HADIS-HADIS MUSYKIL DARI SUDUT LOGIKA DAN NORMA-NORMA AGAMA
Nabi Musa Menampar
Malaikat Maut.
Sabda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam:
أُرْسِلَ مَلَكُ الْمَوْتِ إِلَى مُوسَى عَلَيْهِمَا السَّلَامِ. فَلَمَّا جَاءَهُ
صَكَّهُ فَرَجَعَ إِلَى رَبِّهِ فَقَالَ: أَرْسَلْتَنِيْ إِلَى عَبْدٍ لاَ يُرِيْدُ
الْمَوْتَ. فَرَدَّ اللَّهُ عَلَيْهِ عَيْنَهُ وَقَالَ: اِرْجِعْ فَقُلْ لَهُ
يَضَعُ يَدَهُ عَلَى مَتْنِ ثَوْرٍ فَلَهُ بِكُلِّ مَا غَطَّتْ بِهِ يَدُهُ بِكُلِّ
شَعْرَةٍ سَنَةٌ. قَالَ: أَيْ رَبِّ ثُمَّ مَاذَا؟ قَالَ: ثُمَّ الْمَوْتُ. قَالَ:
فَاْلآنَ فَسَأَلَ اللَّهَ أَنْ يُدْنِيَهُ مِنْ اْلأَرْضِ الْمُقَدَّسَةِ رَمْيَةً
بِحَجَرٍ. قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: فَلَوْ كُنْتُ
ثَمَّ لأَرَيْتُكُمْ قَبْرَهُ إِلَى جَانِبِ الطَّرِيْقِ عِنْدَ الْكَثِيْبِ
اْلأَحْمَرِ.
Malaikat Maut diutus
kepada Musa ‘alaihi salam, ketika ia tiba, Musa menamparnya (sehingga terkeluar
matanya)[1].
Maka ia kembali kepada Rabbnya (Allah)
‘Azza wa Jalla
seraya berkata: “Engkau mengutus aku kepada seorang hamba yang tidak menghendaki
kematian.”
Maka Allah
mengembalikan matanya seraya berfirman: “Kembalilah dan berkatalah kepada dia
agar dia meletakkan tangannya di atas belakang seekor lembu jantan. Dari setiap
helai rambut yang dapat dilitupi oleh tangannya, maka baginya (umur) satu tahun.”
(Setelah diterangkan
kepada Musa, baginda bertanya): “Wahai Rabb, setelah itu apa?”
Allah berfirman: “Kemudian
kematian.”
Musa berkata: “Jika
begitu (aku mahu kematian) sekarang.”
Maka dia meminta
kepada Allah agar dibawa mendekati tanah suci, sehampir lemparan batu. Kemudian
Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika aku di sana akan aku tunjukkan
kuburnya berhampiran Bukit Pasir Merah.”[2]
Kemusykilan:
Berdasarkan hadis di
atas timbul beberapa kemusykilan:
Bagaimana mungkin malaikat memiliki wajah dan mata sepertimana manusia,
boleh ditampar sehingga terkeluar biji matanya?
Kenapakah Nabi Musa
‘alaihi salam berlaku kasar terhadap malaikat
tersebut? Bukankah sikap seperti ini menjauhi budi pekerti yang mulia bagi
seseorang Rasul?
Bukankah ajal seseorang itu adalah ketetapan Allah
Subhanahu waTa’ala,
maka bagaimana pula seseorang itu dapat memilih-milih bilakah ajal tersebut?
Penjelasannya:
Kemusykilan
pertama:
Bagaimana makhluk
malaikat memiliki wajah dan mata?
Penjelasan:
Malaikat sememangnya
tidak memiliki ciri-ciri jasad seperti manusia akan tetapi mereka dengan izin
Allah Subhanahu wa Ta‘ala
dapat berubah dan menjelma dalam bentuk manusia. Terdapat beberapa bukti
dalam al-Qur’an al-Karim tentang hal ini, salah satu darinya ialah dari kisah
Maryam ‘alaihi salam apabila beliau didatangi malaikat Jibril ‘alaihi
salam:
وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ مَرْيَمَ إِذِ انْتَبَذَتْ مِنْ أَهْلِهَا مَكَانًا
شَرْقِيًّا. فَاتَّخَذَتْ مِنْ
دُونِهِمْ حِجَابًا فَأَرْسَلْنَا إِلَيْهَا رُوحَنَا فَتَمَثَّلَ لَهَا بَشَرًا
سَوِيًّا. قَالَتْ إِنِّي أَعُوذُ بِالرَّحْمَنِ مِنْكَ إِنْ كُنْتَ تَقِيًّا.
قَالَ إِنَّمَا أَنَا رَسُولُ رَبِّكِ لِأَهَبَ لَكِ غُلَامًا زَكِيًّا.
Dan bacakanlah
di dalam Kitab Al-Qur’an ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari
keluarganya di sebuah tempat sebelah timur. Kemudian Maryam membuat dinding
untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari
kami (malaikat Jibril)[3]
lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk
kejadiannya.
Maryam berkata: “Sesungguhnya
aku berlindung kepada Ar-Rahman (Allah) daripada (gangguan)mu kalaulah engkau
seorang yang bertaqwa.” Ia berkata: “Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk
menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci.”
[Maryam 19:16-19]
Di atas jelas kepada
kita bahawa malaikat dapat menjelma sebagai seorang manusia dengan jelmaan yang
sempurna sehingga tidak dapat dibezakan sama ada ia adalah manusia atau tidak.
Demikianlah juga
halnya apabila Malaikat Maut mendatangi Nabi Musa, ia telah menjelma dalam
bentuk manusia seperti kita semua sehingga dapat disentuh secara fizikal.
Kemusykilan kedua:
Kenapakah Nabi Musa
‘alaihi salam berlaku kasar terhadap malaikat tersebut?
Penjelasan:
Nabi Musa ‘alaihi
salam pada asalnya tidak mengetahui bahawa yang mendatanginya itu adalah
malaikat. Apa yang diketahuinya adalah seorang lelaki yang datang untuk
mengakibatkan kemudaratan ke atas dirinya. Cuba kita umpamakan jika seorang
lelaki datang kepada kita seraya terus mengancam untuk menzalimi atau menganiaya
kita, adakah kita akan menerima dia dengan penuh kemesraan?
Apatah lagi ketika
itu Nabi Musa hidup bersama masyarakat Bani Israil yang terkenal dengan sikap
degil, ego, suka menzalimi dan tidak kurang juga yang suka membunuh Nabi-nabi
mereka. Maka tidak asinglah jika Nabi Musa bertindak sedemikian, bukan kerana
zalim tetapi untuk mengelak dari dizalimi.
Tidak mustahil jika
Nabi Musa tidak mengetahui bahawa yang mendatanginya itu adalah seorang malaikat.
Hal ini pernah berlaku kepada Nabi-nabi lain sepertimana yang diungkapkan oleh
al-Qur’an. Berikut adalah salah satu darinya, iaitu ketika Nabi Lut ‘alaihi
salam dilawati oleh beberapa orang lelaki, tidak disangkanya bahawa mereka
adalah malaikat sehinggalah diberitahu:
Dan apabila datang
utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut dia merasa dukacita dengan kedatangan mereka,
dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya), sambil
berkata: “Ini adalah hari yang amat mencemaskan.” Dan kaumnyapun datang meluru
kepadanya (dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya), sedang mereka sebelum itu
sudah biasa melakukan kejahatan. Nabi Lut berkata: “Wahai kaumku! Di sini ada
anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan
mereka). Oleh itu takutlah kamu kepada Allah dan janganlah kamu memberi malu
kepadaku mengenai tetamu-tetamuku. Tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki
yang bijak berakal?”
Mereka menjawab: “Sesungguhnya
engkau telahpun mengetahui bahawa kami tidak ada sebarang hajat kepada anak-anak
perempuanmu dan sebenarnya engkau sedia mengetahui akan apa yang kami kehendaki.”
Nabi Lut berkata: “Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu atau aku dapat
bertumpu ke sesuatu tempat bertahan yang kuat (dari penyokong-penyokong,
tentulah aku akan membinasakan kamu).”
(Mendengarkan yang
demikian tetamunya berkata): “Wahai Lut! Sesungguhnya kami (adalah malaikat)
utusan Tuhanmu. Kaum engkau yang jahat itu tidak sekali-kali akan dapat
melakukan kepadamu (sebarang bencana). Oleh itu, pergilah berundur dari sini
bersama-sama dengan keluargamu pada tengah malam, dan janganlah seorangpun di
antara kamu menoleh ke belakang. Kecuali isterimu, sesungguhnya ia akan ditimpa
azab yang akan menimpa mereka (kerana ia memihak kepada mereka). Sesungguhnya
masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah waktu subuh;
bukankah waktu subuh itu sudah dekat?”
[Hud 11:77-81]
Kemusykilan
ketiga:
Bagaimana pula
seorang makhluknya dapat memilih ajalnya padahal ia adalah urusan Allah sahaja?
Penjelasan:
Tidak dinafikan
bahawa ajal setiap seseorang telahpun ditentukan oleh Allah
‘Azza wa Jalla. Firman Allah:
وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَنْ تَمُوتَ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ كِتَابًا مُؤَجَّلًا.
Dan (tiap-tiap)
makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu
ketetapan (ajal) yang tertentu masanya.
[‘Ali Imran 3:145]
Kini persoalannya,
bagaimana mungkin Nabi Musa menafikan ajalnya? Jawapannya adalah tidak, Nabi
Musa tidak menafikan ajalnya kerana Malaikat Maut yang mendatanginya itu
bukanlah untuk menarik nyawanya tetapi sekadar bertanya sama ada Nabi Musa mahu
menerima kematian pada saat itu.
Buktinya boleh
dilihat daripada aduan Malaikat Maut kepada Allah
‘Azza wa Jalla apabila ia kembali
kepada-Nya: “Engkau mengutus aku kepada seorang hamba yang tidak
menghendaki kematian.” Aduan Malaikat Maut ini menunjukkan bahawa dia
sendiri pada asalnya tidak diutus untuk menarik nyawa tetapi untuk bertanya sama
ada Nabi Musa menghendaki kematian.
Lebih dari itu,
seandainya benar Malaikat Maut diutuskan untuk menarik nyawa Nabi Musa, ia akan
melakukan tugas tersebut dalam keadaan dirinya yang asal tanpa menjelma dalam
bentuk manusia. Kedua, ia akan melakukan tugas tersebut dengan cekap lagi
sempurna, tanpa bertanya atau teragak-agak terlebih dahulu. Firman Allah:
وَهُوَ الْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِ وَيُرْسِلُ عَلَيْكُمْ حَفَظَةً حَتَّى إِذَا
جَاءَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ تَوَفَّتْهُ رُسُلُنَا وَهُمْ لَا يُفَرِّطُونَ.
Dan Dia-lah yang
berkuasa atas sekalian hamba-Nya; dan Dia mengutuskan kepada kamu
pengawal-pengawal sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di
antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami (malaikat); sedang
mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan tugasnya).
[al-An‘aam 6:61]
Persoalan seterusnya,
bagaimana mungkin Allah memberi pilihan kepada Nabi Musa dalam urusan ajal?
Jawapannya, pilihan tersebut adalah antara kurnia dan keutamaan yang Allah
berikan kepada hamba-hamba yang dipilih-Nya, sepertimana firman-Nya:
قُلْ إِنَّ الْفَضْلَ بِيَدِ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ
عَلِيمٌ.
Sesungguhnya limpah
kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang
dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Meliputi
pengetahuan-Nya.
[‘Ali Imran 3:73]
Keluasan limpah
kurnia Allah tidak boleh diminta atau ditolak oleh sesiapa kerana ia adalah
antara sifat Allah yang Maha Luas Limpah Kurnia-Nya, dan kepada siapa Allah
memberikan kurnia tersebut juga tidak boleh dipersoalkan kerana ilmu kita tidak
sedikitpun dapat menjangkaui ilmu Allah yang Maha Tinggi.
Keistimewaan dan
kemuliaan Nabi Musa tidak perlu dipersangsikan lagi, kepada beliau Allah
kurniakan pelbagai mukjizat, dari yang kecil seperti tangan yang bercahaya
sehinggalah yang besar seperti membelah Laut Merah. Lebih dari itu kepada Nabi
Musa sahajalah Allah berkata-kata secara terus tanpa perantaraan. Dengan
pelbagai kelebihan yang Allah kurniakan kepada Nabi Musa ini, tidaklah asing
jika Allah memberi pilihan kepada dia tentang ajalnya. Oleh kerana itulah Imam
Muslim rahimahullah, apabila beliau menyusun hadis ini di dalam kitab
Sahihnya, beliau meletakkannnya di bawah judul “Keutamaan (fada‘il) Nabi
Musa ‘alahi salam.”
[1]
Dalam kurungan
adalah tambahan yang terdapat dalam sesetengah
lafaz lain, lihat Sahih Muslim – no: 2372 (Kitab
Fada’il, Bab Keutamaan Musa ‘alaihi salam).
[2]
Sahih:
Hadis dari Abu
Hurairah
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad,
al-Bukhari, Muslim, al-Nasa’i dan lain-lain,
lihat Sahih al-Bukhari – no: 1339 (Kitab
Jana’iz, Bab Sesiapa yang suka dikebumikan di
tanah suci atau seumpamanya).
[3]
Antara lain lihat
al-Mawardi – al-Nukatu al-‘Uyun (Dar al-Kutub
al-Ilmiah, Beirut tp thn), jld 3, ms 362;
al-Baghawi – Ma‘alim al-Tanzil (Dar al-Kutub
al-Ilmiah, Beirut 1995), jld 4, ms 212;
Fakh al-Razi – Tafsir al-Kabir (Dar Ihia
al-Turath al-Arabi, Beirut 1999), jld 7, ms
520-521; al-Khazin – Lubabu al-Ta’wil fi
Ma‘ani al-Tanzil (Dar al-Kutub al-Ilmiah,
Beirut 1995), jld 4, ms 212; al-Qasimi –
Mahasin al-Ta’wil (Dar al-Kutub al-Ilmiah,
Beirut 1997), jld 7, ms 89.