KATA PENUTUP.
Sejak awal lagi
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
telah menerangkan kemungkinan akan timbulnya orang yang tidak faham dengan
hadis-hadis baginda. Orang tersebut mungkin seorang penghafal, penulis, pembawa
dan pengajar hadis tetapi ini tidak bererti dia adalah seorang yang benar-benar
faham akan maksud dan pengajaran hadis. Justeru Rasulullah menganjurkan agar
hadis-hadisnya disampaikan kepada orang lain kerana mungkin sahaja orang
tersebut lebih faham secara tepat dan benar.
Secara lebih
terperinci hadis ini memiliki beberapa pengajaran penting:
Pertama:
Keutamaan kepada
orang yang mendengar, memelihara dan menyampaikan hadis-hadis Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam.
Mendengar hadis bererti menerima sesebuah hadis dengan cara lisan atau
dengan cara membaca tanpa terbatas kepada apa-apa medium tertentu.
Memelihara hadis adalah orang yang menghafal atau menulis hadis yang
diterimanya dan disimpan dengan baik. Menyampaikan hadis dilakukan dalam
rangka memberi nasihat, dakwah, kuliah dan sebagainya.
Seseorang yang
mendengar hadis lalu dia memelihara dan menyampaikannya, maka dia akan
dikurniakan pencerahan oleh Allah
Subhanahu wa Ta’ala iaitu pengurniaan ilmu pengetahuan dan ilmu makrifat
yang memuliakannya daripada manusia biasa di dunia dan akhirat. Pengurniaan ini
adalah khas baginya sehingga tertanam di hati dan tercermin di wajahnya
kebahagiaan dan keriangan.[2]
Kedua:
Tidak semua orang
yang mendengar, memelihara dan menyampaikan hadis terdiri daripada orang yang
memahaminya. Atau mungkin dia faham tetapi kefahamannya tidak tepat. Maka dalam
hadis di atas Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam menganjurkan seseorang itu menyampaikan hadis-hadisnya kepada orang
lain kerana mungkin orang yang disampaikan itu lebih faham akan maksudnya.
Dalam erti kata
lain, Rasulullah menganjurkan kita untuk saling bertanya, berbincang dan
bertukar-tukar pandangan akan hadis-hadisnya. Hanya dengan cara ini umat Islam
akan memperoleh kefahaman yang tepat akan hadis-hadis Rasulullah.
Ketiga:
Pengajaran yang
terakhir lagi terpenting adalah, janganlah seseorang itu terburu-buru menolak
dan menghukum batil atau maudhu’ akan sesebuah hadis Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam
semata-mata kerana ia kelihatan aneh, pelik atau memusykilkan. Tidak boleh
menolak hadis semata-mata kerana kejahilan seseorang untuk memahaminya.
Sepertimana yang
telah dikupas sejak dari awal buku ini, terdapat banyak faktor yang
mengakibatkan sesebuah hadis kelihatan musykil dan pada waktu yang sama terdapat
banyak kaedah untuk menghilangkan kemusykilan tersebut. Maka hendaklah setiap
orang mencermati faktor-faktor dan kaedah-kaedah yang telah digariskan. Jika
masih menghadapi kebuntuan, maka kaedah terakhir yang dipegangi oleh para ahli
hikmah ialah menangguhkan (tawaqquf) maksud hadis tersebut sehinggalah
ditemui penjelasan yang sebenarnya.
[1]
Sahih:
Hadis
mutawatir yang dikeluarkan oleh Abu Daud,
al-Tirmizi, Ibn Majah dan lain-lain, dinilai
sahih
oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan
al-Tirmizi – no: 2656 (Kitab Ilmu, Bab Anjuran
menyampaikan apa yang didengar).
[2]
Lebih lanjut
tentang maksud Pencerahan, lihat
keterangan al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwazi
Syarah Jamii al-Tirmizi (Dar al-Kutub al-Ilmiah,
Beirut tp thn), jld 7, ms 347-348.