HADIS-HADIS MUSYKIL DARI SUDUT LOGIKA DAN NORMA-NORMA AGAMA
Contoh no: 10
Umat Terbaik Ialah
Yang Hidup Bersendirian Di Lereng Gunung.
Datang seorang
lelaki bertanya kepada Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam: “Siapakah manusia yang terbaik?”
Baginda menjawab:
مُؤْمِنٌ يُجَاهِدُ فِيْ سَبِيْلِ اللَّهِ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ.
“Seorang
mukmin yang berjihad di jalan Allah dengan nyawa dan hartanya.”
Lelaki itu
bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab:
مُؤْمِنٌ فِيْ شِعْبٍ مِنْ الشِّعَابِ يَتَّقِيْ اللَّهَ وَيَدَعُ النَّاسَ مِنْ
شَرِّهِ.
Seorang mukmin yang
tinggal di lereng-lereng gunung untuk beribadah kepada Allah dan meninggalkan
masyarakat kerana kejahatan-kejahatan mereka.[1]
Kemusykilan:
Hadis di atas
nampaknya menganjurkan umat Islam untuk mengasingkan diri jauh dari masyarakat.
Adakah cara hidup sebegini merupakan cara yang dituntut oleh Islam?
Penjelasan:
Cara hidup yang
dituntut oleh Islam ialah bermasyarakat, bersosial, saling membantu dan
berinteraksi. Hadis di atas sebenarnya bukanlah menganjurkan umat Islam untuk
hidup bersendirian. Ia sebenarnya menganjurkan umat Islam untuk mengasingkan
diri daripada terikut atau terpengaruh sama dengan kejahatan masyarakat yang
mereka hidup bersama. Ungkapan …… tinggal di lereng-lereng gunung ……adalah
satu kiasan yang bererti menyisihkan diri dengan satu renggangan yang jauh.
Bukti yang mengalih ungkapan tersebut daripada yang sebenar (hakiki)
kepada kiasan (majaz) adalah sejumlah ayat-ayat al-Qur’an yang
menerangkan konsep hidup umat Islam, seperti saling menolong, menganjurkan
kebaikan serta mencegah kemungkaran:
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ
بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ
الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ
إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ.
Dan orang-orang yang
beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya
yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat
kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada
Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya
Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[al-Taubah 9:71]
Saling berkomunikasi
dalam rangka berdakwah, berdialog dan bertukar pendapat ke arah kebenaran:
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ
وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ
عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ.
Serulah ke jalan
Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan
berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik;
sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat
dari jalan-Nya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang
mendapat hidayah petunjuk.
[al-Nahl 16:125]
Oleh itu hadis di
atas sebenarnya menganjurkan umat untuk mengasingkan diri daripada segala
kejahatan masyarakat, bukan mengasingkan diri daripada kehidupan bermasyarakat.
Mengasingkan diri tidaklah bererti lain-lain suruhan agama seperti hidup
berjamaah, saling tolong menolong, berdakwah dan melakukan ‘amar ma‘aruf
dan nahi mungkar kepada masyarakat tidak perlu dilaksanakan lagi.
Ketahuilah bahawa yang turut menjadi salah satu ciri terbaik orang Islam ialah
saling membantu sehingga dapat memberi manfaat kepada saudaranya. Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ.
Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia (lain).[2]
Sebaliknya orang
yang meninggalkan umat dan tidak mengambil peduli tentang nasib mereka, dia
diberi ancaman berat oleh
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِيْنَ فَلَيْسَ مَنْهُمْ.
Sesiapa yang tidak
memikirkan urusan umat Islam maka tidaklah dia termasuk golongan mereka.[3]
Penjelasan Tambahan:
Terdapat penjelasan
lain untuk hadis ini, iaitu ia ditujukan kepada orang yang berbeza
latarbelakangnya. Bagi orang yang tinggi ilmunya, teguh imannya, yakin lagi
memiliki jatidiri yang kuat, yang terbaik baginya ialah hidup di kalangan
masyarakat yang sudah rosak. Diharapkan orang seperti ini dapat mengubah keadaan
masyarakat tersebut.
Namun bagi orang
yang rendah ilmunya, lemah imannya dan rendah keyakinan diri, yang terbaik
baginya ialah hidup jauh dari masyarakat yang sudah rosak.
[1]
Sahih:
Hadis daripada
Abu Sa‘id al-Khudri
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad,
al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi dan lain-lain,
lihat Sahih al-Bukhari – no: 2786 (Kitab
Jihad, Bab Seutama-utama manusia adalah.............).
[2]
Hasan:
Hadis daripada
Jabir bin ‘Abdullah
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh al-Daruquthni
dalam al-Afraad, dinukil oleh al-Suyuti
dalam al-Jamii’ al-Sagheir – no: 4044 (lihat
juga no: 9147) dan dinilai
hasan
oleh
beliau. Ini dipersetujui oleh
Nasr al-Din al-Albani
dalam Sahih al-Jamii’ al-Sagheir – no: 3289.
[3]
Hasan:
Sebahagian hadis
dari Hudzaifah
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh al-Thabarani
dan al-Hakim, dinilai
hasan
oleh Mahmud Hasan Ismail dalam semakannya
terhadap al-Mu’jam al-Ausath (Dar
al-Fikr,
Jordan 1999) – no: 7473.