HADIS-HADIS YANG MUSYKIL TENTANG AKHIR ZAMAN
Contoh no: 2
Umat Terbaik
Hanyalah Pada 3 Kurun Pertama.
Sabda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam:
خَيْرُكُمْ قَرْنِيْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ.
Sebaik-baik kalian
adalah pada kurun aku, kemudian pada kurun yang mengikutinya, kemudian pada
kurun yang mengikutinya.
Kemudian baginda
menyambung:
ثُمَّ يَكُوْنُ بَعْدَهُمْ قَوْمٌ يَشْهَدُوْنَ وَلاَ يُسْتَشْهَدُوْنَ
وَيَخُوْنُوْنَ وَلاَ يُؤْتَمَنُوْنَ وَيَنْذُرُوْنَ وَلاَ يَفُوْنَ وَيَظْهَرُ
فِيهِمْ السِّمَنِ.
Kemudian akan ada
selepas mereka kaum yang bersaksi tanpa diminta menjadi saksi, yang akan
mengkhianat dan tidak beramanah, yang berjanji tetapi tidak memenuhinya dan
kegemukan (sifat tamak) akan kelihatan pada mereka.
[1]
Kemusykilan:
Adakah dengan hadis
ini bererti bahawa selepas tiga kurun yang pertama tersebut, umat Islam tidak
lagi baik, sepertimana sifat-sifat tercela yang diramalkan oleh Rasulullah
terhadap mereka?
Penjelasan:
Hadis di atas
bukanlah bertujuan menghadkan umat Islam yang terbaik kepada tiga kurun yang
pertama sahaja. Ia sebenarnya bertujuan untuk menjadikan umat Islam pada tiga
kurun tersebut sebagai contoh dan modal ikutan umat-umat Islam seterusnya. Ia
bertujuan menjadikan keteguhan iman dan taqwa, ketinggian ilmu, kekuatan jamaah
dan keperkasaan ketenteraan mereka sebagai contoh bagi umat Islam yang akan
datang. Hal ini sepertimana yang dianjurkan sendiri oleh Allah
Subhanahu wa Ta‘ala dalam firman-Nya:
وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ
اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ
لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ
الْفَوْزُ الْعَظِيمُ.
Dan orang-orang yang
terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang
Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka
dengan kebaikan, Allah redha akan mereka dan mereka pula reda akan Dia,
serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang
besar. [al-Taubah
9:100]
Adapun sifat-sifat
tercela yang akan berlaku selepas masa tiga kurun yang pertama, ia bukanlah
ramalan yang menetapkan tetapi adalah peringatan agar umat sentiasa berhati-hati
dengan pelbagai sikap sebahagian manusia yang akan datang, di mana mereka akan
berpura-pura menjadi umat Islam padahal sifat mereka adalah sangat jauh daripada
sifat muslim yang sejati.
[1]
Sahih:
Hadis daripada
Imran bin Husain
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad,
al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, di atas adalah
dengan lafaz al-Bukhari, lihat Sahih al-Bukhari
– no: 3650. (Kitab Fadhilat Sahabat).