HADIS-HADIS MUSYKIL DARI SUDUT LOGIKA DAN NORMA-NORMA AGAMA

 

Contoh no: 9

Anak Kecil Yang Ditanam Hidup-Hidup Akan Masuk Neraka.

Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

اَلْوَائِدَةُ وَالْمَوْءُوْدَةُ فِيْ النَّارِ.

Orang yang menanam hidup-hidup dan (bayi) perempuan yang ditanam (hidup-hidup, kedua-duanya) di dalam neraka.[1]

 

Kemusykilan:

Kenapakah bayi yang ditanam hidup-hidup tempatnya nanti ialah dalam neraka? Apakah salah bayi tersebut?

Penjelasan:

Hadis di atas pada zahirnya memang kelihatan musykil lagi bertentangan dengan lain-lain dalil al-Qur’an dan Hadis. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

وَإِذَا الْمَوْءُودَةُ سُئِلَتْ. بِأَيِّ ذَنْبٍ قُتِلَتْ.

Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup ditanya: “Dengan dosa apakah ia dibunuh?” [al-Takwir 81:8-9]

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولًا.

Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). [al-Israa’ 17:15]

Yakni seseorang bayi yang ditanam hidup-hidup tidak akan diazab kerana dosa ibubapa yang menanamnya. Seseorang bayi juga tidak akan diazab jika mati dalam keadaan belum mengucap dua kalimah syahadah kerana belum sampai kepadanya risalah Islam yang dibawa oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kepadanya.

Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

اَلنَّبِيُّ فِيْ الْجَنَّةِ وَالشَّهِيْدُ فِيْ الْجَنَّةِ وَالْمَوْلُوْدُ فِيْ الْجَنَّةِ وَالْوَئِيْدُ فِيْ الْجَنَّةِ.

Para Nabi berada di dalam syurga dan para syuhada berada di dalam syurga dan anak-anak yang baru lahir berada di dalam syurga dan anak-anak yang ditanam hidup-hidup berada di dalam syurga.[2]

Justeru apakah maksud hadis yang dipersoalkan di atas? Jawapannya akan ditemui dengan mengkaji firman Allah dalam ayat berikut ini:

ثُمَّ لَنَحْنُ أَعْلَمُ بِالَّذِينَ هُمْ أَوْلَى بِهَا صِلِيًّا. وَإِنْ مِنْكُمْ إِلَّا وَارِدُهَا كَانَ عَلَى رَبِّكَ حَتْمًا مَقْضِيًّا. ثُمَّ نُنَجِّي الَّذِينَ اتَّقَوْا وَنَذَرُ الظَّالِمِينَ فِيهَا جِثِيًّا.

Kemudian, sesungguhnya Kami lebih mengetahui akan orang-orang yang lebih patut diseksa dan dibakar dengan api neraka itu.

Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya (neraka); (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu.

Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim tinggal berlutut di dalam neraka itu. [Maryam 19:70-72]

Dalam ayat-ayat ini diterangkan bahawa setiap orang akan sampai ke neraka pada Hari Akhirat kelak. Namun pada saat itu akan dipisahkan antara ahli neraka dan ahli syurga. Ahli neraka akan tertinggal di dalamnya manakala ahli syurga akan meneruskan perjalanan ke syurga. Dalam ertikata lain, untuk memasuki syurga, semua ahlinya akan melalui neraka terlebih dahulu. Mereka tidak akan diazab dalam neraka melainkan sekadar melaluinya.[3]

Demikian juga anak-anak yang yang ditanam hidup-hidup sepertimana hadis yang sedang dibincangkan. Dia bukan berada di dalam neraka kerana diazab tetapi hanya sekadar melaluinya sahaja. Destinasi akhir anak-anak tersebut ialah syurga sepertimana jamin Rasulullah dalam hadisnya yang lain: …… dan anak-anak yang ditanam hidup-hidup berada di dalam syurga.[4]

Inilah juga tafsiran terhadap sebuah hadis lain di mana datang seseorang bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tentang ayahnya: “Ya Rasulullah! Di manakah ayahku?” Rasulullah menjawab: “Ayah kamu dalam neraka.” Setelah lelaki itu beralih, Rasulullah menambah:

إِنَّ أَبِيْ وَأَبَاكَ فِيْ النَّارِ.

Sesungguhnya ayahku dan ayah kamu berada dalam neraka.”[5]

Beradanya ayah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan orang yang bertanya di dalam neraka bukanlah merupakan kepastian bahawa mereka sedang diazab tetapi bagi menerangkan bahawa pada Hari Akhirat nanti mereka akan sampai ke neraka.

 

Penjelasan Tambahan:

Di kalangan ahli ilmu ada yang menjelaskan bahawa hadis: Sesungguhnya ayahku dan ayah kamu berada dalam neraka sememangnya menunjukkan bahawa ayah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam diazab di dalam neraka.

Ini kerana pada zaman ayah Rasulullah masih hidup, risalah tauhid sudah tersebar di Semenanjung Arab kesan daripada dakwah nabi-nabi yang terdahulu. Sementara ayah Rasulullah pula tidak mentauhidkan Allah dan tidak beribadah kepada-Nya sahaja.

Namun ada juga ahli ilmu yang menolak penjelasan ini. Mereka menerangkan bahawa kedudukan ayah Rasulullah dan orang-orang yang hidup sebelum baginda diutus menjadi Rasul diserahkan kepada Allah Subhanahu waTa’ala. Allah sahaja yang akan menghukum dan menentukan kedudukan mereka pada Hari Akhirat kelak.

 

 



[1] Sahih: Hadis daripada ‘Abdullah ibn Mas‘ud radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Abu Daud, Ibn Hibban, al-Bazzar dan al-Thabarani (al-Mu’jam al-Kabir); dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan Abu Daud – no: 4717 (Kitab Sunnah, Bab Anak cucu orang musyrikin).

[2] Sahih: Hadis daripada Umm Hasana’ binti Mu‘awiyah, daripada ibunya radiallahu ‘anha, dikeluarkan oleh Ahmad, Ibn Abi Syaibah, Abu Daud, al-Thabarani (Mu’jam Kabir) dan al-Baihaqi (al-Sunan al-Kubra), di atas dengan lafaz Ahmad, dinilai sahih oleh Hamzah Ahmad Zain dalam Musnad Ahmad – no: 20461 (Musnad hadis daripada lelaki Ansar, hadathana Muhammad bin Jaafar......).

[3] Lihat mana-mana kitab tafsir terhadap ayat 70 hingga 72 dari surah Maryam. Ada juga yang berkata, erti “sampai ke Neraka” adalah melintas Jambatan al-Sirath di atas neraka.

Untuk mengetahui perjalanan seseorang di Hari Kiamat nanti dari saat Kebangkitan sehingga ke Neraka atau Syurga, lihat buku ‘Umar Sulaiman al-Asyqar – Kiamat Besar (terj: Hilman Subagyo, Serambi Ilmu Semesta, Jakarta 2001). Selain itu lihat juga buku beliau dalam siri yang sama: Kiamat Kecil dan Tanda-Tanda Kiamat Besar oleh penerbit yang sama.

[4] Untuk mengetahui kedudukan dan nasib anak-anak kecil yang meninggal dunia di Hari Akhirat nanti, Islam atau bukan Islam, lihat buku Syurga dan Neraka oleh ‘Umar Sulaiman al-Asyqar (terj: Fanis Ismail, Serambi Ilmu Semesta, Jakarta 2001), ms 195-203.

[5] Sahih: Hadis daripada Anas bin Malik radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad, Muslim, Abu Daud dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 203 (Kitab al-Iman, Bab Menjelaskan sesiapa yang mati dalam kekafiran......).