HADIS-HADIS YANG MUSYKIL TENTANG AKHIR ZAMAN
Contoh no: 3
Islam Bermula
Sebagai Asing Dan Berakhir Sebagai Asing.
Sabda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam:
بَدَأَ الإِسْلاَمُ غَرِيْبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيْبًا. فَطُوْبىَ
لِلْغُرَبَاءِ.
Islam bermula
sebagai (sesuatu yang) asing dan akan kembali menjadi (sesuatu yang) asing
seperti awalnya. Maka berbahagialah orang-orang yang asing itu.[1]
Kemusykilan:
Dalam hadisnya di
atas Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam telah meramalkan suasana agama Islam dan umatnya sebagai sesuatu
yang asing. Ini selalunya dikaitkan dengan suasana umat Islam yang kecil
jumlahnya, terpinggir lagi terbuang. Apakah ini yang sebenarnya dimaksudkan oleh
Rasulullah?
Penjelasan:
Sesuatu yang asing
tidaklah bererti sesuatu yang kecil atau terpinggir, ia hanya bermaksud sesuatu
yang berlainan daripada yang lain. Umpamakan sebuah kedai yang menjual koleksi
komik daripada pelbagai judul dan watak tetapi di satu sudut dijualnya kitab
al-Qur’an al-Karim. Pasti sahaja kitab al-Qur’an tersebut dianggap “asing” oleh
para pengunjung kedai, tak kira sama ada jumlah kitab al-Qur’an yang dijual itu
melebihi atau mengurangi jumlah komik yang dijual. Namun keasingan kitab
al-Qur’an dalam kedai tersebut tidaklah bererti ia adalah sesuatu yang memiliki
nilai ilmiah dan kebenaran yang lebih rendah daripada judul-judul komik dalam
kedai tersebut, bahkan ia adalah lebih utama dan mulia dengan gandaan yang besar.
Demikian juga,
apabila dikatakan Islam dan umatnya akan menjadi asing, ia tidaklah bererti
keasingan yang memencil atau meminggirkannya. Asing di sini ertinya berlainan
daripada lain-lain pola hidup dan adab masyarakat.
Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam
menyampaikan hadis di atas bukanlah atas tujuan meramalkan sesuatu yang negatif
terhadap umat tetapi bertujuan memperingatkan umat bahawa pada satu masa nanti
mereka akan hidup di kalangan masyarakat yang sangat buruk adab dan perlakuan
mereka. Masyarakat ini pula akan memandang syari‘at Islam sebagai sesuatu yang
aneh, ketinggalan dan tidak lagi sesuai dengan peradaban semasa.
Oleh itu hendaklah
umat Islam tetap beristiqamah atas ajaran Islam yang asal berdasarkan al-Qur’an
dan al-Sunnah serta memelihara diri daripada keburukan pola hidup masyarakat
lain mahupun pandangan negatif mereka terhadap Islam. Sikap sebeginilah yang
dipuji oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam di akhir hadis di atas: Maka berbahagialah orang-orang yang
asing itu.
[1]
Sahih:
Hadis daripada
Abu Hurairah, Ibn Mas‘ud, Anas bin Malik, Salman
al-Farisi, Suhal bin Sa‘ad dan Ibn Abbas
radhiallahu ‘anhm, dikeluarkan oleh Muslim,
al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Thabarani dan
lain-lain. Lihat Sahih Muslim – no: 145 (Kitab
Iman, Bab Menjelaskan bahawa Islam bermula
sebagai yang asing.......).