Catatan-Catatan Ilmiah Ke Atas Buku Makna Sebenar Bid’ah:

Beberapa Semakan Teliti Ke Atas Satu Penjelasan (Yang Didakwa) Rapi.
oleh
Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

 

22 Jan 2010:

Perkara Betul Dikatakan Betul

 

 

 

Menjawab, membantah dan mengkritik sesuatu penulisan bukan bererti semua yang ada dalam penulisan itu adalah salah. Di celah-celahnya ada yang betul dan kita perlu bersikap adil dalam menilainya. Allah Subhanahu wa Ta'ala mengingatkan:

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. [al-Maidah 5:08]

 

Maka antara kenyataan yang betul daripada pengarang MSBSPR ialah ketika menafsirkan hadis berikut:

 

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ.

 

Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan kami ini apa yang tidak (memiliki asal-usul) darinya maka ia tertolak.[1]

 

Setelah mengemukakan beberapa lafaz lain yang seumpama, pengarang MSBSPR 34 menyatakan:

 

Hadith ini (hadis keenam)[2] mengkhususkan hadith yang umum iaitu “Setiap bid’ah adalah sesat”. Hadith ini juga (hadith keenam) berperanan menerangkan apakah yang dimaksudkan dengan hadith “Setiap bid’ah adalah sesat” seperti yang jelas kelihatan. Ini kerana jika bid’ah itu adalah sesat tanpa terkecuali, nescaya hadith itu menyebutkan: Barang siapa yang mengadakan apa sahaja yang baru dalam urusan kami di sini maka ia tertolak”, tetapi oleh kerana hadith itu menyebutkan: Barang siapa yang mengadakan sesuatu yang baru dalam urusan kami ini yang ia bukannya daripada urusan kami, maka ia tertolak, maka ia membawa maksud perkara baru yang diada-adakan ada dua jenis:

Pertama: Yang bukan dari agama ini seperti perkara yang bercanggah dengan kaedah dan dalil agama, maka ia adalah tertolak. Inilah yang dimaksudkan dengan bid’ah yang sesat.

Kedua: Yang termasuk dalam agama ini dengan disokong oleh prinsip agama atau disokong oleh dalil, maka ia adalah betul dan diterima. Inilah yang dimaksudkan dengan sunnah yang baik.

 

Betul apa yang dikatakan oleh pengarang MSBSPR, bahawa perkara baru yang disokong oleh prinsip atau dalil agama, perkara itu ialah Sunnah Hasanah atau sunnah yang baik. Ia tidak disebut sebagai bid’ah hasanah, bid’ah mahmudah mahupun bid’ah wajib dan sunat. Sebaliknya perkara yang baru dilakukan yang bercanggah dengan kaedah dan dalil agama, perkara itu ialah bid’ah dholalah.

Adapun kenyataan pengarang MSBSPR bahawa Hadith ini mengkhususkan hadith yang umum iaitu “Setiap bid’ah adalah sesat”, maka punca kesilapan sejak awal ialah kerana dia meletakkan hadis “Setiap bid’ah adalah sesat” di tangga teratas dalam tertib penyusunan dalil. Kesilapan ini menyebabkan pengarang MSBSPR berhempas pulas cuba membuktikan hadis yang umum itu dikhususkan oleh hadis-hadis yang lain sekalipun dia mengetahui bahawa cara itu menyelisihi bahasa Arab yang paling mendasar terhadap makna perkataan “Setiap…”.

Tertib sebenar penyusunan adalah seperti berikut:

 

  • Tangga Pertama:

Tangga pertama lagi teratas ialah hadis berikut:

 

مَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا

 

وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ. وَمَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا

 

بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ.

 

“Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang buruk lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun.”[3]

 

Hadis ini dengan sendirinya telah membahagikan perkara-perkara yang dilakukan oleh umat Islam sebagai Sunnah Hasanah dan Sunnah Sayyi’ah.

 

  • Tangga Kedua:

Maksud Sunnah Sayyi’ah antara lain diperincikan oleh hadis berikut:

 

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ.

 

Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan kami ini apa yang tidak (memiliki asal-usul) darinya maka ia tertolak.[4]

 

Iaitu orang-orang yang melakukan perkara baru yang bercanggah dengan kaedah dan dalil agama. Apa yang dilakukan oleh orang itu tertolak dari agama Islam dan – sebagaimana hadis Tangga Pertama – dia mendapat dosa dan dosa orang-orang yang mengikutinya. Hadis Tangga Pertama dan Tangga Kedua saling menjelaskan antara satu sama lain.

 

  • Tangga Ketiga:

Sunnah Sayyi’ah juga bermaksud melakukan bid’ah, kerana Sunnah Sayyi’ah bererti melakukan sesuatu yang telah dicela dan dilarang oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Termasuk yang dicela dan dilarang oleh baginda ialah bid’ah berdasarkan hadis:

 

فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ

 

وَشَرُّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ.

 

Maka sesungguhnya sebaik-baik perkataan ialah Kitab Allah (al-Qur’an) sementara sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad. Seburuk-buruk urusan ialah perkara yang baru diada-adakan dan setiap bid’ah adalah sesat.[5]

 

Berdasarkan tertib penyusunan ini, tidak berlaku percanggahan dalam bahasa Arab terhadap perkataan كل yang bermaksud setiap. Berdasarkan tertib ini juga, tidak perlu bersusah payah mendakwa wujudnya pengkhususan di atas keumuman dengan penjelasan yang saling bertindih, bersimpang-siur dan bertentangan antara satu sama lain.

 

 

 


 

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1718 (Kitab al-Aqdiyat, Bab mengkritik hukum yang batil dan menolak urusan bid‘ah).

[2] Maksudnya hadis kenam dari hadis-hadis yang dikemukakan oleh pengarang MSBSPR bagi membuktikan hadis “Setiap bid’ah adalah sesat” merupakan hadis umum yang dikhususkan.

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1017 (Kitab Zakat, Bab suruhan bersedekah sekalipun dengan setengah biji tamar…).

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1718 (Kitab al-Aqdiyat, Bab mengkritik hukum yang batil dan menolak urusan bid‘ah).

[5] Sahih: Sebahagian dari hadis yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 867 (Kitab al-Jumu’ah, Bab meringankan solat dan khutbah).