HADIS-HADIS MUSYKIL TENTANG WANITA
Babi Berlumuran
Lumpur Adalah Lebih Baik Daripada Wanita.
Sabda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam:
إيَّاكَ وَالْخَلْوَةَ بِالنِّسَاءِ. وَالَّذِيْ نَفْسِيْ بِيَدِهِ مَا خَلاَ
رَجُلٌ بِاْمرَأَةٍ إِلاَّ دَخَلَ الشَّيْطَانُ بَيْنَهُمَا وَلأَنْ يَزْحَمَ
رَجُلً خِنْزِيْرٌ مُتَلَطِّخٌ بِطِيْنٍ أَوْ حَمْأَةٍ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ
يَزْحَمَ مَنْكِبُهُ مَنْكِبَ اِمْرَأَةٍ لاَ تَحِلُّ لَهُ.
Berhati-hatilah,
jangan sampai kalian berkhalwat dengan wanita, demi diriku yang berada di
tangan-Nya, tidaklah berduaan seorang lelaki dan wanita melainkan masuk syaitan
di antara keduanya.
Bahawa sesungguhnya
adalah lebih baik seorang lelaki untuk bergeseran dengan khinzir yang berlumuran
dengan tanah atau lumpur daripada dia menggeserkan bahunya dengan bahu seorang
wanita yang tidak halal baginya.[1]
Kemusykilan:
Kenapakah hadis ini
begitu berat menghukum wanita sehingga dikatakan seekor khinzir yang berlumuran
lumpur adalah baik daripada wanita?
Saya pernah membaca satu tuduhan bahawa dari hadis ini terbukti bahawa
Rasulullah tidak sukakan wanita dan memandang mereka sebagai sesuatu yang najis.
Penjelasan:
Hadis di atas
sebenarnya disampaikan oleh Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam atas dasar memberi peringatan dan ancaman (al-Targhib
wa al-Tarhib). Perkataan: menggeserkan
bahunya dengan bahu seorang wanita… adalah bahasa kiasan yang
menunjukkan bahawa ini bukanlah sekadar kes berdua-duaan tetapi adalah sesuatu
yang melibatkan sentuh menyentuh dan lebih lagi. Hal seperti ini memang dilarang
oleh Islam.
Allah
Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا.
Dan janganlah kamu
menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu
jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).
[al-Isra’ 17:32]
Ayat di atas bukan
sekadar melarang zina tetapi ia melarang apa jua perbuatan yang boleh
menghampiri zina seperti berdua-duaan dan saling menyentuh antara lelaki dan
wanita yang bukan muhrim. Perbuatan-perbuatan yang mengarah kepada zina adalah
suatu yang keji lagi mungkar dan inilah yang diumpamakan oleh Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai
lebih baik untuk bergeseran dengan khinzir daripada bergeseran dengan wanita.
Tujuan Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam
menggunakan khinzir yang berlumuran tanah atau lumpur hanyalah untuk
menunjukkan betapa keji dan terkutuk perbuatan berdua-duaan dan saling sentuh
menyentuh. Ia hanya sebagai satu perbandingan dan tidak sedikitpun bertujuan
untuk meletakkan wanita di kedudukan yang lebih rendah daripada khinzir.
Adalah tidak benar
tuduhan yang menghubungkaitkan hadis ini dengan anggapan bahawa Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam tidak
menyukai wanita dan memandang mereka sebagai najis. Yang benar Rasulullah
menyukai wanita dan baginda meletakkan mereka bersamaan wangi-wangian dan solat.
Perhatikan hadis berikut:
حُبَّبَ إلَيَّ مِنَ الدَّنْيَا النَّسَاءُ وَالطِّيْبُ وَجُعِلَ قُرَّةُ عَيْنِيْ
فِيْ الصَّلاَةِ.
Digemarkan kepada
aku dari dunia kalian wanita dan wangi-wangian, dan dijadikan solat kesejukan
kepada mata aku (ketenangan kepada jiwaku).[2]
Selain itu
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
juga telah bersabda sepertimana dalam hadis yang telah dikemukakan sebelum ini:
الدَّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدَّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ.
Dunia adalah
sebaik-baik tempat, dan sebaik-baik tempat di dalam dunia adalah wanita yang
solehah.[3]
[1]
Hasan:
Hadis daripada
Abi Umamah
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh al-Thabarani
dalam al-Mu’jam al-Kabir, dinukil oleh
al-Haithami dalam Majma al-Zawaa’id (Dar
al-Fikr, Beirut 1992), no: 7717 (Kitab Nikah,
Bab Larangan berkhalwat dengan selain mahram),
dan kata beliau: Riwayat al-Thabarani, di
dalamnya terdapat ‘Ali bin Yazid al-Alahani, dia
sangat dha‘if, namun pada hadis ini terdapat
penguat. Hadis ini juga dihimpun oleh al-Munziri
dalam al-Targhib wat Tarhib (Dar Ibn
Kathir, Damsyik 1999) – no: 2855 dan
berkata penyemak - Muhyiddin Dibb Mastu, Samir
Ahmad ‘Atha & Yusuf ‘Ali Badiwi:
Dha‘if.
Penulis berkata,
isnad
hadis ini memang lemah tetapi maksudnya adalah
benar dalam menerangkan kekejian perbuatan
berdua-duaan dan saling bersentuhan antara
lelaki dan wanita sepertimana yang ditegaskan
oleh ayat 32 surah al-Isra’. Terdapat juga hadis
lain yang berisnad
baik (jayyid) yang bermaksud:
Seseorang yang ditusuk kepalanya dengan jarum
besi adalah lebih baik daripada menyentuh wanita
yang tidak halal baginya. Lihat Nasr al-Din
al-Albani – Silsilah Hadits Shahih – no: 225.
Inilah penguat yang dimaksudkan oleh al-Haithami
dan dengan itu penulis menilai hadis ini secara
keseluruhannya sebagai
hasan.
Kepada Allah jua segala kebenaran.
[2]
Hasan:
Hadis daripada
Anas bin Malik
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad,
al-Nasa’i dan al-Hakim, disebut oleh Ibn al-Qayyim
dalam Zaad al-Ma‘ad (terj: A. Sunarto &
Aunur Rafiq; Robbani Press, Jakarta 1998),
jld 1, ms 111 dan dinilai
hasan
oleh penyemak: Syu‘aib al-Arna’uth & ‘Abdul
Qadir al-Arna’uth.
[3]
Sahih:
Hadis daripada
‘Abdullah ibn ‘Umar
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Muslim,
Ibn Majah dan lain-lain, di atas adalah lafaz
Muslim, lihat
Sahih Muslim –
no: 1467 (Kitab al-Ridho’, Bab Sebaik-baik
tempat..............).