HADIS-HADIS MUSYKIL DARI SUDUT LOGIKA DAN NORMA-NORMA AGAMA
Pengenalan
dan kaedah memahaminya.
Bahagian ini
insya-Allah akan membahas sejumlah hadis yang kelihatan aneh, pelik atau
bertentangan dengan ukuran akal dan norma-norma agama. Akal yang dimaksudkan di
sini ialah fikiran logik manusia biasa sementara norma-norma agama adalah ajaran
dasar dan umum agama Islam. Jumlah hadis-hadis seperti ini sebenarnya tidak
terhad kepada angka tertentu. Ia sangat bergantung kepada alat yang digunakan
sebagai ukuran dan tahap ilmu yang digunakan. Hadis-hadis dalam kategori ini
dapat dibahagikan kepada beberapa jenis:
Pertama:
Hadis-hadis yang sepatutnya difahami dengan neraca wahyu (Contoh 1 & 2).
Ini adalah
hadis-hadis yang menerangkan hal-hal ghaib, kemukjizatan dan keutamaan yang
Allah kurniakan kepada para hamba-Nya yang terpilih. Apabila bertemu dengan
hadis-hadis seperti ini, seseorang itu tidak boleh cuba menafsirkannya dengan
akal kerana akal itu adalah sesuatu yang tidak dapat menjangkauinya. Akal
sememangnya antara ciptaan Allah yang paling bijaksana di alam ini tetapi akal
tetap memiliki batasan, iaitu ia hanya dapat berinteraksi dengan sesuatu yang
mampu dicapainya. Adapun sesuatu yang di luar pencapaiannya, akal terpaksa
tunduk kepada sesuatu lain yang lebih tinggi kedudukannya, iaitu wahyu dari
Allah Subhanahu wa Ta‘ala: al-Qur’an
dan al-Sunnah yang sahih.
Dalam hadis-hadis
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
memang terdapat beberapa kisah tentang para malaikat, nabi, syaitan, jin dan
sebagainya yang pada zahirnya nampak memusykilkan. Contohnya seperti Nabi Musa
‘alaihi salam yang menampar malaikat Maut, memukul batu dengan tongkatnya
sehingga batu tersebut bergerak-gerak, Nabi Muhammad
shallallahu ‘alaihi wasallam yang
membelah bulan sebagai tanda mukjizat kepada kaum ingkar yang mencabarnya,
batu-batu yang berselawat, serigala yang menerangkan kerasulan baginda dan
pelbagai lagi.[1]
Begitu juga
dengan beberapa hadis yang menerangkan perkara-perkara yang akan berlaku setelah
keluarnya Dajjal dan turunnya Imam Mahdi dan Nabi Isa ‘alaihi salam
sehingga batu dan pokok boleh bercakap.[2]
Musykil atau tidak
hadis-hadis seperti ini seharusnya diukur dengan sumber wahyu itu sendiri. Kita
akan dapat memperolehi penjelasannya dengan merujuk dan membandingkannya dengan
lain-lain nas al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Dalam ertikata lain,
hadis-hadis seperti ini hanya akan dapat difahami dengan tepat apabila ia
dipandang dan ditafsir dari sudut Illahi, bukan dari sudut manusiawi.
Kedua:
Hadis-hadis yang sepatutnya difahami dari sudut asal-usulnya (Contoh 3, 4 & 5).
Ada beberapa hadis
yang dapat dihilangkan kemusykilannya dengan merujuk kepada latar belakang
asal-usulnya (Asbabul Wurud). Kemusykilan akan hilang apabila kita dapat
mengkaji bila ia disampaikan, kepada siapa ia disampaikan dan kenapa ia
disampaikan.
Ketiga:
Hadis-hadis yang tergolong dalam kategori Hadis Fadhilat (Contoh 6).
Terdapat banyak
hadis yang menganjurkan amalan-amalan tertentu dan menjanjikan ganjaran yang
besar kepada pengamalnya. Adakalanya dengan sesuatu amalan yang kecil seseorang
itu dijanjikan ganjaran yang besar sehingga ia memusykilkan. Hadis-hadis seperti
ini sebenarnya tergolong dalam kategori Hadis Fadhilat. Seseorang hanya
akan memperolehi ganjaran yang dijanjikan jika dia: [1] Terlebih dahulu
menyempurnakan asas-asas agama dan [2] Mengamalkan hadis fadhilat tersebut
dengan cara yang benar.
Keempat:
Hadis-hadis yang semestinya difahami melalui kaedah bahasa yang tepat (Contoh
7).
Kemusykilan sesuatu
hadis juga dapat dihilangkan apabila ia diterjemah dan difahami berdasarkan
kaedah bahasa Arab yang tepat.
Kelima:
Hadis-hadis yang sepatutnya difahami dengan merujuk kepada lain-lain petunjuk
al-Qur’an dan al-Hadis (Contoh 8, 9, 10 & 11).
Terdapat juga
beberapa hadis yang memusykilkan kerana ia memberi petunjuk ke arah sesuatu yang
bercanggah dengan norma-norma agama iaitu ajaran umum agama Islam. Hadis-hadis
seperti ini seharusnya dicari penjelasannya dengan merujuk kepada lain-lain
petunjuk al-Qur’an dan al-Hadis.
Islam adalah satu
agama yang memiliki ajaran yang sangat luas sehingga tidak mungkin bagi
seseorang itu mengetahuinya secara keseluruhan (total). Oleh itu apabila
bertembung dengan hadis-hadis yang kelihatan bercanggah dengan ajaran umum
agama, hendaklah seseorang itu mengkajinya sehingga dia berjaya menemui
jawapannya. Jika tidak mampu mengkaji, hendaklah dia menangguh kefahaman
terhadap hadis tersebut sehinggalah dia menemui jawapannya.
Keenam:
Hadis-hadis
tentang sifat-sifat Allah.
Terdapat juga
beberapa ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam yang
mengkhabarkan tentang sifat-sifat Allah ‘Azza
wa Jalla seperti “tangan”, “mata”, “turun” dan sebagainya. Ayat dan hadis
seperti ini dikenali sebagai nas-nas al-sifat. Kaedah untuk memahami nas-nas al-Sifat
adalah beriman kepadanya dengan difahami maksudnya sementara ciri-ciri, bentuk
dan tata-cara sifat tersebut diserahkan kepada Allah. Apa yang pasti ciri-ciri,
bentuk dan tata-cara sifat tersebut tidak seumpama atau seperti mana-mana
makhluk ciptaan Allah di alam ini.
[1]
Untuk mengkaji
pelbagai lagi mukjizat Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam, sila lihat
buku 300 Authenticated Miracles of Muhammad
oleh Badr Azimabadi (Adam Publishers &
Distributers: Delhi 1993).
[2]
Untuk mengetahui
hadis-hadis tersebut dan penjelasannya,
disyorkan buku Amin Muhammad Jamaluddin: Umur
Umat Islam, Kedatangan Imam Mahdi & Munculnya
Dajjal (terj: H.Akel; Cendekia Sentra
Muslim, Jakarta 2000).