|
Catatan-Catatan Ilmiah Ke Atas Buku Makna Sebenar Bid’ah:
Beberapa Semakan Teliti Ke Atas
Satu Penjelasan (Yang Didakwa) Rapi.
11 Nov 2009: “Pergi Sekolah Baik-baik Ya!”
Pernahkan anda berpesan kepada anak anda: “Pergi sekolah baik-baik ya!” lalu apabila dia pulang anda menjadi marah kerana pakaian seragam anak kemerahan terkena sambal nasi lemak? Pernahkan anda berpesan kepada adik anda: “Semester ni belajar rajin-rajin!” lalu anda kecewa apabila beberapa minggu kemudian mendapat panggilan daripada warden kolej bahawa mata kanan adik anda bengkak kerana berlawan tumbuk? Pernahkan anda berpesan kepada pekerja anda: “Siapkan laporan ini” lalu anda menggeleng kepala kerana laporan itu siap dengan pelbagai kesalahan ejaan dan tatabahasa di dalamnya? Dalam tiga contoh di atas, kesilapan berlaku kerana anda menggunakan ayat yang umum dalam memberi pesanan. Ayat “baik-baik”, “rajin-rajin” dan “siapkan” adalah umum dan boleh menimbulkan beberapa kefahaman atau keraguan. Bagi seorang anak, “baik” boleh bererti jangan lari dari sekolah, tetapi tidak bererti jaga kebersihan apabila makan. Bagi seorang pelajar, “rajin” boleh bererti rajin belajar cara berlawan tumbuk dan bukannya rajin belajar silibus pengajian. Bagi seorang pekerja, “siapkan” boleh bererti asalkan laporan siap tanpa mempedulikan kualitinya. Maka kesalahan tidak berada pada orang yang dipesan tetapi pada orang yang memesan kerana menggunakan ayat yang umum. Sepatutnya ayat yang umum itu diperincikan, dibataskan, dikhususkan dan dikecualikan, sehingga tidak timbul salah faham, kefahaman berganda atau keraguan.
Contoh pesanan umum yang diperincikan: “Pergi sekolah baik-baik ya! Bila makan pada waktu rehat, jaga kebersihan pakaian seragam.” Contoh pesanan umum yang dibataskan: “Semester ni belajar rajin-rajin! Jangan berkawan dengan pelajar lain yang merokok, melepak dan mengganggu orang lain.” Contoh pesanan umum yang dikhususkan: “Siapkan laporan ini, pastikan ejaan dan tatabahasa adalah betul semuanya.” Contoh pesanan umum yang dikecualikan: “Semua murid mesti turun ke padang untuk latihan jasmani kecuali Hazman yang demam selsema.”
Di atas sekadar contoh. Maha Suci Allah dari memiliki kesamaan dengan makhluk-Nya. Namun Allah mengetahui bahawa jika agama yang diturunkan-Nya ini dipenuhi dengan ayat-ayat – atau lebih tepat – nas-nas yang bersifat umum, pasti ia akan menimbulkan salah faham, kefahaman berganda atau keraguan kepada manusia. Allah mengetahui bahawa jika nas yang dikemukakannya dalam al-Qur’an dan oleh Rasul-Nya dalam hadis-hadis baginda bersifat umum, pasti sukar untuk membimbing manusia ke jalan yang lurus, yang kembali kepada-Nya. Padahal antara tujuan utama agama Islam ialah Allah ingin menunjuk kepada manusia jalan yang lurus, yang membawa kepada-Nya. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: Oleh itu orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada (keimanan) ini, maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya, dan Allah akan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus, yang membawa kepada-Nya. [al-Nisa’ 4:175]
Maka atas dasar inilah Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak membiarkan sesuatu istilah bersifat umum melainkan kebanyakannya memiliki ayat atau hadis lain yang memperincikannya, mengkhususkannya, membataskannya dan mengecualikannya agar manusia dapat mengamalkan nas itu dengan tepat dan betul. Hanya, kerap kali ayat atau hadis yang bersifat memperincikan, mengkhususkan, membataskan dan mengecualikan sesuatu nas yang umum terhimpun secara berasingan sehingga seseorang itu perlu mencarinya. Oleh itu ayat al-Qur’an yang bersifat umum diperincikan oleh ayat yang terletak dalam surah yang lain. Atau hadis yang bersifat umum dikhususkan oleh hadis yang diriwayatkan oleh sahabat yang lain. Atau ayat yang bersifat umum dibataskan oleh hadis yang tertulis dalam kitab hadis yang lain. Semua ini disengajakan oleh Allah sebagai satu bentuk ujian bagi manusia: Maha Berkat Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; Dia-lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa lagi Maha Pengampun. [al-Mulk 67:1-2]
Satu contoh ialah ayat berikut: Dan hendaklah engkau beristighfar (memohon ampun) kepada Allah; kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-Nisa’ 4:106] Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyuruh kita untuk beristighfar. Namun suruhan ini bersifat umum sehingga kita tertanya-tanya, apakah lafaz istighfar itu dan bagaimana cara menyebutnya? Maka suruhan yang bersifat umum itu dikembalikan – yakni dirujuk – kepada ayat-ayat lain dan hadis-hadis lain yang memperinci, mengkhusus, membataskan dan mengecualikannya.
Maka adapun lafaz istighfar, hadis-hadis berikut memperincikannya kepada beberapa lafaz dan masa untuk membacanya:
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ قَالَ "أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ"
غُفِرَ لَهُ وَإِنْ كَانَ فَرَّ مِنْ الزَّحْفِ. Sesiapa yang berkata: “Aku minta ampun kepada Allah yang Maha Agong, yang tiada tuhan melainkan Dia, yang Maha Hidup, yang Maha Berdiri sendiri, dan aku bertaubat kepada-Nya”, nescaya diampunkan baginya sekalipun (dosanya sebesar) lari dari medan perang.[1]
Istighfar di atas boleh dibaca pada bila-bila masa dan yang sunnah ialah menggenapkannya kepada seratus kali dalam sehari, berdasarkan amalan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sendiri:
إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِي وَإِنِّي لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ فِي الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ.
Sesungguhnya hatiku terkadang lalai, maka sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah seratus kali dalam sehari.[2]
Tsauban radhiallahu ‘anh menerangkan:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا انْصَرَفَ مِنْ صَلاَتِهِ اسْتَغْفَرَ ثَلاَثًا
وَقَالَ "اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ".
قَالَ الْوَلِيدُ :فَقُلْتُ لِلأَوْزَاعِيِّ: كَيْفَ الاِسْتِغْفَارُ؟ قَالَ: تَقُولُ "أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ".
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam apabila selesai dari solat, baginda beristighfar tiga kali dan kemudian menyebut: “Ya Allah! Engkaulah Maha Sejahtera, daripada Engkau datangnya kesejahteraan, Maha Berkat Engkau tuhan pemilik keagungan dan kemuliaan.” Berkata al-Walid, aku berkata kepada al-Auza’e: “Bagaimana cara beristighfar?” Beliau menjawab: “Astaghfirullah, Astaghfirullah.”[3]
Sementara hadis berikut pula menerangkan istighfar yang khusus, yakni yang paling istimewa sehingga dikenali sebagai “Penghulu istighfar”. Sesiapa yang mendakwa memiliki istighfar yang lebih baik, lebih utama, lebih power, bererti dia telah menyalahi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Allah Subhanahu wa Ta'ala mengingatkan: Oleh itu, hendaklah mereka yang menyelisihi perintahnya (Rasulullah), beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [al-Nur 24:63]
Penghulu istighfar itu ialah:
سَيِّدُ الاِسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ:
"اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ
أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي
فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ".
وَمَنْ قَالَهَا مِنْ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ
وَمَنْ قَالَهَا مِنْ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ.
Penghulu (ketua segala) istighfar ialah anda berkata: “Ya Allah! Engkaulah tuhanku, tidak ada tuhan melainkan Engkau, Engkaulah yang menciptaku sementara aku adalah hamba Engkau dan aku setia dengan perjanjianku kepada Engkau semampuku. Aku berlindung kepada Engkau dari apa saja keburukan yang aku lakukan. Aku mengakui kepada Engkau akan nikmat yang Engkau beri kepadaku dan aku mengaku kepada Engkau akan dosaku, maka ampunilah aku kerana sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampui dosa kecuali Engkau.”
Sesiapa yang menyebutnya pada waktu pagi dengan yakin lalu mati sebelum masuk waktu petang, maka dia dari kalangan ahli syurga. Sesiapa yang menyebutnya pada waktu petang dengan yakin lalu mati sebelum masuk waktu waktu subuh (keesokan hari) maka dia dari kalangan ahli syurga.[4]
Demikian lafaz dan masa untuk beristighfar. Adapun caranya, maka istighfar termasuk dalam kategori amalan zikir yang dilakukan secara bersendirian dan dengan suara yang perlahan, sekadar yang didengar oleh diri sendiri. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman: Dan berzikirlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai. [al-A’raaf 7:205]
Termasuk dalam anjuran serta suruhan beristighfar ialah seseorang mendoakan agar Allah Subhanahu wa Ta'ala mengampunkan dosa-dosa ibubapanya dan di kalangan orang-orang lelaki dan wanita yang beriman. Allah Subhanahu wa Ta'ala merakam doa Nabi Ibrahim ‘alaihis salam: Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan. [Ibrahim 14:41]
Namun doa keampunan ini hanya terbatas kepada kalangan orang-orang yang beriman. Kita dilarang daripada mendoakan keampunan bagi orang kafir. Nabi Ibrahim ‘alaihis salam pernah mendoakan keampunan bagi ayahnya yang kafir lalu ia ditegah oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala: Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya - contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar):
“Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan dari apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata”,
Akan tetapi janganlah dicontohi perkataan Nabi Ibrahim kepada bapanya (katanya): “Aku akan memohon kepada Tuhanku mengampun dosamu, dan aku tidak berkuasa menahan (azab seksa) dari Allah sedikit juapun daripada menimpamu”.
(Berdoalah wahai orang-orang yang beriman sebagaimana Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya berdoa ketika mereka memusuhi kaumnya yang kafir, dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Kepada Engkaulah sahaja kami berserah diri, dan kepada Engkaulah kami rujuk bertaubat, serta kepada Engkaulah jua tempat kembali!” [al-Mumtahanah 60:04]
Demikianlah secara ringkas bagaimana satu anjuran yang bersifat umum – yakni beristighar – diperincikan, dikhususkan, dibatas dan dikecualikan oleh ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Semua ini termasuk dalam ilmu usul fiqh dan ia boleh diringkaskan sebagai berikut:
Kesilapan dalam poin terakhir di atas menyebabkan banyak orang – khasnya mereka yang mencintai dan menyokong bid’ah – memahami nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah secara umum lalu mereka membuat kefahaman dan hukum yang tersendiri, lalu berhujah bahawa ia bukanlah bid’ah kerana termasuk dalam keumuman nas terbabit. Padahal sudah ada nas lain yang memperinci, mengkhusus, membatas dan mengecualikannya sementara mereka tidak mengetahuinya atau pura-pura tidak mengetahuinya. Sementara bagi Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, iaitu mereka yang benar-benar ingin mencari jalan yang lurus yang dapat membawa kepada Allah, mereka akan merujuk nas-nas yang bersifat umum kepada ayat dan hadis yang memperinci, mengkhusus, membatas dan mengecualikannya. Semua ini diusahakan dengan penuh kegigihan agar mereka dapat mengamalkan nas yang umum itu secara tepat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya. Hanya setelah benar-benar dipastikan bahawa nas yang umum itu tidak memiliki perincian, pengkhususan, pembatas dan pengecualian, mereka akan memahami dan mengamalkan nas itu berdasarkan keseluruhan sifatnya yang umum. Berikut dikemukakan satu contoh yang baik, iaitu dengan merujuk kepada perkataan pengarang MSBSPR 12:
Rasulullah s.a.w hanya cukup menggariskan nas-nas syarak yang umum meliputi segala hal-hal yang disunatkan dalam aneka jenisnya. Begitulah intipati tugas dan peranan baginda s.a.w sejak zaman awal Islam sampailah ke hari kiamat. Antara contoh nas-nas syarak yang umum dan menyeluruh yang digariskan oleh baginda s.a.w terpamer melalui firman Allah SWT :
Maksudnya: ……Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah……(al-Baqarah : 197)
Maksudnya: Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya…… (al-An’am : 160)
Maksudnya: …… serta kerjakanlah amal-amal kebaikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). (al-Haj : 77)
Maksudnya: …… dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu perkara yang baik, Kami tambahi kebaikan baginya (dengan menggandakan pahala) kebaikannya itu. (al-Shura : 23)
Maksudnya: Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (al-Zalzalah : 7)
Hadith-hadith Nabi s.a.w juga datang dalam garis panduan yang sama. Kami akan menyebutkan sebahagian hadith-hadith terbabit dengan izin Allah. Justeru, sesiapa yang mendakwa perbuatan melakukan kebaikan yang baru diadakan sebagai perbuatan bid’ah yang tercela, bererti dia telah melakukan kesilapan dan bersikap melebih-lebih ke atas Allah dan Rasul-Nya, kerana ini bererti dia mencela perkara yang digalakkan oleh Allah dan Rasul-Nya melalui keterangan-keterangan al-Kitab dan al-Sunnah dalam bentuk yang umum.
Marilah kita menganalisa kata-kata pengarang MSBSPR di atas dan menjelaskan di mana kesalahan beliau:
Pertama: Pengarang MSBSPR dari awal kenyataan hingga akhir memberi fokus kepada peranan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam hinggalah kepada hadith-hadith baginda. Namun ketika mengemukakan contoh, pengarang tidak menyenaraikan hadis-hadis yang dimaksudkan. Sebaliknya pengarang menyenaraikan ayat-ayat al-Qur’an. Pelik tetapi benar, nampaknya pengarang MSBSPR keliru antara ayat al-Qur’an dan hadis Rasulullah.
Kedua: Pengarang MSBSPR menyatakan: Rasulullah s.a.w hanya cukup menggariskan nas-nas syarak yang umum meliputi segala hal-hal yang disunatkan dalam aneka jenisnya. Begitulah intipati tugas dan peranan baginda s.a.w sejak zaman awal Islam sampailah ke hari kiamat.
Ini adalah satu kesalahan yang besar lagi parah. Sebabnya, pengarang MSBSPR telah membataskan peranan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada menggariskan nas-nas syarak yang umum. Padahal salah satu peranan utama Rasulullah ialah mengajar dan menjelaskan ayat-ayat al-Quran, yakni memperinci, mengkhusus, membatas dan mengecualikan ayat-ayat al-Qur’an yang sebahagiannya bersifat umum. Baginda juga mengajar al-Hikmah yang ditafsirkan oleh kebanyakan ahli ilmu sebagai al-Sunnah. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman: Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan al-Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. [Ali Imran 3:164]
Dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menjelaskan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya. [al-Nahl 16:44]
Ketiga: Ayat-ayat al-Qur’an yang disenaraikan oleh pengarang MSBSPR memang menganjurkan kebaikan. Namun kebaikan bagaimana? Ayat-ayat yang umum itu akan menghasilkan pelbagai tafsiran dan dijadikan hujah oleh pelbagai aliran, antaranya:
Bagi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, kebaikan yang bersifat umum dalam ayat-ayat di atas perlu dirujuk kepada ayat dan hadis yang lain untuk diperinci, dikhusus, dibatas dan dikecualikan. Sebagai contoh:
Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu dia menuju ke arahnya) sehingga apabila dia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan dia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah meyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisab-Nya. [al-Nur 24:39]
Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). [al-Isra’ 17:32]
Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. [al-Maidah 5:90]
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. [al-An’aam 6:153]
Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka dan mereka menjadi berkumpulan-kumpulan (berpuak-puak), tiadalah engkau (Wahai Muhammad) terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Dia akan menerangkan kepada mereka (pada hari kiamat kelak), apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya). [al-An’aam 6:159]
Keempat: Amat menghairan orang yang dinobat dengan gelaran “Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah, al-Asha’irah” tidak mengenal sunnah sehingga menyatakan sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: “…hanya cukup menggariskan nas-nas syarak yang umum…”. Padahal antara maksud istilah “ahli sunnah” ialah orang yang pakar dalam sunnah sebagaimana istilah “ahli kimia” bermaksud orang yang pakar dalam jurusan kimia. Jika kita merujuk kepada keseluruhan sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, akan didapati secara pasti bahawa ia amat terperinci, khusus lagi membatasi. Sekalipun ada beberapa sunnah yang bersifat umum, namun kebanyakan sunnah lain bersifat memperinci, mengkhusus, membatas dan mengecualikan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak akan membiarkan sunnah baginda bersifat umum kerana ia akan menimbulkan kefahaman berganda dan kekeliruan di kalangan umatnya sehingga menyasarkan perjalanan mereka ke syurga. Justeru Rasulullah telah menerangkan setiap sesuatu yang secara jelas akan membawa umat Islam ke syurga dan menjauhkan mereka dari neraka. Baginda menegaskan:
مَا بَقَيَ شَيْءٌ يُقَرِّبُ مِنَ الْجَنَّةِ وَيُبَاعِدُ مِنَ النَّارِ إِلاَّ وَقَدْ بُيِّنَ لَكُمْ.
Tidak tertinggal sesuatu apa jua yang menghampirkan (kalian) kepada syurga dan menjauhkan (kalian) daripada neraka melainkan sungguh, telah dijelaskan kepada kalian.[5]
Abu Zar radhiallahu 'anh mengakui hakikat ini dengan berkata:
لَقَدْ تَرَكَنَا مُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَا يُحَرِّكُ طَائِرٌ جَنَاحَيْهِ فِي السَّمَاءِ إِلاَّ أَذْكَرَنَا مِنْهُ عِلْمًا.
Demi sesungguhnya Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam telah meninggalkan kami, namun tidaklah seekor burung yang mengepak sayapnya di langit melainkan baginda telah menyebutkan kepada kami tentang ilmunya.[6]
Hakikat ini juga diakui oleh orang bukan Islam, sebagaimana yang dirakam dalam hadis berikut daripada ‘Abd al-Rahman bin Yazid, bahawa Salman al-Farisi radhiallahu 'anh pernah ditanya:
قَدْ عَلَّمَكُمْ نَبِيُّكُمْ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلَّ شَيْءٍ حَتَّى الْخِرَاءَةَ
قَالَ فَقَالَ أَجَلْ لَقَدْ نَهَانَا أَنْ نَسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةَ لِغَائِطٍ أَوْ بَوْلٍ أَوْ أَنْ نَسْتَنْجِيَ بِالْيَمِينِ
أَوْ أَنْ نَسْتَنْجِيَ بِأَقَلَّ مِنْ ثَلاَثَةِ أَحْجَارٍ أَوْ أَنْ نَسْتَنْجِيَ بِرَجِيعٍ أَوْ بِعَظْمٍ
“Sesungguhnya Nabi kalian shallallahu 'alaihi wasallam telah mengajar kalian setiap sesuatu sehinggakan adab membuang air.” Maka Salman menjawab: “Benar. Nabi telah melarang kami dari menghadap kiblat ketika membuang air besar mahupun air kecil. Baginda juga melarang kami dari beristinjak dengan tangan kanan, beristinjak dengan jumlah batu yang kurang dari tiga butir dan beristinjak dengan najis atau tulang.[7]
Sehubungan dengan ini, Ibn Qayyim al-Jauziyah rahimahullah mengulas: Demi sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah wafat dan tidaklah seekor burung mengepak sayapnya di langit melainkan baginda telah menyebut tentang ilmunya kepada umat. Baginda telah mengajar mereka setiap sesuatu sehinggakan kepada adab membuang air, adab hubungan seks, tidur, berdiri, duduk, makan, minum, naik dan turun kenderaan, perjalanan jauh (musafir) dan persinggahan, mendengar dan berbicara, menyendiri dan bermasyarakat, kaya dan miskin, sihat dan sakit dan segala-galanya berkaitan hukum kehidupan dan kematian.[8]
Bandingkan kata-kata Ibn al-Qayyim di atas dengan kata-kata pengarang MSBSPR. Siapakah yang layak untuk dinobat sebagai orang yang pakar dalam sunnah, yakni seorang tokoh “Ahli Sunnah”?
[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 3577 (Kitab al-Da‘awat ‘an Rasulullah, Bab mendoakan tetamu) [2] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2702 (Kitab al-Zikr wa al-Du’a wa al-Taubat wa al-Istighfar, Bab disukai beristighfar dan memperbanyakkannya). [3] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 591 (Kitab al-Masajid wa Mawadhi’ al-Solat, Bab disukai zikir selepas solat dan penjelasan akan sifatnya). [4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6306 (Kitab al-Da‘awat, Bab seutama-utama istighfar). [5] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, jld. 2, hadis no: 1647 (Min Ghara’ib Musnad Abi Zar). Dikemukakan oleh al-Haitsami dalam Majma al-Zawa‘id dan beliau berkata: “Para perawi al-Thabarani adalah para perawi yang sahih kecuali Muhammad bin ‘Abd Allah bin Yazid al-Maqri dimana beliau adalah thiqat.” Rujuk Bughyah al-Ra‘id fi Tahqiq Majma’ al-Zawa‘id wa Manba’ al-Fawa‘id, hadis no: 13971. Ali Hasan Ali ‘Abd al-Hamid al-Halabi mensahihkan sanadnya dalam al-Itman li al-Takhrij Ahadits al-Musnad al-Imam, hadis no: 21399, sebagaimana yang beliau sebut dalam bukunya ‘Ilm Ushul al-Fiqh al-Bida’ (edisi terjemahan oleh Asmuni Solihan atas judul Membedah Akar Bid‘ah; Pustaka al-Kautsar, Jakarta, 2000), ms. 5. [6] Hadis Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad dan dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no: 21361 (5/153). Juga dikeluarkan oleh Ibn Hibban dalam Shahihnya dan sanadnya dipersetujui sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth. Rujuk Shahih Ibn Hibban, hadis no: 65. [7] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 262 (Kitab al-Thaharah, Bab beristinjak). Dalam hadis no: 262-1 diterangkan bahawa yang bertanya ialah seorang musyrikin. [8] I’lam al-Muwaqe‘in ‘an Rabb al-‘Alamin (Dar al-Kitab al-Ilmiah, Beirut, edisi cdrom Jami’ al-Fiqh al-Islami v1.0), jld 4, ms. 285.
|