HADIS-HADIS MUSYKIL DARI SUDUT LOGIKA DAN NORMA-NORMA AGAMA

 

Contoh no: 2

Nabi Musa Mandi Bertelanjang.

Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

كَانَتْ بَنُوْ إِسْرَائِيْلَ يَغْتَسِلُوْنَ عُرَاةً يَنْظُرُ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ. وَكَانَ مُوْسَى عَلَيْهِ سَلَمَ يَغْتَسِلُ وَحْدَهُ. فَقَالُوا: وَاللَّهِ مَا يَمْنَعُ مُوْسَى أَنْ يَغْتَسِلَ مَعَنَا إِلاَّ أَنَّهُ آدَرُ. فَذَهَبَ مَرَّةً يَغْتَسِلُ فَوَضَعَ ثَوْبَهُ عَلَى حَجَرٍ فَفَرَّ الْحَجَرُ بِثَوْبِهِ. فَخَرَجَ مُوْسَى فِيْ إِثْرِهِ يَقُولُ: ثَوْبِي يَا حَجَرُ! حَتَّى نَظَرَتْ بَنُوْ إِسْرَائِيْلَ إِلَى مُوْسَى. فَقَالُوا: وَاللَّهِ مَا بِمُوْسَى مِنْ بَأْسٍ. وَأَخَذَ ثَوْبَهُ فَطَفِقَ بِالْحَجَرِ ضَرْبًا.

Adalah kaum Bani Israil mereka mandi dalam keadaan bertelanjang sehingga sebahagian mereka dapat melihat sebahagian yang lain. Namun Musa alaihi salam, beliau hanya mandi bersendirian.

Mereka (Bani Israil) berkata: “Demi Allah, tidaklah Musa hendak mandi bersama kami kecuali kerana dia menghadapi kecacatan pada kemaluannya.”

Maka di satu ketika Musa pergi untuk mandi, beliau meletakkan pakaiannya di atas batu lalu bergeraklah batu itu bersama pakaiannya. Maka Musa mengejar batu tersebut sambil berkata: “Pakaian aku wahai si-batu!” Pada ketika itu kaum Bani Israil dapat melihat Musa (dalam keadaan telanjang) lalu berkata: “Demi Allah, tidaklah Musa menghadapi apa-apa kecacatan.”

Kemudian Musa mengambil semula pakaiannya dan memukul batu tersebut.[1]

 

Kemusykilan:

Adalah sukar untuk menerima hadis ini kerana tidak mungkin Nabi Musa ‘alaihi salam mandi telanjang sehingga kelihatan kemaluannya. Lebih dari itu bagaimana mungkin sebuah batu boleh bergerak?

Penjelasan:

Kemusykilan di atas akan dijelaskan dalam dua bahagian:

Pertama: Hukum mandi bertelanjang.

Adalah menjadi sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan sekaligus tuntutan ke atas umatnya untuk mandi tidak bertelanjang di hadapan orang ramai. Dalam hadis-hadis diterangkan bahawa apabila Rasulullah mandi, salah seorang isterinya atau anaknya akan memegang kain sebagai pendinding.[2] Dalam sebuah hadisnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَ حَيِيٌّ سِتِّيْرٌ, يُحِبُّ الْحَيَاءَ وَالسَّتْرَ, فَإِذَا اغْتَسَلَ أَحَدُكُم فَلْيَسْتَتِرْ.

Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla adalah pemalu dan suka menutupi. Dia menyukai seseorang yang tahu malu dan menutupi dirinya. Oleh itu apabila seseorang daripada kamu mandi, bertutuplah (berlindunglah).[3]

Pernah seorang bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, bolehkah menampakkan aurat, yakni bertelanjang apabila berseorangan? Rasulullah menjawab:

فَااللهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَ مِنْهُ مِنَ النَّاسِ.

Allah lebih berhak untuk dimalui daripada manusia.[4]

Demikian adalah syari‘at bagi umat Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Namun hendaklah diketahui bahawa bagi setiap umat ada syari‘atnya yang tertentu seperti firman Allah ‘Azza wa Jalla:

لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا.

Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan satu syari‘at dan jalan agama. [al-Maidah 5:48]

لِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنْسَكًا هُمْ نَاسِكُوهُ

Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syari‘at yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan. [al-Hajj 22:67]

Hadis di atas: Adalah kaum Bani Israil mereka mandi dalam keadaan bertelanjang… menjadi petunjuk bahawa etika mandi bagi umat Nabi Musa adalah berbeza dengan umat Muhammad. Mereka tidak dituntut untuk melindungi diri mereka daripada dilihat oleh sesama mereka. Sekalipun demikian, Nabi Musa sebagai seorang hamba pilihan dan pesuruh Allah tidak mandi bersama-sama di hadapan orang ramai.

Oleh itu etika mandi secara bertelanjang di hadapan orang ramai hanyalah memusykilkan bagi umat Nabi Muhammad dan tidak bagi umat Nabi Musa kerana ia dibolehkan bagi mereka.

Kedua: Bagaimana sebuah batu boleh bergerak?

Hal ini sebenarnya termasuk salah satu kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala demi memelihara para Rasul, Nabi dan hamba-hamba pilihan-Nya. Allah Ta‘ala menerangkan hakikat ini dalam ayat-Nya:

ثُمَّ نُنَجِّي رُسُلَنَا وَالَّذِينَ آمَنُوا كَذَلِكَ حَقًّا عَلَيْنَا نُنْجِ الْمُؤْمِنِينَ.

Kemudian Kami selamatkan Rasul Kami dan orang-orang yang beriman. Demikianlah juga sebagai kewajipan Kami, Kami selamatkan orang-orang yang beriman. [Yunus 10:103]

Pemeliharaan Allah terhadap hamba-hamba pilihan-Nya boleh wujud dalam pelbagai bentuk dan cara, dan salah satu darinya dikisahkan dalam hadis di atas. Apakah cara terbaik untuk membersihkan tuduhan yang dilemparkan ke atas Nabi Musa ‘alahi salam oleh umatnya bahawa kononnya beliau menghadapi kecacatan pada kemaluannya melainkan dinampakkan terus supaya dapat mereka lihat dengan mata kepala sendiri? Hal ini mungkin memusykilkan bagi kita umat Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam tetapi sebagaimana yang telah diterangkan di atas, hal ini adalah satu kebiasaan bagi umat Nabi Musa.

Menggerakkan batu adalah mudah sahaja bagi Allah sebagaimana firman-Nya:

إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ.

Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman: “Jadilah engkau !” Maka ia terus menjadi. [Yasin 36:82]

Hal ini sebagaimana mudahnya Allah memelihara Nabi Ibrahim ‘alaihi salam daripada kepanasan api yang digunakan oleh kaumnya untuk menghukumnya:

قَالُوا حَرِّقُوهُ وَانْصُرُوا آلِهَتَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ فَاعِلِينَ. قُلْنَا يَا نَارُ كُونِي بَرْدًا وَسَلَامًا عَلَى إِبْرَاهِيمَ.

Mereka berkata: “Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya!”

Kami berfirman: “Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!”. [al-‘Anbiyaa’ 21:68-69][5]

 

 

 



[1] Sahih: Hadis daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 279 (Kitab Ghusl, Bab Bab Mandi berseorangan dalam keadaan telanjang...............).

[2] Lihat Sahih al-Bukhari – no: 280-281 (Kitab Ghusl, Bab Mendinding diri daripada orang ramai ketika mandi).

[3] Sahih: Hadis daripada Ya’la bin Umaih radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Abu Daud, Al-Nasa’i, al-Hakim dan lain-lain, dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan Abu Daud – no: 4011 (Kitab al-Hamam, Bab Larangan untuk bertelanjang).

[4] Hasan: Sebahagian dari hadis yang dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan Ibn Majah, juga oleh al-Bukhari secara mu’allaq, dinilai hasan oleh oleh Mahmud Muhammad Mahmud dalam Sunan Ibn Majah – no: 1920 (Kitab Nikah, Bab Melindung diri ketika bersetubuh).

[5] Hadis-hadis dalam Contoh no: 1 & 2 di atas (Bahagian D) sengaja menjadi pilihan penulis bagi menjawab hujah Syiah bahawa kononnya dalam kitab Sahih al-Bukhari terdapat hadis-hadis maudhu’ yang berasal daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anh. Tuduhan ini paling awal mereka kemukakan dalam buku (dialog) Peshawar Nights (1927M). Dengan penjelasan di atas maka terangkatlah tuduhan ini. Bandingkan juga dengan keterangan Muhammad al-Ghazali dalam bukunya Sunnah Nabi: Antara Ahli Fiqah dan Ahli Hadis (terj: Ismail Ibrahim; Nurin, Kuala Lumpur 1990), ms 27-33.