HADIS-HADIS MUSYKIL DARI SUDUT LOGIKA DAN NORMA-NORMA AGAMA
Contoh no: 12
Allah “Turun” Ke
Langit Dunia.
Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَىَ كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَىَ السَّمَاءِ
الدُّنْيَا. حِينَ يَبْقَىَ ثُلُثُ اللَّيْلِ الاَخِرُ، فَيَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي
فَأَسْتَجِيبَ لَهُ وَمَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ وَمَنْ يَسْتَغْفِرُنِي
فَأَغْفِرُ لَهُ.
Tuhan kami (Allah)
Tabaraka wa
Ta‘ala pada setiap malam turun ke langit dunia, yakni pada baki terakhir satu
pertiga malam. Maka Allah berfirman: “Siapakah yang sedang berdoa kepada aku
supaya dapat aku menjawabnya dan siapakah yang sedang meminta daripada aku
supaya aku dapat mengabulkannya dan siapakah yang sedang meminta ampun daripada
aku supaya dapat aku ampuni dia?”[1]
Kemusykilan:
Difahami bahawa
hadis di atas menerangkan betapa tinggi dan besar keutamaan beribadah di malam
hari (Qiamulail). Akan tetapi apakah yang dimaksudkan dengan Allah “turun”,
adakah ianya seperti turunnya manusia dari tempat yang tinggi ke tempat yang
rendah?
Penjelasan:
Sifat “turun” dalam
hadis di atas termasuk salah satu nas yang mengkhabarkan sifat-sifat Allah
Subhanahu wa Ta‘ala. Kita tidak
diwajibkan mahupun dituntut untuk membahas bagaimana dan seperti apa sifat-sifat
tersebut kerana kita tidak memiliki ilmu dalam bidang ini walau sedikit
sekalipun. Kewajipan kita hanyalah mensuci dan mengagungkan sifat-sifat Allah (tanzih)
daripada menyerupai mana-mana makhluknya. Firman Allah
Subhanahu wa Ta‘ala:
وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ.
Dan tidak ada
seorangpun yang setara dengan Dia.”
[al-Ikhlas 112:4]
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ.
Tidak ada sesuatupun
yang serupa dengan Dia dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
[al-Syura 42:11]
Nas-nas al-Sifat
termasuk al-Mutasyabihats yang dimaksudkan oleh Allah dalam firman-Nya:
هُوَ الَّذِي أَنْزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ آيَاتٌ مُحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ
الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ فَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ
فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاءَ الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاءَ
تَأْوِيلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلَّا اللَّهُ وَالرَّاسِخُونَ فِي
الْعِلْمِ يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِنْ عِنْدِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ
إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ.
Dia-lah yang
menurunkan Al Kitab (Al Qur'an) kepada kamu. Di antara (isi) nya ada ayat-ayat
yang muhkamaat itulah pokok-pokok isi Al Qur'an dan yang lain (ayat-ayat)
mutasyaabihaat.
Adapun orang-orang
yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebagian
ayat-ayat yang mutasyabihat untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari
ta'wilnya, padahal tidak ada yang mengetahui ta'wilnya melainkan Allah.
Dan orang-orang yang
mendalam ilmunya berkata: “Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyabihat,
semuanya itu dari sisi Tuhan kami.” Dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya)
melainkan orang-orang yang berakal.
[‘Ali Imran 3:07]
Justeru kaedah yang
digunakan dalam memahami nas-nas al-Sifat adalah beriman kepadanya sebagaimana
ada tanpa bertanya bagaimana dan seperti apa. Apabila dikatakan “Allah turun”
maka ia hanyalah satu sifat di mana ciri-ciri dan bagaimana tata caranya tidak
diketahui. Apa yang pasti ia tidak seumpama mana-mana makhluk yang wujud di alam
ini.
al-Ghazali, seorang
tokoh dunia Islam yang masyhur dengan kitabnya Ihya Ulum al-Din telah
menggariskan tujuh kaedah untuk memahami nas-nas al-Sifat. Beliau berkata:[2]
Setiap orang yang menerima hadis-hadis tersebut (yang membicarakan al-sifat)
dalam perspektif orang awam, harus melalui 7 kaedah: (1) Penyucian (tanzih), (2)
membenarkan (tashdiq), (3) pengakuan akan kelemahan diri, (4) diam (tidak
memberikan komentar), (5) menahan diri untuk tidak membahas, (6) mengendalikan
diri, (7) kemudian menyerahkan masalahnya kepada orang yang ahli (ahl makrifat).
Seterusnya al-Ghazali
menerangkan satu persatu daripada tujuh kaedah yang disebutnya:
Maksud penyucian adalah menyucikan Allah
Ta‘ala dari sifat-sifat
berjisim dan segala yang seumpamanya.
Maksud
tashdiq adalah beriman dengan apa yang disabdakan oleh Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa
ia adalah benar kerana hal itu dikemukakan oleh orang yang jujur lagi benar.
Maka apa yang dikemukakan dan dimaksudkan adalah benar.
Maksud pengakuan terhadap kelemahan diri adalah mengakui bahwa pengetahuan
tentang apa yang dikehendaki (oleh Allah dengan sifat-sifat tersebut) adalah di
luar batas kemampuan dirinya dan kerana hal itu bukanlah merupakan urusan dan
pekerjaannya.
Maksud berdiam diri adalah tidak perlu bertanya tentang maknanya (secara
berlebihan) dan tidak memperbincangkannya kerana dia tahu bahwa menanyakan
masalah tersebut adalah tindakan bid‘ah dan memperbincangkan masalah tersebut
akan membahayakan aqidahnya malah kemungkinan besar tanpa disedari menjadikan
orang yang memperbincangkannya kufur.
Maksud menahan diri untuk tidak membahas adalah tidak mengubah kata-kata
tersebut (tashrif), menggantikan dengan bahasa lain, menambah, mengurangi,
memadukan dan memisah-misahkannya. Bahkan tidak seharusnya berkata kecuali dengan kata-kata itu sahaja sesuai
dengan apa yang dikehendaki dari bentuk dan I’rab-nya.
Maksud mengendalikan diri adalah mengawal hati dan sangkaan (imaginasi)
daripada berfikir-fikir tentangnya (nas-nas al-Sifat tersebut).
Maksud menyerahkan masalahnya kepada orang yang ahli adalah tidak
berkeyakinan bahwa ia (nas-nas al-Sifat) tidak mampu diketahui maksudnya oleh
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam,
para Nabi, para siddiqin dan para wali.[3]
Kembali kepada hadis
“Allah turun”, bagaimana dan seperti apa turunnya Allah tidak diketahui dan
tidak perlu diketahui. Apa yang pasti ianya berbeza sama sekali dengan sifat
turun para makhluk-Nya. Berkata Ibn Hazm:
Dan sesungguhnya Allah Ta‘ala Dia turun pada setiap malam ke langit dunia
dan ini adalah satu perbuatan yang dilakukan oleh (Allah) ‘Azza wa Jalla
tanpa adanya arah mahupun perpindahan (dengan mengosongkan satu tempat kepada
mengisi tempat yang lain)[4]
… … … kerana arah dan perpindahan adalah dua sifat makhluk, Maha Suci Allah
daripadanya (bersifat seperti makhluk).[5]
Apa yang penting
dalam memahami ayat-ayat dan hadis-hadis yang mengkhabarkan sifat Allah adalah
memahami tujuan sifat tersebut dikhabarkan dan bukannya tentang sifat itu
sendiri. Maka dalam hadis “Allah turun” di atas, yang penting adalah memahami
tujuan hadis itu disampaikan yakni untuk menerangkan betapa mulianya
kedudukan beribadah di malam hari. Tidak dituntut untuk
membahas bagaimana tata cara “turun” tersebut.
[1]
Sahih:
Hadis daripada
Abu Hurairah radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh
Malik, Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat
Sahih Muslim – no: 758 (Kitab Solat, Bab Anjuran
berdoa dan berzikir di akhir malam........).
[2]
Iljam
al-Awam ‘an Ilmu al-Kalam
(tahqiq: Muhammad Mu’tashim biLlah; Dar al-Kitab
al-‘Arabi; Beirut 1985), ms 53-54.
[3]
Yakni serahkan
masalah ini kepada orang yang ahli di mana
mereka sendiri akan menasihatkan orang yang
bertanya dengan kaedah 1 hingga 6 di atas. Dalam
bukunya yang sama al-Ghazali menerangkan bahawa
mereka yang ahli mungkin mengetahui maksudnya
tetapi ia tetap merupakan dugaan dan sebaiknya
ditinggalkan perbahasan tentangnya. Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam adalah orang
yang paling mengetahui tentang hal ini tetapi
baginda sendiri tidak membahasnya. Justeru jika
baginda tidak membahasnya apakah perlu untuk
umat baginda membahasnya? Pastit tidak.
[4]
al-Muhalla
bi al-Athar
(tahqiq’’Abdul
Ghaffar Sulaiman; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut
tp.thn.), jld 1, m.s. 51, masalah no: 57 (Kitab
Tauhid).
[5]
al-Muhalla,
jld 1, m.s. 52, masalah no: 57.