HADIS-HADIS MUSYKIL TENTANG WANITA

 

Contoh no: 2

Aku Melihat Dalam Neraka Dan Kebanyakannya Adalah Wanita.

Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

اِطَّلَعْتُ فِيْ الْجَنَّةِ فَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا الْفُقَرَاءَ وَاطَّلَعْتُ فِيْ النَّارِ فَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا النِّسَاء.

Aku menjenguk dalam syurga dan aku melihat kebanyakan penghuninya adalah orang miskin dan aku menjenguk dalam neraka dan aku melihat kebanyakan penghuninya adalah wanita.[1]

 

Kemusykilan:

Mengapakah di dalam neraka terdapat banyak wanita?

Penjelasan:

Hadis ini termasuk dalam bab al-Targhib wa al-Tarhib, iaitu memberi anjuran dan ancaman terhadap sesuatu perkara. Dalam hadis di atas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memberi peringatan bahawa neraka berkemungkinan akan dipenuhi dengan wanita. Sebab-sebabnya telah diterangkan baginda dalam beberapa hadis yang lain, antaranya:

Abdullah ibnu Abbas radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

وَرَأَيْتُ النَّارَ فَلَمْ أَرَ كَالْيَوْمِ مَنْظَرًا قَطُّ وَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا النِّسَاءَ. قَالُوْا: لِمَ يَا رَسُولَ اللَّهِ ؟ قَالَ: بِكُفْرِهِنَّ. قِيلَ: يَكْفُرْنَ بِاللَّهِ ؟ قَالَ: يَكْفُرْنَ الْعَشِيْرَ وَيَكْفُرْنَ الإِحْسَانَ لَوْ أَحْسَنْتَ إِلَى إِحْدَاهُنَّ الدَّهْرَ ثُمَّ رَأَتْ مِنْكَ شَيْئًا قَالَتْ مَا رَأَيْتُ مِنْكَ خَيْرًا قَطُّ.

Kemudian aku lihat neraka, dan tidak sebelum ini aku melihat sesuatu yang sangat menggerunkan, dan aku nampak kebanyakan ahli neraka adalah wanita.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah sebabnya?” Rasulullah menjawab: “Kerana mereka kufur.” Ditanya lagi: “Adakah mereka kufur kepada Allah?” Baginda menjawab:

Mereka kufur (yakni tidak berterima kasih) kepada suami mereka dan kufur (tidak bersyukur) ke atas kebaikan yang telah diberi kepada mereka (oleh para suami). Sekalipun dibuat baik kepada seseorang mereka sepanjang hayat, apabila dia (isteri) melihat sesuatu (keburukan) pada kamu, dia akan berkata: Saya tidak pernah melihat sebarang kebaikan pada anda.”[2]

Abdullah ibn Umar radhiallahu ‘anh berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Wahai wanita, bersedekahlah kalian dan perbanyakkanlah beristighfar kerana aku melihat kalian sebagai penghuni nereka yang terbanyak.” Bertanya kaum wanita: “Kenapa kami yang terbanyak dalam neraka wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab:

تُكْثِرْنَ اللَّعْنَ. وَتَكْفُرْنَ الْعَشِيْر.

Kerana kalian banyak mengutuk dan mengingkari (kebaikan) suami.”[3]

Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah radhiallahu ‘anh sebuah hadis lain:

وَأَكْثَرُ مَنْ رَأَيْتُ فِيْهَا مِنْ النِّسَاءَ الَّلاَتِيْ إِنِ ائْتُمِنَّ أَفْشَيْنَ، وَإِنْ سُئِلْنَ بَخِلْنَ، وَإِنْ سَأَلْنَ أَلْحَقْنَ، وَإِنْ أُعْطِيْنَ لَمْ يَشْكُرْنَ.

Orang yang paling banyak aku lihat di dalamnya (neraka) adalah dari kalangan wanita yang apabila diberi kepercayaan menyimpan rahsia dia membocorkannya, apabila diminta sesuatu daripadanya dia bakhil, apabila dia meminta dia ingin yang terbanyak dan apabila diberi mereka tidak berterima kasih.[4]

Dalam hadis-hadis di atas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah menggariskan beberapa sikap wanita yang mungkin akan mengakibatkan dirinya diazab dalam api neraka. Di sini penulis berkata mungkin kerana hadis-hadis ini bersifat memberi peringatan dan ancaman, bukan menetapkan. Peringatan akan beberapa sikap tercela dan ancaman bahawa sikap tersebut jika tidak dijauhkan akan menyebabkan diri seseorang itu diazab dalam neraka.

Perkara lain yang perlu dipertimbangkan dalam hadis di atas adalah kadar ketegasan teguran Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Sabda baginda: Aku menjenguk dalam neraka dan aku melihat kebanyakan penghuninya adalah wanita… mudah diterima oleh muslimah pada zaman baginda kerana mereka sering mengingati dan diingatkan tentang Hari Kebangkitan, Padang Mahsyar, titian Sirat, Syurga dan Neraka. Justeru teguran Rasulullah di atas tidak memeranjatkan mereka, malah mereka berusaha untuk bertanya kepada Rasulullah kenapa dan bagaimana cara mengelakkannya.

Berbeza dengan muslimah zaman kini, mereka sering leka dan lalai dari urusan Hari Kemudian sehingga apabila mendengar teguran Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di atas, mereka terperanjat dan pantas berusaha mengenepikannya. Oleh itu hendaklah mereka yang membaca hadis-hadis seperti ini berusaha memahami mengikut suasana masyarakat ketika ia disabdakan. Demikian juga kepada para dai yang ingin menyampaikan hadis-hadis seperti ini, adalah merupakan tanggungjawab mereka menyampaikannya dengan penjelasan yang lengkap dari awal hingga akhir.

 

 

 



[1] Sahih: Hadis daripada Imran bin Husain radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 5198 (Kitab Nikah, Bab tidak berterima kasih kepada al-‘Ashiir.............).

[2] Sahih: Sebahagian hadis yang dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 1052 (Kitab Solat Gerhana, Bab Solat Gerhana berjamaah).

[3] Sahih: Sebahagian dari hadis yang panjang dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, di atas dengan lafaz Muslim, lihat Sahih Muslim – no: 79 (Kitab Iman, Bab Berkurangnya Iman........).

[4] Dha‘if: Sebahagian hadis daripada Jabir bin ‘Abdullah radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh ‘Abad bin Hamid dalam al-Musnad (tahqiq Subhi al-Badri & Mahmud Muhammad Khalil; Maktabah al-Sunnah, Cairo 1988) – no: 1036 dari jalan: hadathana Zakaria bin ‘Adiy (bin Solat al-Taimiy), hadathana ‘Ubaidullah bin ‘Amr (bin Abi al-Walid al-Jazari), ‘an ‘Abdullah bin Muhammad bin ‘Uqail (bin Abi Talib al-Hashimi), ‘an Jabir (bin ‘Abdullah). Saya berkata, para perawinya adalah thiqah kecuali ‘Abdullah bin Muhammad bin Uqail, beliau lemah dan sering mencampur adukkan hadis. Dijadikan hujah oleh segelintir namun diketepikan oleh majoriti.

Lihat al-‘Uqaili – Dhu‘afa’ al-Kabir (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1998) – no: 872, Ibn Abi Hatim – al-Jarh wa al-Ta’dil (Dar al-Fikr, Beirut tp thn) – no: 706, Ibn ‘Adiy – Kamil fi Dhu‘afa’ al-Rijal (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1997)– no: 969 dan Syu‘aib al-Arna’uth & Basyir ‘Awwad Ma’ruf – Tahrir Taqrib al-Tahzib li al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (Muasasah al-Risalah, Beirut 1997) – no: 3592

               al-Hakim mengeluarkannya dalam al-Mustadrak – no: 8788 dari jalan: akhbarana ‘Abdul Rahman bin Hamdan, hadathana Hilal bin al-‘Alaa’ al-Raqi, hadathana ayahnya, hadathana ‘Ubaidullah bin ‘Amr.....seperti jalan ‘Abad bin Hamid di atas. Al-Hakim mensahihkannya dan dipersetujui oleh al-Dzahabi. Namun al-Dzahabi dalam al-Kasyaf fi Ma‘arif (Dar al-Qiblah li al-Thaqafi al-Islamiyah & Muasasah ‘Ulum al-Qur’an, Jeddah 1992)­ – no: 2961 telah menukil kata-kata Abi Hatim: Longgar hadisnya. Berkata Ibn Khuzaimah: Tidak dijadikan hujah dengannya. Inilah pendapat yang benar di sisi al-Dzahabi.

               Oleh itu hadis ini adalah dha‘if, dikemukakan hanya sebagai penjelas dalam bab ini.