HADIS-HADIS MUSYKIL DARI SUDUT LOGIKA DAN NORMA-NORMA AGAMA
Sesiapa Menghafal 99 Nama Allah Akan Masuk Syurga.
Sabda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam:
إِنَّ لِلَّهِ تِسْعَةً وَتِسْعِيْنَ أَسْمًا مِائَةً إِلاَّ وَاحِدًا مَنْ
أَحْصَاهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ.
Sesungguhnya Allah
memiliki 99 nama, seratus kurang satu, sesiapa yang menghitungnya (menghafalnya)
akan masuk syurga.[1]
Kemusykilan:
Benarkah dengan
menghafal nama-nama Allah sahaja, seseorang itu akan masuk syurga?
Penjelasan:
Hadis di atas
termasuk dalam kumpulan hadis-hadis Fadhilat, iaitu yang menerangkan
keutamaan mengamalkan sesuatu perkara yang baik atau meninggalkan sesuatu
perkara yang buruk. Sesiapa yang mengamalkan hadis-hadis fadhilat akan
memperoleh ganjaran yang dijanjikannya dengan syarat:
Pertama:
Terlebih dahulu
melengkapkan dirinya dengan asas-asas yang membentuk dasar Islam seperti
berpegang teguh kepada Rukun Iman yang enam dan Rukun Islam yang lima, tidak
menyekutukan Allah dengan apa jua, tidak menderhakai ibubapa, tidak menyakiti
sesama umat, tidak memecahkan kesatuan (jamaah) umat Islam, keluar berjihad
apabila suasana mewajibkannya dan pelbagai lagi.
Seseorang yang
melengkapkan dirinya dengan dasar-dasar agama maka dia akan memperolehi syurga.
Sesiapa yang mengamalkan hadis-hadis fadhilat tetapi tidak melengkapkan dirinya
dengan dasar-dasar agama maka dia tidak akan memperolehi syurga.
Sesiapa yang
melengkapkan dirinya dengan dasar-dasar agama dan pada waktu yang sama
mengamalkan hadis-hadis fadhilat maka dia akan memperoleh syurga dengan lebih
mudah dan pantas serta dianugerahkan beberapa ganjaran tambahan yang lain. Dalam
ertikata lain, mengamalkan hadis-hadis fadhilat adalah suatu bonus di atas modal
yang sedia ada.
Kedua:
Mengamalkan
hadis-hadis fadhilat bukanlah seperti apa yang zahir dari hadis-hadis tersebut
tetapi adalah berdasarkan sebab, maksud dan tujuannya. Sebagai contoh, sabda
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
مَنْ قَرَأَ (( قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ )) عَشْرَ مَرَّاتٍ بَنَى اللهُ لَهُ
بَيْتًا فِيْ الْجَنَّةِ.
Sesiapa yang membaca:
“Qul
huwalLahu Ahad” (surah al-Ikhlas) sepuluh kali maka Allah membina untuknya
sebuah rumah di syurga.[2]
Membaca di sini
bukanlah membaca sepertimana kita membaca akhbar tetapi adalah bacaan yang
dengannya dapat meneguhkan akidah, memantapkan tauhid, menguatkan iman dan
menafikan sebarang anggapan buruk terhadap Allah
‘Azza wa Jalla. Hanya melalui bacaan
seperti ini seseorang itu akan memperoleh ganjaran yang dijanjikan.
Kita sama-sama tahu
bahawa mendapatkan ganjaran syurga bukanlah sesuatu yang mudah, sebagaimana
firman Allah:
أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُمْ مَثَلُ الَّذِينَ
خَلَوْا مِنْ قَبْلِكُمْ.
Adakah patut kamu
menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian
dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu
daripada kamu?
[al-Baqarah 2:214].
Demikianlah dua
syarat penting yang perlu diketahui apabila berinteraksi dengan hadis-hadis
Fadhilat.
Kembali kepada hadis
yang dipersoalkan, maksud hadis di atas bukanlah sekadar menghafal tetapi
mengetahui maksud nama-nama tersebut. Berdasarkan pengetahuan ini, seseorang itu
akan mengenal Allah dengan pengenalan yang betul. Inilah yang akhirnya menjadi
sarana yang memudahkannya memasuki syurga.[3]
[1]
Sahih:
Hadis daripada
Abu Hurairah
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad,
al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih
al-Bukhari – no: 7392 (Kitab Tauhid, Bab
Sesungguhnya Allah memiliki 100 nama kurang satu).
Dalam kurungan adalah salah satu daripada
lafaz Muslim, lihat Sahih Muslim – no: 2677.
[2]
Sahih:
Hadis daripada
Mu‘adz bin Anas
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad dan
dinukil serta dinilai
dha‘if
oleh al-Suyuti dalam al-Jamii’ al-Sagheir –
no: 8946. Namun Nasr al-Din al-Albani
menilainya
sahih
berdasarkan beberapa hadis lain yang semakna
yang menguatkannya, lihat Silsilah Hadits
Shahih – no: 589.
[3]
Untuk mengetahui
maksud dan cara melaksanakan nama-nama Allah
tersebut,
disyorkan
mengkaji buku berikut:
[1] Ibn
Qayyim al-Jauziyah: Asma-ul Husna – Nama-nama
Indah Allah (terj: Samson Rahman; Pustaka
al-Kautsar, Jakarta 2001).
[2]
Muhammad
Quraish Shihab:
Meyingkap
Tabir Illahi: Asma al-Husna dalam Perspektif
al-Qur’an
(Lentera
Hati, Jakarta 1998).
Pada waktu
yang sama boleh ditinggalkan buku-buku yang
memberi sekian-sekian fadilat palsu kepada
sesiapa yang berzikir nama-nama Allah dengan
kaedah dan jumlah yang tertentu. Adapun menyebut
nama-nama Allah dalam bentuk lagu atau nasyid,
bagi penulis adalah tidak mengapa jika ia
dilakukan atas tujuan memudahkan ingatan.