HADIS-HADIS MUSYKIL DARI SUDUT LOGIKA DAN NORMA-NORMA AGAMA
Contoh no: 11
Nabi Bersanggama
Dengan Semua Isterinya Pada Satu Malam.
Berkata Anas bin
Malik radhiallahu ‘anh:
أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَطُوْفُ عَلَى
نِسَائِهِ فِي اللَّيْلَةِ الْوَاحِدَةِ وَلَهُ يَوْمَئِذٍ تِسْعُ نِسْوَةٍ.
Sesungguhnya Nabi
shallallahu ‘alaihi
wasallam biasanya mengelilingi (menziarahi) semua isterinya pada satu malam (dengan
sekali mandi), ketika itu baginda memiliki sembilan orang isteri.[1]
Kemusykilan:
Hadis ini
menimbulkan beberapa kemusykilan:
Pertama:
Kenapakah Rasulullah memiliki sembilan orang isteri padahal bahawa Islam hanya
membenarkan empat orang isteri bagi setiap seorang suami?
Kedua:
Hadis seperti di atas lazim digunakan oleh para orientalis dan musuh-musuh Islam
bahawa kononnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam memiliki nafsu seks yang sangat tinggi. Adakah apa-apa penjelasan
yang dapat menjawab tuduhan ini?
Ketiga:
Ada juga beberapa tuduhan yang mengatakan Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam
bersanggama dengan 15 orang wanita dalam satu malam dan termasuk dalam jumlah
ini adalah wanita-wanita simpanan baginda (concubine) yang merupakan
budak hamba. Adakah tuduhan ini benar?
Penjelasan:
Kemusykilan Pertama:
Kenapakah Rasulullah
memiliki sembilan orang isteri dan tidak empat sahaja?
Penjelasan:
Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam
sememangnya telah diberi hukum yang berlainan berbanding kebiasaan umat dalam
bab perkahwinan. Firman Allah Subhanahu
wa Ta‘ala:
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَحْلَلْنَا لَكَ أَزْوَاجَكَ اللَّاتِي آتَيْتَ
أُجُورَهُنَّ وَمَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ مِمَّا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَيْكَ وَبَنَاتِ
عَمِّكَ وَبَنَاتِ عَمَّاتِكَ وَبَنَاتِ خَالِكَ وَبَنَاتِ خَالَاتِكَ اللَّاتِي
هَاجَرْنَ مَعَكَ وَامْرَأَةً مُؤْمِنَةً إِنْ وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلنَّبِيِّ إِنْ
أَرَادَ النَّبِيُّ أَنْ يَسْتَنْكِحَهَا خَالِصَةً لَكَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ
قَدْ عَلِمْنَا مَا فَرَضْنَا عَلَيْهِمْ فِي أَزْوَاجِهِمْ وَمَا مَلَكَتْ
أَيْمَانُهُمْ لِكَيْلَا يَكُونَ عَلَيْكَ حَرَجٌ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا
رَحِيمًا.
Wahai Nabi,
sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan
maskahwinnya, dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dari apa yang telah
dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan (Kami telah halalkan
bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan bapa
saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari
sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta
anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah
bersama-sama denganmu; dan (Kami telah halalkan bagimu) mana-mana perempuan yang
beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak
membayar maskahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya.
Perkahwinan yang
demikian adalah khas bagimu semata-mata, bukan bagi orang-orang yang
beriman umumnya; sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan
kepada orang-orang mukmin mengenai isteri-isteri mereka dan hamba-hamba
perempuan yang mereka miliki; - supaya tidak menjadi keberatan bagimu. Dan (ingatlah)
Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[al-Ahzaab 33:50]
Kemusykilan Kedua:
Hadis ini menjadi
sumber tuduhan bahawa Rasulullah memiliki nafsu seks yang tinggi.
Penjelasan:
Ketahuilah bahawa
hadis di atas adalah merupakan pengkhabaran seorang sahabat dan bukannya
penyataan Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam. Anas bin Malik radhiallahu ‘anh hanya menerangkan
pengamatan beliau bahawa Rasulullah lazimnya mengelilingi, yakni menziarahi
semua isterinya dalam satu malam. Anas tidak berkata apa yang dilakukan oleh
Rasulullah ketika menziarahi para isterinya kerana Anas tidak ikut sama masuk ke
dalam rumah. Demikian juga kata-kata …dengan sekali mandi…
hanyalah merupakan keterangan Anas berdasarkan pengamatan beliau dari luar
sahaja. Oleh itu hadis di atas tidak boleh dijadikan hujah yang pasti lagi
muktamad bahawa Rasulullah bersanggama dengan semua isterinya dalam satu malam.
Malah yang benar
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
hanya melawat para isterinya dan bertanyakan mereka seandainya ada apa-apa
perkara penting yang memerlukan perhatian baginda selaku seorang suami dan
pemimpin keluarga.
Hal
ini sebenarnya menjadi petunjuk yang perlu diikuti oleh para suami yang
mengamalkan poligami bahawa hendaklah mereka bertanyakan khabar para isteri
mereka yang lain sekalipun hari tersebut bukanlah merupakan giliran mereka.
Kemusykilan Ketiga:
Tuduhan Rasulullah
bersanggama dengan 15 wanita termasuk budak hamba.
Penjelasan:
Tuduhan ini adalah
tidak benar dalam beberapa sudut. Pertama, apabila dikatakan jumlah isteri
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
adalah 15 orang, ia bukanlah jumlah isteri dalam satu masa tetapi adalah jumlah
isteri yang pernah dinikahi oleh Rasulullah sepanjang hidupnya. Lebih dari itu,
jumlah ini juga diperselisihkan antara 11 atau 12 atau 13 atau 14 atau 15 orang.[2]
Kedua, benar apabila
dikatakan bahawa Rasulullah memiliki budak hamba akan tetapi adalah tidak benar
dakwaan bahawa baginda bersanggama dengan mereka tanpa dinikahi terlebih dahulu.
Ini kerana baginda
telah menikahi mereka dan menjadikan taraf kebebasan (merdeka) sebagai mas
kahwin mereka. Hal ini jelas dalam pelbagai riwayat yang sedia ada. Sekalipun
seseorang itu tidak mengetahui akan wujudnya riwayat-riwayat tentang pernikahan
Rasulullah dengan mereka, adalah memadai dengan merujuk kepada firman Allah
dalam ayat berikut:
وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ
إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَاللَّهُ وَاسِعٌ
عَلِيمٌ.
وَلْيَسْتَعْفِفِ الَّذِينَ لَا يَجِدُونَ نِكَاحًا حَتَّى يُغْنِيَهُمُ اللَّهُ
مِنْ فَضْلِهِ وَالَّذِينَ يَبْتَغُونَ الْكِتَابَ مِمَّا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ
فَكَاتِبُوهُمْ إِنْ عَلِمْتُمْ فِيهِمْ خَيْرًا وَآتُوهُمْ مِنْ مَالِ اللَّهِ
الَّذِي آتَاكُمْ وَلَا تُكْرِهُوا فَتَيَاتِكُمْ عَلَى الْبِغَاءِ إِنْ أَرَدْنَ
تَحَصُّنًا لِتَبْتَغُوا عَرَضَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَمَنْ يُكْرِهْهُنَّ
فَإِنَّ اللَّهَ مِنْ بَعْدِ إِكْرَاهِهِنَّ غَفُورٌ رَحِيمٌ.
Dan kahwinkanlah
orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang
yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka
miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya
kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.
Dan orang-orang yang
tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya
sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya;
Dan hamba-hamba
kamu (lelaki dan perempuan) yang hendak membuat surat perjanjian untuk
memerdekakan dirinya (dengan jumlah bayaran yang tertentu), hendaklah kamu
melaksanakan perjanjian itu dengan mereka jika kamu mengetahui ada sifat-sifat
yang baik pada diri mereka (yang melayakkannya berbuat demikian); dan berilah
kepada mereka dari harta Allah yang telah dikurniakan kepada kamu.
Dan janganlah
kamu paksakan hamba-hamba perempuan kamu melacurkan diri manakala mereka
mahu menjaga kehormatannya, kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup di dunia.
Dan sesiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah - sesudah paksaan yang
dilakukan kepada mereka - Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[al-Nur 24:32-33]
Dalam ayat di atas
jelas perintah Allah kepada umat Islam untuk bernikah termasuk kepada para hamba
yang mereka miliki. Di akhir ayat Allah melarang umat Islam untuk memaksa para
hamba untuk melakukan pelacuran sama ada terhadap diri mereka sendiri (tuannya)
atau kepada orang lain. Dalam ertikata lain, Islam melarang para hamba daripada
disanggama oleh sesiapa melainkan mereka dinikahi terlebih dahulu.
Hukum ini adalah
sama kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam, berdasarkan firman Allah yang telah disebut di atas: Wahai
Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau
berikan maskahwinnya, dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dari apa yang
telah dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang… [al-Ahzaab
33:50], di mana maksud kami telah halalkan bagimu ialah kebolehan
untuk menikahi para hamba tersebut jika Rasulullah berkehendak kepada
mereka.
[1]
Sahih:
Athar
sahabat dikeluarkan oleh Ahmad secara ringkas,
oleh al-Bukhari, al-Nasa’i dan lain-lain, lihat
Sahih al-Bukhari – no: 284 (Kitab Mandi, Bab
Seseorang yang dalam keadaan junub boleh keluar
dan berjalan......). Tambahan dalam kurungan
(dengan sekali mandi)
adalah
dari lafaz Muslim, al-Tirmizi, al-Nasa’i dan Ibn
Majah, lihat Sahih Muslim – no: 309.
[2]
Lebih lanjut
lihat buku Muhammad bin Yusuf al-Dimasyiqi –
Isteri-isteri Para Nabi (terj: Fadhli Bahri;
Darul Falah, Jakarta 1422H).