HADIS-HADIS MUSYKIL DARI SUDUT ILMU PERUBATAN MODEN
Di Sebelah Sayap
Lalat Terdapat Ubat Penawarnya.
Sabda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam:
إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِيْ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ كُلَّهُ ثُمَّ
لِيَطْرَحْهُ فَإِنَّ فِيْ أَحَدِ جَنَاحَيْهِ شِفَاءً وَفِيْ الآخَرِ دَاءً.
Jika seekor lalat
jatuh ke dalam minuman seseorang kalian, maka benamkanlah (lalat itu sepenuhnya
dalam minuman itu) dan kemudian buanglah (lalat) itu. Ini kerana sesungguhnya
pada sebelah sayapnya terdapat penyembuh manakala pada sebelah yang lain
terdapat penyakit.[1]
Kemusykilan:
Hadis ini
benar-benar aneh, bagaimana mungkin lalat yang dikenali sebagai binatang
pengotor dapat dikatakan “ubat”?
Penjelasan:
Lalat memang
dikenali sebagai binatang pengotor dan pembawa penyakit. Hal ini sepertimana
yang telah diterangkan dalam hadis di atas: ……sesungguhnya pada sebelah
sayapnya terdapat penyakit…… . Namun perlu difikirkan kenapakah
kekotoran, yakni pelbagai jenis bakteria yang terdapat pada tubuh badan lalat
tidak mengakibatkan penyakit kepada lalat itu sendiri? Jawapannya adalah kerana
lalat memiliki daya tahanan semulajadi yang menghasilkan sejenis toksin yang
bertindak sebagai penawar (antidote) bagi memelihara dirinya daripada
bahaya bakteria-bakteria tersebut. Hal inilah yang diisyaratkan oleh Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai:
…… manakala pada sebelah yang lain terdapat penyembuh.
Toksin inilah
juga yang akan bertindak sebagai penawar terhadap bakteria yang dibawa oleh
lalat yang terjatuh dalam minuman itu tadi. Untuk memperoleh manfaat yang
sepenuhnya daripada toksin ini, hendaklah dibenamkan lalat itu seluruhnya ke
dalam minuman tersebut. Tindakan ini memang akan menyebabkan minuman itu
terdedah kepada lebih banyak bakteria lalat tetapi pada waktu yang sama toksin
lalat tersebut akan membunuh bakteria yang dibawanya.
Hadis di atas
tidaklah aneh tetapi ia memiliki nilai perubatan yang sangat tinggi di dalamnya.
Pada masa kini kita dapati banyak ahli biologi dan ahli sains yang mengkaji
toksin pelbagai binatang yang berbisa seperti kala jengking, lipan, labah-labah
Tarantula, ular dan sebagainya untuk dijadikan ubat penawar pelbagai
penyakit. Hal ini juga telah didahului oleh para tabib cina sejak beberapa kurun
yang lampau. Prinsip kajian ini sama sahaja, iaitu jika toksin binatang-binatang
berbisa tersebut mampu menjaga diri tuannya daripada bahaya bisa (venom)
yang dibawanya, sudah tentu toksin tersebut juga mampu menjadi penawar
kepada pelbagai penyakit manusia.
Oleh itu hadis di
atas dari sudut ukuran perubatan adalah benar lagi sahih.
Demikianlah beberapa
hadis tentang kaedah perubatan Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam yang masyhur dipertikaikan. Ada beberapa lagi
yang mungkin dipersoalkan juga namun adalah mencukupi tujuh contoh di atas
sebagai asas yang dapat membentuk kaedah bagi memahami hadis-hadis baginda dalam
bab ini. Ingatlah bahawa Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam tidak sekali-kali akan mendiagnosakan sesuatu
penyakit dengan kaedah perubatan yang salah atau memudaratkan. Sabda baginda:
مَنْ تَطَبَّبَ، وَلَمْ يُعْلَمْ مِنْهُ طِبٌّ قَبْلَ ذَلِكَ، فَهُوَ ضَامِنٌ.
Sesiapa yang menjadi
doktor padahal dia tidak ada ilmu dalam bidang perubatan sebelum itu, maka dia
dipertanggungjawabkan (atas apa-apa risiko yang akan timbul).[2]
[1]
Sahih:
Hadis
daripada Abu Hurairah
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad,
al-Bukhari, Abu Daud, al-Nasa’i, Ibn Majah dan
lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 5782
(Kitab Tibb, Bab Apabila lalat jatuh…………).
[2]
Hasan:
Hadis daripada
Syu’bah, daripada datuknya, dikeluarkan oleh Abu
Daud, al-Nasa’i, Ibn Majah, al-Hakim, al-Daruquthni
dan lain-lain. Isnadnya dinilai
hasan
oleh Mujaddi bin Mansur al-Shuri dalam Sunan
al-Daruquthni (Dar al-Kutub al-Ilmiah,
Beirut 1996) – no: 4452 dan oleh Mahmud
Muhammad Mahmud dalam Sunan Ibn Majah
(Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1998) – no:
3466 (Kitab Tibb, Bab Sesiapa yang berubat tanpa
ilmu perubatan).