HADIS-HADIS MUSYKIL DARI SUDUT LOGIKA DAN NORMA-NORMA AGAMA
Contoh no: 7
Muka Manusia Adalah
Daripada Imej Allah.
Sabda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam:
إِذَا قَاتَلَ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ، فَلْيَجْتَنِبِ الْوَجْهَ. فَإِنَّ اللَّهَ
خَلَقَ آدَمَ عَلَى صُوْرَتِهِ.
Apabila seseorang
kamu bergaduh dengan saudaranya, hendaklah dia menjauhi dari memukul muka kerana
sesungguhnya Allah mencipta Adam atas imejnya.[1]
Kemusykilan:
Berdasarkan hadis di
atas, adakah ia bererti bahawa wajah manusia ini dicipta daripada imej wajah
Allah?
Penjelasan:
Maha Suci Allah
daripada menyerupai atau diserupai oleh mana-mana makhluk ciptaan-Nya. Firman
Allah:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ.
Tiada sesuatupun
yang seumpama dengan-Nya dan Dia-lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
[al-Syura
42:11]
وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ.
Dan tidak ada
sesiapapun yang serupa dengan-Nya.
[al-Ikhlas 112:04]
Hadis yang
dipersoalkan di atas sebenarnya tidak bererti bahawa wajah manusia dicipta
berdasarkan imej Allah. Perkataan “nya” dalam sabda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam:
Sesungguhnya Allah mencipta Adam atas imejnya sebenarnya merujuk
kepada objek yang terdekat dalam susunan lafaz di atas iaitu kepada manusia dan
bukannya Allah.
Keseluruhan hadis
ini sebenarnya melarang seseorang itu memukul muka orang lain kerana muka orang
yang akan dipukul itu adalah juga seperti mukanya, seakan-akan apabila dia
memukul dan mencederakan muka orang lain, dia memukul dan mencederakan mukanya
sendiri.
Ada juga tafsiran
kedua, di mana hadis ini bererti bahawa Allah
‘Azza wa Jalla telah mencipta wajah
manusia sesuai dengan sifat-sifat dan ciri-ciri kehidupan manusia itu sendiri.
Sebagaimana Allah juga mencipta lain-lain makhluk dengan wajah mereka yang
tersendiri sesuai dengan sifat-sifat dan ciri-ciri kehidupan mereka. Oleh itu
janganlah memukul muka seseorang kerana kecederaan yang mungkin terjadi akan
merosakkan kesempurnaan hidupnya.
Terdapat sebuah
riwayat lain yang berbunyi:
لاَ تُقَبِّحُوْا الْوَجْهَ فَإِنَّ اِبْنَ آدَمَ عَلَى صُوْرَةِ الْرَحْمَنِ.
Janganlah
mencederakan wajah kerana sesungguhnya (wajah) anak Adam adalah atas imej al-Rahman.
[2]
Riwayat ini
menerangkan bahawa wajah manusia adalah dari imej al-Rahman, yakni Allah
‘Azza wa Jalla. Namun riwayat ini
adalah dha‘if dan tertolak kerana Maha Suci Allah daripada menyerupai
atau diserupai oleh makhluk ciptaan-Nya.
[1]
Sahih:
Hadis daripada
Abu Hurairah
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad,
Muslim dan lain-lain, lihat Sahih Muslim –
no: 2612-4 (Kitab al-Birr…,
Bab Larang daripada
memukul muka).
[2]
Dha‘if:
Hadis daripada
‘Abdullah ibn ‘Umar
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh ‘Abdullah
bin Ahmad bin Hanbal dalam al-Sunnah li
‘Abdullah bin Ahmad (tahqiq:
M. Sa‘id Salim; Dar Ibn al-Qayyim 1406H) no:
498 & 1076, Ibn Abi ‘Ashim dalam Kitab
al-Sunnah (tahqiq
& takhrij:
N.
al-Albani;
Maktabah al-Islami, Beirut 1993) no: 517,
al-Daruquthni dalam al-Sifat (tahqiq:
Abdul Allah al-Ghaniman; Maktabah al-Dar,
Madinah 1402H) – no: 048 dan al-Thabarani
dalam al-Mu’jam al-Kabir – no: 13580;
semuanya dari jalan al-‘Amash, daripada Habib
bin Abi Thabit, daripada ‘Atha’, daripada Ibn ‘Umar.
Habib bin Abi Thabit al-Kufi adalah perawi yang
tadlis. Lihat Ibn Hajar al-Asqalani –
Tabaqat al-Mudallisin (Maktabah al-Manar,
Amman 1983), perawi no: 069.
Juga dikeluarkan
oleh Ibn Abi ‘Ashim dalam Kitab al-Sunnah –
no: 521 daripada Abu Hurairah
radhiallahu ‘anh dengan lafaz yang sedikit
berbeza, dari jalan Ibn Lahi‘ah dan adalah
beliau seorang yang tadlis. Berkata Ibn
Hibban: Adalah dia (meriwayat secara) tadlis
daripada (para perawi yang) dha‘if [Ibrahim
bin muhammad – Al-Tibyan li Asma’ al-Mudallis
(Muasasah al-Rayan, Beirut 1994), perawi
no: 42]. ‘Abdullah bin Lahi‘ah adalah juga
seorang yang dha‘if, lihat al-Nasa’i –
al-Dhu‘afa’ wa al-Matrukin (Muasasah al-Kitab
al-Thaqafi, Beirut 1985), perawi no: 346
dan al-‘Uqaili – Dhu‘afa’ al-Kabir (Dar
al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1998), perawi no:
867.
Kedua-dua jalan
ini mungkin boleh dianggap saling menguat antara
satu sama lain tetapi ia tetap tertolak kerana
dalam bab ini telah ada hadis lain yang
sahih
yang tidak menghubungkan wajah Adam dengan imej
Allah. Yang
sahih
inilah yang benar dan diterima.