HADIS-HADIS MUSYKIL DARI SUDUT LOGIKA DAN NORMA-NORMA AGAMA

 

Contoh no: 4

Perangilah manusia sehingga semuanya mengucap La ilaha illaLlah.

Ali bin Abi Talib radhiallahu ‘anh pernah bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

يَا رَسُوْلَ اللَّهِ عَلَى مَاذَا أُقَاتِلُ النَّاسَ ؟

Ya Rasulullah! Atas hal apakah patut aku perangi manusia?

Rasulullah menjawab:

قَاتِلْهُمْ حَتَّى يَشْهَدُوْا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّداً رَسُولُ اللَّهِ. فَإِذَا فَعَلُوْا ذَلِكَ فَقَدْ مَنَعُوْا مِنْكَ دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ. إِلاَّ بِحَقَّهَا. وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ.

Perangilah mereka sehingga mereka bersyahadah bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasul Allah. Apabila mereka telah mengucapkan sedemikian maka terpeliharalah darah dan harta benda mereka, kecuali yang menjadi hak kamu sementara perhitungannya adalah kepada Allah.[1]

 

Kemusykilan:

Hadis ini menjadi sasaran utama para pengkritik orientalis bahawa Islam adalah agama yang disebarkan melalui pedang, iaitu secara paksaan. Apakah maksud sebenar hadis ini?

Penjelasannya:

Hadis ini telah diperhujahkan dalam bentuk yang terkeluar dari konteksnya yang asal. Hadis ini sebenarnya disabdakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika berperang dengan orang-orang Yahudi di Khaibar, seperti yang diterangkan sendiri oleh Abu Hurairah apabila beliau meriwayatkannya. Urutan yang menyebabkan Rasulullah bersabda sedemikian dapat juga dilihat dalam mana-mana kitab sirah yang muktabar.[2]

Pendek cerita, pada tahun 5 hijrah orang-orang Yahudi di Khaibar telah mengumpul beberapa kaum dan kabilah di Semenanjung Arab untuk bersatu melancarkan peperangan ke atas orang-orang Islam di Kota Madinah. Namun serangan tersebut berjaya dipatahkan apabila umat Islam menggali parit yang dalam di sekeliling Kota Madinah. Peperangan ini masyhur dengan gelaran Perang Khandak. Dua tahun kemudian umat Islam telah melancarkan serang balas ke atas orang-orang Yahudi di Khaibar.[3]

Amatlah tidak benar jika dikatakan tentera Islam telah memaksa orang-orang Yahudi di Khaibar untuk memeluk Islam. Sejak awal lagi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah berdakwah kepada orang-orang Yahudi, malah beberapa sahabat yang mengenali kitab Taurat telah mengingatkan mereka tentang kerasulan Muhammad berdasarkan keterangan kitab mereka sendiri. Namun mereka tetap mengingkarinya.[4]

Lebih dari itu, setelah menerima perintah untuk memerangi orang Yahudi Khaibar sepertimana hadis yang pertama di atas, berkata Ali bin Abi Talib radhiallahu ‘anh:

أُقَاتِلْهُمْ حَتَّى يَكُوْنُوْا مِثْلَنَا.

Ya Rasulullah! Aku akan perangi mereka sehinggalah mereka menjadi seperti kita (iaitu menjadi orang Islam).

Mendengar itu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab:

اُنْفُذْ عَلَى رِسْلِكَ حَتَّى تَنْزِلَ بِسَاحَتِهِمْ. ثُمَّ اُدْعُهُمْ إِلَى الإِسْلاَمِ. وَأَخْبِرْهُمْ بِمَا يَجِبُ عَلَيْهِمْ مِنْ حَقَّ اللَّهِ فِيْهِ. فَوَاللَّهِ لأَنْ يَهْدِيَ اللَّهُ بِكَ رَجُلاً وَاحِداً خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ يَكُوْنَ لَكَ حُمْرُ النَّعَمِ.

Maralah secara berhati-hati sehingga kamu sampai ke kawasan mereka yang lapang. Kemudian dakwahlah mereka kepada Islam. Khabarkan kepada mereka tentang apa yang wajib dari hak (undang-undang) Allah.

Demi Allah! Jika Allah memberi hidayah kepada salah seorang dari mereka adalah lebih baik daripada kamu memiliki sekumpulan unta yang berharga.[5]

Mungkin ada kemusykilan lagi, bahawa hadis: Perangilah mereka sehingga… bersifat umum kerana ia adalah jawapan yang merujuk kepada pertanyaan: Ya Rasulullah! Atas hal apakah patut aku perangi manusia? Perkataan al-Nas merujuk kepada seluruh manusia. Justeru sekalipun ia disampaikan dalam satu kes tertentu, ciri-cirinya yang umum menyebabkan ia tidak terikat kepada satu suasana tertentu. Ini selari dengan kaedah, bahawa sesuatu nas yang bersifat umum tidak terikat dengan suasana yang melahirkan nas tersebut.

Kemusykilan ini dapat dijelaskan dengan memahami bahawa fungsi alif lam terhadap perkataan Nas (manusia) dalam hadis di atas tidaklah bererti seluruh manusia tetapi merujuk kepada sekumpulan manusia bagi menetap makna yang dimaksudkan (Lam-al-Ma’rifah).

Di dalam al-Qur’an, terdapat beberapa contoh di mana perkataan al-Nas tidak bererti seluruh manusia tetapi hanyalah sekelompok. Berikut adalah dua contoh:

Pertama:

الَّذِينَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ.

(Yaitu) orang-orang yang apabila dikatakan kepada mereka: “Sesungguhnya manusia (al-Nas) telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, karena itu takutlah kepada mereka”, maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: “Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.”  [‘Ali Imran 3:173]

Dalam ayat di atas, perkataan al-Nas tidaklah merujuk kepada semua manusia tetapi kepada Abu Sufyan dan rombongan dagangnya.[6]

Kedua:

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ. وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا. فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا.

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan, Dan engkau melihat manusia (al-Nas) masuk dalam agama Allah beramai-ramai, Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat. [al-Nasr 110:1-3]

Dalam ayat di atas juga, al-Nas tidak merujuk kepada manusia di seluruh dunia tetapi hanya kepada penduduk Kota Makkah, yakni ketika Fath-ul-Makkah ketika umat Islam telah kembali menguasai Kota Makkah dari tangan kafir Quraisy. Manusia yang menerima agama Islam yang dimaksudkan ialah penduduk Kota Makkah dan bukannya penduduk seluruh dunia.

Memadailah dengan dua contoh di atas. Justeru perkataan al-Nas dalam hadis di atas yang dipersoalkan sebenarnya merujuk kepada orang-orang Yahudi di Khaibar, bukan umum kepada semua manusia.[7]

 

 

 



[1] Sahih: Hadis dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ibn Sa‘ad, Muslim dan lain-lain. Di atas adalah dari lafaz Muslim, lihat Sahih Muslim – no: 2405 (Kitab Fada‘il Sahabat, Fada‘il ‘Ali bin Abi Talib).

[2] Antaranya: Ibn Sa‘ad – al-Tabaqat al-Kubra (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1997), jld 2, ms 84 (Kitab Maghazi dan Sariyah Rasulullah, Ghuzwah Khaibar); Ibn Kathir – al-Bidayah wa al-Nihayah (Dar al-Hadith, Kaherah 1997), jld 4, ms 185 (Tahun ke-7, Ghuzwah Khaibar); al-Dzahabi – Siyar A’lam al-Nubala, Sirah Nabawiyah (Muasasah al-Risalah, Beirut 1998), jld 2, ms 64 (Tahun ke-7, Ghuzwah Khaibar) dan Akram Diya’ al-Umari – Madinan Society at The Time of The Prophet (terj: Huda Khattab; IIPH & IIIT, Riyadh 1995), vol 1, ms 145.

[3] Lebih lanjut, disyorkan membaca buku sirah karangan H. Zainal Arifin Abbas: Sejarah dan Perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. (Pustaka Antara, Kuala Lumpur 1991), jld 8, ms 69-74.

[4] Ibn Hisyam – Sirah Nabawiyah (Maktabah al-‘Abikan, Riyadh 1998), jld 2, ms 159 (Bab Orang Yahudi mengingkari (wahyu) yang diturunkan). Al-Suyuti menyebutnya dalam Darr al-Manthur fi Tafsir al-Ma’thur (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 2000), jld 2, ms 476 sebagai sebab turunnya ayat ke 19 surah al-Maidah.

[5] Sahih: Hadis dari Sahl bin Sa‘ad radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim, al-Thabarani (al-Mu’jam al-Kabir) dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 2406 (Kitab Fada‘il Sahabat, Fada‘il ‘Ali bin Abi Talib).

[6] Lihat al-Mawardi – al-Nukatu al-‘Uyun, jld 1, ms 438; Ibn Kathir – Tafsir al-Qur’an al-‘Adzhim (terj: Bahrun Abubakar; Sinar Baru Algensindo, Bandung 2000), juz 4, ms 305-308; al-Suyuti – Tafsir Jalalain (terj: Bahrun Abubakar; Sinar Baru Algensindo, Bandung 1997), jld 1, ms 173 dan lain-lain. Bagi pengajaran dan iktibar yang besar dari ayat ini, lihat penjelasan yang amat baik oleh Sa‘id Hawa dalam al-Asas fi al-Tafsir (Dar al-Salam, Kaherah 1999), jld 2, ms 938-939.

[7] Muhammad al-Ghazali – Menjawab 40 Soal Islam Abad 20 (S. Abdul Majid, Kuala Lumpur 1989), ms 75-77 dengan beberapa tambahan dari penulis.