanpa mengemukakan bukti yang kukuh. Kami Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah mengiktiraf ijma’ sebagai salah satu sumber hukum syari’at, tetapi yang kami kehendaki ialah al-Ijma’ al-Mutayaqqin atau ijma’ yang diyakini betul kesepakatannya. Setakat ini pengarang MSBSPR bukanlah orang yang boleh diyakini penghujahannya. Selain itu, benarlah kata-kata hikmah yang menyatakan, Seorang ahlus sunnah akan sentiasa membuka pintu sunnah dan menutup pintu bid’ah sementara seorang ahlul bid’ah akan sentiasa menutup pintu sunnah dan membuka pintu-pintu bid’ah. Sunnah hanya satu, maka ia memiliki satu pintu manakala bid’ah tidak terhitung jumlahnya, maka ia memiliki banyak pintu. Perhatikan kata-kata pengarang MSBSPR berikut: “Namun tidak ada halangan dan kesempitan kepada sesiapa yang mahu mengadakan sendiri zikir atau selawat ke atas Nabi s.a.w dengan cara yang sewajarnya.” Berdasarkan kenyataan ini, sesiapa saja tidak kira tempat atau zaman akan mengada-adakan lafaz zikir dan selawat tersendiri hingga akhirnya zikir dan selawat yang benar-benar sahih daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam akan tenggelam. Tidak sekadar itu, memandangkan sesiapa pun boleh mengada-adakannya, maka tidaklah dapat dibayangkan bagaimana porak-perandanya satu amalan yang asalnya ringan di bibir tetapi berat di neraca amal.
Fasa Kedua: Fasa ini merujuk kepada zaman sesudah kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Pengarang MSBSPR telah membuat bab khas tentang ini, berjudul Beberapa Perkara Baru Yang Diada-adakan Oleh Para Sahabat r.a Selepas Zaman Nabi s.a.w. Di antara perkara yang diada-adakan itu termasuk dalam kategori melakukan sesuatu yang ditinggalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kerana wujud halangan pada zaman baginda, umpama perlaksanaan solat Tarawih berjamaah. Sebahagian yang lain termasuk dalam kategori melakukan sesuatu yang ditinggalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kerana tiada tuntutan pada zaman baginda, umpama pengumpulan al-Qur’an dan penambahan azan pada hari Jumaat. Semua ini bukanlah bid’ah tetapi Sunnah Hasanah sebagaimana yang telah dijelaskan dalam bab pertama. Perhatian kita tertumpu kepada beberapa riwayat yang menerangkan seolah-olah para sahabat telah mengada-adakan amal ibadat, padahal ibadat merupakan hak Allah Subhanahu wa Ta'ala yang tidak memiliki ruang untuk diada-adakan oleh sesiapa jua. Satu contoh ialah hadis berikut:
عَبْدُ اللَّهِ بْنُ سَخْبَرَةَ أَبُو مَعْمَرٍ قَالَ سَمِعْتُ ابْنَ مَسْعُودٍ يَقُولُ
عَلَّمَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَفِّي بَيْنَ كَفَّيْهِ التَّشَهُّدَ كَمَا يُعَلِّمُنِي السُّورَةَ مِنْ الْقُرْآنِ:
‘Abd Allah bin Sukhbarah yang juga dikenali dengan gelaran Abu Ma’mar berkata, aku mendengar Ibn Mas’ud dia berkata: “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajarku tasyahhud dengan telapak tanganku berada di antara telapak tangan baginda sebagaimana baginda mengajarku surah-surah dari al-Qur’an, (bacaan itu ialah):
التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ وَالصَّلَوَاتُ وَالطَّيِّبَاتُ السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
Ibn Mas’ud meneruskan:
وَهُوَ بَيْنَ ظَهْرَانَيْنَا فَلَمَّا قُبِضَ قُلْنَا السَّلاَمُ يَعْنِي عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Ini berlaku ketika baginda masih hidup bersama kami. Tatkala baginda wafat, kami berkata: “Assalamu ‘ala al-Nabi” yakni ke atas Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.[5]
Hadis di atas menerangkan bacaan tasyahhud pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan sedikit perubahan yang dilakukan oleh para sahabat sesudah kewafatan baginda. Sepintas lalu, kelihatan seolah-olah para sahabat telah mengada-adakan perkara yang baru dalam urusan ibadat. Ringkasnya, para sahabat telah berbuat bid’ah. Benarkah demikian?
Catatan: Tentu tidak. Di atas adalah satu dari beberapa riwayat sahih yang menerangkan para sahabat mengubah-suai, menambah, mengurang atau lebih tepat – mengada-adakan – sesuatu urusan ibadat yang baru. Ketika melakukan sedemikian, para sahabat tidak menyandarkannya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sehingga memberi gambaran ia murni dari penalaran (teori/akal) sahabat itu sendiri. Akan tetapi dalam ilmu usul sedia diterangkan bahawa ia asalnya merupakan sesuatu yang mereka pelajari atau ikuti daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pada zaman baginda masih hidup. Hanya apabila mereka melakukannya sesudah baginda wafat, mereka tidak menyandarkannya kepada baginda kerana suasana tidak memerlukan mereka melakukan penyandaran sedemikian. Umat Islam (generasi tabi‘in) yang hidup bersama para sahabat sedia mengetahui bahawa apa saja urusan ibadat yang diada-adakan oleh para sahabat, ia tidak bersumber dari penalaran (teori/akal) sahabat itu sendiri, sebaliknya bersumber daripada Rasulullah. Justeru sekalipun riwayat-riwayat itu berstatus mauquf (terhenti kepada sahabat) ia bernilai marfu’ (bersambung kepada Rasulullah). Catatan dalam perenggan di atas dapat ditemui dalam kitab-kitab Usul al-Fiqh yang muktabar, dalam bab Mazhab al-Shahabah. Di antaranya ialah kitab al-Madkhal li Dirasat al-Syari‘at al-Islamiyah oleh ‘Abd al-Karim Zaidan hafizahullah yang dapat diterjemahkan sebagai berikut:
Pendahuluan.
Sahabat, menurut kebanyakan ulama’ usul, ialah orang yang menyaksikan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, mengimaninya dan menyertainya dalam tempoh waktu yang cukup untuk disebut sebagai sahabat menurut kebiasaan, seperti Khulafa’ al-Rasyidin, ‘Abd Allah bin Mas’ud, ‘Abd Allah bin ‘Abbas dan sahabat lain yang beriman kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, membelanya, mendengar ucapannya dan mengikuti petunjuknya. Setelah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam wafat, sahabat-sahabat baginda yang mulia – yang dikenali dengan ilmu dan pemahaman agamanya – memberikan fatwa dan peradilan di antara umat. Fatwa dan keputusan mereka telah diriwayatkan kepada kita. (Persoalannya), apakah fatwa dan keputusan mereka ini dinilai sebagai sumber fiqh yang dipegang teguh oleh mujtahid dan tidak boleh ditinggalkannya jika ia tidak mendapati (penyelesaian sesuatu) masalah dalam al-Qur’an, al-Sunnah dan al-Ijma’?
Penjelasan Perbezaan Pendapat Dalam Persoalan ini. Bagi merumuskan perbezaan pendapat ulama’ mengenai kehujahan pendapat sahabat, kami memperincikan masalah ini sebagai berikut:
Pertama: Tidak diperselisihkan bahawa pendapat sahabat tentang suatu hal yang tidak difahami dengan nalar (boleh dijadikan) sebagai hujah dan sumber fiqh. Ini kerana ucapan atau pendapat ini dikategorikan sebagai sesuatu yang didengar dan diriwayatkan daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sehingga termasuk sunnah, sedangkan sunnah termasuk sumber penetapan hukum.
Kedua: Tidak diperselisihkan bahawa pendapat sahabat yang disepakati (al-Ijma’) hujah dan sumber penetapan hukum, kerana ijma’ merupakan sumber penetapan syari’at seperti yang telah kami jelaskan. Adapun pendapat sahabat yang tidak diketahui adanya sahabat lain yang menentang, maka ia termasuk ijma’ sukuti, yang juga termasuk hujah bagi sebahagian ulama’.
Ketiga: Tidak diperselisihkan bahawa pendapat sahabat tidak dianggap sebagai hujah yang mengikat sahabat yang semisal. Kita lihat para sahabat saling berbeza pendapat di antara mereka, namun salah seorang di antara mereka tidak memaksakan pendapatnya kepada orang lain.
Keempat: Pendapat sahabat yang muncul dari penalaran dan ijtihad. Inilah yang diperselisihkan apakah ia merupakan sesuatu yang wajib dipegang oleh umat sesudah sahabat.
Sebahagian ulama memandang bahawa pendapat sahabat adalah hujah yang wajib diikuti, dan mujtahid dapat memilih di antara pendapat sahabat yang dinilainya mendekati al-Qur’an dan al-Sunnah. Sebahagian yang lain memandang bahawa pendapat sahabat bukanlah hujah dan mujtahid dapat berijtihad dan menerapkan hasil ijtihadnya. Kelompok pertama berhujah bahawa kemungkinan benar ijtihad sahabat lebih besar dibanding selain sahabat kerana sahabat menyaksikan penurunan wahyu, memahami rahsia-rahsia penetapan syari’at dan menyertai Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dalam jangka waktu yang lama sehingga memberikan (mereka) naluri fiqh yang tajam. Mereka juga memiliki pengetahuan yang luas tentang al-Qur’an dan rahsia-rahsia bahasa Arab. Semua ini menjadikan pendapat mereka memiliki kedudukan yang lebih besar berbanding pendapat selain mereka dan ijtihad mereka lebih mendekati kebenaran berbanding ijtihad selain mereka. Kelompok lain berhujah bahawa kita diwajibkan mengikuti al-Qur’an dan al-Sunnah serta sumber-sumber yang ditunjukkannya, sedangkan pendapat sahabat bukanlah salah satu dari sumber ini. Di samping itu ijtihad berdasarkan penalaran tetap berkemungkinan salah, tanpa ada perbezaan antara sahabat dan selainnya, meskipun kemungkinan salah bagi sahabat adalah lebih kecil. Kami cenderung kepada pendapat bahawa pendapat sahabat bukanlah hujah yang mengikat, namun kami mengunggulkan penerapan pendapat mereka sekiranya tidak didapati suatu hukum dalam al-Qur’an dan al-Sunnah serta ijma’ dan sumber-sumber fiqh yang lain. Ini sebagai tarjih (mengunggulkan/menguatkan), bukan ilzam (mengikat/menetapkan).[6]
Urusan ibadat umpama solat, puasa, umrah, haji dan zikir termasuk dalam urusan yang tidak dicampur tangan oleh nalar manusia, termasuk oleh nalar para sahabat radhiallahu 'anhum (Kategori Pertama). Justeru para sahabat sangat tegas terhadap sesiapa yang campur tangan dalam urusan ibadat, sekalipun ia sesuatu yang kecil umpama zikir selepas bersin. Perhatikan hadis berikut:
عَنْ نَافِعٍ: أَنَّ رَجُلاً عَطَسَ إِلَى جَنْبِ ابْنِ عُمَرَ. فَقَالَ: الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ.
قَالَ ابْنُ عُمَرَ: وَأَنَا أَقُولُ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ
وَلَيْسَ هَكَذَا عَلَّمَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَّمَنَا
أَنْ نَقُولَ: الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ.
Daripada Nafi’ (beliau menerangkan): Ada seorang lelaki bersin (ketika berada) di tepi Ibn ‘Umar. Lalu dia berdoa: “Alhamdulillah, wassalamu ‘ala Rasulullah (Segala puji bagi Allah dan salam ke atas Rasulullah).” Berkata Ibn ‘Umar: “Alhamdulillah, wassalamu ‘ala Rasulullah (Segala puji bagi Allah dan salam ke atas Rasulullah)? Bukan begitu yang diajarkan kepada kami oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda mengajar kami berdoa: “Alhamdulillah ‘ala kulli hal (Segala puji bagi Allah dalam segala sesuatu).”[7]
Oleh itu seandainya wujud riwayat-riwayat yang menerangkan para sahabat mengada-adakan sesuatu yang berkaitan ibadat, tidak diperselisihkan lagi bahawa ia adalah riwayat yang bernilai marfu’ (bersambung kepada Rasulullah) sekalipun ia berstatus mauquf (terhenti kepada sahabat). Menarik untuk diperhatikan bahawa setelah mengemukakan riwayat di atas berkenaan bacaan tasyahhud sebagai contoh bid’ah oleh para sahabat radhiallahu 'anhum, pengarang MSBSPR 118 berkomentar: Apa yang dilakukan adalah ijtihad oleh beliau, bukannya kerana Nabi yang menyuruhnya berbuat demikian (tauqif) seperti yang dikatakan oleh al-Albani kerana kejahilannya tentang Ilmu Usul. Penulis telah menerangkan kepalsuan dakwaan yang dibuat olehnya (al-Albani) dalam kitab penulis yang berjudul “Al-Ru’ya Fi al-Qur’ann wa As-Sunnah”.
Saya (Hafiz Firdaus) berkata, inilah yang dimaksudkan dengan pepatah Melayu: “Seperti ketam mengajar anaknya berjalan”. Setakat ini kita telah perhatikan pelbagai kelemahan, kekeliruan dan kesilapan pengarang MSBSPR dalam ilmu usul. Nah! Di sebalik semua ini, dia pula yang menuduh tokoh lain sebagai jahil dalam ilmu usul. Para pembaca yang budiman sekalian boleh merujuk jawapan balas al-Albani rahimahullah terhadap kritikan di atas dalam bukunya Ashl Shifat Sholat al-Nabi, jld. 3, bab berkenaan lafaz-lafaz tasyahhud ketika duduk Tasyahhud Pertama.[8]
[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 799. (Kitab al-Azan, Bab keutamaan membaca Allahumma Rabbana Lakalhamd…). Rujuk MSBSPR 42. [2] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 4982. [3] Di antaranya ada dikemukakan oleh pengarang MSBSPR dalam bab ketiga bukunya: Beberapa Perkara Baru Yang Diada-adakan Oleh Para Sahabat r.a Selepas Zaman Nabi s.a.w. [4] Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (tahqiq: ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abd Allah bin Baz; Dar al-Fikr, Beirut, 2000), jld. 2, ms. 544 (catatan notakaki). [5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6265 (Kitab al-Isti’zan, Bab memegang dengan dua tangan). Juga dikemukakan secara ringkas dalam MSBSPR 117-118. [6] al-Madkhal li Dirasat al-Syari‘at al-Islamiyah (edisi terjemahan oleh M. Misbah atas judul Pengantar Studi Syari‘at; Robbani Press, Jakarta, 2008), ms. 261-263 dengan beberapa suntingan bahasa dan penjelasan tambahan dalam kurungan. Rujukan ini seterusnya diringkaskan sebagai al-Madkhal sahaja. [7] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 2738 (Kitab al-Adab ‘an Rasulullah, Bab apa yang diucapkan oleh orang yang bersin…). [8] Buku Shifat Sholat al-Nabi oleh al-Albani rahimahullah memiliki dua versi. Pertama ialah versi ringkas untuk rujukan umum dan ia diterbitkan dalam bentuk satu jilid. Pada masa kini terdapat pelbagai buku dan modul kuliah yang menerangkan sifat-sifat solat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, semuanya berpaksi kepada buku al-Albani ini. Maka setiap pencinta sunnah mesti memiliki buku ini sebagai sumber rujukan dalam ibadat solat, fiqh perbandingan mazhab dan ilmu hadis. Ia sudah diterjemah ke pelbagai bahasa. Kedua ialah versi asal untuk para pengkaji dan ia diterbitkan dalam bentuk tiga jilid. Ia sudah diterjemah oleh Abu Zakaria al-Atsary atas judul Sifat Shalat Nabi: Edisi Lengkap dan diterbitkan oleh Griya Ilmu, Jakarta, 2007.
|