HADIS-HADIS MUSYKIL DARI SUDUT LOGIKA DAN NORMA-NORMA AGAMA
Sampaikan Hadis Bani
Israil.
Sabda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam:
بَلِّغُوْا عَنِّيْ وَلَوْ آيَةً. وَحَدِّثُوْا عَنْ بَنِيْ إِسْرَائِيْلَ وَلاَ
حَرَجَ. وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ
النَّارِ.
Sampaikanlah dari
aku walaupun satu ayat, dan bicaralah tentang kisah (hadis) Bani Israil,
tidaklah ia satu kesalahan. Dan barangsiapa yang berdusta atas aku dengan
sengaja, pasti dia akan mendapat tempatnya di dalam neraka.[1]
Kemusykilan:
Kenapakah hadis ini
mengajurkan umat Islam untuk berbicara tentang kaum Bani Israil? Bukankah dengan
ini banyak ajaran mereka yang menyeleweng yang akan menyerap masuk ke dalam
Islam?
Penjelasannya:
Sebenarnya hadis ini
disampaikan pada masa akhir kehidupan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam,
iaitu apabila umat Islam telah faham asas-asas, hukum dan ciri-ciri agama Islam
yang sebenar. Pada masa ini umat telah memiliki ilmu serta keyakinan yang mantap
tentang Islam sehingga tidak mungkin lahirnya fitnah atau kekeliruan jika
dibicarakan cerita atau perihal agama lain. Antara manfaat yang dicari adalah
mewujudkan perbincangan dua hala agar kaum Bani Israil merasa selesa dengan
orang Islam sehingga akhirnya dapat mengenali agama Islam dengan lebih sempurna.
Selain itu perlu
diingatkan bahawa perkataan hadis bukanlah bererti sabda seseorang Nabi
dalam konteks agama sahaja tetapi ia secara keseluruhannya bererti kata-kata,
ucapan dan sebutan dikhabarkan, disampaikan dan diberitakan.
Justeru hadis di
atas juga membuka jalan kepada umat Islam bertukar-tukar pengetahuan dan
maklumat dengan kaum lain dalam pelbagai bidang seperti pertanian, perindustrian,
jual beli dan sebagainya, iaitu apa yang dikenali sebagai perkongsian teknologi
dan maklumat. Hadis ini juga membuka jalan ke arah pengkajian agama kaum lain
agar dengan itu dapat dilihat pelbagai penyelewengan yang terdapat di dalamnya
yang akhirnya akan meyakinkan lagi umat terhadap agama Islam yang mereka pegangi.
Ini dikenali sebagai ilmu perbandingan agama, mengikut definisi masa kini.
Tidak ada salahnya
untuk berbicara dan berdialog dengan orang dari agama lain. Islam sentiasa
menekankan konsep hidup bermasyarakat, bersosial dan menjalin hubungan dua hala
dengan semua pihak asalkan ia tidak melanggar batas-batas agama. Perhatikan
ayat-ayat berikut:
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ
يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ
اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ.
إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ
وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَى إِخْرَاجِكُمْ أَنْ
تَوَلَّوْهُمْ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ.
Allah tidak melarang
kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak
memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung
halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Sesungguhnya Allah
hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang
memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman
kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa
yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
[al-Mumtahanah 60:8-9]
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ
وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ
أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ.
Wahai orang-orang
yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan
keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali
kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan
keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu
lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
[al-Maidah 5:08]
وَلَا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلَّا
الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ.
Dan janganlah kamu
berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali
orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka.
[al-Ankabut 29:46]
Justeru tidak ada
sebarang kemusykilan dalam hadis ini. Malah sebenarnya ia memiliki beberapa
ajaran yang penting di dalam Islam: Pertama adalah konsep bermasyarakat dan
bersosial tanpa mengira agama. Kedua adalah anjuran untuk mengkaji ilmu
perbandingan agama dan ketiga adalah bertukar-tukar ilmu dan kemahiran dalam
pelbagai bidang duniawi. Semua ini dibolehkan oleh Islam asalkan batas-batas
syari‘at dipelihara.
[1]
Sahih:
Hadis dari
‘Abdullah bin ‘Amr
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh al-Bukhari,
juga secara ringkas dari Abu Hurairah,
dikeluarkan oleh al-Shafi‘i dan Abu Daud, lihat
Sahih al-Bukhari – no: 3461 (Kitab al-Anbiya’,
Bab Apa yang diperkatakan tentang Bani Israil).