Catatan-Catatan Ilmiah Ke Atas Buku Makna Sebenar Bid’ah:

Beberapa Semakan Teliti Ke Atas Satu Penjelasan (Yang Didakwa) Rapi.
oleh
Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

 

19 Jan 2010:

Cek Derma Sebesar Pintu

 

 

 

Satu masa lalu ketika saya sedang berjinak-jinak dengan ilmu agama, agak kerap saya mendengar para penceramah mengkritik individu, pertubuhan atau syarikat yang memberikan derma. Ini kerana derma tersebut lazimnya mereka beri dalam bentuk cek sebesar pintu dan ditayangkan kepada media cetak dan elektronik.

“Nampak sangat tak ikhlas, apabila menderma ditunjuk-tunjukkan kepada media” ulas seorang penceramah.

“Nak menunjuk cek sebesar pintu, bukan lakupun! Cuba bawa cek itu ke bank, pasti ditolak. Yang diterima ialah cek yang kecil, yang boleh disembunyikan” kritik seorang penceramah lain. Saya mengangguk-angguk jahil. Sejak itu saya mula berburuk sangka kepada sesiapa yang menderma dengan liputan media.

Namun, alhamdulillah, saya tidak mencukupkan diri saya dengan ilmu yang diterima melalui para penceramah. Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengurniakan saya dorongan dan keyakinan untuk mengkaji sendiri sekalipun dengan hanya membaca berseorangan. Ketika membaca ayat 271 surah al-Baqarah, saya menemui firman Allah:

Kalau kamu menampakkan sedekah-sedekah itu (secara terang-terangan), maka yang demikian adalah baik (kerana dapat menjadi contoh). Dan kalau kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin maka itu adalah lebih baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan. [al-Baqarah 2:271]

 

Tidak cukup dengan hanya membaca terjemahan, saya semak pula apa tafsirannya. Saya temui kata-kata Imam Ibn Katsir rahimahullah terhadap ayat di atas:

Di dalamnya terdapat petunjuk bahawa sedekah secara tersembunyi adalah lebih utama daripada sedekah secara terang-terangan kerana ia dapat menjauhkan daripada sifat riya’. Pengecualian jika suasana mengarah seseorang untuk menampakkan sedekahnya kerana sesuatu kemaslahatan yang penting, agar orang ramai mengikuti tindakannya. Maka dalam suasana seperti ini menampakkannya adalah lebih utama.[1]

 

Mudah kata, sedekah atau derma dibolehkan secara tersembunyi atau terang-terangan. Secara tersembunyi lebih baik, kecuali jika penderma ingin tindakannya menjadi motivasi kepada orang lain agar turut menderma, maka atas tujuan ini adalah baik untuk “menunjukkan” dermanya. Kemudian saya dapati menderma secara terang-terangan atau “menunjuk” memiliki contoh dalam al-Sunnah, iaitu berdasarkan hadis berikut:

 

عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: جَاءَ نَاسٌ مِنَ الأَعْرَابِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

 

عَلَيْهِمُ الصُّوفُ. فَرَأَى سُوءَ حَالِهِمْ. قَدْ أَصَابَتْهُمْ حَاجَةٌ. فَحَثَّ النَّاسَ عَلَى الصَّدَقَةِ.

 

فَأَبْطَئُوا عَنْهُ حَتَّى رُئِيَ ذَلِكَ فِي وَجْهِهِ. قَالَ: ثُمَّ إِنَّ رَجُلاً مِنَ لأَنْصَارِ جَاءَ بِصُرَّةٍ مِنْ وَرِقٍ.

 

ثُمَّ جَاءَ آخَرُ ثُمَّ تَتَابَعُوا حَتَّى عُرِفَ السُّرُورُ فِي وَجْهِهِ.

 

فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا

 

بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ.

 

وَمَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا

 

وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ.

 

Daripada Jarir bin ‘Abd Allah katanya: Datang sekumpulan Arab Badawi kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka memakai pakaian bulu. Baginda melihat buruknya keadaan mereka, mereka ditimpa kesusahan. Baginda menggesa orang ramai bersedekah namun mereka lambat melakukannya sehingga kelihatan kemarahan pada wajah baginda.

(Kata Jarir) Kemudian seorang lelaki daripada golongan Ansar datang dengan sebekas perak (dan mensedekahkannya). Kemudian datang seorang yang lain pula, kemudian orang ramai datang (bersedekah) berturut-turut. Sehingga terlihat kegembiraan pada wajah baginda. (Melihat yang sedemikian) Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang buruk lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun.”[2]

 

Dalam hadis di atas, yang seterusnya saya sebut sebagai “hadis Sunnah Hasanah”, seorang lelaki Ansar telah menderma secara terang-terangan atau “menunjuk”. Sungguhpun begitu, tindakannya memberi motivasi untuk orang-orang lain turut menderma sehingga Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memujinya dengan ganjaran pahala. Pahala bukan sahaja atas amalan dermanya bersedekah tetapi atas amalan derma orang-orang lain. Ini kerana dialah yang menjadi sumber motivasi untuk orang-orang lain menderma.

Maka berdasarkan ayat al-Qur’an dan hadis di atas, saya tidak lagi berburuk sangka kepada sesiapa yang menderma sambil diliputi oleh media. Saya berbaik sangka bahawa mereka menderma secara ikhlas dan inginkan amalan derma mereka menjadi sumber motivasi kepada individu, pertubuhan atau syarikat lain untuk turut menderma. Lebih dari itu, bukankah sifat ikhlas atau menunjuk letaknya di dalam hati? Maka bagaimana mungkin saya atau para penceramah itu membaca hati seseorang dan mengetahui dia tidak ikhlas menderma?

Satu perkara lain yang saya tertanya-tanya ialah, mengapa hadis Sunnah Hasanah: “Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun” jarang-jarang dikemukakan untuk menggalakkan orang ramai mempelopori sesuatu sunnah yang sabit secara terang-terangan? Saya jarang-jarang mendengar hadis di atas kemukakan kecuali apabila berbicara tentang bid’ah, di mana ia lazim dikemukakan sebagai hujah untuk membolehkan “bid’ah hasanah”.

Di antara yang turut mengemukakan hadis di atas ialah pengarang MSBSPR. Setelah mengemukakan beberapa lafaz dan periwayatan hadis terbabit, pengarang MSBSPR 29 menjelaskan maksud hadis Sunnah Hasanah sebagai berikut:

 

1.   Yang dimaksudkan dengan mempelopori sunnah ialah:

Mewujudkannya dengan cara berijtihad dan mengistinbatkan daripada kaedah-kaedah syarak atau nas-nasnya yang umum. Inilah maksud yang dibayangkan oleh hadis-hadis yang telah disebutkan melalui ungkapan:

 

مَنْ سَنَّ سُنَّةً حَسَنَةً.

Maknanya:

Barang siapa yang mempelopori sunnah yang baik.

 

Yakni sesiapa yang mengadakan sunnah yang baik dengan bersandarkan kepada dalil-dalil syarak maka dia mendapat pahalanya. Dan barang siapa yang mempelopori sunnah yang buruk yang bercanggah dengan syarak, dan bersandarkan kepada dalil yang tidak diperakui oleh syarak, maka dia menanggung dosanya.

2.   Berpegang dengan sunnah, mengikuti dan beramal dengannya. Anjuran ini adalah sabit dalam banyak hadis yang menggesa supaya mengikut sunnah, beramal dengannya dan menjadikan Nabi s.a.w sebagai contoh ikutan.

 

3.   Menghidupkan sunnah Nabi s.a.w yang telah ditinggalkan (yakni tidak diamalkan).

Ketiga-tiga penjelasan di atas dapat kita terima. Namun pengarang MSBSPR turut menjadikan hadis Sunnah Hasanah sebagai dalil pembahagian bid’ah yang baik dan bid’ah yang buruk. Dia menyatakan dalam MSBSPR 27:

Semua hadith yang telah disebutkan menjelaskan bahawa bid’ah terbahagi kepada yang baik dan yang buruk.

Bid’ah yang baik ialah yang sejajar dengan prinsip syarak. Sekalipun ia merupakan perkara baru yang diada-adakan dengan melihat kepada dirinya, namun ia dianggap disyariatkan dengan melihat kepada jenisnya, disebabkan ia termasuk dalam kaedah syarak, atau keumuman ayat al-Qur’an dan hadith. Oleh kerana itu ia dinamakan baik, dan pahalanya terus diterima oleh orang yang mempeloporinya selepas kematiannya.

Bid’ah yang buruk ialah yang bercanggah dengan kaedah-kaedah syarak. Ia dikira sebagai bid’ah yang tercela, dan bid’ah yang sesat.

 

Pembahagian di atas ditolak. Sebabnya:

 

Pertama: Seorang mujtahid yang layak lagi diiktiraf umat, apabila beliau mengijtihadkan sesuatu urusan agama yang betul lagi bagus, hasil ijtihadnya tidak tepat untuk dinamakan bid’ah yang baik. Sebaliknya ia dinamakan Sunnah Hasanah, sebagaimana hadis Sunnah Hasanah di atas.

Sebagai contoh, ijtihad Abu Bakar untuk memerangi orang yang enggan membayar zakat, ijtihad ‘Umar bin al-Khaththab untuk menghimpun al-Qur’an dalam satu mushaf, ijtihad ‘Utsman bin ‘Affan untuk melaungkan dua azan bagi solat Jumaat dan ijtihad ‘Ali bin Abi Thalib untuk merotan empat puluh kali peminum arak, semua itu merupakan Sunnah Hasanah. Para khalifah di atas, radhiallahu ‘anhum, ketika mengijtihadkan urusan-urusan agama di atas tidak menamakannya bid’ah hasanah, bid’ah mahmudah mahupun bid’ah wajib dan sunat.

 

Kedua: Pengarang MSBSPR sendiri telah menerangkan bahawa maksud hadis Sunnah Hasanah ialah:

  1. Berpegang dengan sunnah, mengikuti dan beramal dengannya. Anjuran ini adalah sabit dalam banyak hadis yang menggesa supaya mengikut sunnah, beramal dengannya dan menjadikan Nabi s.a.w sebagai contoh ikutan.

  2. Menghidupkan sunnah Nabi s.a.w yang telah ditinggalkan (yakni tidak diamalkan).

Maka amalan berpegang, mengikuti dan beramal dengan sunnah serta menghidupkan sunnah yang ditinggalkan tidak dapat disebut sebagai bid’ah yang baik. Sesuatu yang sunnah tidak dapat dikatakan bid’ah sehingga tidak betul untuk mengaitkannya dengan istilah bid’ah.

 

Ketiga: Orang yang berijtihad dengan cara yang betul, menerus dan menghidupkan sunnah yang dianjur atau diperintah oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah melakukan Sunnah Hasanah. Ia tidak dapat dinamakan sebagai melakukan bid’ah yang baik kerana bid’ah tiada yang baik berdasarkan hadis:

 

فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ

 

وَشَرُّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ.

 

Maka sesungguhnya sebaik-baik perkataan ialah Kitab Allah (al-Qur’an) sementara sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad. Seburuk-buruk urusan ialah perkara yang baru diada-adakan dan setiap bid’ah adalah sesat.[3]

 

Sebaliknya, orang yang berijtihad dengan cara yang salah, menerus dan menghidupkan sunnah yang telah dicela atau dilarang oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah melakukan Sunnah Sayyi’ah. Ia juga dapat dinamakan sebagai melakukan bid’ah kerana bid’ah merupakan salah satu yang telah dicela dan dilarang oleh sunnah, berdasarkan hadis yang sama:

 

فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ

 

وَشَرُّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ.

 

Maka sesungguhnya sebaik-baik perkataan ialah Kitab Allah (al-Qur’an) sementara sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad. Seburuk-buruk urusan ialah perkara yang baru diada-adakan dan setiap bid’ah adalah sesat.[4]

 

Oleh itu Sunnah Hasanah tidak dapat disinonimkan dengan bid’ah yang baik sementara Sunnah Sayyi’ah dapat disinonimkan dengan bid’ah. Ini kerana bid’ah termasuk dalam kategori Sunnah Sayyi’ah dan terkeluar dari kategori Sunnah Hasanah.

 

Keempat: Pengarang MSBSPR sendiri dalam bukunya pernah membahagikan perkara yang baru kepada Sunnah Hasanah dan bid’ah. Dalam MSBSPR 16-17, dia menulis:

Saya (penulis) mengatakan:

Perkara baru yang diadakan dan mempunyai asas yang menjadi dalilnya dari sudut syarak dinamakan sebagai sunnah hasanah (sunnah yang baik). Begitulah yang dinamakan oleh Nabi s.a.w. Lawan kepadanya dinamakan bid’ah. Selain itu ia juga dinamakan sunnah sayyi’ah (sunnah yang buruk).

 

 

Beberapa Catatan Tambahan:

Merujuk kepada hadis Sunnah Hasanah: “Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun.”

Hadis ini menjadi sumber dorongan dan motivasi bagi setiap muslim yang inginkan pahala daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala untuk bergiat cemerlang menyebarkan sunnah kepada masyarakat. Usaha ini umpama satu modal pelaburan, kerana dengan modal itu dia bukan sahaja mendapat hasil usaha dirinya tetapi hasil usaha orang lain yang mengikuti sunnah yang disebarkannya.

Walaubagaimanapun terdapat dua poin penting sebelum seseorang itu dapat menjadi cemerlang dalam menyebarkan sunnah:

  1. Hendaklah dia terlebih dahulu mempelajari sunnah agar dapat mengetahui dan membezakan sunnah yang sahih lagi sabit. Menyebut tentang belajar, ia adalah usaha yang tidak mengenal titik noktah, tidak mengenal keluh kepenatan, tidak mengenal jalan pintas dan tidak mengenal sikap angkuh serta sombong.

  2. Hendaklah dia turut mempelajari cara berdakwah berdasarkan sunnah agar dia dapat menyebarkan sunnah itu secara hikmah dan bertahap-tahap. Selama ini masyarakat keberatan menerima sunnah bukan kerana mereka membenci sunnah tetapi kerana membenci cara orang yang menyampaikan sunnah.

 

Merujuk kepada hadis Sunnah Sayyi’ah: “Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang buruk lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun.”

Hadis ini menunjukkan kepentingan bagi setiap muslim yang berilmu untuk membasmi apa-apa pemikiran dan amalan yang dicela dan dilarang oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, termasuklah bid’ah. Ini kerana apabila seseorang itu, agamawan atau bukan, lelaki mahupun wanita, mempelopori satu Sunnah Sayyi’ah lalu ia diikuti oleh orang ramai, maka individu terbabit akan terus menerus mendapat dosa sebanyak orang ramai yang mengikuti Sunnah Sayyi’ah yang dipeloporinya itu.

Maka apabila orang yang berilmu menerangkan kesalahan-kesalahan Sunnah Sayyi’ah itu sehingga orang ramai berhenti dari mengikutinya, dosa juga berhenti dari mengalir kepada orang yang mempeloporinya. Ini tentu merupakan amal shalih yang akan dihargai oleh orang yang mempeloporinya di Hari Akhirat kelak.

Justeru usaha-usaha menerangkan kesalahan-kesalahan Sunnah Sayyi’ah sama ada secara bertulis atau lisan melalui pelbagai media moden masa kini, tidak boleh dipandang sebagai usaha permusuhan atau pemecah-belah persatuan. Ia adalah usaha murni yang sepatutnya mendapat sambutan dan sokongan oleh setiap yang mencintai sesama umat Islam.


 

 


[1] Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim (Muassasah al-Qurtubah, Kaherah, 2000), jld. 2, ms. 473.

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1017 (Kitab Zakat, Bab suruhan bersedekah sekalipun dengan setengah biji tamar…).

[3] Sahih: Sebahagian dari hadis yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 867 (Kitab al-Jumu’ah, Bab meringankan solat dan khutbah).

[4] Sahih: Sebahagian dari hadis yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 867 (Kitab al-Jumu’ah, Bab meringankan solat dan khutbah).