HADIS-HADIS MUSYKIL TENTANG WANITA

 

Contoh no: 3

Wanita Belum Mencapai Kesempurnaan Seperti Lelaki.

Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

كَمَلَ مِنْ الرِّجَالِ كَثِيرٌ وَلَمْ يَكْمُلْ مِنْ النِّسَاءِ إِلاَّ مَرْيَمُ بِنْتُ عِمْرَانَ وَ آسِيَةُ اِمْرَأَةُ فِرْعَوْنَ.

Banyak lelaki yang telah mencapai kesempurnaan tetapi tidak (ramai) daripada kalangan wanita yang telah mencapai kesempunaan kecuali Maryam binti Imran dan Asiah isteri Firaun.[1]

 

Kemusykilan:

Bagaimanakah dapat dikatakan bahawa lelaki lebih sempurna daripada wanita? Bukankah hal ini relatif kepada tiap-tiap individu dan boleh berubah-ubah? Bahkan pada masa kini kita lihat bahawa banyak wanita yang lebih sempurna daripada lelaki dari sudut agama, ilmu, akhlak dan sebagainya.

Penjelasan:

Hadis di atas sebenarnya bermaksud memberi motivasi kepada kaum wanita agar mereka sentiasa berusaha ke arah kesempurnaan atau setepatnya menjadi insan yang kamil. Dalam memberi motivasi ini Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memberi beberapa contoh sebagai model teladan, iaitu lelaki dan dua orang muslimah yang agung dalam sejarah manusia, iaitu Maryam binti Imran ibu kepada Nabi Isa ‘alaihi salam dan Asiah isteri Firaun, radhiallahu ‘anhuma.

Petunjuk kepada lelaki sebagai model mungkin bersifat umum dan mungkin juga bersifat khusus kepada generasi sahabat pada zaman baginda shallallahu ‘alaihi wasallam. Akan tetapi petunjuk kepada Maryam dan Asiah sebagai model adalah sesuatu yang bersifat khusus lagi tetap kerana dua muslimah yang agung ini telahpun diabadikan keistimewaan mereka di dalam beberapa ayat al-Qur’an, khasnya:

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِلَّذِينَ آمَنُوا امْرَأَتَ فِرْعَوْنَ إِذْ قَالَتْ رَبِّ ابْنِ لِي عِنْدَكَ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ وَنَجِّنِي مِنْ فِرْعَوْنَ وَعَمَلِهِ وَنَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ. وَمَرْيَمَ ابْنَتَ عِمْرَانَ الَّتِي أَحْصَنَتْ فَرْجَهَا فَنَفَخْنَا فِيهِ مِنْ رُوحِنَا وَصَدَّقَتْ بِكَلِمَاتِ رَبِّهَا وَكُتُبِهِ وَكَانَتْ مِنَ الْقَانِتِينَ.

Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan kepada orang-orang mukmin, iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: “Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim.”

Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) Kami; dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) ia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitab-Nya; dan dia menjadi dari orang-orang yang tetap taat. [al-Tahrim 66:11-12]

 



[1] Sahih: Sebahagian dari hadis yang panjang daripada Abu Musa al-‘Asy‘ari radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi, Ibn Majah dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 3433 (Kitab Para Nabi, Bab Firman Allah: Ketika berkata para malaikat “Wahai Maryam !...............3:45-47).