HADIS-HADIS MUSYKIL DARI SUDUT LOGIKA DAN NORMA-NORMA AGAMA
Contoh no: 8
Seseorang Masuk
Syurga Hanya Kerana Rahmat Allah Dan Bukan Kerana Amalannya.
Sabda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam:
لاَ يُدْخِلُ أَحَداً مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ. وَلاَ يُجِيْرُهُ مِنَ
النَّارِ. وَلاَ أَنَا. إِلاَّ بِرَحْمَةِ مِنَ اللهِ.
Tidaklah dimasukkan
seseorang daripada kamu ke dalam syurga kerana amalannya. Dan tidak dijauhkan
daripada neraka (kerana amalannya). Dan tidak juga aku. Kecuali dengan rahmat
daripada Allah.[1]
Kemusykilan:
Adakah dengan hadis
ini bererti kita tidak perlu mengerjakan amal soleh termasuk beribadah kerana
yang menyebabkan kita masuk syurga atau neraka hanyalah rahmat Allah yang
sama-sama kita ketahui dikurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya sahaja?
Penjelasan:
Hadis ini perlu kita
fahami bersama ayat-ayat al-Qur’an berikut ini yang semuanya menerangkan bahawa
seseorang itu akan masuk syurga kerana amalannya:
وَبَشِّرِ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ
تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ.
Dan berilah khabar
gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya
mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.
[al-Baqarah 2:25]
وَنُودُوا أَنْ تِلْكُمُ الْجَنَّةُ أُورِثْتُمُوهَا بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ.
Dan mereka diseru: “Itulah
Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah
kerjakan”
[al-A’raaf 7:43]
يَقُولُونَ سَلَامٌ عَلَيْكُمُ ادْخُلُوا الْجَنَّةَ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ.
Sambil malaikat itu
berkata kepada mereka: “Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga
disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan”.
[al-Nahl 16:32]
Oleh itu apakah
maksud sebenar hadis di atas?
Maksudnya adalah,
seseorang itu dengan rahmat Allah ‘Azza
wa Jalla akan mengerjakan amal soleh dan dengan itu dia akan dimasukkan ke
dalam syurga. Dalam ertikata lain, seseorang itu memerlukan kedua-duanya, rahmat
Allah dan amal soleh untuk masuk syurga.
Rahmat Allah bererti
hidayah, bimbingan dan pemeliharaannya sehingga dengan itu seseorang akan
beramal soleh dengan apa yang benar secara ikhlas. Tanpa rahmat Allah, mungkin
sahaja seseorang itu beramal tetapi ia adalah satu bid‘ah atau dengan sifat ria’
yang menyebabkan amalan tersebut tidak diterima Allah.
Hadis ini bertujuan
memberi dua pengajaran kepada kita:
Pertama:
Janganlah berbesar
diri atau angkuh seandainya tergolong dalam orang-orang yang selalu mengerjakan
amal soleh. Kedudukan dalam golongan ini hanyalah kerana rahmat Allah. Oleh itu
hendaklah mensyukurinya dengan cara yang sebenar-benarnya kerana Allah berhak
untuk menarik balik rahmat-Nya pada bila-bila masa sahaja. Firman Allah:
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ
كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ.
Dan (ingatlah)
ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya
Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur
sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”.
[Ibrahim 14:07]
Kedua:
Janganlah orang yang
menghadapi banyak ujian dan halangan untuk mengerjakan amal soleh berputus asa
daripada rahmat Allah. Demikian juga janganlah orang-orang yang selama ini
terjerumus dalam perkara-perkara maksiat dan mungkar berputus asa daripada
kemaafan Allah jika dia bertaubat. Allah Subahana wa Ta‘ala akan
mengurniakan rahmat-Nya pada bila-bila masa yang terdekat, yang dengan rahmat
tersebut dia akan dapat mengerjakan amal soleh yang membawanya ke syurga. Firman
Allah:
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ
رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ
الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.
Katakanlah: “Hai
hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu
berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya.
Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
[al-Zumar 39:53]
Penjelasan Tambahan:
Di kalangan ahli
ilmu ada yang menjelaskan, maksud hadis ini adalah ganjaran syurga amatlah besar
sehingga ia tidak terbanding dengan amal soleh yang dikerjakan ketika di dunia.
Justeru amalan seseorang sahaja tidak akan cukup untuk melayakkan dirinya
menikmati segala yang ada di dalam syurga. Akan tetapi dengan rahmat Allah
jualah seseorang itu dapat memasuki syurga dan menikmati segala anugerah di
dalamnya.[2]