بسم الله الرحمن الرحيم

إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره, ونعوذ باالله من شرور انفسنا ومن سيئات اعمالنا, من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له. ونشهد أن لا إله الا الله وحده لاشريك له ونشهد أن محمدا عبده ورسوله.

 

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan kami memohon pertolongan-Nya dan kami memohon keampunan-Nya, dan kami berlindung kepada Allah dari keburukan diri kami dan dari keburukan perbuatan kami. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tiadalah kesesatan baginya dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tiadalah petunjuk baginya. Kami bersaksi bahawa tiada tuhan kecuali Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan kami bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.

 

Jika kita mengkaji faktor yang membezakan antara kemuliaan yang dicapai oleh umat Islam pada zaman awal dan kehinaan yang dialami pada zaman kini, akan ditemui bahawa salah satu daripadanya ialah cara berinteraksi dengan al-Qur’an. Umat Islam pada zaman awal, yakni sejak zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam hingga ke beberapa kurun selepas itu, benar-benar mengenali al-Qur’an dan menjadikan ia buku panduan bagi segala tindak tanduk mereka. Mereka tidak sekadar membaca al-Qur’an tetapi juga menelaah, mempraktikkan dan berhujah dengannya.

Berbeza dengan umat Islam masa kini, boleh dikatakan majoriti daripadanya hanya membaca al-Qur’an. Itupun adakalanya berpuas hati sekadar dengan beberapa surah tertentu sahaja. Umat Islam masa kini tidak mengenali al-Qur’an, jauh sekali daripada menjadikannya sebagai panduan kehidupan.

Melalui buku ini, penulis ingin mengajak para pembaca yang budiman sekalian kepada mengenali al-Qur’an dan menjadikannya sebagai panduan hidup. Untuk mencapai tujuan ini penulis telah menyusun buku ini dalam bentuk enam bab yang utama:

 

1.      Berkenalan dengan al-Qur’an, yakni memperkenalkan al-Qur’an sebagaimana yang diperkenalkan sendiri oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Dalam erti kata lain, marilah kita berkenalan dengan al-Qur’an melalui al-Qur’an itu sendiri.

 

2.      9 Tips Menelaah al-Qur’an. Kewajipan kita terhadap al-Qur’an tidak sekadar membacanya tetapi juga menelaah isi kandungannya. Dalam bab ini disenaraikan sembilan tips bagi membolehkan seseorang itu menelaah al-Qur’an dengan baik.

 

3.      Bagaimana Memanfaatkan Kisah-Kisah Dalam al-Qur’an? Apabila kita menelaah al-Qur’an, akan didapati sebahagian daripadanya terdiri daripada kisah-kisah umat terdahulu dan kaum Ahli Kitab. Dalam bab ini diterangkan bagaimana memanfaatkan kisah-kisah tersebut dalam suasana masa kini.

 

4.      3 Petua Mujarab al-Qur’an. Antara perkara yang diberi prioroti oleh sebahagian besar umat Islam masa kini ialah mencari petua-petua daripada al-Qur’an demi mencapai tujuan tertentu. Ada petua kasih sayang, ada petua pelaris jual-beli, ada petua kecantikan dan pelbagai lagi. Dalam bab ini insya-Allah akan disenaraikan tiga petua yang sekali gus merangkumi semua petua yang diingini oleh seseorang.

 

5.      Beberapa Bentuk Salah Tafsir al-Qur’an Masa Kini. Jika di satu sudut umat Islam masa kini sudah tidak lagi menjadikan al-Qur’an sebagai panduan hidup, di sudut yang lain wujud pula segelintir umat Islam yang menyalah tafsirkan al-Qur’an agar ia menjadi panduan kepada kefahaman yang mereka kehendaki. Dalam bab ini disenaraikan beberapa bentuk salah tafsir yang paling lazim berlaku pada masa kini.

 

6.      Percanggahan Di Dalam al-Qur’an? Sambil kita berkenalan dengan al-Qur’an, perlu juga berkenalan dengan kritikan-kritikan yang lazim dilontarkan oleh musuh-musuh al-Qur’an. Antara kritikan yang lazim dilontarkan ialah kononnya di dalam al-Qur’an terdapat percanggahan di antara ayat-ayatnya. Benarkah kritikan ini? Insya-Allah bab yang keenam ini akan memberi jawapannya.

 

Sebelum dimulakan dengan bab yang pertama, ingin penulis meingatkan kepada para pembaca sekalian bahawa buku ini hanyalah sekadar memberi pengenalan yang ringkas kepada al-Qur’an, khasnya dalam rangka menjadikan al-Qur’an sebagai panduan kehidupan sehari-harian. Oleh itu janganlah mencukupkan diri dengan buku ini sahaja tetapi anggaplah ia sebagai satu permulaan ke arah mengenali al-Qur’an dan berpandu dengannya. Permulaan ini hendaklah diteruskan kepada sumber-sumber yang lain, dengan syarat hendaklah sumber-sumber tersebut memiliki disiplin ilmiah yang tinggi. Sebahagian daripada sumber-sumber ini telah penulis syorkan di bahagian notakaki dan di akhir buku ini. Semoga dengan mengenali al-Qur’an, kita semua akan kembali kepada kemuliaan sepertimana yang pernah dicapai oleh umat Islam satu masa dahulu.

Hafiz Firdaus Abdullah
05 Jan 2005

 

:: Al-Firdaus :: Indeks ::