Apabila membaca judul di atas, pasti kita akan menjadi hairan kerana
di dalam al-Qur’an tidak wujud apa-apa percanggahan. Manakan tidak,
bukankah Allah Subhanahu wa Ta'ala telah berfirman:
Seandainya al-Quran itu
(datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati
perselisihan yang banyak di dalamnya.
[an-Nisa’ 4:82]
Akan tetapi jika kita
membaca buku-buku orientalis dan melawat beberapa laman web para
pendakwah Kristian, kita akan menemui bahawa mereka menuduh wujud
percanggahan di dalam al-Qur’an.
Untuk membenarkan tuduhan tersebut, mereka telah mengemukakan banyak
contoh. Contoh-contoh ini sebahagiannya kelihatan benar-benar
bercanggah sehingga timbul persoalan di benak orang yang membacanya:
“Benarkah tiada percanggahan di dalam al-Qur’an?”
Jawapannya: “Ya! Sememangnya tiada percanggahan di dalam al-Qur’an.”
Adapun contoh-contoh percanggahan yang dikemukakan, ia wujud sama ada
kerana kejahilan para penuduh itu sendiri atau kesengajaan mereka
untuk menggoyang keyakinan umat Islam ke atas kitab al-Qur’an.
Melalui penulisan ini, penulis akan mengemukakan beberapa contoh
percanggahan yang dituduh diikuti dengan penjelasan bagi menghilangkan
percanggahan tersebut. Penulis tidak akan menjelaskan semua ayat-ayat
yang dituduh saling bercanggah, akan tetapi akan memilih beberapa
sahaja yang “paling hebat” percanggahannya. Di akhir penulisan ini,
penulis akan menerangkan beberapa kaedah bagi menghilangkan
percanggahan bagi membantu para pembaca sekalian menghilangkan
percanggahan terhadap ayat-ayat lain yang tidak penulis jelaskan di
sini.
Contoh Percanggahan # 1
Yang manakah dicipta terlebih dahulu, langit kemudian bumi atau bumi
kemudian langit?
Dalam ayat 27-30 surah an-Nazai‘at diterangkan bahawa langit dicipta
terlebih dahulu, kemudian bumi:
(Wahai golongan yang
ingkarkan kebangkitan hidup semula!) Kamukah yang sukar diciptakan
atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan Kukuh)! Dia telah
meninggikan bangunan langit itu lalu menyempurnakannya, Dan Dia
menjadikan malamnya gelap-gelita, serta menjadikan siangnya
terang-benderang. Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk
kemudahan penduduknya).
[an-Nazi‘at 79:27-30]
Akan tetapi dalam ayat 29 surah al-Baqarah diterangkan bahawa bumi
dicipta terlebih dahulu, kemudian langit:
Dia-lah (Allah) yang
menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia
beristawa’ ke arah langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan
sempurna dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[al-Baqarah 2:29]
Penjelasan Bagi Percanggahan # 1
Yang benar adalah langit dicipta terlebih dahulu, kemudian bumi
sebagaimana yang diterangkan oleh surah an-Nazi‘at. Adapun surah al-Baqarah,
perhatikan bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak menyebut
“kemudian Dia mencipta langit dan beristawa’ ke arahnya…”
akan tetapi “kemudian Dia beristawa’ ke arah langit…”
bererti langit sudah sedia wujud ketika itu. Tidak ada perkataan (خلق)
“mencipta” yang digunakan untuk langit dalam surah al-Baqarah.
Maka apabila Allah “menjadikan untuk kamu segala yang ada di
bumi”, langit sudah sedia dicipta sebelum itu.
Oleh itu tidak ada apa-apa percanggahan melainkan salah faham ke atas
ayat 29 surah al-Baqarah.
TOP
Contoh Percanggahan # 2
Siapakah yang mencabut nyawa manusia, adakah Malaikat Maut, para
malaikat atau Allah?
Dalam ayat 11 surah as-Sajdah dinyatakan bahawa yang mencabut nyawa
ialah Malaikat Maut:
Katakanlah: “Nyawa kamu
akan diambil oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika
habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk
menerima balasan).”
[as-Sajdah 32:11]
Akan tetapi dalam ayat 27 surah Muhammad dinyatakan bahawa yang
mencabut nyawa ialah para malaikat (ramai):
Maka bagaimanakah (mereka
dapat menolak azab seksa) apabila para malaikat mengambil nyawa mereka
sambil memukul muka dan punggung mereka?
[Muhammad 47:27]
Sebaliknya dalam ayat 42 surah az-Zumar dinyatakan bahawa Allah yang
mencabut nyawa:
Allah, Dia mengambil dan
memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai
ajalnya semasa matinya…
[az-Zumar 39:42]
Penjelasan Bagi Percanggahan # 2
“Ketua” yang diamanahkan untuk mencabut nyawa manusia ialah Malaikat
Maut [as-Sajdah 32:11]. Dia tidak bersendirian dalam tugas ini kerana
dibantu oleh para malaikat yang lain [Muhammad 47:27]. Akan tetapi
sama ada Malaikat Maut atau para malaikat, mereka tidak mencabut nyawa
manusia sesuka hati melainkan di atas perintah Allah Subhanahu wa
Ta'ala [az-Zumar 39:42].
Dalam erti kata lain, mencabut nyawa manusia adalah hak dan urusan
Allah yang dilaksanakan-Nya melalui Malaikat Maut atau para malaikat
yang lain. Sememangnya Allah boleh mencabut nyawa manusia tanpa
melalui Malaikat Maut atau para malaikat yang lain. Akan tetapi Allah
‘Azza wa Jalla memiliki hikmah-Nya yang tersendiri yang mungkin
tidak mampu difikirkan akal manusia.
Oleh itu tidak ada percanggahan di dalam ayat-ayat di atas melainkan
ia saling menjelaskan antara satu sama lain.
TOP
Contoh Percanggahan # 3
Berapa kumpulan orang yang akan wujud pada Hari Akhirat, dua kumpulan
atau tiga kumpulan?
Ayat 18-19 surah al-Balad menyatakan dua kumpulan, pertama di kanan
dan kedua di kiri:
(Ketahuilah! Bahawa
orang-orang yang beriman serta berusaha mengerjakan amal-amal yang
tinggi darjatnya di sisi Tuhan), merekalah golongan pihak kanan. Dan (sebaliknya)
orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami,
merekalah golongan pihak kiri.
[al-Balad 90:18-19]
Akan tetapi ayat 7 surah al-Waqi’ah menyatakan terdapat tiga kumpulan:
Dan kamu pula menjadi
tiga kumpulan.
[al-Waqi’ah 56:07]
Penjelasan Bagi Percanggahan # 3
Umpamakan seorang ayah sedang makan tengahari. Apabila ditanya kepada
anaknya yang sulong apa yang diperbuat oleh ayahnya, dia menjawab:
“Ayah sedang makan.” Apabila ditanya kepada anak yang kedua, dia
menjawab: “Ayah sedang syok makan nasi gulai ikan dengan sambal
belacan.” Pada zahirnya kelihatan wujud percanggahan antara keterangan
anak sulung dan anak kedua. Akan tetapi sebenarnya tidak demikian,
anak sulung hanya menerangkan secara umum perbuatan ayahnya manakala
anak kedua memperincikannya.
Kembali kepada perbincangan asal, ayat 7 surah al-Waqi’ah sebenarnya
memperincikan keumuman ayat 18-19 surah al-Balad. Surah al-Balad
merujuk kepada kumpulan orang beriman di sebelah kanan dan kumpulan
orang kafir di sebelah kiri. Kumpulan orang beriman di sebelah kanan
seterusnya di pecahkan kepada dua kumpulan dengan dibezakan
antara orang yang sederhana kedudukannya dengan yang lebih mulia
kedudukannya.
Surah al-Waqi’ah selengkapnya berbunyi:
Dan kamu pula menjadi
tiga kumpulan, Iaitu kumpulan pihak kanan – alangkah bahagianya
keadaan kumpulan pihak kanan itu. Dan kumpulan pihak kiri – alangkah
seksanya keadaan puak pihak kiri itu. Dan (kumpulan yang ketiga ialah)
orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia)
yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di Akhirat
kelak), Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Allah).
[al-Waqi’ah
56:7-11]
Oleh itu tidak ada percanggahan melainkan perincian kepada sesuatu
yang umum.
TOP
Contoh Percanggahan # 4
Berapa lamakah diambil untuk mencipta alam ini, adakah 6 masa atau 8
masa?
Dalam ayat 54 surah al-A’raaf dinyatakan 6 masa:
Sesungguhnya Tuhan kamu
ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa.
[al-A’raaf 7:54]
Akan tetapi dalam ayat 9 hingga 12 surah Fussilat dinyatakan 8 masa, 2
masa bagi bumi, 4 masa bagi apa yang berada di atas bumi dan 2 masa
lagi untuk 7 lapisan langit (2+4+2=8):
Katakanlah:
“Sesungguhnya tidak patut kamu kufur kepada Tuhan yang menciptakan
bumi dalam dua masa dan kamu adakan sekutu-sekutu bagiNya! Yang
demikian (sifat-Nya dan kekuasaan-Nya) ialah Allah Tuhan sekalian alam.
Dan Dia menjadikan di
bumi gunung-ganang yang menetapkannya (tersergam tinggi) di atasnya
serta Dia melimpahkan berkat padanya dan Dia menentukan ada pada-Nya
bahan-bahan keperluan hidup penduduknya sekadar yang menyamai hajat
yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka, (semuanya itu
berlaku) dalam empat masa.
Kemudian Dia beristawa’
ke arah langit sedang langit masih berupa asap lalu Dia berfirman
kepadanya dan kepada bumi: “Turutlah kamu berdua akan perintah-Ku sama
ada dengan sukarela atau dengan paksa!” Keduanya menjawab: “Kami
berdua sedia menurut - patuh dengan sukarela.”
Lalu Dia menjadikannya
tujuh langit dalam dua masa dan Dia memberitahu kepada
tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing. Dan Kami
hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan
bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu
dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa,
lagi Maha Mengetahui.
[Fussilat 41:9-12]
Penjelasan Bagi Percanggahan # 4
Ayat 54 surah al-A’raaf bermaksud untuk menerangkan tempoh seluruh
penciptaan manakala ayat 9-12 dalam surah Fussilat bermaksud
memperincikan penciptaan tersebut kepada kategori-kategorinya yang
tersendiri. Tempoh bagi setiap kategori penciptaan tidak semestinya
dicampurkan untuk mendapat tempoh bagi seluruh penciptaan. Ini
kerana Allah mampu melakukan dua atau lebih perkara serentak.
Oleh itu apabila Allah menerangkan penciptaan bumi selama 2 masa, apa
yang berada di atas bumi selama 4 masa dan 7 lapisan langit dalam 2
masa, ia tidak berlaku secara berasingan tetapi serentak. Yang
pentingnya, setiap kategori penciptaan ini tidak dimaksudkan untuk
dicampurkan secara berasingan antara satu sama lain.
Tidak wujud apa-apa percanggahan dalam contoh di atas melainkan
perincian ke atas sesuatu yang umum.
TOP
Contoh Percanggahan # 5
Adakah semua makhluk taat kepada Allah?
Ayat 26 surah ar-Rum menyatakan “Ya”:
Dan sekalian makhluk
yang ada di langit dan di bumi adalah hak kepunyaan-Nya (Allah),
masing-masing tetap tunduk kepada hukum peraturan-Nya.
[ar-Rum 30:27]
Akan tetapi ayat 14 surah an-Nisa’ menerangkan wujud orang yang
derhaka dan Allah akan mengazab dia:
Dan sesiapa yang derhaka
kepada Allah dan Rasul-Nya serta melampaui batas-batas syariat-Nya,
akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di
dalamnya dan baginya azab seksa yang amat menghina.
[an-Nisa’ 4:14]
Penjelasan Bagi Percanggahan # 5
Umpamakan seorang ayah yang berkata: “Semua anak-anak mesti pergi ke
sekolah pagi ini”, lalu kemudian memandang kepada salah seorang
daripada mereka dan berkata: “Umar tak perlu kerana masih belum pulih
daripada demam.” Dalam arahan si-ayah, kelihatan wujud percanggahan.
Percanggahan ini dapat ditolak dengan memahami bahawa arahan asal bagi
semua anak-anak ialah mesti pergi ke sekolah. Pengecualian diberikan
kepada Umar kerana dia masih demam.
Kembali kepada perbincangan asal, ayat 26 surah ar-Rum merujuk kepada
hukum asal ciptaan Allah Subhanahu wa Ta'ala, iaitu semuanya
patuh kepada Allah. Ayat 14 surah an-Nisa’ menerangkan pengecualian
daripada hukum asal tersebut, di mana manusia diberi pilihan sama ada
untuk mengikut petunjuk Allah (Islam, al-Qur’an dan Rasul-Nya) atau
mengabaikan petunjuk tersebut sehingga akhirnya mereka taat atau
derhaka kepada Allah.
Pengecualian ini, atau dalam perkataan lain, kebebasan memilih
diterangkan dalam sebuah ayat yang lain:
Kemudian jika datang
kepada kamu petunjuk dari-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku
itu nescaya dia tidak akan sesat dan dia pula tidak akan menderita
azab sengsara. Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan
petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit,
dan Kami akan himpunkan dia pada Hari Kiamat dalam keadaan buta.
[Ta-Ha
20:123-124]
Oleh itu tidak wujud apa-apa percanggahan melainkan satu pengecualian
daripada hukum asal.
TOP
Contoh Percanggahan # 6
Menuduh wanita suci berzina, adakah dijatuhkan hukum atau dimaafkan?
Ayat 23 surah an-Nur menjatuhkan hukuman:
Sesungguhnya orang-orang
yang menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang
tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan lagi yang beriman, akan
dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan mereka pula akan
beroleh azab seksa yang besar.
[an-Nur 24:23]
Ayat 4-5 surah an-Nur memaafkan mereka:
Dan orang-orang yang
melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara
kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi,
maka sebatlah mereka 80 kali sebat dan janganlah kamu menerima
persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka adalah orang-orang
yang fasik. Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari
kesalahan menuduh tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka
sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[an-Nur 24:4-5]
Penjelasan Bagi Percanggahan # 6
Umpamakan seorang ibu yang memarahi anak-anaknya: “Siapa yang
memecahkan pasu bunga ini cakap sekarang!” Kemudian ayah menyampuk:
“Melainkan dia segera mengakui dan meminta maaf.” Kelihatan wujud
percanggahan antara kata-kata ibu dan ayah. Sebenarnya tidak demikian
kerana kata-kata ibu merujuk kepada hukum asal manakala kata-kata ayah
membataskan kemutlakan hukum asal tersebut kepada yang enggan mengakui
dan meminta maaf sahaja. Maka anak yang memecahkan pasu bunga akan
dihukum melainkan dia segara mengakuinya dan meminta maaf.
Penjelasan yang sama ditujukan kepada contoh percanggahan di atas.
Ayat 23 surah an-Nur merujuk kepada hukum asal di mana sesiapa yang
menuduh wanita suci sebagai telah melakukan zina, mereka dijatuhkan
hukuman. Ayat 4-5 bertindak sebagai membatasi kemutlakan ayat 23, di
mana yang dijatuhkan hukum hanyalah terbatas kepada penuduh yang
enggan bertaubat. Adapun penuduh yang bertaubat dan memperbaiki
amalannya, maka dia tidak dijatuhkan hukuman.
Oleh itu tidak wujud apa-apa percanggahan melainkan pembatasan kepada
sesuatu yang mutlak.
TOP
Contoh Percanggahan # 7
Beberapa kesilapan dan percanggahan nombor di dalam al-Qur’an: Adakah
satu masa bersamaan dengan 50,000 tahun atau bersamaan dengan 1,000
tahun?
Dalam ayat 4 surah al-Ma‘arij diterangkan bahawa satu masa bersamaan
dengan 50,000 tahun:
Yang dilalui oleh
malaikat-malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahan-Nya pada satu masa
yang tempohnya 50,000 tahun.
[al-Ma‘arij 70:04]
Dalam ayat 5 surah as-Sajdah diterangkan bahawa satu masa bersamaan
dengan 1,000 tahun:
Allah mentadbirkan
makhluk-makhluk-Nya dari langit ke bumi, kemudian diangkat naik kepada
pengetahuan-Nya (segala yang berlaku) pada suatu masa yang tempohnya
1,000 tahun menurut hitungan kamu yang biasa.
[as-Sajdah 32:05]
Demikian juga dalam ayat 47 surah al-Hajj diterangkan bahawa satu masa
bersamaan dengan 1,000 tahun:
Dan mereka meminta
kepadamu (wahai Muhammad) menyegerakan kedatangan azab, padahal Allah
tidak sekali-kali akan memungkiri janji-Nya; dan (katakanlah kepada
mereka): sesungguhnya satu masa di sisi Tuhanmu adalah seumpama seribu
tahun dari yang kamu hitung.
[al-Hajj 22:47]
Penjelasan Bagi Percanggahan # 7
1,000 tahun atau 50,000 tahun, maksud yang ingin dicapai oleh
ayat-ayat di atas bukanlah bilangan nombor tetapi tempoh yang panjang.
Walaubagaimanapun, seandainya perhatian hendak diberi kepada nombor,
ia tetap tidak saling bercanggah mahupun tersilap kepada setiap ayat
di atas merujuk kepada latarbelakang peristiwa yang berbeza.
Umpamakan Ahmad yang bergerak dalam jarak 100 meter. Pada ketika
pertama dia mengambil masa 15 saat manakala pada ketika yang lain dia
mengambil masa 70 saat. Pada zahirnya kelihatan berbeza akan tetapi
perbezaan ini akan hilang jika dikaji latarbelakang antara dua ketika
tersebut. Pada ketika yang pertama, ia adalah tempoh masa yang diambil
oleh Ahmad ketika mengambil bahagian dalam acara sukan pecut 100m
anjuran sekolahnya. Pada ketika kedua, ia adalah tempoh masa yang yang
diambil oleh Ahmad ketika bersiar-siar dengan ibunya di taman. Dalam
kedua-dua ketika di atas, Ahmad bergerak dalam jarak 100 meter, akan
tetapi latarbelakang yang berbeza menyebabkan dia mangambil masa yang
berbeza.
Kembali kepada ayat-ayat al-Qur’an di atas, setiap ayat di atas
merujuk kepada latarbelakang peristiwa yang berbeza. Satu masa yang
bersamaan dengan 50,000 tahun merujuk kepada Hari Akhirat, iaitu hari
yang diminta-minta azabnya oleh orang kafir. Latarbelakang ini dapat
kita ketahui dengan merujuk kepada seluruh perbincangan ayat dari awal:
Salah seorang meminta
kedatangan azab yang (dijanjikan) akan berlaku, azab yang disediakan
untuk orang-orang yang kafir, yang tidak ada sesiapapun dapat menolak
kedatangannya, Dari Allah yang menguasai tempat-tempat turun naik,
yang dilalui oleh malaikat-malaikat dan Jibril ke pusat
pemerintahan-Nya pada satu masa yang tempohnya 50,000 tahun.
[al-Ma‘arij 70:1-4]
Adapun satu masa yang bersamaan dengan 1,000 tahun, maka ayat 5 surah
as-Sajdah merujuk kepada masa di dunia kini. Manakala ayat 47 surah
al-Hajj merujuk kepada “di sisi Tuhanmu (Allah)” dan
ini berbeza dengan di sisi kita di dunia masa kini.
Oleh itu tidak ada kesilapan mahupun percanggahan nombor dalam
ayat-ayat di atas kerana masing-masing merujuk kepada latarbelakang
yang berbeza.
TOP
Contoh Percanggahan # 8
Bolehkah bersoal-jawab antara satu sama lain di Hari Akhirat?
Ayat 101 surah al-Mu’minun menyatakan tidak boleh:
Kemudian apabila ditiup
sangkakala, maka pada hari itu tidak ada lagi manfaat pertalian
kerabat di antara mereka dan tidak pula sempat mereka bertanya-tanyaan.
[al-Mu’minun
23:101]
Akan tetapi ayat 25 surah ath-Thur menyatakan boleh:
Dan mereka
berhadap-hadapan satu sama lain sambil bertanya-tanya.
[ath-Thur 52:25]
Ayat 27 surah ash-Shaffat juga menyatakan boleh:
Dan mereka
berhadap-hadapan satu sama lain sambil bertanya-tanya.
[ash-Shaffat 37:27]
Penjelasan Bagi Percanggahan # 8
Sekali lagi, percanggahan dapat dihilangkan dengan mengenal pasti
latarbelakang bagi ketiga-tiga ayat di atas. Ayat 101 surah al-Mu’minun
merujuk kepada suasana Hari Kiamat apabila manusia semua dibangun dan
dihimpunkan bagi menghadapi pengadilan masing-masing. Suasana yang
amat dahsyat ketika itu menyebabkan mereka tidak dapat bersoal-jawab
sesama mereka:
Di hadapan mereka ada
Alam Barzakh (alam kubur) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada
Hari Kiamat). Kemudian apabila ditiup sangkakala, maka pada hari itu
tidak ada lagi manfaat pertalian kerabat di antara mereka dan tidak
pula sempat mereka bertanya-tanyaan. Maka sesiapa yang berat timbangan
amal baiknya, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. Dan sesiapa
yang ringan timbangan amal baiknya, maka merekalah orang-orang yang
merugikan dirinya sendiri; mereka kekal di dalam neraka Jahannam.
[al-Mu’minun
23:100-103]
Ayat 25 surah ath-Thur merujuk kepada suasana di dalam syurga.
Latarbelakang ini dapat dikenali dengan merujuk kepada permulaan kisah:
Sesungguhnya orang-orang
yang bertaqwa, di tempatkan dalam taman-taman Syurga dan nikmat
kesenangan. Mereka bersenang lenang dengan apa yang dikurniakan oleh
Tuhan mereka dan mereka dipelihara Tuhan dari azab neraka……[ath-Thur
52:17-18]
Ayat 27 surah ash-Shaffat juga merujuk kepada suasana yang berbeza,
iaitu orang-orang yang bersalah dalam perjalanan ke neraka.
Latarbelakang ini dapat dikenali dengan merujuk kepada permulaan kisah
pada ayat 22:
(Allah berfirman kepada
malaikat): “Himpunkanlah orang-orang yang zalim itu dan orang-orang
yang berkeadaan seperti mereka serta benda-benda yang mereka sembah
yang lain dari Allah serta hadapkanlah mereka ke jalan yang membawa ke
neraka.
[ash-Shaffat 37:22-23]
Oleh itu tidak wujud percanggahan kerana setiap kes merujuk kepada
latarbelakang yang berbeza.
TOP
Contoh Percanggahan # 9
Adakah dosa syirik diampunkan?
Dalam ayat 48 surah an-Nisa’ dinyatakan sekali-kali tidak diampun:
Sesungguhnya Allah tidak
akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya dan akan
mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya
(menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah
maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.
[an-Nisa’ 4:48]
Akan tetapi mengikut ayat 153 surah an-Nisa’, apabila pengikut Nabi
Musa melakukan syirik dengan menyembah patung anak lembu, mereka
diampunkan:
Kemudian mereka
menyembah (patung) anak lembu sesudah datang kepada mereka
keterangan-keterangan, lalu Kami maafkan mereka dari perbuatan
yang sedemikian itu. Dan Kami telah memberi kepada Nabi Musa kekuasaan
yang nyata.
[an-Nisa’ 4:153]
Penjelasan Bagi Percanggahan # 9
Melakukan syirik sememangnya adalah dosa besar kecuali apabila orang
yang melakukannya bertaubat. Apabila dia bertaubat maka Allah
Subhanahu wa Ta'ala akan mengampunkan dosa syiriknya itu. Kaum
Nabi Musa yang menyembah patung anak lembu telah bertaubat lalu kerana
itu Allah mengampunkan mereka. Taubat mereka tidak disebut dalam ayat
153 surah an-Nisa’ tetapi dalam ayat 148-149 surah al-A’raaf:
Dan kaum Nabi Musa,
sesudah dia (pergi ke Gunung Tursina), mereka membuat dari
barang-barang emas perhiasan mereka (patung) anak lembu yang bertubuh
dan bersuara. (Allah berfirman): “Tidakkah mereka memikirkan bahawa
patung itu tidak dapat berkata-kata dengan mereka dan tidak dapat juga
menunjukkan jalan kepada mereka? Mereka menjadikannya (berhala yang
disembah) dan sememangnya mereka adalah orang-orang yang melakukan
kezaliman.”
Dan setelah mereka
menyesal (akan apa yang mereka lakukan) dan mengetahui bahawa mereka
telah sesat, berkatalah mereka: “Sesungguhnya jika Tuhan kami tidak
memberi rahmat kepada kami dan mengampunkan kami, nescaya menjadilah
kami dari orang-orang yang rugi.”
[al-A’raaf 7:148-149]
Oleh itu tidak ada percanggahan melainkan kejahilan dalam memahami
kisah sebenar perjalanan hidup kaum Nabi Musa ‘alaihissalam.
TOP
Contoh Percanggahan # 10
Adakah semua malaikat bersikap taat?
Ayat 49-50 surah an-Nahl menyatakan semua melaikat bersikap taat:
Dan bagi Allah jualah
tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di bumi dari
makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat sedang mereka (malaikat-malaikat
itu) tidak berlaku sombong takbur. Mereka takut kepada Tuhan mereka
yang mengatasi mereka (dengan kekuasaan-Nya) serta mereka mengerjakan
apa yang diperintahkan.
[an-Nahl 16:49-50]
Akan tetapi dalam ayat 34 surah al-Baqarah, apabila diperintahkan
kepada para malaikat untuk sujud kepada Adam, semua malaikat sujud
kecuali iblis:
Dan (ingatlah) ketika
kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah (beri hormat) kepada Nabi
Adam.” Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis;
dia enggan dan takbur lalu menjadilah dia dari golongan yang kafir.
[al-Baqarah 2:34]
Penjelasan Bagi Percanggahan # 10
Benar bahawa semua malaikat bersikap taat kepada perintah-larangan
Allah Subhanahu wa Ta'ala. Apabila diperintahkan sujud kepada
Nabi Adam ‘alaihissalam, semua malaikat sujud tanpa ada yang
tertinggal:
Maka sujudlah sekalian
malaikat, semuanya sekali.
[al-Hijr 15:30]
Adapun Iblis yang tidak sujud, ia adalah kerana dia bukan daripada
jenis malaikat tetapi daripada jenis jin yang memiliki pilihan sama
ada untuk bersikap taat atau tidak. Hal ini dijelaskan dalam ayat yang
berasingan:
Dan (ingatkanlah
peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu
kepada Adam”, lalu mereka sujud melainkan iblis – dia adalah daripada
golongan jin.
[al-Kahfi 18:50]
Timbul persoalan selanjutnya, jika iblis bukan daripada jenis malaikat,
kenapa dia dihukum kerana tidak sujud kepada Adam? Bukankah perintah
sujud hanya ditujukan kepada para malaikat dan bukan jin?
Jawapannya, dalam bahasa Arab apabila wujud dua kumpulan di mana
satunya besar dan satu lagi kecil jumlahnya, perintah kepada kumpulan
yang besar merangkumi kumpulan yang kecil juga. Pada saat itu para
malaikat membentuk kumpulan yang besar manakala para jin membentuk
kumpulan yang kecil. Maka apabila perintah sujud kepada Nabi Adam
‘alahissalam diseru kepada para malaikat, ia merangkumi para jin
juga.
Iblis sedia mengetahui hal ini. Oleh itu apabila ditanyakan “Apakah
penghalang yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku (Allah)
perintahmu?”, Iblis tidak menjawab “Aku tidak sujud kerana perintah
hanya dituju kepada para malaikat manakala aku daripada para jin.”
Sebaliknya iblis mengakui dia termasuk dalam perintah tersebut namun
dia enggan sujud kerana merasakan dirinya lebih hebat. Perhatikan
ayat-ayat berikut:
Kemudian Kami berfirman
kepada malaikat-malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka
sujud melainkan Iblis – dia tidak termasuk dalam golongan yang sujud.
Allah berfirman: “Apakah
penghalang yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?”
Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam. Engkau (wahai Tuhan)
jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.”
[al-A’raaf
7:11-12]
Oleh itu tidak wujud percanggahan dalam ayat-ayat di atas melainkan
kejahilan tentang perbezaan antara malaikat dan jin serta kaedah
bahasa Arab.
TOP
Contoh Percanggahan # 11
Apakah yang sebenarnya dikatakan oleh kaum Nabi Lut untuk menolak
dakwahnya?
Ayat 82 surah al-A’raaf:
Dan tidak ada jawab dari
kaumnya selain daripada berkata: “Usirlah mereka (Nabi Lut dan
pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya
mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri.”
[al-A’raaf 7:82]
Ayat 56 surah an-Naml:
Maka kaumnya tidak
menjawab selain dari berkata: “Usirlah ahli keluarga Lut dari
bandar kamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa)
mensucikan diri.”
[an-Naml 27:56]
Ayat 29 surah al-Ankabut:
Maka kaumnya (Nabi Lut)
tidak menjawab selain daripada berkata: “Datangkanlah kepada kami azab
dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari
orang-orang yang benar.”
[al-Ankabut 29:29]
Penjelasan Bagi Percanggahan # 11
Apabila merujuk kepada kisah-kisah nabi terdahulu di dalam al-Qur’an,
perlu digariskan bahawa ia melibatkan 3 perkara:
1. Manusia yang
berinteraksi,
2. Suasana interaksi
tersebut berlaku dan
3.
Faktor yang
melatarbelakangi manusia dan
suasana tersebut.
Apabila secara zahir kelihatan seolah-olah wujud percanggahan di dalam
kisah-kisah para nabi terdahulu, hendaklah ia dianalisa berdasarkan 3
perkara di atas. Ini kerana ia mungkin berlaku antara individu yang
berbeza dan/atau suasana yang berbeza dan/atau disebabkan oleh faktor
yang berbeza. Persamaan atau perbezaan inilah yang lazimnya
menyebabkan sesuatu kisah kelihatan bercanggah.
Ucapan kaum Nabi Lut ‘alaihissalam di atas semuanya adalah
benar. Perbezaan atau percanggahan wujud kerana ia disebut dalam
suasana yang berlainan. Ini kerana Nabi Lut tidak menyampaikan dakwah
kepada kaumnya hanya sekali tetapi berulang-kali. Setiap kali beliau
menyampaikan dakwah, kaumnya menolak dengan kata-kata yang
berbeza-beza sepertimana dalam ayat-ayat di atas.
Justeru perbezaan atau percanggahan dapat dihilangkan dengan menyedari
bahawa ia berlaku disebabkan suasana interaksi yang berbeza.
TOP
Contoh Percanggahan # 12
Apakah yang dikata oleh Nabi Musa ‘alaihissalam ketika terlihat
api di sebalik Gunung Tursina?
Ayat 10 surah Ta-Ha:
Ketika dia (Nabi Musa)
melihat api, lalu berkatalah dia kepada isterinya: “Berhentilah!
Sesungguhnya aku ada melihat api. Semoga aku dapat membawa kepada kamu
satu cucuhan daripadanya atau aku dapat di tempat api itu penunjuk
jalan.”
[Ta-Ha 20:10]
Ayat 7 surah an-Naml:
(Ingatkanlah peristiwa)
ketika Nabi Musa berkata kepada isterinya: “Sesungguhnya aku ada
melihat api, aku akan bawakan berita dari situ kepada kamu atau aku
akan bawakan colok api daripadanya supaya kamu dapat memanaskan diri.”
[an-Naml
27:07]
Ayat 29 surah al-Qasas:
Setelah Musa
menyempurnakan tempoh kerjanya itu dan berjalan dengan isterinya (kembali
ke Mesir), dia melihat (dalam perjalanannya itu) api dari sebelah
Gunung Tursina. (Ketika itu) berkatalah dia kepada isterinya:
“Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api, semoga aku dapat
membawa kepada kamu sesuatu berita dari situ atau sepuntung dari api
itu supaya kamu dapat memanaskan diri.”
[al-Qasas 28:29]
Penjelasan Bagi Percanggahan # 12
Ucapan di atas semuanya dilafazkan oleh Nabi Musa ‘alahissalam
dalam suasana yang sama, iaitu apabila dia terlihat api di sebalik
Gunung Tursina. Akan tetapi disebabkan kegembiraan yang bercampur
debaran, beliau telah berpesan kepada isterinya berulang-kali, bahawa
hendaklah isterinya tunggu sebentar sementara dia pergi melihat apakah
yang sebenarnya ada di sebalik Gunung Turnisa. Sekalipun lafaz
pesanannya adalah berbeza tetapi maksudnya adalah sama.
Hal
ini adalah sesuatu yang lazim bagi manusia di mana apabila dia dilanda
kegembiraan yang bercampur debaran dan harapan, adakalanya dia
mengulang-ulang sesuatu ucapan dengan lafaz yang berbeza-beza
sekalipun maksud yang ingin disampaikannya adalah sama.
Inilah yang sebenarnya berlaku kepada Nabi Musa ‘alahissalam.
Lebih-lebih lagi apabila dia dan isterinya sedang berjalan berduaan
pada waktu malam yang sejuk. Api yang kelihatan di sebalik Gunung
Tursina menimbulkan kegembiraan, dengan harapan mereka dapat
menggunakannya untuk memanaskan diri (lihat di akhir an-Naml 27:07 dan
al-Qasas 28:29). Namun ia juga menimbulkan debaran, siapakah yang
menyalakan api tersebut, apakah tujuan dinyalakan api dan sebagainya.
Dalam contoh di atas, percanggahan dapat dihilangkan dengan merujuk
kepada faktor yang melatarbelakangi peristiwa tersebut. Berlaku
perbezaan dalam lafaz Nabi Musa ‘alaihissalam disebabkan
kegembiraan dan debaran yang dihadapinya saat itu.
TOP
Contoh Percanggahan # 13
Apakah yang difirmankan oleh Allah kepada Nabi Musa di Gunung Tursina?
Ayat 11-12 surah Ta-Ha:
Maka apabila dia sampai
ke tempat api itu (kedengaran) dia diseru: “Wahai Musa! Sesungguhnya
Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu kerana engkau sekarang berada di
Wadi Tuwa yang suci.”
[Ta-Ha 20:11-12]
Ayat 8-9 surah an-Naml:
Maka apabila dia sampai
ke tempat api itu (kedengaran) dia diseru: “Berkat yang
melimpah-limpah kepada orang yang berada dekat api ini dan sesiapa
yang ada (di daerah) sekelilingnya, dan Maha Sucilah Allah Tuhan
sekalian alam. Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah Yang Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana.”
[an-Naml 27:8-9]
Ayat 30 surah al-Qasas:
Maka ketika dia sampai
ke tempat api itu, (kedengaran) dia diseru dari tepi lembah yang di
sebelah kanan, di tempat yang dilimpahi berkat, dari arah pohon kayu:
“Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah Tuhan sekalian alam. (Api itu
hanya untuk menarik perhatian Musa ke tempat itu dan bukannya zat
Allah). Dan (sekarang) campakkanlah tongkatmu.”
(Musa mencampaknya) maka
apabila dia melihat tongkatnya itu (menjadi seekor ular besar)
bergerak cepat tangkas seolah-olah seekor ular kecil, berpalinglah dia
melarikan diri dan tidak menoleh lagi. (Lalu dia diseru): “Wahai Musa!
Datanglah kemari dan janganlah engkau takut. Sesungguhnya engkau dari
orang-orang yang beroleh aman.”
[al-Qasas 28:30-31]
Penjelasan Bagi Percanggahan # 13
Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam ayat-ayat di atas kepada
Nabi Musa ‘alaihissalam semuanya berlaku dalam suasana yang
sama. Akan tetapi demi memberi keyakinan kepada Nabi Musa akan
perutusannya sebagai seorang Rasul, Allah mengulang-ulang firman-Nya
secara berbeza-beza sekalipun maksud yang ingin disampaikan adalah
sama. Hal ini adalah perlu kerana perutusan sebagai seorang Rasul
bukan sahaja sesuatu yang amat besar tetapi juga tidak pernah dijangka
oleh Nabi Musa.
Cara sebegini adalah sesuatu yang lazim berlaku dalam kehidupan harian
kita. Untuk meyakinkan seseorang dengan sesuatu yang baru lagi besar,
kita akan cuba pelbagai cara. Jika ingin menjelaskan sesuatu kepada
orang lain yang masih ragu-ragu, kita akan mengulang-ulangnya dengan
lafaz dan gaya penyampaian yang berbeza.
Inilah yang berlaku kepada Nabi Musa apabila dia tiba di Gunung
Tursina untuk mencari api yang dilihatnya sebelum itu. Oleh itu
percanggahan dapat dihilangkan dengan memahami faktor yang
melatarbelakangi perbezaan lafaz firman Allah Subhanahu wa Ta'ala
kepada Nabi Musa ‘alahissalam.
TOP
Contoh Percanggahan # 14
Seorang atau lebih malaikat yang datang berjumpa Maryam?
Ayat 17-21 surah Maryam menyebut seorang malaikat:
Kemudian Maryam membuat
dinding untuk melindungi dirinya dari mereka. Maka Kami hantarkan
kepadanya: Roh dari kami (Malaikat Jibrail) lalu dia menyamar diri
kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya.
Maryam berkata: “Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman
daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa.”
Dia (Malaikat Jibrail)
berkata: “Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu
dikurniakan seorang anak yang suci.”
[Maryam 19:17-19]
Ayat 45 surah Ali Imran menyebut para malaikat:
(Ingatlah) ketika para
malaikat berkata: “Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar
yang menggembirakanmu dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau
akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak
itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di
akhirat, dan dia juga daripada orang-orang yang didampingkan (diberi
kemuliaan di sisi Allah).”
[Ali Imran 3:45]
Penjelasan Bagi Percanggahan # 14
Kedua-dua ayat di atas merujuk kepada dua suasana yang berbeza. Ini
kerana untuk mengkhabarkan kepada Maryam bahawa dia nanti akan hamil
tanpa seorang ayah adalah sesuatu yang amat besar, malah mustahil
mengikut kebiasaan manusia. Justeru untuk memberikan keyakinan dan
pada waktu yang sama ketenangan kepada Maryam, hal tersebut
dikhabarkan kepada beliau dua kali, iaitu melalui malaikat Jibrail
‘alaihissalam yang menjelma menjadi manusia dan melalui para
malaikat. Tidaklah penting yang mana berlaku terlebih dahulu, yang
mana kemudian.
Oleh itu percanggahan di atas dapat dihilangkan dengan kefahamana
bahawa ia berlaku dalam dua suasana yang berbeza.
Demikianlah 14 contoh percanggahan “paling hebat” yang lazim
dikemukakan oleh para orientalis dan pendakwah Kristian. Tidak
dinafikan bahawa wujud banyak lagi percanggahan yang sudah dan bakal
dikemukakan oleh mereka. Cara terbaik untuk menangani usaha para
orientalis dan pendakwah Kristian tersebut bukanlah dengan menjawab
setiap percanggahan yang mereka kemukakan, tetapi dengan mengetahui
kaedah-kaedah untuk menghilangkan percanggahan tersebut.
TOP
Kaedah Menghilangkan Percanggahan Antara Ayat-Ayat al-Qur’an:
Apabila dihadapkan dengan beberapa ayat yang dituduh saling bercanggah,
hendaklah:
1.
Menyemak terjemahan atau
maksud ayat-ayat tersebut – betulkah terdapat percanggahan di dalamnya.
Kadangkala percanggahan dianggap berlaku semata-mata kerana terjemahan
yang tidak tepat, pemahaman yang salah atau kata-kata yang
ditokok-tambah sendiri. (Rujuk semula Contoh Percanggahan # 1)
2.
Menyemak sama ada
ayat-ayat tersebut sebagai saling menyokong antara satu sama lain. Ini
berlaku sama ada:
3.
Mengenal pasti
latarbelakang ayat-ayat tersebut (Rujuk semula Contoh Percanggahan # 7
& 8)
4.
Menguasai perbincangan
antara ayat-ayat tersebut dan mencari penjelasan lanjut sama ada
daripada ayat yang lain atau hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam yang sahih (Rujuk semula Contoh Percanggahan # 9 & 10)
5.
Apabila percanggahan
merujuk kepada kisah-kisah nabi terdahulu, kajian ditumpukan kepada 3
perkara berikut, sama ada ianya sama atau berbeza:
-
Manusia yang
berinteraksi,
-
Suasana interaksi
tersebut berlaku dan
-
Faktor yang
melatarbelakangi manusia dan suasana tersebut.