HADIS-HADIS MUSYKIL TENTANG WANITA
Batal Solat Apabila
Anjing Atau Wanita Melintas Di Hadapan.
Sabda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam:
إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ يُصَلِّيْ، فَإِنَّهُ يَسْتُرُهُ إِذَا كَانَ بَيْنَ
يَدَيْهِ مِثْلُ آخِرَةِ الرَّحْلِ، فَإِذَا لَمْ يَكُنْ بَيْنَ يَدَيْهِ مِثْلُ
آخِرَةِ الرَّحْلِ، فَإِنَّهُ يَقْطَعُ الصَّلاَةَ الْحِمَارُ وَالْمَرْأَةُ
وَالْكَلْبُ اَلأَسْوَدُ.
Apabila seseorang
kamu bersolat, hendaklah dia meletak penghadang di hadapannya sepanjang pelana
unta. Jika tidak diletakkan penghadang di hadapannya sepanjang pelana unta maka
sesungguhnya solatnya akan terputus kerana keldai atau wanita atau anjing hitam
(yang melintas di hadapannya).[1]
Kemusykilan:
Kenapakah solat
boleh batal semata-mata kerana seorang wanita yang melintas di hadapannya?
Kenapakah wanita dikategorikan bersama anjing hitam dan keldai?
Penjelasan:
Sabda Rasulullah:
“solatnya terputus” bukanlah bererti solatnya batal dan tidak sah
tetapi bererti terputus (terganggu) daripada kekhusyukan atau terputus (terhenti)
hubungan dengan Allah ‘Azza wa Jalla.[2]
Hal ini berlaku jika seseorang itu tidak meletakkan penghadang di hadapan
dirinya ketika sedang bersolat. Penghadang boleh dibuat daripada apa-apa yang
dapat mencapai maksud sebagai penghadang seperti pelana, bantal, beg, tongkat
dan sebagainya.[3]
Antara petunjuk
terhadap kefahaman ini adalah wujudnya sejumlah hadis-hadis yang sahih
yang menerangkan bahawa isteri Rasulullah pernah melintas ketika baginda sedang
bersolat dan baginda meneruskan solatnya tanpa mengulang semula. Dalam sebuah
hadis lain Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam bersabda:
لاَ يَقْطَعُ الصَّلاَةَ شَيْءٌ وَادْرَأُوْا مَا اِسْتَطَعْتُمْ فَإِنَّمَا هُوَ
شَيْطَانٌ.
Tidaklah terputus
solat oleh apa-apa dan tolaklah (apa yang melintas di hadapan) sedaya upaya kamu
kerana ia adalah syaitan.[4]
Oleh itu solat
seseorang yang tidak mempunyai penghadang tidak akan batal jika melintas di
hadapannya wanita, keldai dan anjing hitam. Ia hanya akan mengurangkan
kesempurnaan solatnya. Oleh itu hendaklah berusaha membuat penghadang apabila
bersolat supaya tidak diganggu oleh sesuatu yang melintas di hadapan.
Jika bersolat tanpa
penghadang dan ada sesuatu yang akan melintas, maka tahan atau tolaklah ia
daripada melintasi di hadapan. Perbuatan ini tidaklah membatalkan solat. Akan
tetapi jika tidak ditahan atau ditolak, ia akan mengurangkan kesempurnaan solat.
Adapun penghimpunan
wanita, keldai dan anjing hitam dalam bab ini tidaklah bererti bahawa
ketiga-tiganya adalah dari satu kedudukan atau taraf. Penghimpunan hanyalah
kerana masing-masing memiliki kemungkinan mendatangkan gangguan: wanita kerana
daya tarikannya, keldai kerana kebiasaannya membawa muatan dagang dan anjing
hitam kerana ia berkemungkinan merupakan jelmaan syaitan. Setiap ini boleh
mengganggu kesempurnaan solat.
Berdasarkan kaedah
qiyas dan tujuan hadis (maqasid nas), hendaklah seseorang itu menghadang
dirinya daripada apa sahaja yang boleh mengganggu kesempurnaan solatnya tanpa
terbatas kepada tiga faktor di atas sahaja.
[1]
Sahih:
Hadis daripada
Abu Dzaar
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad,
Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa’i, Ibn
Majah dan lain-lain, di atas dengan lafaz
Muslim, lihat Sahih Muslim – no: 510 (Kitab
Solat, Bab Kadar penghadang solat).
[2]
Dalam bab ini
terdapat beberapa pendapat dan yang di atas
adalah yang terkuat pada kajian penulis. Sila
kaji mana-mana kitab fiqh atau syarah hadis bagi
mengetahui lanjutan masalah ini.
[3]
Lebih lanjut
tentang hukum penghadang, lihat buku penulis:
Panduan Ibadah dalam Musafir Penerbangan (Jahabersa
2000), ms 134.
[4]
Hasan:
Hadis daripada
‘Abdullah ibn
‘Abbas
radhiallahu ‘anh,
dikeluarkan oleh Abu Daud dengan
isnad
yang lemah. Namun Syu‘aib al-Arna’uth dalam
semakannya terhadap kitab Syarah al-Sunnah
al-Baghawi – no: 550 telah mengemukakan
beberapa penguat dari jalan-jalan yang
berasingan yang setiap satunya saling menguat
sehingga dapat didudukkan di tangga
hasan.
Diriwayatkan yang sedemikian sebagai pegangan
sejumlah sahabat dengan
isnad
yang
sahih.