HADIS-HADIS YANG MUSYKIL TENTANG AKHIR ZAMAN
Contoh no: 1
Masa Depan Umat Kian
Bertambah Buruk.
Sabda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam:
لاَ يَأْتِيْ عَلَيْكُمْ زَمَانٌ إِلاَّ الَّذِيْ بَعْدَهُ شَرٌّ مِنْهُ حَتَّى
تَلْقَوْا رَبَّكُمْ.
Tidak akan datang
kepada kamu satu zaman kecuali yang sesudahnya lebih buruk daripada yang
sebelumnya, sehinggalah kamu menemui Tuhan kamu.[1]
Kemusykilan:
Hadis ini nampaknya
meramalkan suasana umat Islam yang akan bertambah buruk dari masa ke masa.
Kenapakah Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam memberikan ramalan yang sebegini negatif terhadap umatnya?
Penjelasan:
Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam
menyampaikan hadis di atas bukanlah dengan tujuan untuk meramalkan suasana yang
beransur-ansur buruk yang bakal menimpa umat. Ia sebenarnya bertujuan
memperingatkan umat akan pelbagai cubaan, cabaran dan perubahan yang akan mereka
hadapi dari zaman ke zaman. Jika umat tidak bersiap sedia menghadapinya, mereka
akan ditenggelami zaman sehingga menjadilah setiap zaman yang baru lebih buruk
daripada zaman yang sebelumnya.
Dalam sebuah
hadisnya yang lain, Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam menerangkan tentang masa depan umat sebagai:
مَثَلُ أُمَّتِيْ مَثَلُ الْمَطَرِ: لاَ يُدْرَى أَوَّلُهُ خَيْرٌ أَمْ آخِرَهُ.
Perumpamaan umatku
adalah umpama hujan, tidak diketahui apakah yang baik itu pada awalnya atau
akhirnya.[2]
Hadis ini tidak
meramalkan sesuatu yang baik mahupun buruk tetapi memberi dorongan kepada
umatnya untuk sentiasa mencari yang terbaik tanpa mengenal titik noktah atau
batas maksimum. Pergandingan antara hadis ini dan hadis di atas menunjukkan
bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam tidak bermaksud untuk meramalkan suasana yang buruk kepada umat
akhir zaman melainkan memperingatkan mereka untuk berusaha lebih keras demi
mencapai kebaikan dan kejayaan selari dengan perubahan zaman.[3]
[1]
Sahih:
Hadis daripada
Anas bin Malik
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad,
al-Bukhari, al-Tirmizi dan lain-lain, lihat
Sahih al-Bukhari – no: 7068 (Kitab Fitnah, Bab
Tidak akan datang satu zaman kecuali............).
[2]
Sahih:
Hadis daripada
Anas bin Malik, ‘Amr, ‘Ali bin Abi Talib dan
‘Abdullah ibn ‘Umar
radhiallahu ‘anhm, dikeluarkan oleh Ahmad,
al-Tirmizi, Abu Ya’la dan lain-lain; dinukil dan
dinilai
hasan oleh al-Suyuti dalam al-Jamii’ al-Sagheir
– no: 8161 manakala dinilai
sahih
oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih al-Jamii’
al-Sagheir – no: 5854.
[3]
Lihat Yusuf al-Qaradhawi
– Fiqih Tajdid dan Shahwah Islamiyah (terj:
Nabhani Idris; Islamuna Press, Jakarta 1997),
ms 7-9.