HADIS-HADIS MUSYKIL TENTANG WANITA
Kecelakaan Itu Ada
Pada Tiga Perkara: Wanita, Rumah Dan Kuda.
Sabda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam:
اَلشُّؤْمُ فِيْ الْمَرْأَةِ وَالدَّارِ وَالْفَرَسِ.
Petanda buruk (evil
omen) terdapat pada wanita, rumah dan kuda.[1]
Kemusykilan:
Kenapakah dikatakan
pada wanita ada petanda buruk, malah sehingga disamakan dengan kuda dan rumah?
Bukankah ini sebuah hadis yang jelas mendiskriminasikan wanita?
Penjelasan:
Maksud sebenar
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
dalam hadis di atas dapat difahami dengan merujuk kepada hadis berikut:
أَرْبَعٌ مِنْ السَّعَادَةِ: اَلْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ
وَالْجَارُ الصَّالِحُ وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيْءُ . وَأَرْبَعٌ مِنْ الشَّقَاوَةِ:
اَلْجَارُ السُّوءُ وَالْمَرْأَةُ السُّوءُ وَالْمَسْكَنُ الضَّيِّقُ
والْمَرْكَبُ السُّوءُ.
Empat perkara
termasuk unsur kebahagiaan seseorang: wanita (isteri) yang saleh, kediaman (rumah)
yang luas, jiran tetangga yang baik dan kenderaan yang selesa. Dan empat perkara
termasuk unsur penderitaan seseorang: jiran tetangga yang tercela, wanita yang
tercela (buruk akhlaknya), tempat kediaman yang sempit dan kenderaan yang
tercela.[2]
Berdasarkan hadis di
atas dapat difahami bahawa sabda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam
hadis: Petanda buruk (evil omen) terdapat pada wanita, rumah dan kuda
sebenarnya dalam rangka menerangkan beberapa asas yang penting dalam kehidupan
seseorang sehingga memerlukan perhatian yang sewajarnya. Jika diberi perhatian
maka perkara-perkara ini akan membahagiakannya, jika tidak ia akan
menyulitkannya. Antara perkara-perkara asas tersebut ialah pasangan hidup,
tempat hidup (jiran tetangga), rumah kediaman dan kenderaan.
Hadis ini tidak
bertujuan mendiskriminasikan wanita. Ia sebenarnya bertujuan untuk
memperingatkan lelaki agar mereka mencari wanita yang solehah atau yang mahu
menjadi solehah sebagai pasangan supaya kehidupan lelaki itu tidak akan menjadi
sengsara. Demikian juga jika diambil dari umum pengajaran hadis, hendaklah juga
wanita mencari pasangan lelaki yang soleh atau yang mahu menjadi soleh supaya
hidupnya menjadi bahagia juga.
Penghargaan Islam
kepada wanita solehah dapat direnung dalam hadis berikut:
اَلدَّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدَّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ.
Dunia adalah
sebaik-baik tempat dan sebaik-baik tempat di dalam dunia adalah wanita yang
solehah.[3]
Hadis-hadis dalam
bab ini memberikan satu pengajaran penting kepada kita, iaitu Islam tidak
memandang hina terhadap urusan-urusan duniawi. Ia memberi perhatian kepadanya
dan menyuruh umatnya mencari yang terbaik agar hidup mereka di dunia ini bahagia
dan selesa.
Islam mendahului
dengan mengenal pasti beberapa asas yang penting dalam kehidupan dan menyuruh
umatnya berusaha demi mencapai yang terbaik dalam asas-asas tersebut asalkan
tidak melampaui batas atau sehingga berlaku pembaziran.
[1]
Sahih:
Hadis daripada
‘Abdullah ibn ‘Umar
radhiallahu ‘anhma, dikeluarkan oleh Ahmad,
al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa’i,
Ibn Majah dan lain-lain, di atas dengan lafaz
al-Bukhari, lihat Sahih al-Bukhari – no: 5093
(Kitab Nikah, Bab Petanda buruk pada wanita yang
perlu disingkirkan).
[2]
Sahih:
Hadis daripada
Sa‘ad bin Abi Waqas
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ibn
Hibban, al-Khatib al-Baghdadi (al-Tarikh)
dan Abu Nu‘aim (Hilyatul Auliya’),
dinilai
sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam
Sahih Ibn Hibban (Muasasah al-Risalah,
Beirut 1997) – no: 4032. Juga dinilai
sahih
oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Silsilah
Hadits Shahih (terj: Qodirun Nur, Pustaka
Mantiq, Solo 1996) – no: 282.
[3]
Sahih:
Hadis daripada
‘Abdullah ibn ‘Umar
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Muslim,
Ibn Majah dan lain-lain, di atas adalah lafaz
Muslim, lihat Sahih Muslim – no: 1467 (Kitab
al-Ridho’, Bab Sebaik-baik tempat..............).